Lompat ke kandungan

Bible Mengubah Hidup

Bible Mengubah Hidup

Bible Mengubah Hidup

APAKAH yang mendorong seorang ahli Rastafarian untuk mengubah penampilannya dan mengatasi prasangka terhadap orang putih? Apakah yang membantu seorang lelaki yang ganas mengubah kehidupannya? Bacalah kisah hidup mereka.

“Saya Berjaya Menyingkirkan Perasaan Prasangka.”​—HAFENI NGHAMA

UMUR: 34

NEGARA ASAL: ZAMBIA

LATAR BELAKANG: GAYA HIDUP RASTAFARIAN

KISAH SILAM SAYA: Saya lahir di sebuah kem pelarian di Zambia. Ibu saya telah melarikan diri dari Namibia semasa perang dan menyertai Organisasi Rakyat Afrika Barat Daya (SWAPO). Organisasi ini melawan pemerintahan Afrika Selatan yang sedang menguasai Namibia.

Selama 15 tahun, saya tinggal di beberapa kem pelarian. Orang muda di kem-kem SWAPO dilatih untuk memperjuangkan kebebasan kami. Kami didik tentang hal politik dan sering diajar untuk membenci orang putih.

Semasa berumur 11 tahun, saya mahu menjadi ahli gereja gabungan orang Kristian daripada aliran Roman Katolik, Lutheran, Anglikan, dan lain-lain. Tetapi seorang pastor telah menasihati saya agar tidak berbuat demikian. Maka, saya pun mula mengikut ajaran ateis. Semasa berumur 15 tahun, saya sangat minat muzik reggae. Saya juga ada keinginan untuk membela hak orang Afrika. Jadi saya menyertai gerakan Rastafarian. Saya ikut gaya rambut pilinan, hisap ganja, berhenti makan daging, dan memperjuangkan kebebasan orang kulit hitam. Saya juga hidup tidak bermoral, suka menonton wayang yang ganas, dan selalu menggunakan kata-kata lucah.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA: Pada tahun 1995 semasa saya berumur sekitar 20 tahun, saya mula fikir tentang kehidupan saya. Saya rajin membaca semua bahan Rastafarian. Ada antaranya yang menyebut tentang Bible, tapi penjelasannya tidak masuk akal. Jadi saya memutuskan untuk membaca Bible.

Selepas itu, seorang kawan dalam kumpulan Rastafarian beri saya bahan bacaan Saksi-Saksi Yehuwa. Saya membaca bahan itu dan membandingkannya dengan Bible. Kemudian, saya jumpa Saksi-Saksi Yehuwa.

Saya berusaha sedaya upaya untuk berhenti merokok dan minum berlebihan. (2 Korintus 7:1) Saya juga memotong rambut saya, mengubah penampilan saya, berhenti menonton bahan lucah dan wayang ganas, dan tidak lagi menggunakan kata-kata lucah. (Efesus 5:3, 4) Lama-kelamaan, saya berjaya menyingkirkan perasaan prasangka terhadap orang putih. (Kisah 10:34, 35) Selain itu, saya berhenti mendengar muzik yang menggalakkan perasaan benci terhadap kaum lain. Saya juga berhenti bergaul dengan kawan-kawan yang selalu mempengaruhi saya untuk kembali ke haluan lama saya.

Selepas itu, saya mencari Dewan Perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa. Saya kata saya mahu ikut agama itu. Mereka pun belajar Bible dengan saya. Apabila saya memutuskan untuk dibaptis sebagai seorang Saksi-Saksi Yehuwa, keluarga saya tidak gembira. Ibu saya kata saya boleh pilih mana-mana aliran Kristian kecuali Saksi-Saksi Yehuwa. Seorang ahli keluarga saya yang merupakan ahli politik selalu mengejek keputusan saya untuk bergaul dengan Saksi.

Tapi, teladan Yesus dan nasihatnya membantu saya mengatasi tentangan dan ejekan orang. Apabila saya membandingkan ajaran Saksi dengan Bible, saya yakin bahawa inilah agama yang benar. Satu bukti ialah mereka mengikut perintah Bible untuk menginjil kepada orang lain. (Matius 28:19, 20; Kisah 15:14) Para Saksi juga tidak terlibat dalam politik.—Mazmur 146:3, 4; Yohanes 15:17, 18.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA: Ajaran Bible telah membawa banyak manfaat kepada saya. Contohnya, setelah berhenti menghisap ganja, saya dapat jimat banyak duit setiap bulan. Saya juga tidak lagi mengalami halusinasi akibat pengambilan dadah. Hasilnya, kesihatan mental dan fizikal saya pun lebih baik sekarang.

Sejak kecil, saya mencari-cari tujuan hidup. Akhirnya, saya telah menemuinya. Yang paling penting, saya rasa lebih akrab dengan Tuhan.​—Yakobus 4:8.

“Saya Berjaya Mengawal Kemarahan Saya.”​—MARTINO PEDRETTI

UMUR: 43

NEGARA ASAL: AUSTRALIA

LATAR BELAKANG: PENGEDAR DADAH

KISAH SILAM SAYA: Sejak kecil, keluarga saya sering berpindah-randah. Saya pernah tinggal di pekan kecil, bandar besar, dan juga di kawasan orang asli di pedalaman Australia. Saya ada banyak kenangan manis bersama sepupu dan pak cik saya. Kami pergi memancing, memburu, dan membuat kraf tangan orang asli seperti bumerang.

Bapa saya seorang ahli tinju. Jadi dia mengajar saya untuk berlawan sejak kecil lagi. Ini membuat saya menjadi orang yang ganas. Semasa remaja, saya banyak menghabiskan masa bersama kawan-kawan di bar. Kami minum alkohol dan suka cari gaduh. Kami akan berlawan dengan 20 atau lebih orang dengan guna pisau dan pemukul besbol.

Untuk mendapatkan wang, saya menjual dadah dan barang curian. Saya juga memungut hutang untuk pengedar dadah. Sering kali, saya membawa senapang dan pistol untuk menakut-nakutkan orang. Matlamat hidup saya adalah untuk menjadi pembunuh upahan. Moto saya ialah, “Membunuh atau dibunuh.”

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA: Semasa kecil, saya pernah dengar tentang Saksi-Saksi Yehuwa. Apabila saya berumur awal 20-an, saya tanya ibu jika dia kenal sesiapa yang merupakan Saksi. Dua hari kemudian, seorang Saksi yang bernama Dixon mengetuk pintu rumah saya. Selepas itu, dia menjemput saya ke perjumpaan mereka. Sejak itu, saya terus menghadiri perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa. Kini sudah lebih daripada 20 tahun saya menghadiri perjumpaan mereka. Mereka selalu menggunakan Bible untuk menjawab soalan-soalan saya.

Saya tersentuh apabila belajar bahawa Yehuwa sangat prihatin terhadap semua orang, bahkan orang yang jahat. (2 Petrus 3:9) Dia ialah Bapa yang pengasih dan selalu menjaga saya. Saya rasa lega apabila mengetahui bahawa Dia sudi memaafkan saya jika saya bertaubat dan mengubah cara hidup saya. Ayat di Efesus 4:22-24 menggalakkan saya untuk “menanggalkan keperibadian lama” dan “mengenakan keperibadian baharu yang diciptakan menurut kehendak Tuhan.”

Walaupun begitu, saya masih memerlukan masa untuk mengubah cara hidup saya. Kadangkala, saya berjaya berhenti mengambil dadah selama seminggu. Tetapi pada hujung minggu, saya tergoda untuk mengambil dadah lagi apabila bersama kawan saya. Saya sedar kalau saya mahu berubah, saya perlu menjauhi kawan yang tidak bagus. Jadi saya memutuskan untuk pindah ke daerah lain. Beberapa orang kawan saya kata mereka mahu menemani saya, dan saya pun setuju. Dalam perjalanan, mereka mula menghisap ganja dan menawarkannya kepada saya. Saya menolak dan kata bahawa saya mahu meninggalkan tabiat lama saya. Maka, kami berpisah di sempadan daerah. Syukurlah saya membuat keputusan itu kerana tidak lama kemudian, saya mendengar bahawa kawan-kawan saya telah merompak sebuah bank.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA: Setelah memutuskan hubungan dengan kawan-kawan lama itu, saya dapat membuat perubahan dengan lebih mudah. Akhirnya, saya dibaptis pada 1989. Selepas itu, adik perempuan, ibu, dan bapa saya juga menyembah Yehuwa bersama saya.

Sekarang, saya sudah berkahwin selama 17 tahun dan mempunyai tiga cahaya mata. Saya berjaya mengawal kemarahan saya dan belajar untuk mengasihi orang daripada semua “bangsa, suku, kaum, dan bahasa.” (Wahyu 7:9) Kata-kata Yesus ini terbukti benar dalam hidup saya: “Jika kamu sentiasa mematuhi ajaranku, kamu benar-benar ialah muridku. Kamu akan mengetahui kebenaran, dan kebenaran itu akan membebaskan kamu.”​—Yohanes 8:31, 32.

[Petikan]

Untuk membuat semua perubahan ini, saya berhenti mendengar muzik yang menggalakkan perasaan benci terhadap kaum lain

[Petikan]

Kami akan berlawan dengan 20 atau lebih orang dengan guna pisau dan pemukul besbol