Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KHAZANAH ROHANI KITA

Bersatu Padu di Negara yang Berpecah Belah

Bersatu Padu di Negara yang Berpecah Belah

 Dari tahun 1948 hingga awal tahun 1990-an, sistem politik di Afrika Selatan adalah berdasarkan sistem aparteid. a Sepanjang masa itu, banyak orang memperlakukan bangsa lain dengan tidak adil. Mengenang kembali masa itu, Kallie, yang tergolong dalam kumpulan “berwarna” (berdarah campuran) di bawah sistem aparteid, berkata, “Mereka yang bukan berkulit putih pun berprasangka terhadap satu sama lain.”

 Saksi-Saksi Yehuwa di Afrika Selatan terdiri daripada pelbagai suku kaum. Apakah yang dilakukan oleh mereka untuk menangani situasi itu? Apakah yang dapat kita belajar daripada mereka?

Menghadapi Situasi yang Berbahaya Akibat Aparteid

 Di Afrika Selatan, sesetengah orang yang membantah dasar pengasingan kaum telah mengaturkan tunjuk perasaan. Ramai daripada mereka yang menentang dasar kerajaan telah dipenjarakan, dan ada juga yang dibunuh. Hal ini menyebabkan orang menentang kerajaan dengan lebih kuat lagi. Saksi-Saksi Yehuwa pula mematuhi undang-undang. Mereka tidak terlibat dalam tunjuk perasaan atau cuba mengubah kerajaan. Seperti orang Kristian abad pertama, mereka “taat kepada pihak berkuasa.”—Roma 13:1, 2.

 Ada banyak kali Saksi-Saksi Yehuwa diberi tekanan untuk berkompromi dan tidak lagi berpendirian neutral. Tetapi, jika mereka tunduk kepada tekanan itu, mereka mungkin harus menyokong konflik politik yang melibatkan keganasan atau berlawan dengan rakan seiman mereka. Contohnya, Thembsie berkata, “Semasa rusuhan-rusuhan pada tahun 1976, banyak pelajar sekolah menengah dipaksa menyertai tunjuk perasaan politik. Pelajar yang menyertai rusuhan akan pergi dari rumah ke rumah dan menyuruh pelajar lain menyertai mereka. Jika seseorang menolak, mereka mungkin membakar rumahnya atau bahkan belasahnya sehingga mati.” Seorang pemimpin politik parti pembangkang memberitahu Theophilus, seorang Saksi, “Selepas kami mengalahkan orang putih, kami akan bunuh kamu kerana kamu tidak berjuang demi negara.”

Berhimpun di Negara yang Berpecah Belah

 Walaupun menghadapi kesusahan akibat aparteid, para Saksi di Afrika Selatan terus berhimpun untuk tujuan ibadat. (Ibrani 10:24, 25) Sesetengah sidang tidak mempunyai Dewan Perjumpaan sendiri kerana dasar aparteid menyebabkan banyak orang hidup miskin papa. b Enver berkata, “Selama bertahun-tahun, kami terpaksa menyewa tempat yang keadaannya sangat buruk. Jadi, bapa saya menawarkan rumah kami sebagai tempat perjumpaan. Dua kali seminggu, keluarga kami mengubah rumah kami menjadi Dewan Perjumpaan. Kadang-kadang, ada lebih daripada 100 orang yang hadir. Selepas perjumpaan, kami selalunya menghidangkan sesuatu kepada mereka dan menikmati pergaulan bersama-sama.”

Saksi-Saksi yang berkulit hitam dan berkulit putih berhimpun bersama, April 1950

Perjumpaan berbilang bangsa, Stadium Rand, Johannesburg, 1980

 Para saudara mencari jalan yang bijak untuk mengatasi halangan yang timbul akibat dasar aparteid. Sebagai contoh, di Wilayah Limpopo, seorang saudara yang berkulit putih dijemput untuk memberikan ceramah di perhimpunan litar kawasan saudara saudari yang berkulit hitam. Tetapi pihak berkuasa tidak mengizinkannya masuk ke kawasan itu. Jadi dia pergi ke ladang yang terletak di sebelah kawasan itu dan menanya pemiliknya yang berkulit putih sama ada dia dapat memberikan ceramah di situ atau tidak. Maka semasa perhimpunan itu, para hadirin duduk di kawasan orang berkulit hitam sambil mendengar ceramah saudara itu yang disampaikan dari ladang lelaki orang putih tersebut, dan terdapat pagar di antara mereka.

Menginjil di Kawasan yang Diasingkan Mengikut Kaum

 Di bawah dasar aparteid, kawasan tempat tinggal diasingkan mengikut kaum. Jadi, penduduk di setiap peta kawasan penyebaran biasanya terdiri daripada satu bangsa sahaja. Oleh itu, Saksi-Saksi harus fleksibel semasa menjalankan kerja penyebaran. Perhatikan satu cabaran yang mereka hadapi semasa menginjil di kawasan yang tidak ditugaskan kepada mana-mana sidang. Krish, yang tergolong sebagai “orang India” di bawah dasar aparteid, berkata, “Seringkali, mereka yang bukan orang putih tidak dapat mencari tempat untuk bermalam. Jadi kami terpaksa tidur di dalam kereta atau di bawah pokok. Keesokan paginya, kami akan gosok gigi dan basuh muka di tandas stesen minyak. Tetapi kadangkala, tandas di stesen minyak pun ditanda ‘Untuk Orang Putih Sahaja.’ Meskipun begitu, saudara saudari suka keluar menginjil dan mengongsi berita baik dengan orang yang berminat di kawasan luar bandar.”

Sekumpulan Saksi yang berbilang bangsa menginjil di kawasan luar bandar, 1981

 Meskipun menghadapi cabaran sebegini, bilangan penyembah Yehuwa terus bertambah. Semasa dasar aparteid mula dikuatkuasakan pada tahun 1948, terdapat 4,831 orang penyiar di Afrika Selatan. Semasa dasar aparteid dimansuhkan pada tahun 1994, bilangan penyiar sudah bertambah menjadi 58,729 orang. Angka itu terus bertambah. Pada tahun 2021, angka tertinggi bagi jumlah penyiar di Afrika Selatan adalah sebanyak 100,112 orang.

Dikelilingi Kebencian, tetapi Disatukan oleh Kasih

 Sepanjang masa dasar aparteid dikuatkuasakan, masalah pengasingan kaum menjadi semakin teruk. Namun, Saksi-Saksi Yehuwa di Afrika Selatan bekerja keras untuk memupuk kasih dan perpaduan dalam kalangan satu sama lain. Mereka berbuat demikian dengan mengajar dan hidup menurut prinsip Bible. (Kisah 10:34, 35) Maka, biarpun mereka dikelilingi kebencian, mereka tetap disatukan oleh kasih.—Yohanes 13:34, 35.

 Pada tahun 1993, Saksi-Saksi Yehuwa mengadakan konvensyen berbilang bangsa di Afrika Selatan. Seorang pemimpin politik yang terkenal melihat bagaimana Saksi-Saksi di Afrika Selatan menyambut dan memeluk tetamu dari pelbagai negara di lapangan terbang. Dia berkata, “Jika kami ada semangat perpaduan seperti kamu, awal-awal lagi masalah kami sudah selesai.”

Milton Henschel, dari Ibu Pejabat Sedunia Saksi-Saksi Yehuwa, memberikan ceramah di perhimpunan berbilang bangsa, 1955

Di pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa di Afrika Selatan, orang yang berkulit hitam dan berkulit putih bekerja bersama, 1986

Thomas Skosana (kiri) dan Alfred Steynberg, yang sudah lama menjadi Saksi, di konvensyen, 1985

Sekumpulan Saksi yang berbilang bangsa menghidangkan makanan di konvensyen, 1985

Sekumpulan besar Saksi yang berbilang bangsa berkumpul di Stadium FNB, Johannesburg, 2011

a Di bawah sistem aparteid, penduduk Afrika Selatan diasingkan mengikut kaum. Tahap pendidikan, jenis pekerjaan, tempat tinggal, dan pasangan hidup, ditentukan berdasarkan kaum seseorang. Untuk maklumat lanjut, lihat Apa Apartheid Itu? dalam Buku Tahunan Saksi-Saksi Yehuwa 2007 bahasa Indonesia.

b Sejak tahun 1999, dana yang disumbangkan oleh sidang-sidang di seluas dunia digunakan untuk memberikan bantuan kewangan supaya Dewan Perjumpaan dapat dibina dan diubahsuaikan di tempat-tempat yang memerlukan bantuan.