Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAGAIMANA SUMBANGAN ANDA DIGUNAKAN

Membantu Mangsa Bencana pada Tahun 2022—Menunjukkan Kasih kepada Rakan Seiman

Membantu Mangsa Bencana pada Tahun 2022—Menunjukkan Kasih kepada Rakan Seiman

1 JANUARI 2023

 Bible menubuatkan bahawa peperangan, gempa bumi, wabak penyakit, dan ‘kejadian lain yang menakutkan’ akan berlaku pada zaman kita. (Lukas 21:10, 11) Pada tahun aktiviti penyebaran 2022, peristiwa-peristiwa ini terus mempengaruhi kehidupan ramai orang. a Contohnya, perang di Ukraine masih berterusan sehingga sekarang, dan menjejaskan kehidupan berjuta-juta orang. Kebanyakan tempat juga masih belum pulih daripada pandemik COVID-19. Selain itu, bencana alam seperti gempa bumi di Haiti, dan ribut taufan di Amerika Tengah, Filipina, dan kawasan tenggara Afrika telah menyebabkan banyak kerosakan. Bagaimanakah Saksi-Saksi Yehuwa membantu rakan seiman mereka?

 Pada tahun aktiviti penyebaran 2022, organisasi kita telah membelanjakan hampir 12 juta dolar untuk memberikan bantuan kepada mangsa yang terjejas akibat 200 kejadian bencana. b Mari kita lihat bagaimana sumbangan anda digunakan dalam kerja bantuan bencana.

Gempa Bumi di Haiti

 Pada 14 Ogos 2021, gempa bumi yang berukuran 7.2 pada skala Richter telah melanda kawasan selatan Haiti. Sedihnya, dua orang saudari dan seorang saudara telah terkorban. Bencana ini telah menyebabkan banyak orang menderita dan kerosakan harta benda. Seorang saudara yang bernama Stephane kata, “Banyak orang terkorban di seluruh bandar. Sepanjang dua bulan, terdapat banyak upacara pengebumian yang dijalankan setiap minggu.” Seorang lagi saudara yang bernama Éliézer berkata, “Ramai Saksi tidak mempunyai rumah, pakaian, dan keperluan asas yang lain. Selama berbulan-bulan, banyak orang hidup dalam ketakutan kerana terdapat gegaran susulan yang berlanjutan.”

 Organisasi kita telah memberikan bantuan dengan segera. Pejabat cawangan Haiti telah menyumbangkan lebih daripada 53 tan makanan kepada mangsa bencana. Selain itu, saudara saudari menerima khemah, kanvas, tilam, dan pengecas bateri solar untuk telefon bimbit. Pada tahun aktiviti penyebaran 2022, lebih daripada 100 buah rumah telah dibaiki atau dibina semula. Organisasi kita telah membelanjakan lebih daripada sejuta dolar dalam kerja bantuan bencana.

Menghantar bekalan makanan, Haiti

 Saudara saudari kita sangat menghargai bantuan tersebut. Lorette kata, “Disebabkan gempa bumi itu, kami kehilangan segala-galanya, termasuk rumah dan perniagaan kami. Kami tiada makanan langsung. Tapi organisasi Yehuwa berikan bantuan dan menyediakan semua keperluan kami.” Micheline kata, “Tempat tinggal kami musnah akibat gempa bumi. Saya dan dua anak lelaki saya tidak tahu apa yang patut dibuat. Saya hanya mampu berdoa kepada Yehuwa, dan Dia menjawab doa saya melalui organisasi-Nya. Sekarang, kami ada rumah yang lebih baik dan selamat. Saya mahu melakukan sebanyak yang mungkin untuk menunjukkan rasa syukur dan membalas kebaikan Yehuwa.”

 Usaha untuk membantu mangsa bencana turut diperhatikan oleh pihak berkuasa. Pengarah majlis bandar L’Asile berkata, “Mula-mula, saya ingin ucapkan syabas! Organisasi kamu memberikan bantuan dengan segera dan sangat menghormati pihak berkuasa. Kamu membantu orang lain dengan ikhlas, dan bukannya kerana ingin mengaut keuntungan. Kasih mendorong kamu untuk menghulurkan bantuan.”

Ribut Tropika Ana Melanda Malawi dan Mozambique

 Pada 24 Januari 2022, Ribut Tropika Ana telah membadai Mozambique dan Malawi. Hujan lebat dan angin kencang yang mencecah 100 kilometer sejam membawa kemusnahan yang teruk. Banyak kawasan ditenggelami air, jambatan dihanyutkan banjir, dan tiang-tiang elektrik tumbang.

 Lebih daripada 30,000 Saksi-Saksi Yehuwa di Malawi dan Mozambique terjejas akibat ribut itu. Seorang saudara bernama Charles yang terlibat dalam kerja bantuan bencana berkata, “Hati saya hancur apabila melihat saudara saudari menderita. Semuanya musnah, dan saya rasa saya tidak dapat buat banyak untuk membantu mereka. Itu buat saya sangat sedih.” Bekalan makanan dan tanaman saudara saudari turut dihanyutkan, dan ramai kehilangan tempat tinggal mereka. Sedihnya, isteri kepada seorang saudara dan dua anaknya telah mati lemas apabila bot penyelamat yang dinaiki mereka terbalik.

Rumah sepasang suami isteri yang rosak, Mozambique

Rumah yang dibina semula

 Ribut itu sungguh menakutkan! Keluarga Sengeredo dari Nchalo, Malawi, menceritakan apa yang berlaku. Pada jam 1:00 pagi, mereka mendengar bunyi air sungai yang mengalir dengan deras. Saudara Sengeredo dan keluarganya segera meninggalkan rumah mereka kerana paras air di dua sungai yang berdekatan sudah naik dan mula melimpah. Syukurlah saudara kita telah membuat keputusan yang bijak dan bertindak tanpa berlengah-lengah. Tidak lama selepas itu, rumah mereka telah roboh akibat banjir dan semua barang mereka rosak atau dihanyutkan. Biasanya, mereka mengambil masa 30 minit untuk berjalan ke Dewan Perjumpaan. Tetapi kali ini, perjalanan mereka telah mengambil masa dua jam. Walaupun mereka sangat penat dan terpaksa mengharungi ribut itu, mereka akhirnya tiba di sana dengan selamat.

 Cawangan Malawi dan Mozambique telah mengaturkan kerja bantuan mangsa bencana dengan segera. Beberapa Jawatankuasa Bantuan Bencana (DRC) juga ditugaskan untuk menyelia kerja tersebut. Para penyelia litar dan penatua diminta untuk memantau keperluan saudara saudari yang terjejas dan memberikan sokongan rohani dan emosi kepada mereka. DRC membantu rakan seiman kita mendapatkan bekalan makanan dan barang keperluan yang lain dengan segera. Lebih daripada 33,000 dolar telah disalurkan untuk kerja bantuan kemanusiaan dan lebih daripada 300,000 dolar untuk kerja membaiki dan membina semula rumah saudara saudari.

 Oleh sebab kadar inflasi yang sangat tinggi, DRC harus menggunakan dana yang tersedia dengan cermat. Contohnya, dalam tempoh tujuh bulan yang pertama, harga tepung jagung yang merupakan makanan asas di Malawi telah meningkat sebanyak 70 peratus. Selain itu, harga petrol juga naik. Maka, para saudara membeli makanan dan bahan pembinaan daripada pembekal tempatan secara borong. Dengan cara ini, mereka bukan hanya mendapat diskaun, tetapi juga menjimatkan kos penghantaran.

 Saudara saudari amat tersentuh kerana sokongan dan bantuan yang dihulurkan. Saudara Felisberto dari Mozambique berkata, “Saya tidak pernah lihat mana-mana organisasi yang memberi dengan begitu murah hati. Organisasi [Yehuwa] menyediakan bahan binaan, pengangkutan, sukarelawan, makanan, dan sokongan yang pengasih. Ini memang kasih persaudaraan yang Yesus katakan di Yohanes 13:34, 35.” Seorang balu bernama Ester dari Malawi yang kehilangan tempat tinggalnya berkata, “Saya hampir putus harapan sebab saya tiada duit untuk membina semula rumah saya yang sudah musnah. Tapi, saudara saudari membina rumah yang baru untuk saya. Saya sangat bersyukur dan rasa seperti saya sudah di Firdaus.”

 Sementara menantikan dunia baharu tiba, kita dapat menjangkakan bahawa banyak bencana dan malapetaka akan berlaku. (Matius 24:7, 8) Dengan adanya sumbangan anda yang murah hati, umat Yehuwa pasti menerima bantuan yang mereka perlukan. Untuk mengetahui cara memberikan sumbangan, sila lihat donate.pr418.com. Terima kasih atas kemurahan hati yang anda tunjukkan.

a Tahun aktiviti penyebaran 2022 bermula pada 1 September 2021 sehingga 31 Ogos 2022.

b Nilai dolar dalam rencana ini merujuk kepada dolar Amerika.