Abraham—Seorang Lelaki yang Berani
Abraham melihat keluarga dan hamba-hambanya semasa mereka bersedia untuk bertolak ke Kanaan. (Kejadian 12:1-5) Ketika dia melihat kumpulan besar orang ini yang bergantung padanya, Abraham sedar bahawa dia memiliki tanggungjawab terhadap mereka. Bagaimanakah dia akan menyediakan keperluan mereka semasa di negeri asing? Mungkinkah tanggungjawab ini lebih senang dilaksanakan di Ur, sebuah kota makmur yang ada padang rumput yang luas, tanah yang subur, dan sumber air yang berlimpah-limpah? Bagaimanakah jika dia jatuh sakit atau mati semasa di negeri baharu? Siapakah yang akan menjaga keluarganya? Jika Abraham ada kerisauan sebegitu, dia tidak membiarkan rasa takut melemahkannya. Dia bertekad untuk bertindak mentaati perintah Tuhan tidak kira apa yang berlaku. Sememangnya, inilah keberanian yang sejati.
APAKAH ITU KEBERANIAN? Orang yang berani ialah orang yang kuat, teguh, dan gagah. Sifat ini sangat berbeza dengan orang yang pengecut atau penakut. Seseorang yang berani tidak bermaksud bahawa dia langsung tidak pernah berasa takut. Sebaliknya, orang yang memiliki keberanian daripada Tuhan akan bertindak biarpun berasa takut.
BAGAIMANAKAH ABRAHAM MENUNJUKKAN KEBERANIAN? Abraham tidak takut untuk kelihatan berbeza daripada orang lain. Abraham membesar di kawasan yang penduduknya menyembah banyak dewa dan berhala. Namun, dia tidak membiarkan rasa takut akan pandangan orang lain menghalangnya daripada melakukan apa yang benar. Sebaliknya, Abraham berani menempuh haluan hidup yang berbeza dan memilih untuk menyembah Yehuwa, satu-satunya Tuhan yang benar dan “Tuhan Yang Maha Tinggi.”—Kejadian 14:21, 22.
Abraham mengutamakan ibadat kepada Tuhan yang benar berbanding kebendaan. Dia rela melepaskan kehidupannya yang selesa di Ur dan pergi ke padang belantara. Dia percaya sepenuhnya bahawa Yehuwa akan menjaga keperluannya. Sudah tentu, seraya tahun demi tahun berlalu, Abraham mungkin teringat tentang sesetengah keselesaan yang dinikmatinya di Ur. Namun, Abraham yakin bahawa Yehuwa akan sentiasa menjaga keperluannya dan keluarganya. Oleh sebab Abraham berpaut pada Yehuwa sebagai Peribadi yang terpenting dalam hidupnya, Abraham mendapat keberanian untuk mentaati perintah Tuhan.
APAKAH PENGAJARANNYA BAGI KITA? Kita dapat meniru Abraham dengan memupuk keberanian untuk mentaati Yehuwa, bahkan jika orang di sekeliling kita tidak berbuat demikian. Sebagai contoh, Bible mengajarkan bahawa orang yang berpegang pada kepercayaan mereka terhadap Tuhan Yehuwa akan ditentang, mungkin oleh kawan-kawan atau saudara-mara yang berniat baik. (Yohanes 15:20) Namun, apabila kita yakin akan apa yang kita pelajari tentang Yehuwa, kita akan mempertahankan kepercayaan kita dengan hormat.—1 Petrus 3:15.
Kita juga boleh percaya terhadap janji Tuhan bahawa Dia akan menjaga keperluan orang yang beriman kepada-Nya. Kepercayaan sedemikian memberi kita keberanian untuk mengutamakan hal-hal rohani dan bukannya kebendaan. (Matius 6:33) Perhatikan bagaimana sebuah keluarga telah berbuat demikian.
Walaupun Doug dan Becky mempunyai dua anak lelaki yang masih kecil, mereka ingin berpindah ke negara yang memerlukan lebih banyak penyebar berita baik. Selepas membuat kajian yang teliti dan berdoa dengan bersungguh-sungguh, mereka memutuskan untuk meneruskan rancangan mereka. “Kami memerlukan keberanian untuk berpindah dengan anak-anak kami. Kami tidak tahu apa yang akan terjadi kepada kami nanti,” kata Doug. “Tetapi semasa kami mula berfikir untuk berpindah, kami membincangkan teladan Abraham dan Sara. Dengan memikirkan bagaimana mereka percaya kepada Yehuwa dan bagaimana Dia tidak pernah mengecewakan mereka, itu sangat membantu kami.”
Mengenai kehidupan mereka di negara asing, Doug berkata, “Kami telah diberkati dengan berlimpah-limpah.” Dia menjelaskan, “Oleh sebab hidup kami lebih sederhana sekarang, kami dapat meluangkan lebih banyak masa sebagai sebuah keluarga, seperti menginjil, berbual dengan satu sama lain, dan bermain dengan anak-anak kami. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan kegembiraan yang kami nikmati ini.”
Sudah tentu, bukan semua orang dapat buat perubahan besar sebegitu. Namun, kita semua dapat meniru teladan Abraham dengan mengutamakan ibadat kepada Tuhan dan percaya bahawa Dia akan menyokong kita. Apabila kita buat begitu, kita sedang mengikut nasihat Bible untuk menjadi ‘berani dan berkata, “Yehuwa ialah penolongku; aku tidak akan berasa takut.”’—Ibrani 13:5, 6.
[Petikan pada muka surat 7]
Orang yang memiliki keberanian daripada Tuhan akan bertindak biarpun berasa takut