BAGAIMANA SUMBANGAN ANDA DIGUNAKAN
Pejabat Penterjemahan Membawa Banyak Manfaat bagi Jutaan Orang
1 MAC 2021
Terdapat lebih daripada 60 peratus kumpulan penterjemah sepenuh masa yang bekerja di pejabat penterjemahan (RTO), dan bukannya di pejabat cawangan. Mengapakah aturan ini bermanfaat? Apakah peralatan yang diperlukan agar para penterjemah dapat bekerja dengan efektif di RTO? Bagaimanakah lokasi kumpulan penterjemah dapat mempengaruhi kualiti terjemahan mereka?
Para penterjemah yang berkhidmat di RTO dapat tinggal di kawasan di mana banyak orang menuturkan bahasa mereka. Karin, yang merupakan penterjemah bahasa Low German, menjelaskan, “Sejak kami pindah ke RTO di Cuauhtémoc, Chihuahua, Mexico, kami selalu cakap bahasa Low German semasa menginjil, semasa membeli barang, dan dengan penterjemah lain. Semua orang di sekeliling kami menuturkan bahasa itu. Kami dapat dengar banyak ungkapan yang kami sudah lama tidak dengar, dan kami dapat mengetahui kosa kata yang sedang digunakan orang ramai.”
James berkhidmat dalam kumpulan penterjemahan bahasa Frafra di Ghana. Dia mengakui bahawa ada kalanya dia rindu bergaul dengan ahli Bethel di pejabat cawangan. Namun, dia berkata, “Saya sangat suka bekerja di RTO. Saya dapat menggunakan bahasa tempatan untuk menginjil, dan saya tersentuh semasa melihat reaksi orang terhadap berita baik.”
Bagaimanakah para saudara menentukan lokasi untuk menubuhkan RTO? Joseph, seorang ahli Bahagian Rekaan dan Pembinaan Sedunia di Warwick, New York, A.S., berkata, “Salah satu cabarannya ialah bahawa sesetengah kawasan ada gangguan elektrik atau air, atau ada masalah Internet dan tidak boleh menerima fail yang perlu diterjemahkan. Jadi semasa menubuhkan RTO, kami akan mempertimbangkan lebih daripada satu lokasi di mana bahasa itu dituturkan.”
Biasanya, pilihan yang paling mudah dan tidak mahal adalah dengan menubuhkan RTO di Dewan Perhimpunan, Dewan Perjumpaan, atau rumah mubaligh. Para penterjemah akan ulang-alik ke sana. Jika tiada kemudahan sebegitu, para saudara mungkin mendapat kelulusan untuk membeli apartmen dan pejabat agar para penterjemah boleh tinggal dan bekerja di sana. Jika terdapat perubahan dalam kumpulan penterjemah, apartmen dan pejabat itu boleh dijual dan wang tersebut boleh dikhaskan untuk kegunaan lain.
Peralatan Disediakan untuk Melaksanakan Tugasan
Pada tahun aktiviti penyebaran 2020, sebanyak 13 juta dolar Amerika digunakan untuk menyokong semua RTO. Mereka yang berkhidmat di RTO memerlukan komputer, perisian yang khas, peralatan untuk rakaman audio, Internet, dan kemudahan asas. Misalnya, sekitar 750 dolar Amerika diperlukan untuk memasang komputer bagi satu pengguna. Setiap komputer mempunyai perisian komersial dan program yang dipanggil Sistem Terjemahan Watchtower. Program ini membolehkan para penterjemah mengatur kerja mereka dan mencari bahan rujukan dengan mudah.
Para penterjemah juga menerima peralatan rakaman audio agar mereka boleh membuat rakaman di pejabat sendiri. Peralatan sebegini sangat berguna semasa pandemik COVID-19, kerana banyak penterjemah boleh membawa pulang alat tersebut dan terus membuat rakaman bagi bahan bacaan dan video yang diterjemahkan.
Sukarelawan tempatan sering membantu untuk menilai bahan bacaan yang diterjemahkan dan juga menjaga kemudahan RTO. Cirstin, yang berkhidmat di RTO Afrikaans di Cape Town, Afrika Selatan, berkata, “Banyak penyiar dan perintis biasa berpeluang untuk bekerja di sini.”
Para sukarelawan gembira dapat bekerja di RTO. Seorang saudari yang membantu di RTO berkata bahawa bekerja di sana sangat “menyegarkan.” Sesetengah saudara saudari tempatan juga menggunakan suara mereka untuk membuat rakaman audio. Juana, seorang penterjemah bahasa Totonac di Veracruz, Mexico, berkata, “Oleh sebab kami berada di kawasan yang menuturkan bahasa kami, adalah lebih senang bagi saudara saudari untuk membuat rakaman bagi bahan audio dan video.”
Namun, adakah mutu terjemahan yang dilakukan di RTO semakin baik? Banyak pembaca kita berkata, “Ya!” Cédric, yang bekerja dalam kumpulan penterjemah bahasa Kongo di Republik Demokratik Congo, menyatakan, “Dulu, sesetengah saudara saudari berkata bahawa bahan bacaan kami diterjemahkan dalam ‘bahasa Kongo gaya Watch Tower,’ kerana bahasa tersebut tidak biasa digunakan. Tetapi sekarang, mereka berkata bahawa bahan bacaan kami menggunakan bahasa Kongo yang moden, iaitu bahasa seharian.”
Andile, yang berkhidmat dalam kumpulan penterjemah Xhosa, pun mendengar reaksi yang sama di Afrika Selatan. Dia berkata, “Banyak orang memberitahu kami bahawa mereka nampak perubahan dalam terjemahan yang dibuat. Bahkan kanak-kanak yang dahulunya membaca Menara Pengawal dalam bahasa Inggeris pun membacanya dalam bahasa Xhosa sekarang. Mereka sangat suka Terjemahan Dunia Baharu yang dikemaskinikan kerana terjemahan itu mudah difahami.”
Semua perbelanjaan untuk menubuhkan dan menjaga RTO serta menyokong para pekhidmatnya dibiayai melalui derma sukarela untuk kerja sedunia dan sumbangan yang dibuat menerusi donate.pr418.com.