Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAGAIMANA SUMBANGAN ANDA DIGUNAKAN

Alat Bantu Pembelajaran Bible yang Amat Berbeza

Alat Bantu Pembelajaran Bible yang Amat Berbeza

1 APRIL 2022

 Pada Januari 2021, Badan Pimpinan telah mengumumkan pengeluaran sebuah alat bantu pembelajaran Bible yang baharu, yang bertajuk Nikmati Hidup Selama-Lamanya! a Semasa mendengar pengumuman itu, apakah reaksi anda? Matthew, dari Kanada, berkata, “Saya rasa gembira! Semasa melihat ceramah dan video tentang mengapa buku itu direka dan pengalaman orang yang telah cuba menggunakannya, saya rasa sangat teruja! Saya tidak sabar untuk dapat buku itu dan mula menggunakannya.”

 Buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya! menggunakan cara baharu untuk mengadakan pembelajaran Bible. Bukan itu sahaja, terdapat perbezaan lain antara buku ini dengan alat bantu pembelajaran Bible yang sebelumnya. Jika anda menggunakan edisi bercetak, anda juga mungkin mendapati bahawa buku ini terasa berbeza apabila disentuh. Mengapa? Marilah kita melihat dengan teliti bagaimana buku ini dihasilkan.

Buku Baharu yang Terasa Berbeza

 Kertas yang lebih tebal. Mengapakah hal ini diperlukan? Buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya! ada lebih daripada 600 gambar yang berwarna-warni, iaitu hampir 10 kali ganda lebih banyak daripada buku Diajarkan Bible! Buku baharu ini juga ada lebih banyak ruangan putih yang tidak mempunyai teks atau gambar pada halamannya. Namun, dua ciri ini telah menimbulkan satu masalah. Jika kertas yang digunakan terlalu nipis, gambar di sebalik halaman itu dapat dilihat. Jadi, untuk mengelakkan hal ini, para saudara dari Bahagian Pencetakan Antarabangsa (IPD), di Wallkill, New York, A.S., telah menguji empat jenis kertas yang digunakan di tempat percetakan kita. Jawatankuasa Penulisan Badan Pimpinan memeriksa setiap kertas itu dan memilih kertas yang paling sesuai dan kurang lut sinar. Kos bagi kertas ini adalah 16 peratus lebih tinggi daripada kertas yang biasa kita gunakan untuk bahan bacaan lain. Namun, dengan menggunakan kertas ini, para pelajar Bible dapat membaca setiap halaman buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya! tanpa diganggu oleh gambar di sebalik halaman itu.

Gambar kertas di sebelah kanan menunjukkan kertas yang digunakan dalam buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya!

 Lamina kulit buku yang berbeza. Kulit buku baharu ini terasa berbeza daripada buku kita yang lain kerana disaluti dengan lapisan pelindung lamina yang berbeza. Biasanya, kita menggunakan lapisan yang berkilat, tetapi untuk buku ini, kita menggunakan lapisan jenis matte, iaitu lapisan yang tidak berkilat. Hal ini membuat gambar pada kulit buku lebih menonjol. Lapisan lamina buku ini juga membolehkan buku ini berada dalam keadaan yang baik biarpun digunakan dengan kerap. Namun, kos bagi lapisan jenis matte boleh mencecah lima kali ganda lebih tinggi daripada kos lamina yang berkilat. Jadi, beberapa pejabat cawangan telah bekerjasama untuk mendapatkan lapisan jenis matte pada harga yang lebih murah.

Proses menambah lapisan lamina pada kulit buku

 Mengapakah bahan yang lebih mahal ini dipilih? Seorang saudara yang berkhidmat di IPD menjelaskan, “Kami menjangka buku ini akan selalu digunakan. Jadi, kami mahu buku ini kelihatan baik biarpun setelah digunakan berkali-kali.” Eduardo, yang berkhidmat di Pejabat Percetakan cawangan Brazil pula, berkata, “Kami sangat gembira melihat bagaimana organisasi Yehuwa menggunakan bahan yang berkualiti tinggi untuk membuat buku ini. Buku ini cantik, tahan lama, dan seronok untuk dipegang. Pada masa yang sama, organisasi Yehuwa juga menggunakan wang sumbangan dengan bijak.”

Pencetakan Semasa Pandemik COVID-19

 Buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya! mula dicetak pada Mac 2021. Pandemik COVID-19 juga telah bermula pada masa itu, dan hal ini telah menimbulkan beberapa cabaran. Akibat sekatan keluar masuk di Bethel, pekhidmat ulang-alik tidak dapat membantu dalam kerja pencetakan. Saudara saudari juga tidak dapat dijemput untuk berkhidmat sebagai ahli Bethel yang baharu. Jadi, sesetengah tempat percetakan kita tidak mempunyai kakitangan yang cukup. Yang lain pula ditutup sementara kerana perintah kerajaan.

 Bagaimanakah semua cabaran ini diatasi? Apabila tempat percetakan dibenarkan beroperasi, saudara saudari dari bahagian Bethel yang lain ditugaskan untuk membantu dalam kerja pencetakan buat sementara waktu. Joel, yang berkhidmat di IPD, berkata, “Mereka rela berkorban dan sudi belajar untuk melakukan tugas baharu. Sikap mereka ini telah banyak membantu kami untuk menyelesaikan kerja yang perlu dilakukan.”

 Meskipun menghadapi cabaran, kita sudah pun mencetak jutaan naskah buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya! Penghasilan buku ini memerlukan pelbagai bahan seperti plat cetak, lapisan lamina, kertas, dakwat, dan bahan pelekat. Dalam lima bulan yang pertama sejak pencetakan dimulakan, lebih daripada 2.3 juta dolar Amerika telah digunakan untuk bahan-bahan tersebut. Jadi, untuk menjimatkan kos, kita hanya mencetak bilangan buku yang diperlukan setiap sidang.

“Buku Ini Sememangnya Suatu Karya Seni”

 Apakah perasaan para guru Bible dan pelajar mereka tentang alat bantu pembelajaran Bible yang baharu ini? Paul, seorang saudara dari Australia, berkata, “Buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya! sangat seronok untuk digunakan. Saya berasa teruja untuk mengadakan pembelajaran Bible. Susunan buku ini sangat menarik dan betul-betul interaktif. Buku ini ada maklumat yang jelas, soalan yang menggerakkan hati, video, gambar, carta, dan matlamat bagi pelajar. Buku ini sememangnya suatu karya seni yang mendorong saya untuk meningkatkan kemahiran mengajar saya.”

 Seorang pelajar Bible di Amerika Syarikat berkata, “Saya sangat suka buku baharu ini. Gambar-gambarnya membantu saya faham isi-isi utama. Video-videonya pula menyentuh hati saya dan mendorong saya untuk menerapkan apa yang saya belajar.” Pelajar ini sedang mempelajari Bible dua kali seminggu dan menghadiri perjumpaan secara tetap.

 Terdapat jutaan naskah buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya! yang masih perlu dicetak dalam banyak bahasa. Setakat ini, Badan Pimpinan telah meluluskan penerbitan buku ini dalam 710 bahasa, berbanding dengan 370 bahasa yang telah diluluskan untuk buku Diajarkan Bible.

 Bagaimanakah kos pencetakan dibiayai? Melalui sumbangan untuk kerja sedunia, dan kebanyakan sumbangan ini dibuat melalui donate.pr418.com. Kami sangat menghargai kemurahan hati anda. Anda membantu kami menghasilkan alat bantu pembelajaran Bible untuk orang yang ingin belajar tentang Yehuwa dan ‘menikmati hidup selama-lamanya.’—Mazmur 22:26.

a Buku ini dikeluarkan semasa mesyuarat tahunan yang kemudiannya disiarkan melalui Siaran JW.