BAGAIMANA SUMBANGAN ANDA DIGUNAKAN
Projek Pembinaan Menyokong Kerja Penyebaran Sedunia
20 OKTOBER 2023
Badan Pimpinan ingin sekali menggunakan sumbangan yang diberikan untuk menyediakan kemudahan yang dapat menyokong kerja penyebaran. Contohnya, semasa tahun aktiviti penyebaran 2023, organisasi kita telah menggunakan syarikat atau badan berdaftar tertentu untuk membeli, membina, mengubah suai, dan menyelenggara Dewan Perjumpaan dan Dewan Perhimpunan di seluruh dunia. Lebih daripada 500 juta dolar telah dibelanjakan untuk tujuan ini. a Jumlah ini tidak termasuk perbelanjaan sidang-sidang di seluruh dunia untuk kerja penyelenggaraan Dewan Perjumpaan.
Selain itu, sumbangan juga disalurkan kepada pembinaan dan penyelenggaraan bangunan Bethel yang digunakan untuk mengatur dan menyokong kerja penyebaran sedunia. Operasi cawangan telah dipermudahkan agar lebih banyak sumbangan dapat digunakan untuk menyokong pembinaan dan pengubahsuaian Dewan Perjumpaan dan Dewan Perhimpunan. Namun, kos untuk membaiki, mengubah suai, atau memindahkan pejabat cawangan amat tinggi. Mengapakah projek-projek ini penting? Bagaimanakah pejabat cawangan menyokong kerja penyebaran sedunia? Mari kita lihat.
“Bangunan . . . Dapat Digunakan Lebih Lama Lagi”
Terdapat banyak bangunan pejabat cawangan yang digunakan untuk lebih daripada 30 atau 40 tahun. Nicholas, yang bekerja dalam Bahagian Rekaan dan Pembinaan Sedunia, kata, “Bangunan yang dijaga dengan baik pun akan menjadi usang dan mula ada masalah yang serius. Selepas diubah suai, bangunan itu dapat digunakan lebih lama lagi, seolah-olah memanjangkan hayatnya.”
Kegunaan bangunan Bethel juga perlu disesuaikan untuk menampung perkembangan organisasi kita. Di serata dunia, jumlah penyiar telah berlipat ganda sejak pejabat cawangan dibina. Maka, lebih ramai sukarelawan diperlukan untuk bekerja di Bethel. Oleh itu, bangunan yang sedia ada tidak lagi sesuai kerana ruangnya terhad.
Salah satu faktor yang perlu dipertimbangkan juga ialah keselamatan. Pada penghujung hari-hari terakhir ini, kita menghadapi semakin banyak bencana alam yang dahsyat. (Lukas 21:11) Dengan menggunakan teknik pembinaan yang baharu, bangunan kita akan menjadi lebih selamat untuk saudara saudari yang bekerja di sana. Selain itu, bangunan-bangunan ini juga boleh jadi pusat untuk mengatur kerja bantuan bencana dan kerja penyebaran selepas bencana melanda.
“Yehuwa Telah Memberkati Keputusan Ini”
Di bawah arahan Badan Pimpinan, saudara saudari telah melakukan projek pembinaan di 43 pejabat cawangan pada tahun aktiviti penyebaran 2023. Hal ini bermaksud pembinaan telah berlangsung di hampir setengah daripada jumlah Bethel di seluruh dunia. Mari kita lihat beberapa contoh yang menunjukkan betapa pentingnya projek pembinaan.
Angola. Matt, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Angola, kata, “Kami gembira untuk lihat nubuat di Hagai 2:7 menjadi kenyataan. Dalam masa 10 tahun sahaja, terdapat peningkatan jumlah penyiar sebanyak 60 peratus! Jadi, sebanyak tiga kali ganda pekhidmat Bethel diperlukan untuk memenuhi keperluan ini. Namun, bangunan yang sedia ada tidak mempunyai cukup ruang untuk menjemput lebih banyak pekhidmat Bethel. Oleh sebab itu, ramai saudara saudari di Bethel harus memikul lebih banyak tanggungjawab dan bekerja lebih masa.”
Sekumpulan saudara telah ditugaskan untuk mencari jalan penyelesaian. Pada mulanya, mereka rasa cara yang paling cepat dan praktikal ialah mengubah suai bangunan yang sedia ada. Tetapi selepas mengkajinya dengan lebih mendalam, mereka rasa pengubahsuaian bukanlah cara yang terbaik untuk guna wang sumbangan. Jadi, mereka mencadangkan untuk beli dan ubah suai sebuah bangunan yang berdekatan. Matt kata, “Semasa cadangan ini dikemukakan kepada Jawatankuasa Cawangan, kami rasa risau sama ada bangunan ini akan sebaik bangunan yang kita bina sendiri atau tidak. Tetapi sekarang kami dapat lihat bahawa bangunan ini sangat sesuai untuk keperluan kami. Yehuwa telah memberkati keputusan ini.”
Pada masa depan, bangunan cawangan Angola mungkin perlu diperluaskan lagi. Namun, buat masa ini, bangunan yang baharu serta tempat kediaman yang mudah diubah suai telah memberi ruang yang secukupnya untuk terus menyokong kerja penyebaran di Angola.
Jepun. Bangunan cawangan yang pertama telah dibina hampir 40 tahun yang lalu dan tidak pernah diubah suai secara besar-besaran. Walaupun banyak kerja penyelenggaraan telah dibuat, bangunan itu perlu diubah suai supaya boleh digunakan untuk masa yang lebih lama.
Baru-baru ini, aturan Bethel juga telah berubah. Contohnya sebelum 2015, semua makanan seharian dihidangkan untuk keluarga Bethel. Jadi, bilik kediaman hanya mempunyai ruang yang kecil untuk menyediakan makanan yang ringkas. Tetapi sekarang, kebanyakan masanya, keluarga Bethel perlu masak makanan sendiri. Maka, bilik mereka telah dilengkapi dengan dapur. Kumiko, seorang saudari yang berkhidmat di cawangan Jepun, kata, “Sekarang, saya rasa macam betul-betul di rumah sendiri. Saya dapat sediakan makanan sendiri dengan lebih mudah, dan menyokong aturan Bethel yang baharu ini dengan lebih baik.”
Kerja-kerja yang dilakukan di cawangan Jepun sangat penting untuk menyokong kerja penyebaran sedunia. (Matius 28:19, 20) Terdapat dua cawangan yang mencetak seluruh Bible, dan cawangan Jepun ialah salah satunya. Projek pembinaan yang sedang dijalankan akan merangkumi pemasangan sebuah sistem pemotongan sisa kertas dan pengumpulan habuk. Alat ini akan meningkatkan mutu kesihatan dan keselamatan saudara saudari yang bekerja dalam Bahagian Percetakan. Walaupun kos pembelian dan pemasangan sistem ini adalah kira-kira sejuta dolar, hal ini sangat penting untuk memastikan cawangan ini dapat terus menjalankan kerja percetakan dan penghantaran bahan bacaan.
Kerja penghasilan Bible tetap dijalankan semasa projek pembinaan itu. Trey, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Jepun, berkata, “Semasa projek pembinaan ini sedang berlangsung, organisasi kita juga sedang menghasilkan lebih banyak terjemahan Bible. Jadi, terdapat keperluan yang besar untuk mencetak Bible bagi saudara saudari di seluruh dunia. Beberapa bahagian dalam Bethel perlu bekerjasama dengan kontraktor agar dapat melakukan kerja pemasangan peralatan baharu dan kerja percetakan pada masa yang sama.” Walaupun terdapat cabaran, hampir 220,000 Bible telah dicetak setiap bulan, dari Mac hingga Ogos 2023, iaitu semasa projek pembinaan ini paling sibuk. Semua kerja ini dapat dilaksanakan tanpa menambahkan perbelanjaan kos pembinaan.
Satu lagi hasil baik daripada pengubahsuaian ini ialah penjimatan tenaga. Panel solar yang baharu akan dipasang, dan dapat mengurangkan kos tenaga kira-kira 120,000 dolar setiap tahun. Selain itu, pemasangan tingkap yang mempunyai tiga lapisan akan bantu menjimatkan kira-kira 10,000 dolar setiap tahun. Walaupun peralatan-peralatan ini mahal, kita dapat menjimatkan kira-kira 3.5 juta dolar dalam jangka masa panjang. Ini juga akan mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar.
“Masih Ada Banyak Lagi yang Perlu Dilakukan”
Dua projek ini menunjukkan bahawa terdapat banyak kerja yang perlu dibuat untuk memastikan bangunan Bethel dapat terus digunakan untuk memenuhi keperluan cawangan. Aaron, yang berkhidmat di Bahagian Rekaan dan Pembinaan Sedunia, kata, “Banyak kerja pembinaan telah dijalankan, tapi masih ada banyak lagi yang perlu dilakukan.” Bagaimanakah semua kerja ini dapat dilaksanakan? Aaron menambah, “Selain sumbangan yang diberikan, kami juga menghargai semangat dan kerelaan saudara saudari yang telah membantu dulu, dan mereka yang sedang merancang untuk menyokong projek pada masa depan. Semua ini membuktikan berkat Yehuwa terhadap kerja kita.”—Mazmur 110:3.
Semua kerja pembinaan dan pengubahsuaian ini disokong oleh sumbangan sukarela. Sebahagian besar sumbangan ini dibuat menerusi donate.pr418.com. Terima kasih atas kemurahan hati anda.
a Nilai dolar dalam rencana ini merujuk kepada dolar Amerika.