Lompat ke kandungan

BIBLE MENGUBAH HIDUP

“Mereka Mahu Saya Lihat Kebenaran Bible dengan Mata Sendiri”

“Mereka Mahu Saya Lihat Kebenaran Bible dengan Mata Sendiri”
  • TAHUN LAHIR: 1982

  • NEGARA ASAL: REPUBLIK DOMINIKA

  • LATAR BELAKANG: DIBESARKAN SEBAGAI MORMON

KISAH SILAM SAYA:

Saya lahir di Santo Domingo, Republik Dominika. Saya ada empat orang adik-beradik dan saya yang bongsu. Ibu bapa saya orang yang berpendidikan dan mahu kami bergaul dengan orang yang baik dan jujur. Empat tahun sebelum saya lahir, ibu bapa saya berjumpa dengan mubaligh Mormon. Ibu bapa saya tertarik melihat pemuda Mormon yang kemas dan sopan. Maka kami pun mula menyertai Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, atau Gereja Mormon. Di pulau ini, keluarga kami adalah antara orang pertama yang mengikut Gereja Mormon.

Semasa membesar, saya suka aktiviti sosial di gereja. Saya juga suka ajaran Mormon yang bertumpu pada nilai moral dan kehidupan keluarga. Saya rasa sangat bangga untuk menjadi penganut Mormon dan bercita-cita untuk menjadi seorang mubaligh.

Semasa saya berumur 18 tahun, keluarga saya berpindah ke Amerika Syarikat agar saya dapat melanjutkan pendidikan di kolej. Setahun kemudian, mak cik dan pak cik saya yang merupakan Saksi-Saksi Yehuwa telah melawat keluarga kami di Florida. Mereka menjemput kami untuk menghadiri konvensyen bersama mereka. Saya sangat kagum apabila melihat banyak orang membuka ayat Bible dan menulis nota. Maka saya pun meminta pen dan kertas untuk menulis nota.

Selepas konvensyen, mak cik dan pak cik saya ingin bantu saya belajar Bible kerana mereka tahu saya berminat menjadi mubaligh. Saya setuju sebab selama ini saya banyak belajar daripada Kitab Mormon dan hanya tahu sedikit tentang Bible.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA:

Semasa berbincang tentang Bible melalui telefon, mak cik dan pak cik saya selalu menggalakkan saya untuk membandingkan kepercayaan saya dengan ajaran Bible. Mereka mahu saya lihat kebenaran Bible dengan mata sendiri.

Ada banyak ajaran Mormon yang saya terima tetapi saya tidak pasti jika ajaran itu selaras dengan Bible. Mak cik saya mengirim majalah Sedarlah! edisi 8 November 1995, yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa. Majalah itu ada menyebut banyak ajaran Mormon yang tidak pernah saya dengar. Maka saya melayari laman web rasmi Mormon dan bahkan melawat muzium-muzium Mormon di Utah untuk memastikan apa yang saya baca itu benar atau tidak. Saya terkejut kerana semuanya memang benar!

Dulu saya fikir Kitab Mormon dan Bible saling melengkapi. Tetapi selepas saya mula mengkaji Bible, saya sedar terdapat percanggahan antara ajaran Mormon dengan apa yang dinyatakan dalam Bible. Contohnya, Yehezkiel 18:4 kata jiwa boleh mati. Tetapi Kitab Mormon di Alma 42:9 kata, “Jiwa tidak boleh mati.”

Selain itu, saya tidak setuju dengan ajaran Mormon yang bersifat kebangsaan. Contohnya, penganut Mormon diajar bahawa Taman Eden yang asal terletak di Jackson County, Missouri, Amerika Syarikat. Nabi gereja juga kata, “Apabila Kerajaan Tuhan mula memerintah, bendera Amerika Syarikat akan berkibar dan semua orang akan menikmati kebebasan dan hak yang sama rata.”

Saya tertanya-tanya apa yang akan berlaku kepada negara lain, termasuk negara asal saya. Pada suatu petang, seorang pemuda Mormon yang sedang menerima latihan untuk menjadi mubaligh menelefon saya. Maka saya tanya dia sama ada dia sanggup berperang melawan Mormon di negara lain jika perang tercetus. Dia kata, “Ya!” Saya terkejut dengan jawapan itu. Jadi saya mula mengkaji ajaran Mormon dengan lebih mendalam dan bahkan mendapatkan bantuan pemimpin gereja kami. Tetapi saya diberitahu bahawa persoalan saya merupakan suatu misteri yang hanya akan terjawab apabila cahaya rohani menjadi semakin terang.

Saya sangat kecewa dengan penjelasan itu. Saya mula memeriksa diri untuk mengetahui mengapa saya mahu menjadi mubaligh Mormon. Saya sedar bahawa sebab utama adalah kerana saya mahu membantu orang lain. Saya juga tertarik dengan status seorang mubaligh yang biasanya dipandang tinggi orang. Saya langsung tidak berfikir tentang Tuhan dan tidak tahu tentang tujuan-Nya bagi manusia. Walaupun saya telah membaca Bible beberapa kali, saya tidak mengenali Tuhan dan tidak menghargai ajaran-Nya.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA:

Melalui pembelajaran Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa, saya telah belajar banyak hal. Contohnya, saya belajar siapa nama Tuhan, apa yang berlaku kepada orang mati, dan peranan Yesus dalam pelaksanaan kehendak Tuhan. Saya gembira kerana akhirnya saya lebih memahami ajaran Bible dan dapat mengongsikannya dengan orang lain. Dari dulu, saya memang tahu Tuhan wujud. Tetapi sekarang semasa berdoa, saya rasa seperti sedang bercakap dengan sahabat rapat saya. Pada 12 Julai 2004, saya dibaptis sebagai salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Enam bulan kemudian, saya mula menginjil sepenuh masa.

Saya bekerja di ibu pejabat sedunia Saksi-Saksi Yehuwa di Brooklyn, New York selama lima tahun. Saya sangat gembira dapat membantu menghasilkan Bible dan bahan bacaan Bible untuk jutaan orang di seluruh dunia. Saya juga bersukacita kerana dapat membantu orang lain belajar tentang Tuhan.