BAGAIMANA SUMBANGAN ANDA DIGUNAKAN
Berita yang Dapat Dipercayai dan Menguatkan Iman
1 DISEMBER 2021
Saksi-Saksi Yehuwa sangat mengambil berat terhadap rakan seiman mereka. (1 Petrus 2:17) Ramai daripada kita mempunyai perasaan yang sama seperti saudari Tannis dari Kenya. Dia berkata, “Saya sangat suka mengetahui tentang apa yang berlaku kepada saudara dan saudari saya di seluruh dunia.” Bagaimanakah Tannis dan jutaan Saksi yang lain mengetahui apa yang sedang berlaku? Sejak 2013, kita boleh mendapatkan maklumat tersebut melalui Ruangan Berita di laman web kita, iaitu jw.org.
Ruangan Berita ini mempunyai laporan-laporan yang dapat dipercayai tentang Saksi-Saksi Yehuwa. Topik-topik yang tersedia adalah seperti pengeluaran Bible, kerja membantu mangsa bencana, projek pembinaan, dan peristiwa khas yang lain. Ruangan ini juga memberi maklumat tentang rakan seiman yang telah dipenjarakan kerana iman mereka. Selain itu, bahagian ini mempunyai pengalaman-pengalaman yang menggalakkan tentang kempen aktiviti penyebaran dan sambutan Peringatan. Bagaimanakah semua berita ini dikaji dan disediakan?
Mengenal pasti dan Melaporkan Berita
Ruangan Berita dikendalikan oleh Pejabat Maklumat Umum (OPI). Bahagian ini terletak di ibu pejabat sedunia dan menerima arahan daripada Jawatankuasa Koordinator bagi Badan Pimpinan. OPI terdiri lebih daripada 100 orang saudara saudari yang berkhidmat sebagai penulis, penyelidik, seniman visual, dan penterjemah. Kebanyakan daripada mereka berkhidmat sebagai sukarelawan luar Bethel. Yang lain pula ditugaskan sebagai wakil untuk berhubung dengan pegawai kerajaan, para profesor dan guru, serta pihak media. OPI dibantu oleh lebih daripada 80 Bahagian Maklumat Umum (PID) di cawangan-cawangan yang terdapat di seluruh dunia.
Bahagian OPI saling bekerjasama dengan bahagian PID untuk menyediakan bahan berita. Setelah mengenal pasti berita yang ingin disampaikan, mereka kemudiannya mengkaji serta mengumpulkan maklumat yang sahih berkenaan berita tersebut. Kajian ini merangkumi temu ramah dan perbualan yang diadakan dengan para pakar. Setelah semua fakta itu dikumpulkan, berita itu akan ditulis, disunting, dan disemak. Gambar-gambar yang sesuai juga akan ditambahkan. Akhirnya, berita tersebut akan dihantar kepada Jawatankuasa Koordinator untuk mendapatkan kelulusan.
Kata-Kata Penghargaan
Apakah perasaan saudara saudari tentang Ruangan Berita? Saudari Cheryl dari Filipina berkata, “Saya sangat suka untuk memulakan hari saya dengan membaca berita tentang organisasi Yehuwa dan umat-Nya.”
Kebanyakan pembaca kita dapat melihat perbezaan di antara Ruangan Berita jw.org dengan berita dari pihak media yang lain. Tatiana dari Kazakhstan berkata, “Saya dapat mempercayai berita yang dikeluarkan di jw.org. Saya menghargai hal ini. Semua berita itu berdasarkan fakta yang benar dan dapat dipercayai.” Seorang saudari yang bernama Alma dari Mexico berkata, “Ruangan Berita sangat menggalakkan saya jika dibandingkan dengan berita buruk yang kita biasa dengar dalam media.”
Ruangan Berita ini bukan sahaja dapat dipercayai, malah dapat menguatkan iman kita. Bernard dari Kenya berkata, “Ruangan Berita telah membantu saya memandang saudara saudari di seluas dunia sebagai keluarga saya, tidak kira di mana mereka berada. Saya dapat menyebut nama dan situasi spesifik mereka dalam doa saya.” Saudari Bybron dari Kenya juga berkata, “Saya selalu berasa teruja apabila melihat rencana tentang pengeluaran Bible dalam bahasa yang lain! Rencana ini mengingatkan saya bahawa Yehuwa tidak berat sebelah.”
Selain itu, berita tentang saudara saudari yang mengalami penganiayaan juga bahkan dapat memberikan kesan yang positif kepada kita. Jackline dari Kenya mengatakan, “Keberanian mereka telah menguatkan iman saya. Saya selalu mencari tahu sebabnya mereka dapat terus bertabah. Saya belajar bagaimana perkara yang nampaknya kecil seperti berdoa, membaca Bible dan bahkan menyanyi dapat memainkan peranan yang penting untuk menguatkan saudara saudari kita.”
Saudari Beatriz dari Costa Rica menghargai berita mengenai bencana alam yang telah berlaku. Dia berkata, “Ruangan Berita ini membantu saya melihat bagaimana organisasi kita menyediakan keperluan saudara saudari dalam cara yang cepat, lancar, dan penuh kasih. Tindakan ini meyakinkan saya bahawa inilah organisasi Yehuwa.”
Betapa bersyukurnya kita kerana dapat menerima berita terkini mengenai persaudaraan sedunia! Perkara ini tidak dapat dilakukan tanpa sumbangan anda untuk kerja sedunia, yang kebanyakannya diberikan melalui donate.pr418.com. Terima kasih atas sumbangan anda yang murah hati.