Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAGAIMANA SUMBANGAN ANDA DIGUNAKAN

Memastikan Dewan Perjumpaan Selamat semasa COVID-19

Memastikan Dewan Perjumpaan Selamat semasa COVID-19

1 OKTOBER 2022

 “Badan Pimpinan telah mengizinkan semua sidang untuk menyambung semula perjumpaan secara bersemuka bermula 1 April, jika tiada sekatan daripada pihak berkuasa tempatan.” Pada awal Mac 2022, pengumuman itu dipaparkan dalam jw.org. Hasilnya, hati Saksi-Saksi Yehuwa di serata dunia melonjak kegembiraan. Namun, pandemik COVID-19 masih belum berakhir. a Apakah penyesuaian, bekalan, dan peralatan yang diperlukan untuk lindungi hadirin perjumpaan daripada virus itu? Selepas sekitar dua tahun tanpa perjumpaan bersemuka, adakah Dewan Perjumpaan kita selamat untuk berkumpul?

 Sebenarnya, selama berbulan-bulan para saudara telah buat persiapan untuk menyambung semula perjumpaan bersemuka di Dewan Perjumpaan.

Keperluan Berbeza, Penyelesaian pun Berbeza

 Hanya sebulan selepas kita berhenti mengadakan perjumpaan bersemuka pada 2020, Bahagian Rekaan dan Pembinaan Sedunia (WDC) di Warwick, New York, mula mengkaji bagaimana COVID-19 akan mempengaruhi cara kita guna Dewan Perjumpaan. Selain itu, mereka juga fikirkan apa yang perlu dilakukan supaya tempat beribadat kita selamat.

 Apa yang diperlukan adalah berbeza mengikut kawasan. Matthew De Sanctis, yang bekerja dengan WDC menjelaskan, “Di sesetengah kawasan, satu cabaran ialah kurang kemudahan untuk basuh tangan. Jika Dewan Perjumpaan tiada bekalan air paip, air perlu dibeli atau diangkut dari sungai atau perigi berdekatan. Di negara lain pula, sesetengah kerajaan mengubah peraturan tentang penyaman udara dan aliran pengudaraan, serta tanda-tanda tentang kesihatan dan kebersihan yang perlu diletakkan.”

 Apa yang para saudara kita lakukan untuk hadapi cabaran-cabaran tersebut? Mereka dapati bahawa untuk kebanyakan Dewan Perjumpaan, “penyelesaian yang mudah dan murah amat berkesan,” kata Matthew. Contohnya, di Papua New Guinea, stesen basuh tangan yang asas dipasang dengan menggunakan baldi plastik 20 liter yang dilengkapi paip. Jadi, para saudara dapat sediakan tempat basuh tangan di Dewan Perjumpaan kawasan pedalaman hanya sekitar RM 180 ($40 A.S.). Bagi Dewan Perjumpaan di Afrika pula, lebih daripada 6,000 stesen basuh tangan yang bermutu tinggi telah dibeli dari pembekal di Asia.

Ibu bapa jadi contoh baik untuk anak dari segi kebersihan

 Perubahan yang lain termasuk memasang atau mengubah suai kipas serta mesin pengudaraan supaya udara dalam dewan lebih segar. Kebanyakan sidang membeli batang joran panjang untuk mikrofon supaya para hadirin tidak perlu sentuh mikrofon. Selain itu, virus senang tersebar pada tempat-tempat yang sering disentuh orang seperti pemegang pintu dan kepala paip. Jadi, usaha dicurahkan untuk kurangkan tempat sentuhan dan sanitasikannya secara kerap. Di bilik air, sesetengah sidang memasang paip sensor, yang akan buka secara automatik. Di Chile, kos untuk semua perubahan yang diperlukan ialah sekitar RM 6,300 ($1,400 A.S.) secara purata bagi setiap Dewan Perjumpaan.

Para hadirin tidak perlu sentuh mikrofon

 Selain pentingkan keselamatan Dewan Perjumpaan, para saudara juga berusaha untuk jimatkan wang sumbangan. Misalnya, di sesetengah negara, mereka memanfaatkan bantuan kerajaan untuk membeli stesen basuh tangan dan batang joran mikrofon. Pejabat-pejabat cawangan bekerjasama untuk menjimatkan wang sumbangan dengan membeli bekalan dalam jumlah yang banyak. Cawangan-cawangan dan Bahagian Pembelian Global sering atur untuk beli terus daripada pengilang. Dengan itu, harga dan masa penghantaran dapat dikurangkan.

Stesen sanitasi tangan

“Itulah yang Diperlukan untuk Buat Saya Rasa Selamat”

 Aturan untuk pastikan Dewan Perjumpaan selamat telah melindungi dan meyakinkan mereka yang mula hadiri perjumpaan bersemuka. Dulcine, seorang saudari di Peru, mengaku bahawa dia “rasa sikit takut” semasa dengar kita akan kembali ke Dewan Perjumpaan. Dia kata, “Saya dijangkiti COVID-19 tidak lama selepas pandemik mula. Jadi, saya rasa kurang selesa untuk kembali ke dewan kerana saya mungkin dijangkiti virus sekali lagi. Tapi selepas saya sampai di Dewan Perjumpaan, saya nampak para penatua sudah lakukan banyak perkara untuk pastikan kita selamat. Contohnya, penggunaan stesen basuh tangan dan batang joran mikrofon, serta aturan untuk bersihkan dewan dengan sepenuhnya, sebelum dan selepas setiap perjumpaan. Itulah yang diperlukan untuk buat saya rasa selamat.” b

Membersihkan Dewan Perjumpaan dengan menyeluruh

 Sara, seorang saudari di Zambia, hadapi cabaran yang berbeza. Dia jelaskan, “Beberapa bulan yang lalu, suami saya meninggal akibat COVID-19. Saya risau bagaimana perasaan saya kalau saya hadiri perjumpaan bersemuka buat kali pertama tanpa suami.” Kini apa pula perasaannya? Dia kata, “Perjumpaan bersemuka membuktikan kepada saya bahawa Yehuwa di samping kita semasa hari-hari terakhir ini. Lebih-lebih lagi sekarang, saya dapat rasai galakan, kasih, dan sokongan yang diperlukan daripada para penatua serta saudara saudari saya.”

Gembira dapat berjumpa bersemuka semula

 Rakan seiman tersayang kita di serata dunia bersyukur atas peluang untuk kembali ke Dewan Perjumpaan. Terima kasih untuk sumbangan anda yang kebanyakannya menerusi donate.pr418.com. Sumbangan ini bantu kita berkumpul dalam keadaan selesa dan selamat di pusat ibadat yang sejati.

a Jika mungkin, mereka yang perlu hadiri perjumpaan menerusi persidangan video atau telefon dapat berbuat demikian.

b Tambahan pula, pada masa itu hadirin amat digalakkan untuk pakai pelitup muka semasa di Dewan Perjumpaan.