Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

“Kamu Harus Saling Mengasihi”

“Kamu Harus Saling Mengasihi”

“Kamu Harus Saling Mengasihi”

“Aku memberi kamu satu perintah baharu: Kamu harus saling mengasihi. Sebagaimana aku sudah mengasihi kamu, kamu juga harus saling mengasihi. Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamulah murid-muridku.”​—YOHANES 13:34, 35.

Maksud: Yesus memberitahu murid-muridnya bahawa mereka harus mengasihi satu sama lain sepertimana Yesus mengasihi mereka. Walaupun orang pada zamannya sering menindas wanita dan orang daripada bangsa lain, Yesus tidak bersikap begitu. Dia mengasihi semua orang, tidak kira apa jua latar belakang mereka. (Yohanes 4:7-10) Yesus rela mengorbankan masa, tenaga, dan keselesaan sendiri untuk membantu orang lain. (Markus 6:30-34) Yesus juga kata, “Aku ialah gembala yang baik. Gembala yang baik menyerahkan nyawanya demi kawanan biri-birinya.” (Yohanes 10:11) Yesus didorong oleh kasih dan sanggup mengorbankan nyawanya demi semua orang.

Teladan Orang Kristian Awal: Pada abad pertama, orang Kristian memanggil rakan seiman sebagai “saudara” atau “saudari.” (Filemon 1, 2) Orang daripada semua bangsa dialu-alukan ke dalam sidang. Mereka percaya bahawa “tidak ada perbezaan antara orang Yahudi dengan orang Yunani” kerana “mereka semua mempunyai Tuan yang sama.” (Roma 10:11, 12) Selepas Pentakosta 33 Masihi, murid-murid di Yerusalem “menjual harta milik mereka dan membahagi-bahagikan wang yang diperoleh kepada semua orang menurut keperluan masing-masing.” Mengapakah mereka berbuat demikian? Supaya orang Kristian yang baru dibaptis dapat tinggal di Yerusalem dan terus “menumpukan sepenuh perhatian kepada ajaran para rasul.” (Kisah 2:41-45) Sekitar 200 tahun selepas kematian para rasul, Tertullian menulis pandangan orang lain terhadap penganut Kristian, “Lihatlah bagaimana mereka mengasihi satu sama lain . . . dan bagaimana mereka bahkan rela mati demi satu sama lain.

Siapa yang Mengikut Teladan Mereka Hari Ini? Buku The History of the Decline and Fall of the Roman Empire (1837) menyatakan bahawa banyak orang yang mengaku diri Kristian “menindas satu sama lain dengan kejam. Bahkan orang kafir pun tidak melayan mereka seteruk itu.” Menurut suatu kajian di Amerika Syarikat, kebanyakan orang yang mengaku diri Kristian juga berprasangka terhadap kaum lain. Selain itu, ahli gereja daripada susunan Kristian yang sama di sebuah negara biasanya tidak mengenali rakan seiman di negara lain. Maka mereka tidak dapat dan bahkan jarang tergerak untuk membantu rakan seiman mereka.

Pada 2004, selepas Florida dilanda empat taufan dalam tempoh dua bulan, pengerusi Pusat Operasi Kecemasan Florida telah memeriksa bagaimana bekalan bantuan bencana digunakan. Dia kata bahawa tidak ada kumpulan atau organisasi lain yang begitu teratur seperti Saksi-Saksi Yehuwa. Maka, dia rela menawarkan apa jua bantuan yang diperlukan para Saksi. Selain itu, pada tahun 1997, sepasukan Saksi-Saksi Yehuwa telah membawa bekalan makanan, ubat, dan pakaian untuk membantu saudara saudari mereka dan orang lain di Republik Demokratik Congo. Rakan seiman di Eropah pula menyumbangkan bekalan yang berjumlah 1,000,000 dolar Amerika.