Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Sebuah kelas yang sedang berlangsung semasa Sekolah Gilead tahun 2017

BAGAIMANA SUMBANGAN ANDA DIGUNAKAN

Sekolah Gilead—Melatih Pelajar dari Seluruh Dunia

Sekolah Gilead—Melatih Pelajar dari Seluruh Dunia

1 DISEMBER 2020

 Setiap tahun, sebilangan pekhidmat khas sepenuh masa dari seluruh dunia dijemput untuk menghadiri Sekolah Latihan Gilead yang diadakan di Pusat Pendidikan Watchtower di Paterson, New York. a Di sekolah ini, para pelajar mempelajari cara untuk menjadi lebih efektif dalam tugasan mereka dalam organisasi Yehuwa. Latihan ini membantu mereka untuk menguatkan dan memantapkan kerja dalam sidang dan aturan pejabat cawangan di seluruh dunia.

 Gilead sememangnya sebuah sekolah antarabangsa. Sebagai contoh, terdapat 56 orang pelajar dari 29 negara dalam kelas yang ke-147, yang diadakan pada tahun 2019. Para pelajar Gilead terdiri daripada pekhidmat khas sepenuh masa yang berkhidmat sebagai ahli Bethel, penyelia litar, mubaligh, atau perintis khas.

 Lama sebelum kelas pertama bermula, banyak persiapan bagi sekolah ini sudah dibuat. Sebagai contoh, Bahagian Perjalanan Ibu Pejabat Sedunia membeli tiket penerbangan bagi mereka yang dijemput untuk menghadiri sekolah ini. Bagi kelas yang ke-147, kos purata perjalanan pergi balik untuk setiap pelajar dari luar negara ialah $1,075 dolar Amerika (sekitar RM 4,400). Para pelajar dari Kepulauan Solomon perlu menaiki empat penerbangan untuk sampai ke Paterson dan tiga penerbangan untuk pulang. Perjalanan mereka itu sejauh 35,400 kilometer dan tiket penerbangan bagi setiap orang berjumlah $2,300 dolar Amerika (sekitar RM 9,400). Untuk menjimatkan wang, Bahagian Perjalanan menggunakan program komputer untuk mencari tiket penerbangan pada harga yang berpatutan. Walaupun tiket sudah ditempah, program itu akan terus mencari tiket yang lebih murah selama berminggu-minggu atau bahkan berbulan-bulan. Bahagian Perjalanan juga menggunakan baucar atau poin penerbangan yang disumbangkan untuk membeli tiket.

Ramai pelajar memerlukan visa untuk memasuki Amerika Syarikat.  Jadi, Bahagian Perundangan Ibu Pejabat Sedunia membantu mereka untuk mendapatkan visa pelajar. Kos purata untuk mendapatkan visa bagi setiap pelajar ialah $510 dolar Amerika (sekitar RM 2,100).

 Bagaimanakah latihan yang diterima mereka memberi manfaat kepada kita? Hendra Gunawan ialah seorang penatua di Asia Tenggara. Dalam sidangnya, terdapat sepasang suami isteri yang merupakan lulusan Gilead. Dia berkata, “Dulu, sidang kami tiada perintis biasa. Tetapi selepas lulusan Gilead datang, orang lain dalam sidang terdorong untuk meniru sikap rela berkorban dan semangat mereka, dan mula merintis. Kemudian, seorang saudari dalam sidang kami bahkan menghadiri Sekolah Latihan Penginjil!”

 Sergio Panjaitan bekerja bersama beberapa lulusan Gilead di sebuah Bethel di Asia Tenggara. Dia berkata, “Latihan yang diterima mereka bukan sahaja berkat bagi mereka, tetapi berkat bagi kami juga. Mereka telah belajar banyak! Namun, mereka tidak cuba meninggikan diri. Sebaliknya, mereka mengongsi apa yang mereka telah belajar. Hal ini menggalakkan kami dan kami pula terdorong untuk menggalakkan orang lain.”

 Bagaimanakah kos sekolah ini dibiayai? Melalui sumbangan untuk kerja sedunia. Sebahagian besar sumbangan dibuat melalui donate.pr418.com. Terima kasih atas kemurahan hati anda untuk menyokong sekolah ini.

a Kurikulum sekolah ini disediakan oleh Bahagian Sekolah Teokratik, yang diselia oleh Jawatankuasa Mengajar di bawah arahan Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa. Para pengajar sekolah ini terdiri daripada saudara dari Bahagian Sekolah Teokratik serta pengajar undangan, termasuk ahli Badan Pimpinan.