Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bible Mengubah Hidup

Bible Mengubah Hidup

Bible Mengubah Hidup

APAKAH yang membantu seorang penjudi dan perompak untuk mengubah gaya hidupnya? Bacalah kisah hidupnya.

“Saya minat kuda lumba.”​—RICHARD STEWART

TAHUN LAHIR: 1965

NEGARA ASAL: JAMAICA

LATAR BELAKANG: PENJUDI DAN PENJENAYAH

KISAH SILAM SAYA: Saya membesar di sebuah kawasan yang miskin di Kingston, ibu kota Jamaica. Kadar pengangguran dan jenayah sangat tinggi dan orang hidup dalam ketakutan kerana ada banyak kongsi gelap di tempat ini. Hampir setiap hari saya dengar bunyi tembakan.

Ibu selalu bekerja keras supaya saya dan adik-beradik saya mendapat pendidikan yang baik. Tetapi, saya tidak minat belajar. Sebaliknya saya minat kuda lumba. Saya selalu ponteng sekolah untuk pergi ke trek lumba kuda, dan saya juga menunggang kuda di situ.

Pada kemudian hari, saya mula berjudi dalam perlumbaan kuda. Saya juga suka berfoya-foya, mengambil ganja, dan merompak untuk menyara hidup saya. Saya mempunyai banyak senjata api, tetapi syukurlah tiada orang yang terbunuh dalam rompakan yang saya lakukan.

Akhirnya, saya ditangkap dan dipenjarakan. Selepas saya keluar dari penjara, saya menjadi lebih teruk lagi. Biarpun saya nampak baik, sebenarnya saya degil, panas baran, dan kejam. Saya hanya pentingkan diri sendiri.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA: Pada masa itu, ibu telah menjadi seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Saya boleh nampak sikapnya banyak berubah dan hal itu buat saya hairan. Saya ingin tahu apa yang membantu ibu saya, jadi saya mula belajar Bible dengan Saksi.

Saya mendapati ajaran Saksi-Saksi Yehuwa berbeza daripada agama lain. Ajaran mereka berdasarkan Bible, dan mereka juga menginjil dari rumah ke rumah seperti orang Kristian masa awal. (Matius 28:19; Kisah 20:20) Apabila saya lihat kasih sejati yang ditunjukkan oleh mereka, saya yakin saya sudah menemui agama yang benar.​—Yohanes 13:35.

Apabila saya belajar bahawa Tuhan membenci perbuatan cabul dan hal-hal yang mengotorkan tubuh, saya sedar bahawa saya perlu buat perubahan yang besar. (2 Korintus 7:1; Ibrani 13:4) Saya tersentuh semasa mengetahui bahawa Yehuwa mempunyai perasaan dan perbuatan saya dapat menggembirakan atau menyedihkan hati-Nya. (Amsal 27:11) Maka saya bertekad untuk berhenti mengambil ganja, tidak lagi menyimpan senjata api, dan mengubah sikap saya. Tetapi, perubahan yang paling susah bagi saya adalah untuk menjauhi perbuatan yang tidak bermoral dan berhenti berjudi.

Mula-mula, saya tidak mahu kawan saya tahu saya sedang belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Tetapi, kata-kata Yesus di Matius 10:33 telah menyentuh hati saya. Yesus kata, “Sesiapa yang menyangkal aku di hadapan umum, aku pun akan menyangkal dia di hadapan Bapaku yang di syurga.” Jadi, saya memberitahu kawan-kawan saya bahawa saya sedang belajar dengan Saksi. Mereka sangat terkejut dan susah percaya bahawa saya mahu menjadi orang Kristian. Tapi, saya beritahu mereka bahawa saya mahu meninggalkan gaya hidup yang lama.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA: Ibu gembira sekali apabila melihat saya menerapkan ajaran Bible. Sekarang dia tidak perlu risau sama ada saya sedang melakukan hal-hal yang jahat. Hubungan kami menjadi lebih erat kerana kami mengasihi Yehuwa. Bila saya fikir kembali apa yang telah saya lalui, saya sendiri tidak percaya saya dapat buat semua perubahan itu. Hanya dengan bantuan Tuhan, saya dapat meninggalkan gaya hidup yang tidak bermoral dan membuang sikap cinta akan wang.

Jika saya tidak berubah, mungkin sekarang saya meringkuk dalam penjara atau sudah mati. Kini, hidup saya sangat bahagia. Saya gembira dapat berkhidmat kepada Yehuwa bersama isteri saya dan anak perempuan kami. Saya bersyukur kerana mempunyai saudara saudari yang mengasihi saya. Saya sangat tersentuh kerana ada orang berusaha mengajar saya tentang kebenaran Bible. Yang paling saya hargai ialah kebaikan Yehuwa kerana membantu saya mengenali-Nya dan menjadi sahabat-Nya.

[Petikan pada muka surat 11]

“Saya tersentuh semasa mengetahui bahawa Yehuwa mempunyai perasaan dan perbuatan saya dapat menggembirakan atau menyedihkan hati-Nya”

[Gambar pada muka surat 11]

Ibu saya telah banyak berubah

[Gambar pada muka surat 11]

Bersama isteri dan anak perempuan