Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bapa—Pupuklah Hubungan yang Rapat dengan Anak Lelaki Anda

Bapa—Pupuklah Hubungan yang Rapat dengan Anak Lelaki Anda

Bapa—Pupuklah Hubungan yang Rapat dengan Anak Lelaki Anda

“WAH, ayah sangat pandai!” Pernahkah anak anda kata begitu? Pada saat itu, anda pasti berasa sangat bangga menjadi bapa. Jika anak anda mendengar nasihat anda dan mendapat manfaat daripadanya, sudah tentu anda akan rasa lebih gembira. *​—Amsal 23:15, 24.

Tetapi, apabila anak anda memasuki zaman remaja, adakah dia masih mengagumi anda seperti dulu? Bagaimanakah anda dapat kekalkan hubungan yang akrab seraya anak lelaki anda meningkat dewasa? Sebelum menjawab soalan itu, mari kita lihat sesetengah cabaran yang dihadapi oleh para bapa.

Tiga Cabaran yang Lazim Dihadapi

1. TIADA MASA: Di banyak negara, bapa bertanggungjawab mencari nafkah bagi keluarga. Biasanya, mereka kerja sepanjang hari. Maka mereka tiada masa untuk diluangkan bersama anak. Ada pula yang hanya memberikan segelintir masa mereka kepada anak-anak. Contohnya, menurut satu tinjauan di sebuah bandar di China, secara purata para bapa meluangkan kurang daripada 15 minit setiap hari untuk berbual dengan anak.

FIKIRKAN: Berapa banyakkah masa yang anda luangkan bersama anak anda? Untuk satu atau dua minggu yang berikutnya, catatkanlah jumlah masa yang anda luangkan bersamanya setiap hari. Anda mungkin sedar bahawa anda perlu meningkatkan usaha dalam hal ini.

2. TIADA TELADAN YANG BAIK: Sesetengah lelaki tidak mempunyai hubungan yang rapat dengan bapa mereka sejak kecil. Jean-Marie dari Perancis berkata, “Saya jarang sekali bercakap dengan bapa saya.” Apakah kesannya? Dia menjawab, “Sekarang, saya rasa susah untuk berbual dengan anak-anak lelaki saya.” Bagi orang lain pula, mereka sangat mengenali bapa mereka, namun hubungan mereka tidak akrab. Philippe yang berumur 43 tahun berkata, “Bapa saya jarang menunjukkan kasih kepada saya. Jadi, sekarang saya perlu berusaha keras untuk menunjukkan kasih sayang kepada anak saya.”

FIKIRKAN: Adakah hubungan anda dengan bapa anda mempengaruhi cara anda melayan anak anda? Adakah anda mendapati diri anda mengikut teladan baik atau tabiat buruk bapa anda?

3. TIADA NASIHAT YANG SEIMBANG: Dalam sesetengah budaya, peranan bapa dalam mendidik dan membesarkan anak tidak dipentingkan. Luca dari Eropah kata, “Semasa saya membesar, ramai menganggap tugas menjaga anak sebagai tanggungjawab isteri.” Dalam budaya lain pula, bapa dianggap sebagai “guru disiplin” saja. Contohnya, George yang membesar di Afrika berkata, “Di sini, para bapa tidak bermain bersama anak-anak kerana mereka risau anak tidak akan menghormati mereka. Jadi saya pun rasa susah untuk bermain bersama anak lelaki saya.”

FIKIRKAN: Di kawasan anda, apakah tanggapan orang terhadap peranan seorang bapa? Adakah mereka percaya bahawa hanya ibu bertanggungjawab mendidik dan membesarkan anak? Adakah bapa digalakkan untuk menunjukkan kasih sayang kepada anak lelaki?

Jika anda menghadapi cabaran-cabaran sebegini, bagaimanakah anda dapat menanganinya? Lihatlah cadangan-cadangan berikut.

Mula dari Kecil

Bak kata pepatah, “Bapa borek, anak rintik.” Sememangnya, anak lelaki sering meniru perangai bapa mereka. Jadi gunakanlah peluang itu sebaik-baiknya semasa anak anda masih kecil. Bagaimanakah anda dapat berbuat demikian, dan bilakah anda dapat meluangkan masa bersamanya?

Gunakanlah setiap kesempatan yang ada dan libatkan anak anda dalam aktiviti seharian. Contohnya semasa membersihkan rumah, anda boleh mengajaknya untuk membantu anda. Berilah dia penyapu atau penyodok yang kecil. Dia pasti gembira kerana dapat bekerja seiring dengan hero dia. Memang, anda mungkin perlukan lebih banyak masa untuk siapkan kerja itu. Tetapi, masa itu dapat mengeratkan lagi hubungan anda berdua. Anda juga sedang menanam sifat-sifat yang baik dalam anak anda. Sejak dulu lagi, Bible menasihati bapa untuk melibatkan anak mereka dalam kegiatan seharian agar dapat berbual dan mengajar mereka. (Ulangan 6:6-9) Nasihat itu sangat berguna bahkan sampai hari ini.

Selain bekerja bersama, ambillah masa untuk bermain bersamanya. Kajian menunjukkan bahawa masa bermain dapat mengajar anak menjadi lebih berani dan terbuka untuk mencuba hal baharu.

Seorang penyelidik yang bernama Michel Fize kata, “Waktu bermain membuka peluang bagi seorang anak lelaki untuk berkomunikasi dengan bapanya.” Hal ini juga benar bagi para bapa. Dia dapat meluahkan kasih sayang kepada anak melalui kata-kata dan perbuatan. Dengan demikian, dia sedang mengajar anaknya untuk menunjukkan kasih sayang. Seorang bapa dari Jerman yang bernama André berkata, “Apabila anak saya masih kecil, kami selalu bermain bersama. Saya akan peluk dia dan dia juga belajar untuk membalas kasih saya.”

Selain itu, ambillah kesempatan untuk mengeratkan ikatan dengan anak sebelum masa tidur. Anda boleh membaca buku kepadanya dan mendengar ceritanya tentang apa yang berlaku sepanjang hari. Bak kata pepatah, “Melentur buluh biarlah dari rebungnya.” Jika anda berusaha untuk berkomunikasi dengan anak sejak kecil, semasa dewasa pun dia lebih senang meluahkan isi hatinya kepada anda.

Pupuk Minat yang Sama

Kadangkala, apabila anda cuba berkomunikasi dengan anak remaja anda, dia mungkin tidak melayan anda atau bersikap acuh tak acuh. Tapi, janganlah putus asa. Jika anda sudi mengubah cara anda berkomunikasi, anda mungkin akan meraih hasil yang lebih baik.

Jacques dari Perancis rasa susah untuk berkomunikasi dengan anaknya Jérôme. Daripada memaksa anaknya untuk bercakap, dia mengajaknya untuk bermain bola. Jacques kata, “Selepas bermain, kami akan berehat di padang. Pada masa itulah anak saya lebih relaks dan sudi membuka hatinya kepada saya. Saya rasa masa yang kami luangkan bersama telah banyak membantu mengeratkan hubungan kami berdua.”

Bagaimana jika anak anda tidak suka bersukan? Gunalah cara lain. André ingat bagaimana dia telah meluangkan masa berjam-jam bersama anaknya untuk mengamati bintang-bintang pada waktu malam. “Walaupun sejuk, kami akan bawa kerusi ke luar. Kami bancuh teh dan bawa selimut tebal sambil melihat langit malam. Kami berbual tentang Tuhan yang menciptakan bintang, dan hal-hal peribadi. Sebenarnya, kami berbual tentang apa-apa saja.”​—Yesaya 40:25, 26.

Tetapi, bagaimana jika anda tidak suka melakukan hal-hal yang diminati anak anda? Kalau begitu, anda mungkin perlu buat pengorbanan deminya. (Filipi 2:4) Ian yang tinggal di Afrika Selatan kata, “Saya suka bersukan, tapi anak saya Vaughan tidak berminat pula. Dia lebih suka main komputer dan kapal terbang. Maka saya cuba menyukai hal-hal itu. Saya akan bawa dia untuk tengok pertunjukan kapal terbang dan bermain game kapal terbang dalam komputer. Oleh sebab kami dapat melakukan aktiviti ini bersama, Vaughan lebih sudi berbual dengan saya.”

Bantu Anak Bina Keyakinan Diri

“Ayah, tengok!” Pernahkah anak anda cakap begitu selepas berjaya melakukan sesuatu yang baharu? Apabila dia meningkat remaja, hal itu mungkin jarang berlaku. Adakah ini bermaksud dia tidak lagi memerlukan pujian dan perkenan anda? Tidak. Ini sangat penting agar dia dapat menjadi orang dewasa yang baik dan bertanggungjawab.

Sebenarnya, Tuhan Yehuwa menetapkan teladan yang baik dalam hal ini. Semasa Anak-Nya Yesus memulakan tugas yang istimewa di bumi, Tuhan meluahkan perkenan-Nya di hadapan umum dengan berkata, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Aku berkenan kepadanya.” (Matius 3:17; 5:48) Biarpun anda perlu mendisiplin dan mengajar anak anda, jangan lupa untuk memujinya juga.​—Efesus 6:4.

Namun, hal ini mungkin mencabar kerana sesetengah orang membesar dalam keluarga yang sangat suka mengkritik. Mereka mungkin jarang dipuji. Jika ini pengalaman anda, anda harus berusaha keras untuk membina keyakinan diri dalam anak anda. Bagaimanakah anda dapat berbuat demikian? Luca sering melakukan kerja bersama anaknya Manuel yang berumur 15 tahun. Luca berkata, “Kadangkala, apabila ada tugas tertentu di rumah, saya akan suruh Manuel mulakan dulu. Kalau dia perlu bantuan, baru saya akan bantu dia. Kebanyakan masa, dia dapat siapkan tugas itu sendiri. Itu membina keyakinannya dan memberinya kepuasan. Jika dia buat dengan baik, saya akan puji dia. Jika dia tidak buat sebaik yang diharapkan, saya masih memuji usahanya.”

Anda juga dapat membina keyakinan diri anak anda dengan membantunya mencapai matlamat yang lebih besar. Sekiranya anak anda tidak mencapainya secepat yang anda harapkan atau matlamatnya beza daripada apa yang anda inginkan, anda mungkin perlu mengubah pandangan anda. Jacques berkata, “Saya cuba membantu anak saya menetapkan matlamat yang munasabah. Tapi pada masa yang sama, saya perlu pastikan itu ialah matlamat dia, dan bukan matlamat saya. Saya juga ingatkan diri bahawa dia perlu mencapai matlamat itu mengikut kemampuannya.” Jika anda mendengar pendapat anak anda, memuji usahanya, dan menyokongnya semasa dia gagal, anda dapat membantunya mencapai matlamatnya.

Hubungan antara bapa dan anak pasti ada suka dukanya. Tetapi, jika anda berusaha sedaya upaya untuk membantunya, anak anda akan lebih terdorong untuk mengekalkan hubungan yang rapat dengan anda.

[Nota kaki]

^ per. 2 Walaupun rencana ini bertumpu kepada hubungan antara bapa dengan anak lelaki, nasihatnya juga sesuai untuk hubungan antara bapa dengan anak perempuannya.