BIBLE MENGUBAH HIDUP
Saya Selalu Membawa Pistol Bersama
-
TAHUN LAHIR: 1958
-
NEGARA ASAL: ITALI
-
LATAR BELAKANG: AHLI KONGSI GELAP
MASA LALU SAYA:
Saya dilahirkan dan dibesarkan di Rom, di kawasan di mana kebanyakan orang bekerja tetapi masih miskin. Kehidupan saya memang sukar. Saya tidak tahu siapa ibu kandung saya, dan hubungan saya dengan bapa tidak baik. Saya membesar di persekitaran yang kurang elok.
Apabila berumur 10 tahun, saya mula mencuri. Kali pertama saya melarikan diri dari rumah adalah pada umur 12 tahun. Banyak kali bapa saya datang ke balai polis untuk membawa saya pulang. Saya suka bertengkar dan bersifat ganas serta marah terhadap semua orang. Pada umur 14 tahun, saya meninggalkan rumah dan tidak pulang. Saya mula menagih dadah dan hidup di jalanan. Pada waktu malam, saya memecah masuk ke dalam kereta orang untuk tidur. Apabila subuh, saya akan mencari air untuk membersihkan diri.
Saya semakin mahir mencuri. Saya meragut beg orang, bahkan merompak rumah orang pada waktu malam. Saya mula mendapat reputasi yang buruk. Oleh itu saya dijemput untuk menyertai kumpulan kongsi gelap. Mereka memberikan saya “peluang” untuk merompak bank. Mereka mula menghormati saya kerana perwatakan saya yang ganas. Ke mana sahaja saya pergi, saya selalu membawa pistol bersama. Semasa tidur, saya menyimpan pistol di bawah bantal. Kehidupan saya penuh dengan keganasan, dadah, percakapan kotor, dan perbuatan yang tidak bermoral. Polis selalu mengejar saya. Malahan saya ditangkap beberapa kali dan dipenjarakan.
BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA:
Pada suatu masa selepas keluar dari penjara, saya melawat mak cik saya. Saya tidak tahu bahawa dia dan dua orang anaknya telah menjadi Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka menjemput
saya untuk menghadiri perjumpaan Kristian bersama-sama. Oleh sebab saya ingin tahu apa yang terjadi di sana, saya pun ikut serta. Setibanya di Dewan Perjumpaan, saya duduk berdekatan pintu untuk mengawasi siapa yang keluar masuk. Sudah tentu saya membawa pistol bersama.Perjumpaan itu mengubah hidup saya. Saya berasa seperti di planet lain! Saya disambut dengan ramah dan senyuman mesra. Saya masih ingat dengan jelas wajah Saksi-Saksi yang ikhlas dan baik hati. Hal ini jauh berbeza daripada kehidupan saya bersama ahli kongsi gelap!
Saya mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Saya tahu bahawa saya perlu mengubah kehidupan saya. Saya mengikut nasihat di Amsal 13:20 (ABB), “Orang yang bergaul dengan orang bijak akan menjadi bijak; orang yang bersahabat dengan orang bodoh akan celaka.” Saya sedar bahawa saya perlu menjauhkan diri daripada kumpulan kongsi gelap. Memang tidak mudah, tetapi dengan bantuan Yehuwa, saya berjaya.
Buat pertama kalinya, saya dapat mengawal diri
Saya berusaha sedaya upaya untuk berhenti merokok dan menagih dadah. Saya memotong rambut yang panjang, tidak lagi memakai subang, dan berhenti menggunakan kata-kata kotor. Buat pertama kalinya, saya dapat mengawal diri.
Saya tidak suka membaca dan belajar. Jadi, mempelajari Bible amatlah mencabar. Namun, saya mencurahkan usaha dan beransur-ansur mula mengasihi Yehuwa. Selain itu, ada sesuatu yang berubah dalam diri saya. Hati nurani saya mula terganggu. Saya selalu mempunyai tanggapan negatif tentang diri sendiri dan meragui sama ada Yehuwa akan mengampuni saya atas kejahatan yang saya lakukan. Namun, saya lega apabila membaca bahawa Yehuwa mengampuni Raja Daud selepas dia melakukan dosa serius.—2 Samuel 11:1–12:13.
Menginjil dari rumah ke rumah juga mencabar bagi saya. (Matius 28:19, 20) Saya takut bahawa saya akan berjumpa dengan orang yang pernah saya sakiti! Namun, lama-kelamaan saya dapat mengatasi perasaan takut itu. Saya berpuas hati kerana dapat membantu orang untuk mengenal Yehuwa yang suka mengampuni.
MANFAAT YANG SAYA TERIMA:
Mempelajari tentang Yehuwa telah menyelamatkan saya. Kebanyakan kawan saya dari masa lampau berada di penjara atau sudah mati. Tetapi saya menikmati hidup dan mempunyai masa depan yang cerah. Saya telah belajar untuk bersifat rendah hati, menunjukkan kepatuhan, dan mengawal diri agar tidak bertindak ganas. Hasilnya, saya menikmati hubungan baik dengan orang lain. Saya juga hidup bahagia dengan isteri saya, Carmen. Bersama-sama, kami membantu orang lain untuk belajar Bible.
Sekarang saya bekerja secara jujur. Kadangkala saya pergi ke bank, bukan untuk merompaknya, tetapi untuk membersihkannya!