Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAGAIMANA SUMBANGAN ANDA DIGUNAKAN

Titik-Titik yang Mengubah Hidup

Titik-Titik yang Mengubah Hidup

1 OKTOBER 2021

 Majalah The Watch Tower terbitan 1 Jun 1912 menyatakan, “Barangkali, ramai antara pembaca kita mempunyai kenalan yang merupakan orang buta. Mereka boleh mendapatkan bahan bacaan secara percuma . . . Bahan bacaan ini yang dikhaskan untuk orang buta mengandungi huruf-huruf timbul yang dapat dibaca oleh mereka.” Majalah itu menambah, “Ramai orang buta sangat menghargai mesej Bible bahawa hari yang penuh berkat akan dinikmati bumi.”

 Semasa kata-kata itu ditulis, belum ada sistem braille bahasa Inggeris yang standard. Namun, pada masa itu, Saksi-Saksi Yehuwa sudah pun menyediakan bahan bacaan untuk menyalurkan kebenaran Bible dalam “huruf-huruf timbul,” iaitu braille, dan kita masih berbuat demikian sehingga hari ini! Kini, kita mempunyai bahan bacaan braille dalam lebih daripada 50 bahasa. Bagaimanakah bahan bacaan braille dihasilkan?

Huruf braille terdiri daripada gabungan satu hingga enam titik timbul. Titik-titik timbul tersebut disusun dalam satu matriks atau petak yang mempunyai enam bahagian

Mengubah Teks dan Mencetak Timbul

 Langkah pertama untuk menghasilkan braille ialah mengubah teks kepada huruf-huruf braille. Michael Millen, dari Bahagian Khidmat Pemprosesan Teks di Patterson, New York, berkata, “Dulu, kami menggunakan perisian komersial untuk mengubah teks kepada huruf braille. Tapi perisian itu tidak menyokong semua bahasa yang kami perlukan. Sekarang, kami menggunakan Sistem Terjemahan Watchtower yang dapat mengubah teks kepada huruf braille dalam kebanyakan bahasa. Saya yakin tiada perisian lain yang setandingnya.”

 Bahan bacaan braille tidak hanya mengandungi teks bahan itu, tetapi juga keterangan gambar. Sebagai contoh, gambar pada muka depan buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya! edisi braille mempunyai keterangan ini: “Seorang lelaki mula berjalan di jalan berliku-liku yang dikelilingi tumbuh-tumbuhan, bukit-bukit, dan gunung-ganang yang indah.” Jamshed, seorang perintis dan pembantu sidang yang buta, berkata, “Semua keterangan gambar ini tak ternilai bagi saya.”

 Setelah teks diubah kepada huruf braille, fail tersebut akan dihantar ke pejabat cawangan yang membuat bahan bacaan braille. Di situ, bahan bacaan itu dicetak timbul pada kertas yang tahan lama. Kertas itu tidak akan tembus semasa proses cetak timbul, ataupun kehilangan bentuknya walaupun digunakan berulang kali. Kemudian, helaian muka surat disusun, dijilid, dan dihantar kepada sidang bersama dengan bahan bacaan lain, atau melalui pejabat pos yang menawarkan perkhidmatan percuma bagi golongan orang buta di sesetengah negara. Jika perlu, pejabat cawangan akan mengatur penghantaran segera kepada saudara saudari yang buta atau yang mempunyai masalah penglihatan supaya mereka dapat menggunakan bahan bacaan itu semasa perjumpaan.

 Semua kerja ini memakan masa dan wang yang banyak. Sebenarnya, masa yang diperlukan untuk mencetak 50,000 Bible biasa adalah sama dengan masa yang diperlukan untuk mencetak timbul hanya dua Bible braille di kilang pencetakan kita di Wallkill, New York. Setiap Bible braille bahasa Inggeris mempunyai 25 jilid, dan kos bahan untuk menghasilkan semua jilid itu adalah 123 kali ganda lebih tinggi daripada kos bahan senaskhah Bible biasa. Bayangkan, kos bagi bahagian kulit kesemua 25 jilid itu sahaja berjumlah kira-kira 150 dolar Amerika!

Terjemahan Dunia Baharu dalam braille bahasa Inggeris terdiri daripada 25 jilid!

 Apakah perasaan mereka yang membantu dalam penghasilan bahan bacaan braille? Nadia, yang berkhidmat di pejabat cawangan Afrika Selatan, berkata, “Kehidupan saudara saudari kita yang buta atau yang ada masalah penglihatan tidak senang. Jadi, saya memandang kerja saya sebagai suatu berkat kerana dapat melakukan sesuatu yang akan membantu mereka. Hal ini membuktikan bahawa Yehuwa sangat mengasihi mereka.”

Belajar Membaca Braille

 Namun, bagaimana pula jika seorang yang buta tidak boleh membaca braille? Beberapa tahun lalu, kami telah mengeluarkan buku kerja yang mengandungi braille dan teks bercetak. Buku itu bertajuk Learn to Read Braille. Buku ini direka khas bagi orang yang dapat melihat dan orang yang buta untuk digunakan bersama. Buku ini datang dengan alat-alat yang dapat digunakan oleh orang buta untuk menulis braille. Mereka dapat menggunakan alat-alat tersebut untuk menebuk setiap huruf braille sendiri. Latihan ini membantu mereka mengingati setiap huruf braille dan membantu mereka mengenal pasti suatu huruf melalui sentuhan.

“Saya Tidak Boleh Berhenti Membacanya!”

 Bagaimanakah saudara saudari yang buta atau yang mempunyai masalah penglihatan meraih manfaat daripada bahan bacaan ini? Dahulu, Ernst, yang tinggal di Haiti, menghadiri perjumpaan tanpa mempunyai apa-apa bahan bacaan braille. Disebabkan itu, dia banyak bergantung pada ingatannya semasa menangani tugasan pelajar dan memberikan komen di perjumpaan. Dia berkata, “Tetapi sekarang, saya dapat angkat tangan dan berikan komen pada bila-bila masa. Saya benar-benar rasa bersatu dengan saudara saudari saya. Kami semua menerima makanan rohani yang sama.”

 Jan, yang tinggal di Austria, merupakan seorang penatua yang mempunyai masalah penglihatan. Dia mengendalikan Pembelajaran Menara Pengawal dan Pembelajaran Bible Sidang. Jan berkata, “Bahan bacaan kita jauh lebih jelas daripada bahan bacaan braille lain yang pernah saya baca. Contohnya, bahan bacaan kita ada nombor muka surat, nota kaki yang senang dijumpai, dan keterangan gambar yang tepat.”

 Seon-ok merupakan seorang perintis yang buta dan pekak di Korea Selatan. Dahulu, dia bergantung pada bahasa isyarat sentuhan semasa perjumpaan, tetapi sekarang dia dapat membaca bahan pembelajaran Bible braille dengan sendiri. Seon-ok berkata, “Bahan bacaan braille lain ada kalanya susah dibaca kerana ada titik yang hilang, garisannya tidak lurus, atau kertasnya terlalu nipis. Tapi, Saksi-Saksi Yehuwa menggunakan kertas yang bermutu tinggi dan membuat titik-titik yang lebih menonjol. Jadi saya dapat membacanya dengan mudah. Dulu, saya hanya dapat belajar bahan bacaan Bible dengan adanya bantuan orang lain. Tapi sekarang, saya dapat mempelajarinya dengan sendiri. Saya gembira kerana dapat membuat persiapan bagi perjumpaan Kristian kita setiap minggu dan mengambil bahagian sepenuhnya semasa perjumpaan. Saya baca semua bahan bacaan braille kita. Saya tidak boleh berhenti membacanya!”

 Seperti bahan bacaan kita yang bercetak, bahan bacaan braille juga mengandungi kenyataan yang berikut: “Bahan bacaan ini bukan untuk dijual. Bahan bacaan ini ialah sebahagian daripada kerja pendidikan Bible sedunia yang mendapat sokongan melalui derma sukarela.” Terima kasih atas sumbangan yang anda berikan menerusi pelbagai cara di donate.pr418.com. Kemurahan hati anda membolehkan makanan rohani tersedia bagi semua orang, termasuklah orang yang buta dan yang mempunyai masalah penglihatan.