BAGAIMANA SUMBANGAN ANDA DIGUNAKAN
Program Konvensyen yang “Didengari dan Dilihat” dengan Jelas
1 JULAI 2024
Saksi-Saksi Yehuwa zaman moden telah berkumpul bersama untuk konvensyen selama lebih daripada 130 tahun. Kini, program konvensyen mempunyai lebih daripada 40 ceramah, termasuk muzik, temu ramah, dan video. Namun, programnya haruslah dapat “didengari dan dilihat” dengan jelas agar para hadirin dapat meraih manfaat dan digalakkan oleh program tersebut. (Lukas 2:20) Bagaimanakah sumbangan anda digunakan untuk konvensyen agar para hadirin dapat meraih manfaat daripadanya?
Sistem Audio/Video yang Disesuaikan untuk Setiap Lokasi Konvensyen
Kebanyakan stadium dan arena di negara-negara Barat sudah mempunyai sistem audio/video. Jadi, mengapakah kita memasang perlengkapan audio/video sendiri apabila kita menyewa tempat-tempat tersebut untuk konvensyen? David, yang bekerja di Bahagian Siaran Ibu Pejabat Sedunia, kata, “Biasanya tempat yang kami sewa tidak direka untuk hadirin mendengar program selama lebih daripada enam jam. Sebagai contoh, semasa acara sukan, sistem suara hanya digunakan untuk pengumuman ringkas dan memainkan muzik yang singkat. Skrin video yang tersedia juga adalah untuk memaparkan iklan, skor pertandingan, dan ulang tayang permainan. Namun, kebanyakan program kami ialah ceramah. Kami mahu hadirin melihat dan mendengar dengan jelas video yang panjang serta ceramah yang disampaikan dari pentas.”
Sistem audio/video harus direka khas kerana setiap lokasi konvensyen adalah unik. Sejurus selepas tempat konvensyen dipilih, Bahagian Siaran di pejabat cawangan harus kenal pasti di mana para hadirin akan duduk. Mereka akan memutuskan lokasi tempat duduk berdasarkan jumlah orang yang mungkin akan hadir dan jumlah tempat duduk tapak konvensyen. Kemudian, mereka akan membuat kiraan agar dapat memilih tempat yang sesuai untuk pasang pembesar suara dan skrin video. Mereka juga memutuskan bagaimana semua perlengkapan ini akan disambungkan. Selepas itu, mereka akan senaraikan semua perlengkapan yang diperlukan untuk pastikan semua hadirin dapat lihat dan dengar program dengan jelas.
Sistem audio/video menjadi lebih kompleks apabila program konvensyen harus diadakan dalam beberapa bahasa. Jika program akan diterjemahkan, audio dan video program harus disambungkan kepada para penterjemah. Kemudian, terjemahan mereka perlu disiarkan kepada saluran radio bagi mereka yang dapat memahami bahasa tersebut. Oleh kerana terdapat pemain media yang istimewa, audio bagi video dapat dimainkan dalam lapan bahasa pada masa yang sama. David kata, “Sistem ini sangat kompleks dan para sukarelawan yang mengendalikannya harus dilatih dengan baik.”
Kebanyakan pejabat cawangan mempunyai perlengkapan audio/video yang digunakan setiap tahun. Untuk pejabat cawangan sedemikian, para saudara akan hantar setiap peralatan dari satu konvensyen ke konvensyen yang seterusnya. Sebagai contoh, cawangan Amerika Syarikat membelanjakan lebih daripada $200,000 a setiap tahun hanya untuk kos penghantaran bagi perlengkapan konvensyen. Tetapi, aturan ini lebih murah daripada membeli dan menjaga perlengkapan baharu. Steven, yang bantu menyelia audio/video konvensyen di Kanada, kata, “Pasukan audio/video kami berusaha untuk pastikan setiap nat, bolt, wayar, dan perlengkapan disimpan, dijaga, dibungkus dengan baik, dan bersedia untuk program yang seterusnya.”
Memperoleh dan Menjaga Perlengkapan
Menyewa perlengkapan audio/video sangat mahal dan kebanyakannya berkualiti rendah atau tidak dijaga dengan baik. Oleh itu, organisasi kita biasanya membeli perlengkapan yang diperlukan. Contohnya, dinding video LED yang berukuran lima kali tiga meter berharga kira-kira $24,000, dan satu wayar mikrofon yang berukuran 15 meter berharga sekitar $20. Maka, Bahagian Siaran bekerjasama dengan Bahagian Pembelian untuk “mengira perbelanjaan” sebelum membeli apa-apa perlengkapan. (Lukas 14:28) Mereka akan tanya soalan seperti, “Berapa ramai orang akan meraih manfaat daripada perlengkapan ini? Adakah membeli perlengkapan yang baharu cara yang terbaik? Adakah kita mempunyai tempat yang sesuai untuk simpan perlengkapan tersebut? Adakah kita mempunyai peralatan dan sukarelawan yang terlatih untuk menjaganya?”
Kita juga melakukan penyelenggaraan elektronik dan mekanik untuk memanjangkan hayat perlengkapan audio/video. Hasilnya, kita dapat menjimatkan dana yang disumbangkan. Kita juga menghantar perlengkapan dalam kotak yang tahan lasak untuk melindungi alat-alat dan mengelakkan kerosakan. Selain itu, kotak-kotak ini juga akan dibaiki apabila perlu.
Kesaksian yang Baik dan Program Konvensyen yang Jelas
Ramai orang yang bukan Saksi rasa kagum dengan kualiti audio/video kita di konvensyen. Contohnya, semasa salah satu konvensyen, seorang pekerja di syarikat siaran yang terkenal di peringkat dunia menyebut tentang kualiti penghasilan dan inti program konvensyen kita. Jonathan, yang bantu memasang dan mengendalikan perlengkapan audio/video semasa konvensyen, kata, “Dia sangat kagum untuk tahu bahawa semua ahli pasukan kami ialah sukarelawan dan bukannya orang profesional. Dia juga kata syarikatnya perlu lima hari untuk memasang semua perlengkapan yang kami pasang dalam satu hari setengah sahaja.” Semasa konvensyen yang lain, pengurus tempat itu kata, “Sudah banyak pakar muzik dan video datang ke sini, tapi saya tidak pernah lihat sesiapa pun bekerja dengan tahap kepakaran dan kemahiran sebegini!”
Apakah manfaat yang anda raih daripada sistem perlengkapan audio/video semasa konvensyen? Barangkali anda bersetuju dengan David yang tinggal di England. Dia kata, “Saya sudah menghadiri konvensyen sejak kecil lagi. Kini, saya berumur 88 tahun. Bagi saya, adalah jauh lebih senang untuk berikan tumpuan sepenuhnya kepada program kita sekarang berbanding dengan yang dulu. Kita dapat nikmati video yang indah. Seluruh program sangat jelas dan harmoni. Masa pun berlalu dengan cepat.” Micheal, yang tinggal di Nigeria, berkata, “Sekarang, saudara saudari dapat dengar ceramah dan melihat video dengan jelas. Jadi, mereka dapat menumpukan perhatian dan tidak tersimpang semasa program konvensyen.”
Semasa anda menghadiri Konvensyen Serantau atau Istimewa ‘Isytiharkanlah Berita Baik!’ pada tahun ini, renungkanlah sejenak kerja yang dilakukan agar anda dapat mendengar dan melihat program dengan jelas. Kami bersyukur atas sumbangan anda, termasuk sumbangan yang dibuat menerusi donate.pr418.com. Kerja ini dapat dilakukan dengan adanya sokongan anda. Terima kasih.
a Nilai dolar dalam rencana ini merujuk kepada dolar Amerika.