BIBLE MENGUBAH HIDUP
Tiga Soalan yang Mengubah Hidup Saya
-
TAHUN LAHIR: 1949
-
NEGARA ASAL: AMERIKA SYARIKAT
-
DAHULU DIA: MENCARI MAKNA KEHIDUPAN
MASA LALU SAYA:
Saya dibesarkan di Ancram, sebuah pekan kecil di negeri New York, A.S. Terdapat banyak ladang lembu di kawasan itu. Sebenarnya, terdapat lebih banyak lembu daripada orang.
Keluarga saya menghadiri satu-satunya gereja di situ. Pada pagi Ahad, datuk menggilap kasut saya. Kemudian, saya pergi ke sekolah minggu dengan Bible kecil berwarna putih yang diberikan oleh nenek saya. Saya dan adik-adik saya diajar untuk bekerja keras, menghormati dan membantu orang lain, serta bersyukur atas berkat yang diterima.
Apabila saya dewasa, saya menjadi seorang guru dan berpindah keluar dari rumah. Saya mempunyai banyak soalan tentang Tuhan dan kehidupan. Sesetengah pelajar saya berbakat, tetapi yang lain pula tidak. Sesetengah pelajar pandai bersukan, tetapi yang lain pula tidak. Saya berasa hal ini tidak adil. Kadangkala ibu bapa pelajar yang kurang upaya berkata, “Tuhan ingin anak saya begini.” Saya terfikir mengapa Tuhan membenarkan bayi dilahirkan kurang upaya. Mereka tidak pernah berbuat salah.
Saya juga tertanya-tanya: “Apakah yang seharusnya saya lakukan dalam kehidupan saya?” Saya berasa hidup saya berlalu dengan cepat. Saya dibesarkan dalam keluarga yang bahagia, saya belajar di sekolah yang bagus, dan saya mempunyai pekerjaan yang baik. Namun, kehidupan saya seolah-olah tidak bermakna. Saya mungkin akan berkahwin, mempunyai keluarga yang bahagia, bekerja sehingga bersara, dan hidup sampai tua. Saya terfikir: “Adakah itu sahaja yang boleh saya lakukan?”
BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA:
Pada suatu hari semasa musim panas, saya melancong ke Westminster Abbey, Notre-Dame de Paris, dan Vatican, serta gereja-gereja kecil yang lain. Ke mana sahaja saya pergi, saya menanya soalan tentang kehidupan. Selepas kembali ke Sloatsburg, New York, saya juga pergi ke beberapa gereja. Namun saya masih tidak dapat menjumpai jawapan yang memuaskan.
Pada suatu hari, seorang pelajar perempuan yang berumur 12 tahun menanya saya tiga soalan. Pertama, dia menanya jika saya tahu bahawa dia ialah salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Saya kata ya. Kedua, dia menanya jika saya ingin mengetahui lebih lanjut tentang Saksi-Saksi Yehuwa. Sekali lagi saya kata ya. Ketiga, dia menanya di mana saya tinggal. Saya memberitahu alamat saya kepadanya. Rupa-rupanya kami tinggal berhampiran. Tiga soalan itu bakal mengubah kehidupan saya.
Kemudian, dia datang ke rumah saya dengan menaiki basikal. Dia mula mengajar Bible kepada saya. Saya menanya kepadanya soalan yang saya tanya kepada banyak pemimpin agama. Tidak seperti para pemimpin agama, gadis kecil ini memberikan jawapan yang jelas dan memuaskan daripada Bible saya!
Apa yang saya pelajari daripada Bible membuat saya gembira dan puas hati. Kata-kata di 1 Yohanes 5:19 membuka mata saya. Ayat itu berbunyi: “Seluruh dunia berada di bawah kuasa Si Jahat.” Saya berasa lega apabila belajar bahawa Syaitanlah yang menyebabkan penderitaan kita, bukannya Tuhan. Selain itu, Tuhan akan memulihkan keadaan dunia. (Wahyu 21:3, 4) Ajaran Bible memang masuk akal jika diterangkan dengan betul. Saksi yang mengajar saya hanya berumur 12 tahun. Namun bagi saya, kebenaran memang kebenaran, tidak kira siapa yang menyampaikannya.
Walaupun demikian, saya ingin melihat jika para Saksi mengamalkan apa yang diajarkan oleh mereka. Contohnya, gadis kecil itu menekankan bahawa orang Kristian sejati sabar dan baik hati. (Galatia 5:22, 23) Jadi saya ingin mengujinya. Pada suatu hari, saya sengaja datang lambat untuk pembelajaran Bible. Saya tertanya-tanya: “Adakah dia akan menunggu saya? Adakah dia akan marah kerana saya lambat?” Apabila saya tiba, saya nampak dia menunggu di depan rumah saya. Dia berlari kepada saya dan berkata, “Saya hampir balik ke rumah dan memberitahu ibu saya untuk menelefon hospital dan polis untuk mencari kamu. Saya sangat risau kerana kamu tidak pernah datang lambat!”
Pada ketika yang lain, saya sengaja menanya dia soalan yang susah untuk melihat jika dia akan menjawab dengan sesuka hati. Dia memandang saya dengan serius dan berkata, “Itu soalan yang susah. Saya akan menulisnya dan menanya ibu bapa saya.” Pada pembelajaran yang seterusnya, dia membawa majalah The Watchtower yang mengandungi jawapan kepada soalan itu. Saya tertarik dengan Saksi-Saksi Yehuwa kerana bahan bacaan mereka berdasarkan Bible dan mempunyai jawapan kepada semua soalan saya. Saya terus belajar Bible dengan gadis kecil ini dan setahun kemudian saya dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa. *
MANFAAT YANG SAYA TERIMA:
Selepas saya mendapat jawapan yang memuaskan kepada soalan saya, saya ingin mengongsinya dengan semua orang. (Matius 12:35) Pada mulanya, keluarga saya tidak suka akan kepercayaan saya. Namun, lambat laun sikap mereka menjadi lembut. Ibu saya mula belajar Bible semasa dia tua. Walaupun dia tidak sempat dibaptis, saya pasti bahawa dia ingin menjadi penyembah Yehuwa.
Pada tahun 1978, saya berkahwin dengan seorang Saksi yang bernama Elias Kazan. Pada tahun 1981, kami dijemput untuk menjadi ahli Bethel di Amerika Syarikat. * Sedih sekali, setelah berkhidmat selama empat tahun, Elias meninggal. Walaupun saya menjadi seorang balu, saya terus berkhidmat di Bethel. Khidmat di Bethel membantu saya untuk berfokus kepada kerja saya dan membawa kelegaan.
Pada tahun 2006, saya mengahwini Richard Eldred, seorang rakan sekerja di Bethel. Kami menghargai peluang istimewa untuk berkhidmat di Bethel. Selepas mempelajari kebenaran tentang Tuhan, saya menjumpai jawapan kepada soalan saya dan hidup saya benar-benar bermakna. Tiga soalan daripada gadis kecil itu benar-benar telah mengubah hidup saya.
^ per. 16 Gadis ini dan adik-beradiknya telah membantu lima orang daripada guru mereka untuk belajar Bible dan menjadi Saksi-Saksi Yehuwa.
^ per. 18 Perkataan Bethel bermaksud ‘Rumah Tuhan’ dan merujuk kepada pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa di serata dunia. (Kejadian 28:17, 19, nota kaki) Ahli Bethel melakukan pelbagai tugas untuk menyokong kerja pendidikan Saksi-Saksi Yehuwa.