Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAGAIMANA SUMBANGAN ANDA DIGUNAKAN

Menonton atau Mendengar Program Konvensyen

Menonton atau Mendengar Program Konvensyen

1 OGOS 2021

 Konvensyen serantau 2020 ialah detik bersejarah. Konvensyen itu merupakan konvensyen sedunia pertama bagi kita yang dirakam dan disiarkan menerusi Internet! Namun, di Malawi dan Mozambique, kebanyakan saudara saudari menikmati konvensyen tanpa menggunakan Internet. Bagaimana mungkin?

 Sebagai pengecualian, Jawatankuasa Koordinator dan Jawatankuasa Mengajar di bawah penyeliaan Badan Pimpinan meluluskan agar program konvensyen disiarkan menerusi televisyen dan radio di Malawi dan Mozambique. Mengapakah pengecualian ini diperlukan? Harga data Internet di Malawi antara yang termahal di dunia. Maka, hanya sedikit Saksi dapat mengakses Internet. Seperti yang dijelaskan William Chumbi, ahli Jawatankuasa Cawangan Malawi, “Radio atau televisyen ialah satu-satunya cara untuk menyalurkan makanan rohani kepada saudara saudari.” Luka Sibeko, yang juga berkhidmat dalam Jawatankuasa Cawangan Malawi menambah, “Tanpa TV dan radio, mungkin hanya sikit saudara saudari di kawasan cawangan dapat nikmati konvensyen.” Di Mozambique pula, hanya beberapa saudara saudari mampu beli alat elektronik, apatah lagi Internet.

Membuat Aturan

 Disebabkan pandemik COVID-19, sesetengah stesen radio dan televisyen menyiarkan perjumpaan sidang. a Para saudara menghubungi stesen-stesen tersebut dan minta agar program konvensyen juga disiarkan.

 Di Malawi, para saudara telah menghadapi satu cabaran. Biasanya, masa siaran dihadkan kepada sejam setiap kali. Stesen risau bahawa program yang lebih panjang mungkin buat hadirin bosan. Tapi saudara kita menjelaskan bahawa kerja kita membantu komuniti. Walaupun semasa sekatan pergerakan, kita memberi orang ramai akses kepada berita baik dalam Bible. Semua ini membantu orang menjadi warganegara yang baik dan menikmati kebahagiaan keluarga. Selepas mendengar penjelasan itu, stesen-stesen menerima permintaan para saudara untuk melanjutkan masa siaran.

 Di Malawi, program konvensyen disiarkan oleh satu stesen radio dan satu stesen televisyen. Kedua-dua stesen itu mempunyai liputan di seluruh negara dan dapat mencapai jutaan orang. Di Mozambique, program konvensyen disiarkan oleh satu stesen televisyen dan 85 stesen radio.

 Di kedua-dua negara, sejumlah $28,227 b digunakan untuk siaran televisyen, dan hampir $20,000 untuk siaran radio. Kos untuk siaran radio bermula dari $15 untuk stesen kecil dan mencapai $2,777 untuk stesen yang ada liputan di seluruh negara.

 Para saudara bekerja keras untuk menggunakan sumbangan dengan sebaik-baiknya. Contohnya, di Malawi, mereka berjaya mendapatkan diskaun, termasuk satu diskaun sebanyak 30 peratus. Maka, mereka menjimatkan sejumlah $1,711. Di Mozambique, sesetengah stesen sudi kurangkan kadar kerana tahu bahawa kita jujur dan selalu membayar pada masa yang ditetapkan.

Luahan Penghargaan

 Saudara saudari amat hargai aturan untuk menonton atau mendengar program konvensyen menerusi stesen tempatan. Patrick, seorang penatua dari Malawi berkata, “Kami berterima kasih kepada Badan Pimpinan atas semua yang mereka lakukan demi kami semasa pandemik ini.” Isaac yang juga dari Malawi berkata, “Kami tidak ada alat elektronik lain. Jadi, kami amat bersyukur atas aturan istimewa dari organisasi Yehuwa untuk menikmati konvensyen menerusi radio. Hasilnya, seluruh keluarga saya mendapat manfaat dari konvensyen. Kami dapat rasa ini ialah bukti kasih Yehuwa kepada umat-Nya.”

 Konvensyen 2020 merupakan konvensyen pertama bagi seorang penyiar di Mozambique. Dia berkata, “Aturan untuk menonton program konvensyen menerusi TV ingatkan saya bahawa Yehuwa ialah Tuhan Yang Maha Kuasa. Pandemik ini tidak menghalang-Nya daripada memberi kami makanan rohani. Sebaliknya, Dia hidangkannya di ruang tamu saya. Saya lihat ini sebagai bukti kasih antara umat Yehuwa. Saya yakin inilah agama yang benar.”

 Seorang penatua bernama Wyson berkata, “Saya ingin luahkan penghargaan atas cara hamba yang setia menjaga kami semasa pandemik ini. Walaupun ramai antara kami miskin, aturan untuk siarkan program konvensyen menerusi radio dan TV telah bantu kami memanfaatkannya.”

 Bagi konvensyen serantau 2021, Jawatankuasa Koordinator dan Jawatankuasa Mengajar sekali lagi membuat pengecualian agar program konvensyen disiarkan menerusi radio dan televisyen di sesetengah komuniti. Bagaimanakah kita membiayai kos siaran? Melalui sumbangan untuk kerja sedunia, yang kebanyakannya disumbangkan menerusi pelbagai cara di donate.pr418.com. Terima kasih atas sumbangan anda yang murah hati.

a Pada 2020, Jawatankuasa Koordinator meluluskan agar perjumpaan sidang disiarkan menerusi radio dan televisyen di sesetengah tempat semasa pandemik COVID-19. Sambungan Internet dan perkhidmatan telefon bimbit di sesetengah kawasan susah didapati atau mahal. Maka, JW Stream atau perjumpaan sidang tempatan sukar diakses. Aturan ini membantu mereka yang tinggal di kawasan sebegitu. Namun, aturan ini bukan untuk komuniti yang dapat menyambung kepada perjumpaan sidang tempatan menerusi Internet.

b Nilai dolar dalam rencana ini merujuk kepada dolar Amerika.