Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAGAIMANA SUMBANGAN ANDA DIGUNAKAN

Berita Baik yang Disampaikan oleh Yesus—Kerja Di Sebalik Tabir

Berita Baik yang Disampaikan oleh Yesus—Kerja Di Sebalik Tabir

1 OKTOBER 2024

 Salah satu acara yang dinanti-nantikan Saksi-Saksi Yehuwa pada tahun ini ialah pengeluaran Episod 1 Berita Baik yang Disampaikan oleh Yesus. Berjuta-juta orang telah menontonnya dan terdapat 17 episod lagi! Apakah kerja yang dilakukan di sebalik tabir untuk menjayakan siri video ini dan bagaimanakah anda telah menyokongnya?

Menjaga Keperluan Pelakon dan Kru

 Sebahagian besar siri video Berita Baik dirakam di cawangan Australasia dan sekitar 50 hingga 80 orang akan berada di set semasa suatu adegan dirakam. a Makan tengah hari, makan malam, dan snek akan disediakan kepada semua pelakon dan kru. Perancangan awal dibuat untuk mengaturkan makanan yang akan dihidangkan. “Kami beli makanan daripada beberapa pembekal supaya kami boleh dapatkan bahan yang berkualiti tinggi pada harga yang terbaik,” kata Esther, yang bekerja di Bahagian Perkhidmatan Makanan. “Kami juga sentiasa menyesuaikan resipi kami agar kami tidak membazirkan makanan.” Setiap hari, kami membelanjakan kira-kira empat dolar Amerika untuk makanan bagi setiap orang.

 Pelakon dan kru bukan saja perlu makanan tetapi juga perlindungan. Perlindungan daripada apa? Cuaca di Australia biasanya cerah dan panas, dan terdapat sinaran ultraungu yang berbahaya daripada matahari. Oleh itu, saudara saudari bekerja keras untuk pasang khemah dan tempat khas untuk pelakon dan kru menyejukkan badan. Dengan itu, mereka dapat elakkan daripada terdedah kepada sinaran matahari yang berlebihan dan mengalami kelesuan haba. Selain itu, pelindung matahari (sunscreen), payung, dan air juga disediakan. Kevin, yang bekerja di Bahagian Khidmat Audio/Video, kata, “Kebanyakan saudara saudari ini ialah pekhidmat ulang-alik Bethel. Mereka melakukan kerja ini dan kerja lain dengan rendah hati dan sukacita. Kami tidak mungkin dapat melaksanakan projek ini tanpa bantuan mereka.”

Merakam di Lokasi Penggambaran yang Lain

 Terdapat adegan yang tidak kelihatan realistik jika dirakam di studio atau set yang dibina di pejabat cawangan. Jadi, rakaman akan dilakukan di lokasi penggambaran yang lain. Memandangkan zaman Bible tiada talian elektrik, jalan berturap, dan rumah moden, pelakon dan kru sering membuat perjalanan ke tempat yang terpencil untuk merakam sesetengah adegan. Maka, kostum dan peralatan lain harus dibungkus, dihantar, dan disimpan dengan baik di lokasi penggambaran. Sebelum sesi rakaman bermula, beberapa saudara akan pastikan terdapat generator, air minum yang bersih, dan kemudahan bilik air. Tempat tinggal akan disediakan bagi pelakon dan kru penggambaran di rumah saudara saudari tempatan, hotel, rumah kabin, atau treler.

Merakam di lokasi penggambaran ada cabaran yang unik

 Merakam di lokasi penggambaran sangat mahal serta mengambil banyak masa dan tenaga. Jadi, pada 2023, Badan Pimpinan telah meluluskan pembelian dinding video (video wall) yang berharga 2.5 juta dolar Amerika. Teknologi ini merupakan skrin video resolusi tinggi yang memaparkan gambar yang sangat jelas dan pencahayaannya dapat diselaraskan untuk menyerupai keadaan di luar. Dengan menggunakan dinding video, adegan tersebut akan kelihatan seperti dirakam di lokasi penggambaran. Hasilnya, kita dapat mengurangkan perbelanjaan yang tinggi untuk rakam di tempat lain. Darren, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Australasia, kata, “Rakaman yang dibuat dengan dinding video mengurangkan rasa penat pelakon dan ini membolehkan sesetengah adegan dirakam berulang kali. Contohnya, jika kita berada di lokasi penggambaran, kita hanya ada beberapa minit saja untuk rakam matahari terbenam sebelum menjadi gelap. Dengan adanya teknologi ini, kita dapat tayangkan video matahari terbenam dan merakam sebanyak kali yang diperlukan.”

Memeriksa dan menyelaraskan dinding video yang baru dipasang

“Apa yang Saya Buat Tidak Rasa seperti Suatu Pengorbanan”

 Ratusan pelakon dan kru penggambaran diperlukan untuk setiap episod siri video Berita Baik. Apakah perasaan mereka terhadap semua yang dilakukan untuk menjaga mereka?

 Amber telah membuat perjalanan lebih daripada 700 kilometer dari rumahnya di Melbourne untuk menyertai projek ini. Dia menulis, “Sejak masa saya tiba di lapangan terbang, para saudara di Bethel telah menjaga saya dengan sangat baik. Ramai ahli keluarga Bethel jemput saya untuk makan bersama atau minum teh. Semasa di set penggambaran, semua orang buat saya rasa selesa dan dikasihi. Saya terima banyak berkat sepanjang masa saya di sana. Apa yang saya buat tidak rasa seperti suatu pengorbanan!”

 Derek bekerja dengan pasukan pengeluaran video. Dia kata, “Sejak permulaan, saudara saudari daripada pelbagai bahagian telah memberi kami banyak sokongan. Saya sangat menghargai saudara saudari yang telah mengorbankan masa, harta benda, dan tenaga untuk projek ini. Mereka baik hati dan sudi membantu dengan rela hati. Kami dapat lihat dengan jelas berkat Yehuwa terhadap kami semua. Saya yakin Yehuwa bukan saja menitikberatkan hasil kerja kami tapi juga cara kami melakukannya.”

 Terima kasih kerana menyokong penghasilan siri video ini melalui sumbangan, termasuk sumbangan anda di donate.pr418.com.

a Pejabat cawangan Australasia menyelia kerja kita di banyak negara, termasuk Australia dan kawasan lain di Pasifik Selatan. Cawangan ini terletak di kawasan luar bandar Sydney, Australia.