Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAGAIMANA SUMBANGAN ANDA DIGUNAKAN

Bantuan Diberikan di Serata Dunia semasa Pandemik Global

Bantuan Diberikan di Serata Dunia semasa Pandemik Global

1 JULAI 2021

 Pada Mac 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan bahawa COVID-19 ialah sebuah pandemik. Pada masa itu, ramai orang tidak sangka bahawa virus itu akan terus mempengaruhi seluruh dunia lebih daripada setahun kemudian. Jutaan orang, termasuklah sesetengah Saksi-Saksi Yehuwa, telah menderita dari segi fizikal, emosi, dan kewangan akibat pandemik ini. Bagaimanakah Saksi-Saksi Yehuwa mengaturkan dan menghulurkan bantuan semasa pandemik ini?

Bantuan bagi Mereka yang Memerlukan

 Di bawah arahan Jawatankuasa Koordinator bagi Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa, lebih daripada 950 Jawatankuasa Bantuan Bencana (DRC) telah ditubuhkan di seluruh dunia kerana adanya COVID-19. Bagi sesetengah situasi, mereka telah mengaturkan agar saudara saudari tempatan memberikan bantuan. Bagi situasi lain pula, para Saksi memanfaatkan bantuan yang disediakan kerajaan. DRC juga telah mengaturkan bantuan dalam skala yang besar.

 Fikirkan contoh di Paraguay. Satu surat khabar melaporkan bahawa “ramai penduduk Paraguay tidak mempunyai makanan yang cukup” kerana masalah ekonomi yang disebabkan pandemik. Namun, DRC di Paraguay sudah mula mengedarkan kotak bantuan yang mengandungi makanan, bahan pembersih, dan barang-barang penjagaan kebersihan diri. Setiap kotak bantuan tersebut bernilai kira-kira 30 dolar Amerika.

 Bagaimanakah para sukarelawan melindungi diri dan orang lain agar tidak dijangkiti COVID-19? Mereka memakai pelitup muka dan mengekalkan penjarakan fizikal. Mereka juga memastikan bahawa syarikat-syarikat yang membekalkan makanan menggunakan kemudahan yang bersih dan wajib mengikut langkah-langkah keselamatan yang telah ditetapkan. Hal ini bererti mereka yang menyediakan kotak bantuan tersebut harus memakai kelengkapan perlindungan diri, membersih dan mendisinfeksi kenderaan, dan menyimpan kotak bantuan di atas permukaan yang telah dibasmi kuman. Mereka yang menghantar kotak bantuan harus mengekalkan penjarakan fizikal daripada saudara saudari yang menerima kotak bantuan tersebut.

Menggunakan Sumbangan dengan Bijak

 Sehingga Januari 2021, Jawatankuasa Koordinator telah meluluskan perbelanjaan lebih daripada 25 juta dolar Amerika untuk membantu mereka yang terjejas akibat COVID-19. Pejabat cawangan dan DRC menggunakan wang sumbangan dengan cermat dan berusaha untuk mendapatkan harga terendah bagi barang yang diperlukan. Sebagai contoh, di Chile, para saudara yang mengatur bantuan ingin membeli 750 kilogram kekacang. Tetapi, harga kekacang telah meningkat dua kali ganda dalam masa sebulan! Para saudara setuju untuk membeli kekacang pada harga itu. Namun, dua jam kemudian, penjual kekacang memberitahu para saudara bahawa terdapat pelanggan lain yang baru saja mengembalikan kekacang yang telah dibelinya. Jadi, penjual itu setuju untuk menjual kekacang itu pada harga yang murah mengikut harga pasaran bulan lalu!

 Apabila para saudara kita datang untuk ambil kekacang itu, penjual itu cuba untuk membatalkan perjanjian mereka. Dia menuduh mereka mengedarkan makanan dengan tidak adil, seperti yang dilakukan sesetengah organisasi lain. Selepas berdoa dalam hati, salah satu saudara memberitahu penjual itu bahawa setiap sidang sudah membuat tinjauan untuk kenal pasti mereka yang benar-benar memerlukan bantuan. Para saudara menjelaskan lagi bahawa setiap keluarga akan menerima kotak bantuan mengikut keperluan keluarga dan budaya masing-masing. Mereka juga meyakinkan penjual itu bahawa semua wang yang digunakan dan kerja yang dilakukan Saksi-Saksi Yehuwa merupakan sumbangan sukarela. Penjual itu berasa kagum. Dia tidak hanya setuju untuk menjual kekacang pada harga yang murah, tetapi dia juga menyumbangkan 400 kilogram kekacang pada pembelian yang seterusnya.

“Tanda Kasih Sejati”

 Lusu, seorang balu tua di Liberia, tinggal bersama lima anggota keluarganya. Pada suatu hari, semasa mereka makan sarapan dan membincangkan ayat harian, cucu lelaki Lusu yang berumur tujuh tahun melihat bahawa tiada lagi makanan di rumah. Jadi, dia menanya, “Kita akan makan apa?” Lusu beritahunya bahawa dia sudah berdoa meminta bantuan dan dia yakin bahawa Yehuwa akan menyediakan keperluan mereka. Pada petang itu, Lusu menerima panggilan telefon dari seorang penatua di sidangnya untuk menjemputnya mengambil bekalan makanan. Dia menceritakan, “Cucu saya berkata bahawa sekarang dia tahu Yehuwa dapat mendengar dan menjawab doa kerana Dia telah menjawab doa saya.”

Kanak-kanak di Republik Demokratik Congo telah melukis gambar-gambar sebagai tanda terima kasih atas bantuan yang dihulurkan

 Seorang wanita di Republik Demokratik Congo mempunyai jiran yang merupakan keluarga Saksi. Setelah dia melihat keluarga itu menerima bekalan makanan daripada rakan seiman mereka, dia berkata, “Selepas pandemik, kami akan menjadi Saksi-Saksi Yehuwa kerana mereka telah menjaga saudara saudari mereka pada masa yang susah ini.” Suaminya menanya, “Adakah kamu mahu menjadi Saksi-Saksi Yehuwa hanya demi sekampit beras?” Dia menjawab, “Memang tidak, tapi sekampit beras itu merupakan tanda kasih sejati.”

 Saksi-Saksi Yehuwa dapat menghulurkan bantuan kepada saudara saudari dengan cepat semasa pandemik ini kerana sumbangan anda yang murah hati. Terima kasih atas sumbangan anda yang diberikan melalui pelbagai cara di donate.pr418.com.