Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Suami—Binalah Keluarga yang Bahagia

Suami—Binalah Keluarga yang Bahagia

APAKAH tanggungjawab seorang suami terhadap isterinya? Ramai orang berfikir bahawa tanggungjawab utama seorang suami adalah untuk menjaga keluarganya dari segi kewangan. Namun, sesetengah isteri yang memiliki banyak harta benda masih berasa terabai secara emosi. Contohnya, seorang wanita dari Sepanyol yang bernama Rosa berkata, “Di luar, suami saya nampak baik dan dia disukai ramai. Tetapi, di rumah, dia bersikap kasar.” Joy, dari Nigeria, berkata, “Apabila saya tidak bersetuju dengan suami saya, dia akan berkata, ‘Saya suami kamu. Kamu mesti ikut cakap saya.’”

Bagaimanakah seorang lelaki dapat menjadi suami yang pengasih? Apakah yang dapat membantu seorang suami memenuhi keperluan isterinya dan membina rumah tangga yang bahagia?—Rut 1:9.

AJARAN BIBLE TENTANG TANGGUNGJAWAB SUAMI

Suami dan isteri adalah sama penting di mata Tuhan. Namun, Bible mengatakan bahawa mereka mempunyai peranan yang berlainan dalam keluarga. Roma 7:2 menyatakan bahawa wanita yang sudah berkahwin “terikat kepada suaminya oleh hukum.” Sepertimana seseorang dilantik untuk mengurus sebuah syarikat, Tuhan juga melantik suami untuk menjadi ketua keluarga dan kepala isterinya.—1 Korintus 11:3.

Suami, bagaimanakah anda dapat menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga? Bible berkata, “Teruslah mengasihi isteri kamu, sebagaimana Kristus mengasihi sidang.” (Efesus 5:25) Walaupun Yesus Kristus tidak berkahwin, teladannya dapat membantu anda menjadi suami yang baik. Mari kita lihat caranya.

YESUS—TELADAN YANG SEMPURNA BAGI SUAMI

Yesus membantu dan melegakan hati orang. Yesus berkata kepada mereka yang dibebani dengan masalah: “Marilah kepadaku, . . . dan aku akan menyegarkan kamu.” (Matius 11:28, 29) Yesus membantu orang secara jasmani dan rohani. Jadi, tidak hairanlah orang tertarik untuk menghampirinya!

Cara suami dapat meniru Yesus. Berusahalah untuk membantu isteri anda. Sesetengah isteri berasa seperti Rosa, yang berkata, “Saya hanya seperti seorang pembantu rumah.” Sebaliknya, Kweku yang menikmati perkahwinan yang bahagia, berkata, “Saya selalu tanya isteri saya bagaimana saya boleh meringankan bebannya. Saya sayang dia, jadi saya mahu membantu dia melakukan kerja rumah.”

Yesus bertimbang rasa dan menunjukkan sifat empati. Seorang wanita yang miskin telah menderita penyakit teruk selama 12 tahun. Apabila mengetahui bahawa Yesus dapat melakukan mukjizat, “wanita itu asyik berkata, ‘Jika aku menyentuh jubah luarnya, aku pasti sembuh.’” Setelah menyentuh jubah Yesus, dia pun sembuh. Orang lain berasa bahawa tindakan wanita itu adalah salah, namun Yesus tidak memalukannya atau memarahinya. * Sebaliknya, Yesus berkata, “Hai anakku! . . . Sembuhlah daripada penyakitmu yang teruk itu.” Yesus merasai keperitan wanita itu dan mengetahui bahawa dia berada dalam keadaan yang terdesak. Hal ini membuktikan bahawa Yesus mempunyai sifat empati.—Markus 5:25-34.

Cara suami dapat meniru Yesus. Berusahalah untuk memahami perasaan isteri. Jika isteri berasa kurang sihat, suami harus bertimbang rasa dan bersabar dengannya. Ricardo berkata, “Kadangkala saya mendapati isteri saya mudah tersinggung. Jadi saya berusaha untuk tidak mengeluarkan kata-kata yang menyakiti hatinya.”

Yesus berkomunikasi dengan pengikutnya. Yesus menjelaskan banyak perkara kepada pengikutnya. Dia berkata, “Aku sudah memberitahu kamu segala yang telah aku dengar daripada Bapaku.” (Yohanes 15:15) Ada kalanya Yesus juga ingin bersendirian dan berdoa. Namun, dia tidak mengasingkan diri daripada orang lain. Dia sering meluahkan perasaannya kepada pengikutnya. Pada malam sebelum kematiannya, Yesus memberitahu mereka bahawa dia “sedih sekali.” (Matius 26:38) Yesus tidak berhenti berkomunikasi dengan pengikutnya walaupun tindakan mereka kadangkala mengecewakan dia.—Matius 26:40, 41.

Tirulah teladan Yesus agar dapat menjadi suami dan ayah yang lebih baik

Cara suami dapat meniru Yesus. Berkomunikasilah dengan isteri dan luahkan isi hati anda. Isteri mungkin berasa kecewa jika suaminya asyik bercakap dengan orang lain, tetapi berdiam diri semasa di rumah. Bagaimana pula jika suami meluahkan perasaannya kepada isteri? Ana berkata, “Saya dapat merasai bahawa dia sangat sayang saya dan hubungan kami sangat rapat.”

Apabila perselisihan timbul, patutkah suami enggan bercakap dengan isteri? Tidak. Seorang wanita berkata, “Apabila suami marah dengan saya, dia enggan bercakap dengan saya selama berhari-hari. Saya berasa bersalah dan tidak berguna.” Edwin pula cuba meniru teladan Yesus. Dia berkata, “Jika saya berasa geram, saya tidak akan segera balas kata-kata isteri saya. Saya akan mencari masa yang sesuai untuk membincangkan hal itu.”

Joy, yang disebutkan pada awal rencana melihat bahawa suaminya telah membuat perubahan yang baik semenjak belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Joy berkata, “Suami saya semakin baik. Dia berusaha meniru Yesus untuk menjadi suami yang lebih pengasih.” Jutaan pasangan suami isteri memperoleh manfaat daripada nasihat Bible. Inginkah anda menjadi seperti mereka? Sila hubungi Saksi-Saksi Yehuwa untuk mendapatkan pembelajaran Bible secara percuma.

^ per. 10 Menurut Hukum Musa, penyakit wanita itu menjadikannya tidak suci. Sesiapa yang disentuh olehnya juga menjadi tidak suci.—Imamat 15:19, 25.