Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KHAZANAH ROHANI KITA

Menyembah Yehuwa biarpun Menghadapi Masalah Kewangan

Menyembah Yehuwa biarpun Menghadapi Masalah Kewangan

 Di banyak negara, kos hidup melambung tinggi, dan ini membuat orang susah untuk menyara hidup, termasuk Saksi-Saksi Yehuwa. Namun para Saksi tidak terlalu risau kerana mereka tahu Yehuwa “sama sekali tidak akan mengabaikan” umat-Nya. (Ibrani 13:5) Dia sentiasa menunaikan janji-Nya itu. Hal ini jelas kelihatan di Filipina, di mana kebanyakan orang hidup miskin sampai sekarang. Namun masalah ekonomi di situ sangat teruk khasnya dari tahun 1970-an hingga 1980-an.

 Mengenang kembali masa itu, seorang saudari yang bernama Vicky a berkata, “Ada kalanya saya menangis kerana tidak cukup makanan. Kadang-kadang kami hanya ada beras, garam, dan air.” Seorang saudara yang bernama Florencio tidak dapat mencari kerja. Dia berkata, “Saya hanya ada tiga helai baju dan tiga helai seluar. Itu saja yang dapat saya pakai untuk perjumpaan dan perhimpunan.” Bagaimanakah umat Yehuwa menghadapi masa yang mencabar itu? Apakah yang membantu mereka tetap kuat secara rohani? Bagaimanakah teladan mereka dapat membantu kita menghadapi masa depan yang tidak menentu?

Mereka Percaya kepada Yehuwa

 Para Saksi di Filipina yakin bahawa Yehuwa akan menjaga keperluan mereka. (Ibrani 13:6) Yehuwa memang berbuat demikian, dan selalunya dalam cara yang tidak disangkakan. Sebagai contoh, Saudari Cecille yang mempunyai empat orang dalam keluarganya, berkata, “Pernah sekali, di rumah kami hanya tinggal secawan beras. Selepas memasaknya untuk sarapan, kami berdoa untuk keperluan keluarga kami pada hari itu. Semasa kami sedang makan sarapan, seorang saudara tiba-tiba datang dengan membawa lima kilogram beras. Kami menangis kerana sangat gembira dan bersyukur atas berkat Yehuwa. Kami mempunyai banyak pengalaman sebegini.”

 Umat Tuhan juga mengikut nasihat yang praktikal dalam Bible. (Amsal 2:6, 7) Perhatikan contoh Arcelita, seorang saudari bujang yang baru dibaptis pada masa itu. Dia berasa susah untuk menyara diri, maka dia mencurahkan isi hatinya kepada Yehuwa. Kemudian dia merenungkan Amsal 10:4, yang menyatakan, “Orang malas akan jatuh miskin, tetapi orang rajin akan menjadi kaya.” Selepas membaca ayat itu, dia membuat keputusan untuk bercucuk tanam. Dia berkata, “Yehuwa memang memberkati usaha saya. Hasil tuaian saya cukup untuk dimakan, malah dapat dijual untuk menutupi kos pengangkutan saya.”

Mereka Tidak Mengabaikan Perjumpaan

 Saudara saudari juga tidak mempunyai wang untuk membeli tanah dan membina Dewan Perjumpaan. Tetapi hal itu tidak menghalang mereka daripada mematuhi perintah Bible untuk berkumpul bersama dan menggalakkan satu sama lain. (Ibrani 10:24, 25) Mereka cuma perlu membuat sedikit penyesuaian. Sebagai contoh, seorang saudari yang bernama Deborah kata, “Saya dan rakan perintis saya membina sebuah pondok kecil dengan menggunakan daun pokok nipah sebagai atap, daun pokok kelapa sebagai dinding, dan batang pokok palma sebagai tempat duduk. Kira-kira enam orang menghadiri perjumpaan dalam pondok ini.”

 Namun, perjumpaan biasanya diadakan di rumah saudara saudari. Saudari Virginia berkata, “Rumah kecil kami dibuat daripada rumput dan buluh. Setiap hari Sabtu, kami perlu memindahkan perabot kami supaya ada cukup ruang untuk perjumpaan pada hari Ahad.” Di rumah lain pula, ada masalah atap yang bocor. Saudara Noel berkata, “Semasa hujan, kami menggunakan baldi untuk tadah air. Tetapi ini bukan masalah besar. Kami gembira kerana dapat bersama-sama keluarga rohani kami.”

Mereka Menginjil dengan Bersemangat

 Kemiskinan tidak membuat para Saksi menjalankan kerja penyebaran dengan kurang semangat. Lindina, yang tinggal di Pulau Negros, berkata, “Keluarga saya besar, dan hanya bapa yang bekerja untuk menampung keperluan keluarga. Kami tidak selalunya ada duit untuk pengangkutan, jadi kami sering kali berjalan ke kawasan penyebaran. Namun kami rasa seronok sebab boleh jalan beramai-ramai. Kami juga tahu usaha kami menyenangkan hati Yehuwa.”

Para Saksi terus menginjil biarpun hidup susah

 Pengangkutan awam juga susah didapati, jadi menginjil di kawasan pergunungan yang terpencil sangat mencabar. Esther, yang tinggal di Pulau Luzon, berkata, “Kami perlu bertolak awal kerana perjalanannya sangat jauh. Kumpulan kami ada antara 6 hingga 12 orang Saksi, dan kami menginjil sepanjang hari. Kami akan bawa bekal yang kami masak sendiri dan makan di bawah pokok. Sesetengah saudara saudari tiada makanan, tetapi mereka tetap keluar menginjil. Kami selalunya beritahu mereka, ‘Jangan risau, ada cukup makanan untuk semua orang.’”

 Yehuwa memberkati semangat mereka dengan berlimpah-limpah. Sebagai contoh, pada tahun 1970, terdapat 54,789 orang penyiar di Filipina. Pada tahun 1989, angkanya menjadi hampir dua kali ganda, iaitu 102,487 orang penyiar. Pada tahun 2023, jumlah penyiar di Filipina ialah 253,876 orang.

“Kemiskinan Tidak Menghalang Kami daripada Mengasihi Yehuwa”

 Meskipun para Saksi sangat miskin dari segi kewangan, mereka kaya secara rohani. Seorang saudara yang bernama Antonio berkata, “Kemiskinan tidak menghalang kami daripada mengasihi Yehuwa.” Saudari Fe Abad berkata, “Semasa saya dan suami menghadapi masalah ekonomi, kami berpaut pada Yehuwa dan bersukacita kerana hidup sederhana. Anak-anak kami juga belajar untuk percaya kepada Yehuwa.”

 “Kemiskinan bukan masalah semasa kita sembah Yehuwa,” kata Lucila yang tinggal di Pulau Samar. Dia menambah, “Semasa kita mengutamakan Tuhan, kita dapat bersikap positif dan berpuas hati. Saya bersukacita semasa melihat pelajar Bible saya mengenali Yehuwa dan kemudian menyertai saya dalam khidmat perintis.”

 Memandangkan keadaan dunia sekarang tidak menentu, marilah kita sentiasa ingat kata-kata seorang penatua yang bernama Rodolfo. Dia menulis, “Saya hidup susah antara tahun 1970-an dengan 1980-an, tetapi saya selalu merasai bantuan Yehuwa. Saya hanya ada sedikit wang, tetapi saya tidak kekurangan apa-apa. Yehuwa jaga saya dengan baik. Saya menikmati kehidupan yang terbaik sekarang, dan saya menantikan ‘kehidupan yang sejati’ di Firdaus.”—1 Timotius 6:19.

a Sesetengah nama telah diubah.