KHAZANAH ROHANI KITA
Pertubuhan Kebudayaan yang Mengajarkan Kebenaran Bible
Pelajar Bible Antarabangsa, yang kemudiannya dikenali sebagai Saksi-Saksi Yehuwa, mula menginjil kepada penduduk Mexico pada tahun 1917. Selama puluhan tahun berikutnya, ramai orang yang tulus hati telah menerima ibadat sejati. Namun, semasa Perang Dunia Kedua, kerajaan Mexico telah menggubal undang-undang yang mempengaruhi lokasi kami menginjil dan bangunan yang kami gunakan untuk mengadakan perjumpaan.
Undang-undang itu menyatakan bahawa ibadat yang dilakukan secara beramai-ramai harus diadakan di bangunan milik kerajaan. Hal ini menimbulkan masalah sebab konvensyen kami diadakan di tempat umum, perjumpaan kami biasanya diadakan di rumah Saksi-Saksi Yehuwa, dan kami menginjil di jalanan dan dari rumah ke rumah.
Untuk mematuhi undang-undang itu, pada tahun 1943 kami didaftarkan sebagai sebuah persatuan sivil dan kebudayaan yang tidak berasaskan keuntungan. Persatuan ini bertujuan menyediakan pendidikan untuk membantu masyarakat meningkatkan mutu hidup mereka. Di bawah pendaftaran ini, kami tergolong sebagai pertubuhan kebudayaan, dan bukannya sebagai pertubuhan agama. Hasilnya, kami tidak diwajibkan untuk menggunakan bangunan milik kerajaan bagi semua aktiviti kami.
Aktiviti kami merangkumi program yang berunsur kebudayaan dan pendidikan. Dengan itu, kami memenuhi syarat undang-undang bagi pertubuhan sivil dan budaya. (Roma 13:1) Sudah tentu, tujuan utama kami masih sama, iaitu untuk membantu orang belajar kebenaran Bible. (Yesaya 48:17, 18) Tidak lama kemudian, kami telah melihat bagaimana Yehuwa memberkati aturan baharu ini yang membolehkan banyak orang mempelajari kebenaran. Ramai Saksi hari ini masih ingat akan perkembangan pada masa itu.
Mengubah Kaedah Menginjil
Di Mexico, kami sentiasa mengutamakan kerja penyebaran tentang Kerajaan Tuhan. Namun, seperti Rasul Paulus, kami menyesuaikan kaedah kami mengikut keadaan. (1 Korintus 9:20-23) Sebagai contoh, semasa Paulus bercakap kepada orang Atena di Areopagus, dia tidak memetik Ayat-Ayat Suci. (Kisah 17:22-31) Begitu juga, kami tidak membawa atau merujuk kepada Bible semasa berbual dengan orang.
Mengenang kembali masa itu, Isabel berkata, “Kami akan memperkenalkan diri sebagai wakil persatuan kebudayaan dan pendidikan. Biasanya, saya akan bercakap tentang artikel dalam majalah Sedarlah! yang tidak menyebut tentang topik Bible secara langsung.” Namun, jika penghuni rumah berminat tentang hal rohani, kami akan kongsi kebenaran Bible dengan mereka. Aurora berkata, “Memandangkan kami tidak bawa Bible, kami perlu hafal banyak ayat Bible.” Penghuni rumah juga lebih sudi mendengar apabila kami guna Bible mereka.
Mempertahankan Kerja Menginjil dari Rumah ke Rumah
Kami juga bersedia untuk menjelaskan kepada sesiapa sahaja yang mempersoalkan sama ada kerja kami sah di sisi undang-undang atau tidak. (Filipi 1:7) María berkata, “Kami sentiasa membawa kad pengenalan yang ditandatangani oleh Setiausaha Hal Ehwal Luar Negeri.” a Samuel menjelaskan, “Jika pihak berkuasa datang dan tanya apa yang kami sedang buat, kami akan tunjuk kad itu kepada mereka.”
Kad pengenalan itu juga berguna semasa kami menghadapi tentangan. Sebagai contoh, Jesús, yang berkhidmat di negeri Jalisco, berkata, “Pada tahun 1974, sekumpulan perusuh yang dipimpin oleh seorang paderi ingin menghentikan kerja kami. Oleh itu, mereka membawa saya dan sepasang Saksi ke majlis perbandaran. Selepas kami tunjukkan kad pengenalan kepada pihak berkuasa, semua orang pun bertenang. Setelah mendapat bantuan perundangan, kami dapat terus membantu orang yang berminat di kawasan itu. Kini, terdapat beberapa sidang di bandar itu.”
Pembelajaran Bible dan Kursus Celik Huruf
Sebagai persatuan sivil yang menggalakkan pendidikan, kami menawarkan kursus membaca dan menulis secara percuma. b Ariel berkata, “Aturan ini diadakan tepat pada masanya. Pada masa itu, ramai orang tidak bersekolah, tetapi mereka sangat ingin membaca Bible. Jadi kami ajar mereka untuk membaca dan menulis. Tidak lama selepas itu, ramai orang mula belajar Bible dengan kami.”
Ruth berkata, “Sebaik sahaja mereka belajar untuk mengeja, tiada apa-apa yang dapat halang mereka. Mereka berasa puas dan gembira kerana sudah belajar untuk membaca dan menulis. Kami telah melihat dengan mata sendiri kemajuan rohani yang dibuat oleh mereka.”
Saksi-Saksi Yehuwa didaftarkan sebagai persatuan sivil dan kebudayaan dari tahun 1943 hingga tahun 1993. Sepanjang masa itu, kami telah membantu lebih daripada 127,000 orang untuk membaca dan menulis, dan membantu lebih daripada 37,000 orang untuk meningkatkan kemahiran membaca dan menulis. Pihak kerajaan bahkan memuji usaha kami. (Roma 13:3) Sebagai contoh, pada tahun 2010, kami diberi pengiktirafan khas kerana “komitmen selama puluhan tahun untuk membantu ribuan orang Mexico di negeri Mexico, bahkan di seluruh negara, untuk membaca dan menulis, serta meningkatkan mutu kehidupan mereka.”
Mengadakan Perjumpaan
Memandangkan Saksi-Saksi Yehuwa didaftarkan sebagai persatuan kebudayaan, tempat kami mengadakan perjumpaan diaturkan seperti bilik darjah dan dipanggil Dewan Pengajian Budaya. Kami juga mengadakan kursus celik huruf di situ.
Ángel berkata, “Kebanyakan dewan itu terletak di rumah saudara saudari, dan ramai antara mereka tidak kaya. Saya sangat kagum dengan pengorbanan mereka. Mereka sanggup hidup berhimpit-himpit supaya rumah mereka ada cukup ruang untuk mengadakan perjumpaan.”
Pengorbanan sebegitu amat dihargai. Ángel berkata, “Kadangkala, ada begitu banyak orang yang menghadiri perjumpaan sehingga banyak orang harus berdiri di luar. Jika kami mahu memberi komen, kami perlu menjenguk dari tingkap. Namun, kami selalu menikmati perjumpaan.”
Untuk mengelakkan masalah, kami tidak akan bernyanyi atau berdoa dengan suara lantang di perjumpaan. Edmundo berkata, “Semasa Ceramah Kebudayaan, iaitu ceramah umum sekarang, penceramah akan menyerlahkan bagaimana nasihat Bible dapat membantu hadirin meningkatkan mutu hidup dan budaya mereka.” Buat suatu masa, kami bahkan tidak menyebut nama buku Bible. Jadi bagaimanakah ayat Bible diperkenalkan? Manuel menjelaskan, “Daripada berkata Wahyu bab 21, ayat 3 dan 4, kami akan kata, ‘Buku 66, 21, 3 dan 4.’” Seorang lagi Saksi yang bernama Moises berkata, “Hal ini bermaksud bahawa kami perlu tahu setiap buku Bible ialah kitab yang ke berapa.”
Pengajaran daripada Sejarah Para Saksi di Mexico
Sebenarnya, cara organisasi kami diaturkan di Mexico hampir sama dengan cara organisasi kami diaturkan di tempat lain. Biarpun ibadat kami disekat, Yehuwa memberkati usaha kami. Semasa kami didaftarkan sebagai persatuan sivil pada tahun 1943, terdapat 1,565 orang penyiar di Mexico. Pada tahun 1993, kami didaftarkan sebagai pertubuhan agama. Pada tahun itu, purata bilangan penyiar ialah 366,177 orang. Pada tahun 2021, purata bilangan penyiar di Mexico telah meningkat menjadi 864,633 orang. Apakah beberapa pengajaran yang dapat kita belajar daripada sejarah para Saksi di Mexico?
Buat penyesuaian semasa halangan timbul. Dengan berbuat demikian di Mexico, kami dapat melakukan aktiviti kami secara sah di sisi undang-undang selama 50 tahun. Mario berkata, “Ada kalanya, saya tertanya-tanya, mengapa kami tidak boleh guna aturan yang digunakan di negara lain. Tapi, saya tidak pernah mendengar sesiapa pun mempersoalkan arahan organisasi. Kami percaya bahawa Yehuwa selalu memimpin umat-Nya. Jadi, kami ikut sahaja arahan yang diberikan.”
Bertumpu kepada kerja Yehuwa. Guadalupe berkata, “Kami begitu sibuk membantu orang menjadi murid Yesus sehingga tiada masa untuk risau tentang hal lain. Asalkan kami dapat berkhidmat kepada Yehuwa, kami sudah sangat gembira. Bagi kami, itulah hal yang terpenting.”
Bergaul rapat dengan rakan seiman. Anita menjelaskan, “Apa yang tidak boleh kami lakukan di Dewan Pengajian Budaya, seperti menyanyikan lagu rohani, akan kami lakukan di rumah. Kami tetap bersatu dan sering bergaul dengan satu sama lain. Semasa gathering, kami selalu mengutamakan hal rohani.”
Florentino berkata, “Mengenang kembali semua perkara yang telah berlaku, saya yakin bahawa semuanya mempunyai tujuan dan pengajarannya. Saya dapat melihat dengan jelas bahawa biarpun kerja kami ditentang, Yehuwa sentiasa membimbing kami.”
a Tujuan kad itu hanyalah untuk memperkenalkan diri. Bible tidak menyatakan bahawa setiap orang Kristian harus mendapatkan permit daripada pihak berkuasa untuk mengongsikan kebenaran Bible dengan orang lain. Belakangan ini, para Saksi tidak membuat pendaftaran atau mendapatkan dokumen sedemikian.
b Menurut anggaran rasmi, dari tahun 1940-an hingga tahun 1950-an, sekitar separuh daripada penduduk Mexico tidak tahu membaca atau menulis.
Beberapa keluarga Saksi di Chihuahua, Mexico, berkumpul di hadapan tempat perjumpaan mereka. Papan tanda dalam bahasa Sepanyol menyatakan, “Dewan Pengajian Budaya,” 1952
Sekumpulan Saksi di pejabat cawangan di Bandar Raya Mexico. Papan tanda dalam bahasa Sepanyol menyatakan, “Persatuan Sivil, The Watchtower,” 1947
Dua orang Saksi menawarkan majalah Menara Pengawal dalam bahasa Sepanyol di kawasan pedalaman Hidalgo, Mexico, 1959
Para Saksi diberi kad pengenalan daripada pihak kerajaan untuk digunakan apabila perlu
Pada tahun 2010, Setiausaha Pendidikan Awam di Mexico memberikan anugerah kepada Saksi-Saksi Yehuwa kerana mengajar orang membaca dan menulis
Oleh sebab para Saksi didaftarkan sebagai persatuan kebudayaan, mereka dibenarkan untuk mengadakan perhimpunan besar seperti Perhimpunan Kebudayaan Antarabangsa pada tahun 1969