Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BIBLE MENGUBAH HIDUP

Yehuwa Berbelas Kasihan dan Sudi Mengampuni Saya

Yehuwa Berbelas Kasihan dan Sudi Mengampuni Saya
  • TAHUN LAHIR: 1954

  • NEGARA ASAL: KANADA

  • LATAR BELAKANG: PENIPU DAN PENJUDI

KISAH SILAM SAYA:

Saya membesar di kawasan yang miskin di bandar Montreal. Ibu bapa saya ada lapan orang anak dan saya ialah anak bongsu. Semasa saya berumur enam bulan, bapa saya meninggal. Jadi ibu harus memikul banyak tanggungjawab dalam keluarga.

Sejak kecil lagi, saya terdedah kepada dadah, perjudian, keganasan, dan penjenayah. Semasa berumur 10 tahun, saya menjadi budak suruhan untuk pelacur dan along. Saya selalu menipu orang. Saya rasa puas dan seronok apabila saya berjaya memperdaya orang lain.

Semasa berumur 14 tahun, saya sudah sangat mahir menipu orang. Contohnya, saya akan beli banyak barangan bersadur emas seperti jam tangan, gelang, dan cincin. Saya akan mengukir perkataan “14 karat” padanya dan menjual di jalanan atau tempat parkir pusat membeli-belah. Pernah sekali, saya berjaya mendapat $10,000 dolar dalam sehari!

Saya dibuang dari sekolah pemulihan semasa saya berumur 15 tahun. Oleh sebab saya tiada tempat tinggal, saya terpaksa tidur di jalan, taman, atau rumah kawan.

Polis selalu mencari saya kerana saya terlibat dalam kegiatan penipuan. Memandangkan saya bukannya menjual barang curi, saya tidak pernah dipenjarakan. Namun, saya masih harus membayar banyak denda kerana memperdaya orang, memalsukan barangan, dan menjual tanpa permit. Salah satu kerja saya adalah membantu along memungut hutang. Oleh sebab kerja ini sangat bahaya, kadangkala saya perlu membawa pistol. Saya juga terlibat dalam jenayah yang terancang.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA:

Semasa saya berumur 17 tahun, saya tinggal bersama salah seorang teman wanita saya dan dia mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Tetapi saya rasa ajaran Bible tentang hal moral terlalu mengekang. Jadi saya tinggalkan dia dan tinggal dengan teman wanita saya yang lain.

Saya tidak sangka teman wanita ini pun mula belajar Bible dengan para Saksi. Dia mula buat perubahan dalam hidupnya dan menjadi orang yang lebih lemah lembut dan sabar. Saya sangat kagum. Selepas itu, saya juga terima jemputan untuk pergi ke perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa. Orang di sana baik dan mesra! Mereka sangat berbeza daripada orang yang saya kenal. Semasa kecil, saya rasa diabaikan dan tidak pernah merasai kasih sayang daripada keluarga. Jadi, keramahan para Saksi sangat menyentuh hati saya. Apabila mereka menawarkan pembelajaran Bible kepada saya, saya terima dengan tangan terbuka.

Saya rasa ajaran Bible telah menyelamatkan nyawa saya. Pada masa itu, saya dan dua orang kawan merancang untuk membuat rompakan. Saya sangat terdesak kerana hutang judi saya sudah melebihi $50,000 dolar. Syukurlah saya menarik diri kerana akhirnya seorang kawan saya telah ditangkap dan seorang lagi terbunuh dalam rompakan itu.

Semakin saya belajar Bible, saya sedar ada banyak perubahan yang perlu saya buat. Contohnya, 1 Korintus 6:10 kata, “Orang yang mencuri, yang tamak, yang mabuk, yang suka mencaci, dan yang memeras ugut, tidak akan mewarisi Kerajaan Tuhan.” Saya menangis apabila saya sedar betapa seriusnya dosa saya. Hidup saya penuh dengan penipuan, dan saya seorang yang panas baran dan ganas. Saya bertekad untuk mengubah hidup saya dengan sepenuhnya.—Roma 12:2.

Saya masih hidup sekarang kerana saya mengikut nasihat Bible

Saya sangat digalakkan apabila belajar bahawa Yehuwa berbelas kasihan dan sudi mengampuni saya. (Yesaya 1:18) Saya berdoa dengan bersungguh-sungguh dan merayu kepada Yehuwa untuk membantu saya meninggalkan cara hidup yang lama. Dengan bantuan-Nya, saya berjaya mengubah sikap saya secara perlahan-lahan. Satu langkah penting yang telah saya ambil adalah untuk berkahwin dengan teman wanita saya.

Pada masa itu, saya berumur 24 tahun dan ada tiga orang anak. Untuk menyara keluarga, saya harus mencari kerja yang baik. Masalahnya, saya tidak ada banyak pendidikan dan tiada surat rujukan kerja. Sekali lagi, saya berdoa dengan tekun lalu berusaha mencari pekerjaan yang sesuai. Semasa ditemu duga, saya kata bahawa saya ingin mengubah hidup saya dan bekerja dengan jujur. Ada kalanya, saya beritahu mereka bahawa saya sedang belajar Bible dan mahu menjadi orang yang baik. Sedihnya, tiada majikan yang sudi menerima saya. Akhirnya, semasa satu temu duga, saya menceritakan segalanya tentang masa lalu saya. Saya terkejut apabila orang yang menemu duga saya kata, “Saya tidak tahu kenapa, tetapi saya rasa saya patut mengambil kamu sebagai pekerja.” Saya yakin inilah jawapan kepada doa saya. Pada kemudian hari, saya dan isteri dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA:

Saya masih hidup sekarang kerana saya mengikut nasihat Bible. Oleh sebab saya mengikut haluan hidup Yehuwa, saya mempunyai keluarga yang bahagia. Saya ada hati nurani yang murni kerana saya yakin Yehuwa telah mengampuni saya.

Saya sudah menginjil sepenuh waktu selama 14 tahun. Baru-baru ini, isteri saya juga menyertai saya dalam kerja ini. Sepanjang 30 tahun yang lalu, saya berpeluang membantu 22 orang rakan sekerja saya untuk menjadi penyembah Yehuwa. Sekarang saya masih pergi pusat membeli-belah, tetapi bukannya untuk menipu orang. Saya pergi untuk mengongsi berita baik daripada Bible kerana saya mahu mereka mempunyai harapan masa depan yang cerah di dunia yang bebas daripada penjahat.​—Mazmur 37:10, 11.