PERBUALAN DENGAN PENGHUNI RUMAH
Bilakah Kerajaan Tuhan Mula Memerintah? (Bahagian 1)
Berikut merupakan perbualan yang mungkin diadakan oleh seorang Saksi-Saksi Yehuwa dengan penghuni rumah. Bayangkan Saksi itu bernama Sam dan dia sedang mengunjungi seorang lelaki yang bernama Jon.
‘CARILAH PENGERTIAN’
Sam: Jon, saya suka perbincangan kita tentang Bible. * Kali terakhir saya datang, kamu tanya mengapa Saksi-Saksi Yehuwa percaya bahawa Kerajaan Tuhan mula memerintah pada tahun 1914.
Jon: Ya, salah satu bahan bacaan kamu menyatakan bahawa Kerajaan Tuhan mula memerintah pada tahun 1914. Adakah hal ini berdasarkan Bible?
Sam: Ya, memang benar.
Jon: Saya sudah baca seluruh Bible. Tapi saya tidak jumpa ayat tentang tahun 1914. Jadi saya mencari tahun “1914” dalam Bible di Internet. Tapi saya tidak dapat jumpa juga.
Sam: Wah, Jon! Kamu harus dipuji kerana membaca seluruh Bible. Kamu tentu suka Firman Tuhan.
Jon: Ya, Bible memang sangat bagus.
Sam: Saya setuju. Saya juga ingin memuji kamu kerana mencari jawapan daripada Bible. Sebenarnya, Bible juga menggalakkan kita untuk ‘mencari pengertian.’ *
Jon: Terima kasih. Saya telah mencari dan menjumpai sedikit maklumat tentang tahun 1914 dalam buku yang kita gunakan semasa pembelajaran Bible. Buku ini kata tentang mimpi seorang raja. Dalam mimpi itu, sebatang pokok besar ditebang dan kemudian tumbuh semula.
Sam: Ya, betul. Itulah nubuat dalam buku Daniel bab 4. Mimpi itu ialah mimpi Raja Babilon bernama Nebukadnezar.
Jon: Ya, itulah dia. Saya baca nubuat itu banyak kali. Tapi, saya masih tidak faham apa kaitannya dengan Kerajaan Tuhan atau tahun 1914.
Sam: Sebenarnya Jon, nabi Daniel sendiri tidak memahami nubuat itu!
Jon: Yakah?
Sam: Di Daniel 12:8, dia kata, “Aku mendengar kata-katanya, tapi aku tidak memahaminya.”
Jon: Oh, Daniel juga tidak faham.
Sam: Pada masa itu, Tuhan belum lagi memberikan pemahaman sepenuhnya tentang nubuat buku Daniel kepada manusia. Tapi sekarang, kita dapat memahaminya dengan lebih baik.
Jon: Mengapa begitu?
Sam: Cuba lihat di Daniel 12:9. Ayat itu berbunyi, “Kata-kata itu mesti dirahsiakan sehingga akhir zaman.” Jadi, nubuat ini hanya dapat difahami pada “akhir zaman.” Dalam pembelajaran Bible kita nanti, kita akan membincangkan bukti-bukti bahawa kita sekarang hidup pada akhir zaman. *
Jon: Bolehkah kamu terangkan nubuat Daniel kepada saya?
Sam: Okey, saya cuba terangkan.
MIMPI NEBUKADNEZAR
Sam: Saya akan cerita tentang apa yang Raja Nebukadnezar nampak dalam mimpinya. Kemudian kita boleh bincangkan maksudnya.
Jon: Okey.
Sam: Dalam mimpinya, Nebukadnezar melihat pokok yang besar sehingga puncaknya sampai ke langit. Kemudian dia mendengar arahan daripada malaikat Tuhan bahawa pokok itu harus ditebang. Tapi, Tuhan mengarahkan supaya tunggul pokok itu dibiarkan sahaja. Selepas “tujuh tahun,” pokok itu akan tumbuh semula. * Pada mulanya, nubuat ini merujuk kepada Raja Nebukadnezar. Dia merupakan seorang raja yang agung—seperti pokok yang besar itu. Kemudian dia telah “ditebang,” atau berhenti memerintah selama “tujuh tahun.” Adakah kamu tahu apa yang berlaku kepadanya?
Jon: Tidak.
Sam: Bible menunjukkan bahawa Nebukadnezar telah menjadi tidak waras selama tujuh tahun. Pada masa itu, dia tidak dapat memerintah sebagai raja. Tapi, pada akhir tujuh tahun tersebut, dia sembuh dan dapat memerintah sekali lagi. *
Jon: Oh begitu. Tapi apa kaitan kisah ini dengan tahun 1914 dan Kerajaan Tuhan?
Sam: Sebenarnya, nubuat itu merujuk kepada dua kejadian. Yang pertama adalah apabila pemerintahan Raja Nebukadnezar tergendala selama tujuh tahun. Kejadian kedua pula adalah apabila pemerintahan Tuhan tergendala buat suatu jangka masa.
Jon: Bagaimana kamu tahu bahawa nubuat ini juga mengenai Kerajaan Tuhan?
Sam: Jawapannya terkandung di Daniel 4:17. Ayat ini berkata, ‘Hendaklah orang di mana-mana mengetahui bahawa Tuhan Yang Maha Tinggi mempunyai kuasa atas kerajaan manusia, dan Dia berkuasa memberikan kerajaan itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.’ Jon, menurut ayat ini, tujuan nubuat Daniel adalah supaya orang mengetahui apa?
Jon: Supaya orang mengetahui ‘bahawa Tuhan Yang Maha Tinggi mempunyai kuasa atas kerajaan manusia.’
Sam: Ya, tepat. Jadi kita boleh simpulkan bahawa nubuat ini bukan tentang Raja Nebukadnezar sahaja. Nubuat ini juga melibatkan pemerintahan Tuhan atas manusia. Hal ini memang masuk akal jika kita lihat nubuat dalam buku Daniel secara keseluruhan.
Jon: Apa maksud kamu?
ISI UTAMA BUKU DANIEL
Sam: Secara keseluruhan, buku Daniel membincangkan satu isi utama, iaitu penubuhan Kerajaan Tuhan di bawah pemerintahan Yesus. Sebagai contoh, mari kita lihat Daniel 2:44. Bolehkah Jon bacakan?
Jon: Boleh. Ayat ini berbunyi, ‘Pada masa pemerintahan penguasa-penguasa itu, Tuhan penguasa di syurga akan mendirikan sebuah kerajaan yang kekal dan yang tidak dapat dikalahkan. Sebaliknya kerajaan itu akan memusnahkan sama sekali semua kerajaan yang lain, lalu kerajaan itu akan memerintah selama-lamanya.’
Sam: Terima kasih. Adakah Jon setuju bahawa ayat ini merujuk kepada Kerajaan Tuhan?
Jon: Hmm. Mungkin.
Sam: Perhatikan ayat ini menyatakan bahawa kerajaan tersebut “akan memerintah
selama-lamanya.” Bukankah hanya Kerajaan Tuhan yang dapat kekal “selama-lamanya”?Jon: Ya, betul juga.
Sam: Selain itu, terdapat satu lagi nubuat di Daniel 7:13, 14 yang menjelaskan tentang Kerajaan Tuhan dan rajanya. Ayat ini berbunyi, “Dia diberikan kuasa, kehormatan, dan kedaulatan, agar orang daripada semua bangsa, kaum, dan bahasa mengabdikan diri kepadanya. Kuasanya akan kekal, dan pemerintahannya tidak akan berakhir.”
Jon: Jadi, sini juga cakap tentang suatu pemerintahan.
Sam: Betul. Pemerintahan atau kerajaan ini sangat istimewa kerana akan memerintah “orang daripada semua bangsa, kaum, dan bahasa.” Dalam erti kata lain, kerajaan ini akan menguasai seluruh dunia.
Jon: Oh, itu pula maksudnya.
Sam: Nubuat ini juga mengatakan bahawa “kuasanya akan kekal, dan pemerintahannya tidak akan berakhir.” Bukankah kata-katanya hampir serupa dengan nubuat di Daniel 2:44?
Jon: Ya, macam ada persamaan juga.
Sam: Jadi, mari kita cuba ringkaskan apa yang telah kita bincangkan. Nubuat di Daniel bab 4 diberikan supaya orang mengetahui ‘bahawa Tuhan Yang Maha Tinggi mempunyai kuasa atas kerajaan manusia.’ Ini jelas menunjukkan bahawa nubuat di Daniel bukan sahaja melibatkan Raja Nebukadnezar. Secara keseluruhan, buku Daniel mengandungi nubuat-nubuat tentang penubuhan Kerajaan Tuhan di bawah pemerintahan Yesus. Adakah Jon setuju bahawa nubuat Daniel bab 4 juga merujuk kepada Kerajaan Tuhan?
Jon: Ya, saya setuju dengan kamu. Tapi, apakah kaitannya dengan tahun 1914?
“SELAMA TUJUH TAHUN”
Sam: Okey, mari kita balik kepada nubuat Daniel mengenai pokok yang besar. Kita telah bincang bahawa nubuat ini merujuk kepada dua kejadian. Pada mulanya, pokok yang besar itu melambangkan Raja Nebukadnezar. Kemudian, pokok itu ditebang dan ditinggalkan untuk tujuh tahun. Hal ini bermaksud pemerintahan Raja Nebukadnezar tergendala. Peristiwa ini terjadi apabila Raja Nebukadnezar menjadi tidak waras selama tujuh tahun. Selepas itu, Raja Nebukadnezar menjadi waras semula dan kembali memerintah. Namun, nubuat Daniel tentang pokok besar itu juga merujuk kepada pemerintahan Tuhan. Pemerintahan-Nya akan tergendala buat suatu jangka masa. Tapi hal ini bukan kerana Tuhan tidak dapat memerintah.
Jon: Jadi, apa sebabnya?
Sam: Bible menerangkan bahawa pada zaman kuno, raja-raja bangsa Israel duduk di atas ‘takhta yang telah ditetapkan oleh Yehuwa.’ * Maksudnya, mereka mewakili Tuhan untuk memerintah umat-Nya. Maka, boleh dikatakan bahawa Tuhanlah yang sedang memerintah umat-Nya. Tapi, pada kemudian hari, kebanyakan raja Israel tidak taat kepada Tuhan. Rakyat mereka pun ikut sama dan meninggalkan Yehuwa. Oleh itu, Yehuwa membiarkan Israel ditakluki orang Babilon pada tahun 607 SM. Mulai dari situ, tiada lagi raja yang memerintah bagi Yehuwa di Yerusalem. Itulah sebabnya, pemerintahan Tuhan tergendala.
Jon: Oh, begitu.
Sam: Jadi, jangka masa “tujuh tahun” bermula pada tahun 607 SM. Sepanjang jangka masa ini, pemerintahan Tuhan seolah-olah tergendala kerana tiada sesiapa yang memerintah bagi Yehuwa. Tapi, pada akhir jangka masa “tujuh tahun” ini, Tuhan akan memilih raja baru untuk mewakili-Nya. Kali ini, Dia akan memilih seorang yang berada di syurga untuk menjadi raja. Namun, istilah “tujuh tahun” ini sebenarnya mewakili jangka masa yang lebih panjang. Ini adalah kerana dalam nubuat-nubuat Bible, perkataan “tahun” yang digunakan tidak selalunya merujuk kepada tahun secara harfiah, tapi melambangkan suatu jangka masa tertentu. Maka, soalannya ialah: Bilakah jangka masa “tujuh tahun” ini berakhir?
Jon: Adakah jangka masa itu berakhir pada tahun 1914?
Sam: Ya. Tepat sekali! Pada tahun itu, Kerajaan Tuhan mula memerintah.
Jon: Jadi, macam mana kamu tahu masa itu berakhir pada tahun 1914?
Sam: Semasa Yesus di bumi, dia menerangkan bahawa “tujuh tahun” ini belum berakhir lagi. * Jadi, “tujuh tahun” ini memang jangka masa yang sangat panjang. Jangka masa itu bermula ratusan tahun sebelum Yesus datang ke bumi dan masih berterusan selepas Yesus kembali ke syurga. Ingatkah tadi kita baca bahawa nubuat Daniel hanya dapat difahami pada “akhir zaman”? * Perkara itu memang terjadi. Sekitar 1870-an, sekumpulan pelajar Bible telah membuat kajian yang terperinci tentang nubuat-nubuat ini dan menyedari bahawa jangka masa “tujuh tahun” itu akan berakhir pada tahun 1914. Sejak itu, banyak peristiwa di dunia membuktikan bahawa Kerajaan Tuhan memang mula memerintah pada tahun 1914. Itulah masanya akhir zaman, atau hari-hari terakhir bermula. Memang sangat banyak untuk difikirkan, bukan?
Jon: Ya. Saya perlu mengkaji semua ini sekali lagi untuk lebih faham.
Sam: Jangan risau. Dulu saya juga perlu ambil masa untuk perlahan-lahan memahami semua ini. Tapi, saya harap sekurang-kurangnya Jon dapat lihat bahawa kepercayaan Saksi-Saksi Yehuwa tentang Kerajaan Tuhan memang berdasarkan Bible.
Jon: Sudah tentu. Saya sangat kagum kerana semua kepercayaan kamu memang daripada Bible.
Sam: Ya, dan bagus juga kerana Jon sangat minat dalam Bible. Hari ini kita telah bincang banyak maklumat daripada Bible. Kita sudah memahami bahawa nubuat “tujuh tahun” berkait dengan Kerajaan Tuhan, dan jangka masa itu bermula pada tahun 607 SM. Tapi, macam mana kita tahu “tujuh tahun” ini betul-betul berakhir pada tahun 1914? *
Jon: Ya, saya mahu tahu juga.
Sam: Bible dapat membantu kita untuk mengira jangka masa ini dengan tepat. Apa kata lain kali kita bincang lagi tentang hal ini?
Jon: Ya, boleh.
Adakah anda mempunyai soalan mengenai topik Bible? Adakah anda ingin tahu lebih banyak tentang kepercayaan Saksi-Saksi Yehuwa? Jika ya, tanyalah salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Dia akan sudi menjawab pertanyaan anda.
^ per. 5 Melalui pembelajaran Bible percuma, Saksi-Saksi Yehuwa mengadakan perbincangan Bible dengan orang lain secara teratur.
^ per. 21 Lihat bab 9 dalam buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible? yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.
^ per. 61 Semasa menerangkan nubuat tentang hari-hari terakhir, Yesus berkata bahawa ‘bangsa yang tidak mengenal Tuhan akan menginjak-injak Yerusalem [yang mewakili pemerintahan Tuhan] sehingga habis masa yang ditetapkan oleh Tuhan.’ (Lukas 21:24) Jadi, pemerintahan Tuhan masih tergendala pada zaman Yesus.
^ per. 65 Lihat lampiran “1914—Tahun yang Penting dalam Nubuat Bible” dalam buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible?