Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Apakah Kaitan Kisah Taman Eden Dengan Anda?

Apakah Kaitan Kisah Taman Eden Dengan Anda?

Apakah Kaitan Kisah Taman Eden Dengan Anda?

SESETENGAH pakar berpendapat bahawa kisah Taman Eden tidak disokong oleh bahagian lain Bible. Sebagai contoh, seorang profesor keagamaan yang bernama Paul Morris menulis, “Buku-buku lain dalam Bible tidak sebut tentang kisah di Taman Eden.” Banyak pakar mungkin bersetuju dengannya, tetapi adakah kesimpulannya itu benar?

Sebenarnya, terdapat banyak buku dalam Bible yang menyebut tentang Taman Eden, Adam, Hawa, dan ular itu. * Maka, apabila pemimpin agama dan pengkritik Bible mengatakan bahawa kisah di Taman Eden tidak pernah berlaku, mereka sedang menyerang seluruh Bible. Mengapa kita berkata demikian?

Apa yang berlaku di Taman Eden sebenarnya berkait rapat dengan seluruh tema Bible. Bukan itu sahaja, jawapan Bible kepada banyak soalan dalam kehidupan dapat dijawab dengan mengkaji peristiwa yang berlaku di Taman Eden. Mari kita lihat beberapa contoh.

Mengapakah kita menjadi tua dan mati? Adam dan Hawa diciptakan untuk hidup selama-lamanya. Mereka hanya akan mati jika mereka memberontak terhadap Tuhan. (Kejadian 2:16, 17; 3:19) Selepas mereka mengingkari Tuhan, mereka tidak lagi sempurna. Akibatnya, mereka mewariskan dosa kepada keturunan mereka. Bible menjelaskan, “Dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang, dan dosa membawa kematian. Akibatnya, kematian tersebar kepada semua orang kerana mereka semua berdosa.”​—Roma 5:12.

Mengapakah Tuhan mengizinkan kejahatan untuk berlaku? Di Taman Eden, Syaitan telah menuduh Tuhan sebagai pendusta yang menahan apa yang baik daripada ciptaan-Nya. (Kejadian 3:3-5) Syaitan sebenarnya mencabar hak Yehuwa untuk memerintah dan mengatakan bahawa manusia dapat menentukan sendiri apa yang baik dan jahat. Sedihnya Adam dan Hawa mendengar cakap Syaitan dan menolak pemerintahan Yehuwa. Maka, Yehuwa mengizinkan masa berlalu agar manusia dapat memerintah diri sendiri. Yehuwa tahu bahawa inilah cara yang terbaik untuk menjawab isu yang timbul. Akibatnya, kejahatan mula berleluasa kerana pengaruh Syaitan dan pemerintahan manusia. Hal ini seperti yang dikatakan dalam Bible: Manusia tidak berkuasa untuk menentukan jalan hidupnya.​—Yeremia 10:23.

Apakah tujuan Tuhan untuk bumi? Yehuwa menyatakan tujuan-Nya bagi manusia dan bumi semasa di Taman Eden. Dia memberitahu Adam dan Hawa untuk beranak cucu dan memenuhi bumi. (Kejadian 1:28) Jelaslah bahawa Tuhan mahu bumi menjadi tempat indah yang dihuni oleh keturunan Adam dan Hawa yang sempurna. Dalam Bible, tujuan Tuhan ini sering diulangi.

Mengapakah Yesus datang ke bumi? Pemberontakan di Taman Eden telah membawa dosa dan kematian kepada Adam, Hawa, dan semua keturunan mereka. Tetapi kita berasa gembira kerana Tuhan telah mengutus Anak-Nya sebagai tebusan. (Matius 20:28) Yesus patuh kepada Tuhan sehingga mati dan mengorbankan nyawanya untuk menebus kita. Itulah sebabnya Bible memanggil Yesus “Adam yang terakhir.” Hasilnya, dosa kita dapat diampunkan dan kita berpeluang untuk memperoleh kehidupan sempurna yang telah dihilangkan oleh Adam dan Hawa. (1 Korintus 15:22, 45; Yohanes 3:16) Korban tebusan Yesus ialah jaminan bahawa tujuan asal Tuhan bagi bumi akan menjadi kenyataan. *

Tujuan Tuhan bagi bumi ialah sesuatu yang nyata dan bukan sekadar khayalan. Taman Eden benar-benar pernah wujud di bumi dan Tuhan mahu kita menikmati kehidupan yang sempurna di Firdaus pada masa depan. Adakah anda akan melihat Firdaus? Jawapannya terletak di tangan anda.​—1 Timotius 2:3, 4.

Semasa Yesus digantungkan pada tiang seksaan, dia telah memberitahu penjenayah di sebelahnya, “Kamu akan bersama-sama aku di Firdaus.” (Lukas 23:43) Meskipun lelaki itu telah melakukan hal-hal yang jahat, Yesus menawarkan harapan agar lelaki itu dapat dibangkitkan dan diberi peluang untuk hidup di Firdaus yang indah seperti Taman Eden. Tidakkah hal ini menunjukkan bahawa Yehuwa dan Yesus mahu anda berada di Firdaus pada masa depan? Jika anda ingin hidup di sana, berusahalah untuk mengenali Tuhan Yehuwa dan kehendak-Nya.

[Nota kaki]

^ per. 8 Untuk maklumat lanjut tentang korban tebusan Kristus, lihat bab 5 dalam buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible? yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.

[Kotak/​Gambar pada muka surat 10]

NUBUAT YANG MENGHUBUNGKAN KANDUNGAN BIBLE

“Aku akan membuat engkau [ular] dan wanita itu bermusuhan, dan Aku akan membuat keturunanmu dan keturunannya bermusuhan. Dia akan meremukkan kepalamu, dan engkau akan mencederakan tumitnya.”​—Kejadian 3:15.

Ini ialah nubuat Bible pertama yang diucapkan oleh Tuhan di Taman Eden. Siapakah yang dilambangkan oleh (1) wanita, (2) keturunan wanita, (3) ular, dan (4) keturunan ular? Apakah yang berlaku akhirnya?

ULAR

Syaitan Si Iblis.​—Wahyu 12:9.

WANITA

Organisasi Yehuwa yang terdiri daripada makhluk-makhluk di syurga. (Galatia 4:26, 27) Yesaya bernubuat tentang “wanita” yang akan melahirkan sebuah bangsa rohani.​—Yesaya 54:1; 66:8.

KETURUNAN ULAR

Orang yang melakukan kehendak Syaitan.​—Yohanes 8:44.

KETURUNAN WANITA

Bahagian utamanya ialah Yesus Kristus, yang merupakan sebahagian daripada organisasi Yehuwa di syurga. Keturunan wanita juga terdiri daripada saudara-saudara Kristus yang terurap dan yang akan memerintah bersamanya di syurga. Kaum terurap ialah sebuah bangsa rohani, iaitu “Israel milik Tuhan.”​—Galatia 3:16, 29; 6:16; Kejadian 22:18.

LUKA DI TUMIT

Mesias mengalami luka yang menyakitkan tetapi kesannya hanya sementara. Hal ini berlaku semasa Syaitan menyebabkan kematian Yesus. Tetapi Yesus telah dibangkitkan.

LUKA DI KEPALA

Syaitan akan mengalami luka yang membawa maut. Yesus akan melenyapkan Syaitan buat selama-lamanya. Sebelum itu, Yesus akan memulihkan semua hal buruk yang diakibatkan Syaitan.​—1 Yohanes 3:8; Wahyu 20:10.

Untuk mengetahui tema utama Bible, lihat brosur Bible​—Apakah Mesejnya? yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.

[Gambar pada muka surat 11]

Adam dan Hawa menderita akibat dosa mereka