Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAGAIMANA SUMBANGAN ANDA DIGUNAKAN

Bangunan Sekolah Teokratik Memuliakan Pendidik Agung Kita

Bangunan Sekolah Teokratik Memuliakan Pendidik Agung Kita

1 JULAI 2023

 Yehuwa sangat suka mendidik umat-Nya. Oleh sebab itu, organisasi Yehuwa telah menubuhkan beberapa sekolah teokratik yang melatih saudara saudari untuk melakukan pelbagai tugasan. Salah satu sekolah tersebut ialah Sekolah Latihan Penginjil (SKE). Belakangan ini, organisasi kita bukan sahaja telah memberikan perhatian kepada kurikulum sekolah, tetapi juga kepada bangunan teokratik yang digunakan untuk mengadakan sekolah sebegini. Tujuan utamanya adalah untuk menjadikan suasana pembelajaran lebih baik bagi para pelajar dan pengajar. Bagaimanakah sumbangan anda digunakan untuk mencapai tujuan ini?

Kemudahan yang Lebih Baik untuk Menampung Lebih Banyak Pelajar

 Selama bertahun-tahun, sekolah-sekolah teokratik telah diadakan di Dewan Perjumpaan atau Dewan Perhimpunan. Mengapakah kerja pembinaan dan pengubahsuaian perlu dibuat supaya suatu bangunan lebih sesuai untuk kegunaan sekolah teokratik? Perhatikan tiga sebab berikut.

 Keperluan yang besar. “Pejabat-pejabat cawangan telah melaporkan bahawa terdapat keperluan yang besar di kawasan penyebaran mereka,” kata Christopher Mavor, pembantu kepada Jawatankuasa Penyebaran bagi Badan Pimpinan. “Contohnya, pada tahun 2019, pejabat cawangan Brazil menganggarkan kira-kira 7,600 lulusan SKE diperlukan untuk berkhidmat di kawasan penyeliaan cawangan mereka.” Selain itu, cawangan Amerika Syarikat memerlukan banyak perintis yang dapat melatih penyiar lain untuk melakukan kesaksian awam di bandar raya, serta menginjil di pelabuhan dan penjara. Para saudara juga diperlukan untuk berkhidmat dalam Jawatankuasa Perhubungan Hospital, serta Bahagian Rekaan dan Pembinaan Tempatan. Para lulusan SKE dapat memenuhi semua keperluan ini.

 Peningkatan jumlah permohonan. Di banyak pejabat cawangan, jumlah pemohon SKE telah melebihi jumlah pelajar yang dapat diterima. Contohnya, di Brazil, pejabat cawangan telah menerima kira-kira 2,500 permohonan SKE hanya dalam masa setahun. Oleh sebab tidak cukup tempat dan kemudahan untuk mengadakan sekolah ini, pejabat cawangan hanya dapat menerima 950 orang pelajar.

 Tempat kediaman yang sesuai. Semasa para pelajar menghadiri sekolah teokratik di Dewan Perjumpaan atau Dewan Perhimpunan, mereka biasanya akan tinggal di rumah saudara saudari tempatan. Aturan ini sesuai bagi kawasan yang tidak mengadakan banyak kelas setiap tahun. Jika terdapat beberapa kelas yang diadakan, saudara saudari tempatan mungkin tidak dapat menyediakan tempat tinggal untuk beberapa kali sepanjang tahun. Jadi, kemudahan khas yang mempunyai tempat kediaman dan yang dekat dengan bilik darjah telah disediakan.

 Sebuah bangunan untuk kegunaan sekolah teokratik biasanya mempunyai sebuah bilik darjah, pelbagai kemudahan, serta tempat kediaman untuk pengajar dan sekitar 30 pelajar. Kosnya boleh mencecah beberapa juta dolar Amerika, bergantung pada lokasi dan faktor-faktor lain.

Ciri-Ciri Bangunan Sekolah Teokratik

 Lokasi bangunan sekolah teokratik biasanya terletak di luar bandar kerana kawasan itu lebih senyap. Tapi lokasi yang dipilih juga harus mempunyai sistem pengangkutan awam yang baik. Selain itu, lokasi yang mempunyai ramai penyiar diutamakan kerana saudara saudari tempatan dapat bantu dalam penyelenggaraan bangunan dan peralatan, serta kerja-kerja lain semasa sekolah diadakan.

 Perpustakaan, tempat belajar, komputer, mesin cetak, dan peralatan lain juga disediakan. Biasanya, terdapat ruang makan bagi para pelajar dan pengajar untuk makan bersama-sama. Tambahan lagi, terdapat tempat yang disediakan untuk senaman dan rekreasi.

 Selain itu, rekaan bilik darjah juga dibuat dengan teliti. “Kami meminta nasihat daripada Bahagian Sekolah Teokratik tentang rekaan bilik darjah yang dapat menjadikan suasana pembelajaran lebih baik,” kata Troy, yang berkhidmat di Bahagian Rekaan dan Pembinaan Sedunia di Warwick, New York. “Para saudara menjelaskan saiz bilik dan susunan yang terbaik, serta pencahayaan dan peralatan audio/video yang diperlukan.” Mengenai pemasangan peralatan audio, Zoltán, seorang pengajar SKE di Hungary, berkata, “Pada mulanya, bilik darjah kami tidak mempunyai mikrofon. Jadi, kami selalu ingatkan para pelajar untuk bercakap dengan suara yang lantang. Tapi sekarang, ini bukan lagi satu masalah kerana mikrofon disediakan di setiap meja.”

“Tetamu Istimewa Yehuwa”

 Apakah manfaat yang diraih oleh para pengajar dan pelajar yang menggunakan bangunan sekolah teokratik yang baharu? “Suasananya sangat tenang dan damai,” kata Angela, yang telah menghadiri SKE di Palm Coast, Florida, A.S. “Semua kemudahan, termasuk rekaan bilik darjah dan tempat tinggal kami, diaturkan dan disediakan dengan sangat baik. Jadi, kami dapat bertumpu kepada pembelajaran kami.” Csaba, seorang pengajar SKE di Hungary, menikmati peluang untuk makan bersama-sama para pelajar. Dia kata bahawa pada masa itu, “para pelajar selalunya akan kongsi lebih banyak tentang diri sendiri atau pengalaman mereka. Dengan cara ini, kami dapat lebih mengenali para pelajar dan menyesuaikan pelajaran kelas mengikut keperluan mereka.”

 Para pelajar dan pengajar memandang bangunan sekolah teokratik yang baharu sebagai berkat daripada “Pendidik Agung” kita, Yehuwa. (Yesaya 30:20, 21) Seorang saudari dari Filipina, yang telah menghadiri SKE di bangunan sekolah teokratik yang diubah suai, berkata, “Suasana di sekolah teokratik ini mengingatkan saya bahawa kami bukan sahaja pelajar, tetapi tetamu istimewa Yehuwa. Dia mahu kami mengkaji Firman-Nya dengan teliti dan menikmati sekolah ini.”

 Pembinaan, pengubahsuaian, dan penyelenggaraan bangunan sekolah teokratik dapat dijalankan kerana adanya sumbangan anda. Sebahagian besar sumbangan ini dibuat menerusi donate.pr418.com. Terima kasih atas kemurahan hati anda.

Jalan masuk ke bangunan sekolah teokratik, Palm Coast, Florida, A.S.

Model Rumah Tuhan pada zaman Yesus, lobi sekolah, Palm Coast, Florida, A.S.

Satu pasangan tiba di lobi Sekolah Latihan Penginjil, Brazil

Sesi kelas sedang berlangsung, Brazil

Saudara saudari tiba di luar bangunan Sekolah Latihan Penginjil, Filipina

Saudara saudari makan bersama di ruang makan, Filipina