Tahukah Anda?
Bagaimanakah penggiling digunakan pada zaman kuno?
Penggiling digunakan untuk mengisar biji-bijian menjadi tepung untuk membuat roti. Dalam kebanyakan keluarga, kaum wanita atau hamba akan melakukan kerja ini setiap hari. Bunyi pengisaran dikaitkan dengan kehidupan seharian.—Keluaran 11:5; Yeremia 25:10.
Artifak dari Mesir kuno menggambarkan proses ini. Biji-bijian diletakkan di atas batu yang permukaannya sedikit melengkung. Seseorang akan berlutut di hadapan batu itu sambil memegang batu kisar dengan kedua-dua tangannya. Dia akan menggerakkan batu kisar di atas batu yang melengkung itu untuk mengisar biji-bijian. Menurut kajian, berat sebuah batu kisar adalah antara dua dan empat kilogram. Batu kisar memang berbahaya jika digunakan sebagai senjata.—Hakim-Hakim 9:50-54.
Batu kisar sangat penting bagi keluarga pada masa kuno. Oleh itu, Bible menyatakan: “Apabila kamu meminjamkan sesuatu kepada seseorang, kamu tidak boleh mengambil batu kisarannya yang digunakan untuk mengisar gandum, sebagai jaminan. Dengan mengambilnya kamu merampas alat yang digunakan keluarganya untuk menyediakan makanan bagi penyambung hidup.”—Ulangan 24:6.
Apakah maksud ungkapan “berada di dada”?
Bible menyatakan bahawa Yesus “berada di dada” Bapanya. (Yohanes 1:18, nota kaki) Ungkapan ini menunjukkan bahawa Yesus mempunyai hubungan yang akrab dengan Tuhan dan diperkenankan-Nya. Sebenarnya, kata-kata itu berkaitan dengan adat makan orang Yahudi.
Pada zaman Yesus, orang Yahudi berbaring di atas kerusi panjang yang disusun di sekeliling meja makan. Kepala mereka menghadap meja makan dan kaki mereka menghadap ke luar sementara siku kiri mereka bersandar pada bantal. Dengan demikian, tangan kanan mereka bebas bergerak. Susunan ini menyebabkan kepala seseorang berada berhampiran dada orang yang di belakangnya. Oleh itu, dia boleh dikatakan “berada di dada” orang tersebut.
Biasanya orang yang istimewa atau tetamu yang terhormat “berada di dada” ketua keluarga atau tuan rumah semasa perjamuan. Maka tidak hairanlah rasul Yohanes, iaitu “murid yang dikasihi Yesus,” duduk di sisinya semasa Yesus menyambut Paska buat kali terakhir. Yohanes telah “bersandar pada Yesus” semasa ingin menanyakan sesuatu kepadanya.—Yohanes 13:23-25; 21:20.