Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAGAIMANA SUMBANGAN ANDA DIGUNAKAN

Perpustakaan di Telapak Tangan Anda

Perpustakaan di Telapak Tangan Anda

1 SEPTEMBER 2021

 “Tidak lama dulu, susah untuk membayangkan bahawa kita akan menerima makanan rohani secara digital.” Adakah anda setuju dengan kata-kata ini? Itulah yang dikatakan Saudara Geoffrey Jackson semasa memberikan ceramah dalam Berita Terkini Badan Pimpinan 2020 #6. Dia menambah, “Tetapi sekarang, kita mungkin berfikir bagaimana kita boleh bertahan tanpa alat seperti JW Library. Yehuwa telah mempersiapkan kita selama bertahun-tahun untuk keadaan seperti ini.”

 Bagaimanakah Yehuwa telah mempersiapkan kita? Apakah yang terlibat dalam menghasilkan aplikasi JW Library? Apakah yang perlu dilakukan untuk menyelenggarakan dan memperbaik aplikasi ini?

Aplikasi yang Pertama Dihasilkan

 Pada Mei 2013, Badan Pimpinan meminta Bahagian Program MEPS, yang merupakan bahagian di ibu pejabat sedunia, untuk menghasilkan sebuah aplikasi yang mengandungi Terjemahan Dunia Baharu yang dikemaskinikan. Saudara Paul Willies yang bekerja di Bahagian Program MEPS berkata, “Sebelum itu, kami tidak pernah mengeluarkan aplikasi alat mudah alih di mana-mana app store. Jadi kami membentuk sebuah pasukan, menghentikan sesetengah projek, dan bekerjasama dengan beberapa bahagian lain untuk mereka bentuk dan menghasilkan aplikasi ini berserta kandungannya. Kami selalu berdoa, dan dengan bantuan Yehuwa, aplikasi ini dikeluarkan hanya lima bulan kemudian semasa mesyuarat tahunan!”

 Cabaran seterusnya adalah untuk menjadikan aplikasi ini sebuah perpustakaan yang mengandungi lebih banyak bahan bacaan dalam pelbagai bahasa. Pada Januari 2015, kebanyakan bahan bacaan yang terkini dalam bahasa Inggeris sudah tersedia dalam aplikasi ini. Enam bulan kemudian, pengguna dapat memuat turun bahan bacaan tersebut dalam ratusan bahasa lain.

 Sejak itu, aplikasi ini telah diperbaik dalam beberapa cara, seperti menambah bahan video, meletakkan semua bahan bacaan dan media untuk perjumpaan sidang dalam satu tab, dan membolehkan pengguna untuk terus mengakses bahan rujukan Panduan Penyelidikan daripada ayat Bible.

Penyelenggaraan Aplikasi

 JW Library dibuka pada 8 juta alat mudah alih setiap hari dan lebih daripada 15 juta alat mudah alih setiap bulan! Apakah yang perlu dilakukan supaya aplikasi ini dapat berfungsi dengan lancar? Saudara Willies menjelaskan, “Penghasilan sebuah aplikasi ialah proses yang berterusan. Jadi kami sentiasa berusaha untuk menambah ciri baharu dan membuatnya lebih mudah digunakan. Oleh sebab sistem operasi bagi alat elektronik kerap dikemaskinikan, kami perlu sentiasa menyelaraskan aplikasi ini supaya serasi dengan sistem terkini. Memandangkan bilangan bahan bacaan dan rakaman dalam JW Library terus meningkat, kami juga perlu menyelenggarakan dan mengemaskinikan perisian kami.” Secara keseluruhan, kini terdapat kira-kira 200,000 bahan bacaan dan lebih daripada 600,000 rakaman audio dan video dalam pelbagai bahasa di JW Library!

 Penyelenggaraan aplikasi yang dilakukan secara berterusan bukan sahaja memerlukan perkakasan komputer, tetapi juga beberapa lesen perisian yang perlu dibeli. Kos bagi satu lesen adalah sebanyak 1,500 dolar Amerika setiap tahun. Selain itu, Bahagian Program MEPS membelanjakan kira-kira 10,000 dolar Amerika setiap tahun untuk membeli alat elektronik daripada pelbagai jenama untuk memastikan aplikasi ini dapat terus berfungsi dengan lancar pada komputer, tablet, dan telefon baharu.

Fungsi Muat Turun Menjimatkan Wang Sumbangan

 Dengan adanya JW Library, perbelanjaan untuk mencetak, menjilid, dan menghantar bahan bacaan telah banyak berkurang. Fikirkan contoh buku kecil Mengkaji Ayat-Ayat Suci Setiap Hari. Kita telah mencetak hampir 12 juta naskhah Mengkaji Ayat-Ayat Suci Setiap Hari edisi 2013. Namun, bagi edisi 2020, hanya lima juta naskhah yang telah dicetak walaupun terdapat peningkatan jumlah penyiar sebanyak 700,000 orang di seluruh dunia. Hal ini kerana ramai saudara saudari kita sekarang membaca ayat harian di JW Library. a

“Aplikasi Ini Memang Tidak Ternilai”

 Pengguna JW Library juga telah dibantu dalam banyak cara. Geneviève, yang tinggal di Kanada, berasa bahawa aplikasi ini telah membantunya melakukan pembelajaran peribadi dengan lebih tetap. Dia mengakui, “Saya rasa saya tidak akan belajar setiap pagi jika saya perlu mengeluarkan semua buku yang saya perlukan. Tapi dengan adanya aplikasi ini, saya hanya perlu ambil tablet saya, dan semuanya ada di sana. Pembelajaran peribadi yang tetap telah menguatkan iman saya dan membantu saya menjadi lebih rapat dengan Yehuwa.”

Geneviève

 Aplikasi ini terbukti sangat berguna, terutamanya semasa pandemik COVID-19. Charlyn dari Amerika Syarikat berkata, “Sudah setahun saya tidak menerima bahan bercetak baharu kerana pandemik COVID-19 telah melanda seluruh dunia. Tapi kerana adanya JW Library, kita dapat terus menerima makanan rohani dengan berlimpah. Saya bersyukur kepada Yehuwa atas pemberian-Nya yang pengasih ini.”

 Ramai orang mungkin mempunyai perasaan seperti Faye, yang tinggal di Filipina. Dia berkata, “Saya menggunakan aplikasi yang hebat ini untuk semua aktiviti dan rutin rohani saya. Itulah yang saya guna untuk membaca pada waktu pagi, untuk mendengar semasa melakukan kerja rumah, dan untuk membuat persiapan bagi perjumpaan dan pembelajaran Bible. Saya menggunakannya untuk menonton video pada masa lapang dan membaca rencana atau Bible semasa menunggu giliran. Aplikasi ini memang tidak ternilai.”

 Aplikasi ini juga sangat berguna dalam kerja penyebaran. Contohnya, semasa menginjil, seorang saudari di Cameroon ingin menggunakan satu ayat Bible. Beberapa minggu sebelumnya, dia telah melihat seorang saudari menggunakan ayat tersebut, namun dia tidak ingat di mana ayat itu. Dia berkata, “Syukurlah, saya ingat satu ungkapan daripada ayat itu. Jadi saya pun buka Bible dalam aplikasi kita dan cari ungkapan itu. Saya terus jumpa ayat itu. Dengan adanya JW Library, saya dapat cari banyak ayat Bible yang kadangkala saya lupa.”

 Sumbangan anda yang diberikan melalui pelbagai kaedah di donate.pr418.com telah membolehkan kami menghasilkan, menyelenggarakan, dan memperbaik aplikasi JW Library untuk saudara saudari di seluruh dunia. Terima kasih atas kemurahan hati anda.

Perkembangan JW Library

  1. Oktober 2013—Pengeluaran aplikasi yang mengandungi Terjemahan Dunia Baharu yang dikemaskinikan

  2. Januari 2015—Bahan bacaan tersedia dalam bahasa Inggeris, diikuti dengan ratusan bahasa lain

  3. November 2015—Ciri untuk menyerlahkan teks ditambahkan

  4. Mei 2016—Tab Perjumpaan ditambahkan

  5. Mei 2017—Ciri untuk membuat nota ditambahkan

  6. Disember 2017—Bahan rujukan bagi Bible Edisi Pembelajaran ditambahkan

  7. Mac 2019—Fungsi untuk memuat turun rakaman audio, menonton video secara streaming, dan mengakses bahan rujukan dalam Panduan Penyelidikan ditambahkan

  8. Januari 2021—Ciri-ciri khas bagi Nikmati Hidup Selama-Lamanya! ditambahkan

a Setiap bahan yang dimuat turun daripada JW Library dikenakan bayaran yang kecil. Contohnya, pada tahun lalu, kita telah membelanjakan lebih daripada 1.5 juta dolar Amerika untuk menyediakan perkhidmatan streaming dan muat turun daripada jw.org dan aplikasi JW Library. Walau bagaimanapun, adalah jauh lebih murah untuk memuat turun rakaman dan bahan bacaan berbanding menghasilkan dan menghantar bahan bacaan, CD, dan DVD.