Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAGAIMANA SUMBANGAN ANDA DIGUNAKAN

Kelebihan Dapat Memenuhi Kekurangan

Kelebihan Dapat Memenuhi Kekurangan

1 OKTOBER 2020

 Saksi-Saksi Yehuwa menjalankan aktiviti keagamaan dan kemanusiaan di lebih daripada 200 negara dan kawasan. Namun, hanya sekitar 35 negara dan kawasan menerima sumbangan yang mencukupi untuk menutupi perbelanjaan yang diperlukan. Jadi bagaimanakah perbelanjaan di negara dan kawasan yang kurang berkemampuan dibiayai?

 Badan Pimpinan mempertimbangkan keperluan Saksi-Saksi Yehuwa di serata dunia agar mereka dapat menjalankan ibadat kepada Yehuwa dan menyebarkan berita baik. Wang yang disumbangkan diatur dan digunakan dengan sebaik-baiknya. Jika sebuah cawangan menerima sumbangan yang melebihi apa yang diperlukan untuk menjaga keperluan tempatan, lebihan sumbangan itu akan diberikan kepada negara dan kawasan yang memerlukannya. Aturan ini mengikut contoh orang Kristian pada abad pertama yang membantu satu sama lain agar “tanggungan yang dipikul menjadi sama rata.” (2 Korintus 8:14) Mereka menggunakan kelebihan mereka untuk memenuhi kekurangan orang Kristian yang lain.

 Apakah perasaan saudara saudari yang telah menerima bantuan kewangan dari cawangan-cawangan lain? Sebagai contoh, lebih daripada setengah penduduk di Tanzania mempunyai pendapatan yang kurang daripada lapan ringgit sehari. Meskipun begitu, Dewan Perjumpaan yang digunakan oleh Sidang Mafinga dapat diubah suai dengan adanya bantuan sumbangan dari cawangan lain. Sidang itu menulis, “Selepas Dewan Perjumpaan diubah suai, jumlah hadirin semakin meningkat! Kami sangat bersyukur kepada organisasi Yehuwa dan persaudaraan sedunia. Kemurahan hati mereka telah membolehkan kami untuk ada tempat ibadat yang begitu indah.”

 Sesetengah saudara saudari di Sri Lanka telah mengalami masalah kekurangan makanan akibat pandemik COVID-19. Antaranya ialah Imara Fernando dan anak lelakinya, Enosh. Namun, dengan adanya sumbangan dari negara dan kawasan lain, mereka telah menerima bantuan yang diperlukan. Mereka membuat sekeping kad dan menulis, “Kami berterima kasih terhadap saudara saudari yang telah menunjukkan kasih kepada kami pada masa yang susah ini. Kami sangat gembira menjadi sebahagian daripada keluarga Yehuwa, dan kami terus berdoa agar Yehuwa membantu semua saudara saudari pada hari-hari terakhir ini.”

Imara dan Enosh Fernando

 Tidak kira di mana saudara saudari kita berada, mereka terdorong untuk mengongsi apa yang dimiliki mereka. Sebagai contoh, Enosh membuat peti sumbangan yang kecil supaya dia dapat mengumpul wang untuk membantu keluarga yang memerlukannya. Guadalupe Álvarez juga menunjukkan kemurahan hati yang sama. Dia tinggal di sebuah kawasan di Mexico, di mana kebanyakan orang tidak menerima gaji minimum yang ditetapkan kerajaan atau tiada pendapatan yang tetap. Namun, dia masih berusaha memberikan sumbangan kepada organisasi Yehuwa. Dia menulis, “Saya sangat bersyukur kepada Yehuwa atas kebaikan hati dan kasih setia-Nya. Saya tahu sumbangan saya akan digabungkan dengan sumbangan orang lain dan digunakan untuk membantu rakan seiman yang memerlukannya.”

 Pejabat-pejabat cawangan gembira untuk mengirim wang sumbangan ke kawasan-kawasan yang memerlukannya. Anthony Carvalho, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan di Brazil, berkata, “Selama bertahun-tahun, kerja teokratik di negara kami memerlukan bantuan kewangan dari negara-negara lain. Dengan adanya bantuan ini, kami alami peningkatan yang pesat. Kini, keadaan kewangan kami sudah berubah dan kami berpeluang untuk membantu orang lain. Para saudara di sini selalu memikirkan cara mereka dapat menyokong kerja penyebaran sedunia.”

 Apakah cara terbaik Saksi-Saksi Yehuwa dapat menyokong saudara saudari yang memerlukan bantuan? Anda tidak perlu mengirim wang terus ke pejabat cawangan di negara lain. Sebaliknya, anda boleh membuat sumbangan untuk kerja sedunia. Anda boleh memasukkan sumbangan ke dalam peti yang berlabel “Kerja Sedunia” di Dewan Perjumpaan, atau menerusi donate.pr418.com. Semua sumbangan yang diberikan amat dihargai.