BAGAIMANA SUMBANGAN ANDA DIGUNAKAN
Penghasilan Video untuk Konvensyen Serantau 2020 “Sentiasa Bersukacita”!
10 OGOS 2020
Video-video yang ditayangkan semasa konvensyen serantau menyentuh hati kita dan membantu kita memahami ajaran Bible dengan lebih baik. Seluruh program Konvensyen Serantau 2020 “Sentiasa Bersukacita”! mempunyai 114 video termasuk 43 ceramah yang disampaikan oleh ahli Badan Pimpinan dan pembantu mereka. Pernahkah anda tertanya-tanya, berapa banyakkah usaha dan perbelanjaan yang diperlukan untuk menghasilkan video-video tersebut?
Terdapat kira-kira 900 orang saudara saudari kita dari serata dunia yang rela menggunakan masa dan kemahiran mereka untuk membantu menghasilkan program tersebut. Secara keseluruhan, mereka telah meluangkan kira-kira 100 ribu jam dalam masa dua tahun untuk menyelesaikan projek tersebut. Mereka telah menggunakan 70 ribu jam daripada jumlah jam tersebut untuk membuat drama Bible yang bertajuk, Nehemia: “Sukacita daripada Yehuwa Akan Menguatkan Kamu,” yang panjangnya 76 minit.
Sudah tentu, sejumlah wang yang besar telah digunakan untuk menyokong keperluan para pekerja sukarela dan membiayai perbelanjaan bagi bantuan teknikal, peralatan, dan kemudahan untuk menyiapkan projek tersebut.
Jared Gossman, yang berkhidmat di Bahagian Audio/Video, berkata, “Di bawah penyeliaan Badan Pimpinan, Jawatankuasa Mengajar ingin sekali video-video kita terdiri daripada pelbagai budaya dan lokasi. Hal ini kerana mereka ingin menunjukkan persaudaraan sedunia kita dalam video-video tersebut. Oleh itu, terdapat 24 pasukan dari 11 buah negara bekerja bersama untuk menyelesaikan projek itu. Untuk melaksanakan hal itu, banyak wang, rancangan, dan aturan diperlukan.”
Banyak video kita memerlukan peralatan dan latar yang khas. Contohnya, latar bagi drama Nehemia: “Sukacita daripada Yehuwa Akan Menguatkan Kamu” dibina di dalam studio Mount Ebo, yang terletak berdekatan dengan Patterson, New York, A.S. Para saudara ingin menggunakan wang sumbangan dengan sebaik-baiknya dan pada masa yang sama menghasilkan drama yang tepat dari segi sejarah. Jadi mereka menggunakan bahan-bahan yang ringan untuk membina tembok yang serupa dengan tembok Yerusalem kuno. Setiap tembok dibuat daripada rangka kayu setinggi enam meter dan dilapisi span yang dicat supaya kelihatan seperti batu. Tembok-tembok ini dapat dipindahkan mengikut adegan. Dengan itu, mereka tidak perlu bina terlalu banyak latar. Meskipun begitu, hampir $100,000 dolar Amerika diperlukan untuk membina latar-latar bagi drama itu. a
Setelah mengetahui bagaimana video-video dihasilkan, kita semakin menghargai program konvensyen serantau pada tahun ini. Semua usaha yang dicurahkan untuk menghasilkan program ini pasti akan mendorong saudara saudari di serata dunia untuk memuji Yehuwa. Terima kasih atas kemurahan hati anda kerana memberikan sumbangan untuk kerja sedunia menerusi donate.pr418.com atau melalui cara lain.
a Latar-latar bagi drama Nehemia: “Sukacita daripada Yehuwa Akan Menguatkan Kamu” dibuat sebelum pandemik COVID-19. Pada masa itu, penjarakan sosial tidak diperlukan.