Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bible Mengubah Hidup

“Saya Mula Berfikir tentang Hala Tuju Kehidupan Saya”

“Saya Mula Berfikir tentang Hala Tuju Kehidupan Saya”
  • TAHUN LAHIR: 1941

  • NEGARA ASAL: AUSTRALIA

  • LATAR BELAKANG: MEROKOK DAN KAKI BOTOL

KISAH SILAM SAYA:

Saya dibesarkan di Warialda, sebuah pekan kecil di kawasan pedalaman New South Wales. Penduduk Warialda menternak biri-biri dan lembu, dan ada juga yang bercucuk tanam. Pekan ini tidak banyak jenayah dan sangat bersih.

Saya mempunyai sembilan adik dan saya ialah anak sulung. Semasa berumur 13 tahun, saya mula bekerja untuk membantu menyara keluarga. Oleh sebab saya tidak mendapat banyak pendidikan, saya bekerja di ladang. Semasa berumur 15 tahun, saya menjadi penternak, dan kerja saya adalah untuk menjinakkan kuda liar.

Kerja di ladang ada baik buruknya. Saya menikmati suasana yang tenang di sini. Pada waktu malam, saya akan duduk dekat unggun api sambil melihat bulan dan memandang langit malam yang bertaburan dengan bintang. Angin sepoi yang bertiup membawa haruman tumbuhan di sekeliling saya. Saya pernah fikir bahawa seseorang pasti telah menciptakan semua ini. Pada masa yang sama, kerja di ladang mendedahkan saya kepada pengaruh yang buruk. Orang di sini suka merokok dan guna kata-kata kesat. Tidak lama kemudian, saya pun terikut-ikut dengan perangai mereka.

Semasa saya berumur 18 tahun, saya berpindah ke Sydney. Hasrat saya adalah untuk menjadi askar, tetapi permohonan saya ditolak kerana saya kurang pendidikan. Akhirnya saya dapat kerja lain dan tinggal di Sydney selama setahun. Pada masa itu, saya berjumpa dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Saya menghadiri salah satu perjumpaan mereka dan saya sedar mereka mengajarkan kebenaran Bible.

Tapi tidak lama kemudian, saya berpindah ke kawasan pedalaman semula. Kali ini, saya pergi ke Goondiwindi, Queensland. Saya mendapat kerja di sana dan berkahwin. Sedihnya, saya juga mula menjadi kaki botol.

Selepas anak-anak saya lahir, saya mula berfikir tentang hala tuju kehidupan saya. Saya teringat apa yang telah saya dengar semasa perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa di Sydney. Jadi saya bertekad untuk mencari mereka lagi.

Saya menjumpai majalah Menara Pengawal yang lama yang mengandungi alamat pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa di Australia. Saya pun menulis surat kepada mereka. Tidak lama kemudian, seorang Saksi telah melawat saya. Dia sangat baik dan pengasih. Saya pun mula belajar Bible dengannya.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA:

Selepas mula belajar Bible, saya sedar saya perlu mengubah hidup saya. Salah satu ayat Bible yang sangat menyentuh hati saya ialah 2 Korintus 7:1. Ayat itu menggalakkan kita untuk ‘menyucikan diri daripada semua perkara yang menajiskan raga.’

Maka, saya buat keputusan untuk berhenti merokok dan tidak lagi menyalahgunakan alkohol. Semua ini tidak senang kerana saya sudah lama terjebak dalam tabiat buruk itu. Tapi saya betul-betul mahu menyenangkan hati Tuhan. Apa yang paling membantu saya ialah nasihat di Roma 12:2 yang kata, “Jangan lagi dibentuk mengikut sistem dunia ini, tetapi ubahlah fikiran kamu.” Saya sedar saya perlu menyelaraskan fikiran saya dengan fikiran Tuhan agar dapat mengatasi tabiat yang buruk. Dengan bantuan Tuhan, saya telah berjaya berhenti merokok dan minum berlebihan.

“Saya sedar saya perlu menyelaraskan fikiran saya dengan fikiran Tuhan agar dapat mengatasi tabiat yang buruk”

Namun, cabaran yang terbesar bagi saya adalah untuk berhenti menggunakan kata-kata kesat. Saya tahu Efesus 4:29 kata, “Janganlah biarkan kata-kata yang busuk keluar daripada mulut kamu.” Tetapi saya tidak dapat mengubah cara saya bercakap dengan serta-merta. Saya banyak merenungkan ayat di Yesaya 40:26. Ayat itu kata, “Pandanglah ke langit dan perhatikanlah. Siapakah yang menciptakan bintang-bintang? Tuhan memimpin bintang seperti pasukan tentera; Dia menghitung bintang satu demi satu dan memanggil nama setiap bintang. Oleh sebab Dia sangat berkuasa dan amat bertenaga, tiada satu bintang pun yang hilang.” Ayat itu buat saya fikir, jika Tuhan berkuasa untuk menciptakan alam semesta yang luas dan menakjubkan, sudah pasti Dia dapat beri saya kekuatan untuk berubah. Dengan mencurahkan banyak usaha dan terus berdoa, akhirnya saya dapat mengawal pertuturan saya.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA:

Sebagai penternak, saya jarang berbual dengan orang lain. Tetapi latihan yang saya terima di perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa telah membantu saya belajar untuk bercakap dengan yakin. Di sana, saya juga mengasah kemahiran untuk mengongsi berita baik tentang Kerajaan Tuhan.​—Matius 6:9, 10; 24:14.

Selama beberapa tahun ini, saya berkhidmat sebagai penatua sidang. Saya sangat gembira kerana dapat membantu rakan seiman saya.

Biarpun saya berpendidikan rendah, saya bersyukur kerana Yehuwa sudi mendidik saya. (Yesaya 54:13) Saya sangat setuju dengan kata-kata di Amsal 10:22 yang berbunyi, “Berkat Yehuwalah yang menjadikan seseorang kaya.”