Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Stesen radio WBBR, 1924

KHAZANAH ROHANI KITA

Menyiarkan Berita Baik melalui Radio

Menyiarkan Berita Baik melalui Radio

 Pada Ahad petang, 24 Februari 1924, stesen radio baharu Pelajar Bible, a iaitu WBBR, telah membuat siaran buat kali pertama. Bagaimanakah keadaannya pada masa itu? Siapakah yang mendengarnya? Bagaimanakah Saksi-Saksi Yehuwa terus menggunakan teknologi terkini untuk menyebarkan “berita baik tentang Kerajaan Tuhan . . . ke seluruh bumi”?—Matius 24:14.

Seorang juruteknik bersama panel kawalan WBBR

“Kami Memulakan Siaran”

 Siaran pertama itu bermula pada jam 8:30 malam dan berlangsung selama dua jam. Program tersebut disiarkan daripada sebuah studio yang baru dibina di Staten Island, New York. Mengenang kembali masa itu, ketua jurutera audio, Saudara Ralph Leffler, berkata bahawa semua orang di studio “berasa teruja dan gementar,” dan dia pun tertanya-tanya, “Adakah sesiapa yang dapat mendengar kami?” Dia menyambung, “Saya menghidupkan semua peralatan lalu kami memulakan siaran dan mengharapkan yang terbaik.”

 Juruhebah siaran pertama itu ialah Saudara Victor Schmidt, pengurus stesen WBBR. Dia memulakan program dengan memperkenalkan beberapa orang ahli muzik dan penyanyi yang merupakan Pelajar Bible. Mula-mula, seorang pemain piano mempersembahkan muzik klasikal. Kemudian, Cora Wellman menyanyikan lagu “The Ninety and Nine,” berdasarkan perumpamaan Yesus tentang biri-biri yang hilang. (Lukas 15:4-7) Persembahan lain termasuk lagu “The Penitent” yang dinyanyikan oleh Saudara Frederick W. Franz, berdasarkan cerita ibarat tentang anak yang sesat.—Lukas 15:11-25.

Aturcara bagi program yang pertama daripada WBBR

 Joseph F. Rutherford, yang mengambil pimpinan dalam kalangan Pelajar Bible pada masa itu, memberikan ceramah pentahbisan bagi studio baharu itu. Dia berkata bahawa studio itu bertujuan untuk menyokong “kepentingan Kerajaan Mesias.” Dia juga berkata, “Memandangkan Yehuwa telah mengizinkan manusia untuk menciptakan radio, sudah pasti Dia mahu kita menggunakan radio untuk mengajar orang tentang nubuat-nubuat-Nya yang sudah menjadi kenyataan.”

“Tiada Satu Suku Kata Pun yang Tidak Kedengaran”

 Banyak pendengar yang tinggal di bahagian timur laut Amerika Syarikat telah mendengar siaran yang pertama itu. Seorang pendengar dari Morrisville, Vermont, yang tinggal 320 kilometer dari Staten Island, berkata, “Setakat ini, saya dapat mendengar program siaran. . . . Suara Rutherford sangat jelas. . . . Tiada satu suku kata pun yang tidak kedengaran.” Bahkan seorang pendengar dari Monticello, Florida, juga dapat mendengar siaran itu! Stesen radio itu memang berjaya dan banyak orang menulis surat untuk mengungkapkan penghargaan mereka.

Joseph Rutherford di hadapan mikrofon dalam studio WBBR. Victor Schmidt ialah juruhebah

 Selama 33 tahun, b stesen radio itu terus menyiarkan berita tentang Kerajaan Tuhan, terutamanya di bahagian timur laut Amerika Syarikat. Namun ada kalanya, WBBR juga disambungkan ke stesen-stesen lain. Hasilnya, jutaan pendengar di Amerika Syarikat, Kanada, dan negara-negara lain dapat mendengar berita baik. Buku Tahunan Saksi-Saksi Yehuwa 1975 melaporkan, “Pada tahun 1933, program daripada WBBR telah disiarkan kepada paling banyak orang. Sebanyak 408 stesen telah menyiarkan mesej Bible ke enam benua, dan sebanyak 23,783 ceramah Bible yang berbeza telah disiarkan . . . Pada masa itu, program daripada Watch Tower disiarkan secara serentak di beberapa stesen radio. Orang di merata tempat dapat mendengar kebenaran yang memuliakan Tuhan.”

Menginjil dari Rumah ke Rumah Menjadi Lebih Efektif

 Semasa Pelajar Bible mula menggunakan WBBR, secara purata terdapat 1,064 orang penginjil di Amerika Syarikat. Memandangkan jumlah Saksi tidak begitu banyak, stesen radio telah memainkan peranan yang penting dalam menyebarkan berita baik. Namun menjelang tahun 1957, secara purata terdapat 187,762 orang penyiar di Amerika Syarikat dan 653,273 orang penyiar di serata dunia. Tambahan lagi, dengan adanya latihan yang disediakan di perjumpaan, saudara saudari telah menjadi semakin mahir menyebarkan berita baik dari rumah ke rumah dan dalam cara yang lain.

 Perkembangan ini menggerakkan saudara yang mengambil pimpinan untuk menilai semula penggunaan siaran radio. Hasilnya, mereka membuat keputusan untuk menjual stesen WBBR, iaitu satu-satunya stesen yang dimiliki dan dikendalikan oleh Watchtower Society. Stesen itu dijual pada 15 April 1957. Sehari sebelum itu, semasa siaran istimewa penutupan, Saudara Nathan H. Knorr ditanya mengapa stesen itu dijual. Dia menjelaskan bahawa faktor utama peningkatan bilangan Saksi-Saksi Yehuwa ialah kerja menginjil. Dia menyambung, “Banyak orang pernah dibantu oleh siaran WBBR, tetapi peningkatan bilangan penyiar di kawasan yang dapat mendengar siaran WBBR bukanlah lebih tinggi daripada tempat lain di seluas dunia.” Maka, para saudara membuat kesimpulan bahawa kerja menginjil dari rumah ke rumah lebih efektif daripada siaran radio. Namun, itu bukanlah kali terakhir organisasi kita menggunakan program yang disiarkan.

Program Siaran Hari Ini

 Pada 6 Oktober 2014, terdapat perkembangan menarik yang berlaku dalam organisasi Yehuwa. Buat kali pertama, stesen Internet televisyen yang dipanggil Siaran JW telah digunakan. Saksi-Saksi Yehuwa dan orang lain dapat melihat program bulanan yang disiarkan dengan menggunakan pelayar web, aplikasi JW Library, peranti streaming, atau satelit penerima. c Walaupun begitu, di sesetengah negara, umat Yehuwa masih menggunakan radio dan televisyen. Bagaimana?

Episod pertama Siaran JW, Oktober 2014

 Beberapa tahun belakangan ini, organisasi Yehuwa telah menggunakan stesen radio dan televisyen yang disediakan oleh pembekal luar untuk menyiarkan perjumpaan mingguan dan program konvensyen di tempat-tempat yang tidak mempunyai sambungan Internet yang bagus. Siaran sebegini juga dapat mencapai banyak orang bukan Saksi, termasuk mereka yang berminat terhadap kebenaran. Sebagai contoh, antara tahun 2021 hingga 2022, pengurus-pengurus stesen radio memberitahu pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa Afrika Timur bahawa banyak orang bukan Saksi telah mengucapkan terima kasih kerana menyiarkan perjumpaan kita. Sebilangan pendengar di Kenya, Sudan Selatan, dan Tanzania bahkan telah meminta pembelajaran Bible.

 Namun, cara utama Saksi-Saksi Yehuwa menyebarkan mesej Kerajaan Tuhan ke seluas dunia adalah dengan menginjil dari rumah ke rumah, menggunakan rak mudah alih, dan melalui laman web jw.org. Semua maklumat dalam laman web kita disediakan secara percuma. Orang dapat membaca dan menonton bahan bacaan Bible dalam lebih daripada 1,080 bahasa. Mereka juga dapat membaca Bible atas talian, mendapat jawapan kepada soalan Bible, dan mengetahui di mana perjumpaan-perjumpaan Kristian kita diadakan. Kini, jauh lebih banyak orang dapat belajar berita baik tentang Kerajaan Tuhan berbanding masa dahulu! Seperti yang dinubuatkan dalam Bible, mesej Kerajaan Tuhan sememangnya sedang disebarkan “ke seluruh bumi.”—Matius 24:14.

a Pada tahun 1931, Pelajar Bible mula menggunakan nama Saksi-Saksi Yehuwa.

b Buat suatu jangka masa, Saksi-Saksi Yehuwa juga mempunyai stesen radio di negara-negara lain, termasuk Australia dan Kanada.