ASTER PARKER | KISAH HIDUP
Saya Mahu Berkhidmat kepada Yehuwa dengan Sepenuh Hati
Saya bersyukur kerana ibu bapa yang saya kasihi mengajar saya kebenaran sejak kecil. Mereka mengajar saya untuk mengasihi Yehuwa dengan menggunakan gambar dan cerita yang terdapat dalam buku From Paradise Lost to Paradise Regained. Saya dengan bersemangat mengongsi apa yang saya belajar kepada anak-anak jiran saya dan datuk saya semasa dia lawat kami. Ibu bapa saya mengekalkan rutin rohani yang baik. Jadi semasa kami berpindah dari Asmara di Eritrea ke Addis Ababa di Etiopia, hal ini bantu kami senang untuk menyesuaikan diri di tempat yang baharu.
Sejak kecil lagi, saya mengasihi kebenaran. Saya ingin membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis. Semasa saya berumur 13 tahun, saya sangat gembira kerana mencapai matlamat ini. Semasa saya berumur 14 tahun, Saudara Helge Linck a menanya saya jika saya ada fikir untuk menjadi perintis. Saya tidak pernah lupa akan hal itu. Meskipun ibu bapa saya pernah berkhidmat sebagai perintis sementara (kini dipanggil sebagai perintis sokongan), saya tidak tahu apa yang terlibat untuk menjadi seorang perintis. Soalan Saudara Linck membuat saya mula ada keinginan untuk melakukan lebih banyak lagi dalam khidmat kepada Yehuwa.
Bersedia untuk Menghadapi Penganiayaan
Pada 1974, masalah politik di Etiopia telah menyebabkan orang ditangkap, dibunuh, dan keadaan yang huru-hara. Tidak lama kemudian, kami tidak dapat menginjil dari rumah ke rumah, dan kami hanya dapat berkumpul dalam kumpulan kecil. Ibu bapa kami mula membantu kami adik-beradik bersedia menghadapi tentangan lain. Prinsip Bible bantu kami memahami maksud keneutralan Kristian. Kami belajar bahawa Yehuwa akan bantu kami untuk tahu apa yang harus dikatakan apabila kami disoal dan bila kami perlu berdiam diri.—Matius 10:19; 27:12, 14.
Setelah saya tamat sekolah, saya mula bekerja untuk Syarikat Penerbangan Etiopia. Pada suatu pagi, semasa saya datang kerja, rakan sekerja mengucapkan tahniah kerana saya telah dilantik untuk mengetuai acara perarakan untuk menyambut ulang tahun kerajaan Etiopia. Saya segera memberitahu penyelia saya bahawa saya tidak akan menyertai sambutan itu disebabkan keneutralan Kristian saya.
Pada keesokan hari, semasa saya bekerja di lapangan terbang, saya lihat dari jauh beberapa lelaki yang membawa senapang menuju ke kaunter tiket. Saya fikir mereka datang untuk menangkap seseorang yang cuba melarikan diri dari negara. Tapi sebaliknya, mereka menunjuk saya! Saya tertanya-tanya mengapa mereka tengok saya? Sejak hari itu, hidup saya mula berubah.
Bantuan semasa di Penjara
Askar-askar itu membawa saya ke sebuah pejabat dan saya disoal siasat selama berjam-jam. Mereka memaksa saya untuk menjawab, “Siapa yang membayar Saksi-Saksi Yehuwa? Adakah kamu bekerja untuk Barisan Pembebasan Eritrea? Adakah kamu atau bapa kamu bekerja untuk kerajaan Amerika Syarikat?” Biarpun keadaan itu sangat tertekan, saya bersyukur kerana atas bantuan Yehuwa, saya dapat tetap tenang.—Filipi 4:6, 7.
Selepas disoal siasat, askar-askar itu membawa saya ke sebuah rumah yang telah diubah menjadi penjara. Saya dimasukkan ke sebuah bilik yang bersaiz 28 meter persegi, dan bilik itu penuh dengan 15 wanita muda yang dipenjarakan kerana melakukan kegiatan politik yang bertentangan dengan kerajaan.
Malam itu, saya berbaring di atas lantai dan masih berpakaian seragam. Saya risau kerana saya tahu ibu bapa dan adik-beradik saya akan khuatir tentang saya. Mereka tahu saya ditangkap, tapi mereka tidak tahu saya di mana. Saya memohon kepada Yehuwa untuk membantu keluarga saya cari tahu di mana saya ditahan.
Pada keesokan pagi apabila saya bangun, saya terjumpa seorang pengawal lelaki yang saya kenal. Dia nampak terkejut dan berkata, “Aster, apa kamu buat di sini?” Saya merayu kepadanya untuk pergi ke rumah ibu bapa saya dan memberitahu mereka saya ada di mana. Pada hari yang sama, ibu bapa saya telah menghantar makanan dan pakaian bagi saya. Ya, pengawal itu telah beritahu mereka lokasi saya. Yehuwa telah menjawab doa saya! Pengalaman itu meyakinkan saya bahawa saya tidak keseorangan.
Saya tidak dibenarkan untuk ada Bible atau bahan bacaan lain. Keluarga dan kawan-kawan saya juga tidak boleh melawat saya. Namun, Yehuwa memberi saya galakkan melalui banduan lain. Saya menginjil kepada mereka setiap hari, dan mereka berasa kagum dengan kebenaran tentang Kerajaan Tuhan. Mereka selalu beritahu saya, “Kami berjuang untuk kerajaan manusia, tapi kamu pula berjuang untuk Kerajaan Tuhan. Jangan berkompromi, biarpun mereka mengugut untuk membunuh kamu!”
Ada kalanya, para pengawal akan menyoal siasat dan memukul banduan. Pernah sekali kira-kira jam 11 malam, mereka datang mencari saya. Semasa kami tiba di bilik soal siasat, mereka melontarkan banyak tuduhan. Mereka kata saya tidak menyokong kerajaan. Apabila saya enggan mengucapkan slogan politik, dua pengawal lelaki memukul saya. Mereka berulang kali menggunakan cara sebegini untuk menyoal siasat saya. Setiap kali itu, saya berdoa kepada Yehuwa dengan tekun, dan saya dapat merasai sokongan-Nya.
Selepas tiga bulan, salah seorang pengawal datang dan beritahu saya bahawa saya dibebaskan. Walaupun saya terkejut dan gembira, saya juga berasa sedikit kecewa kerana saya menikmati peluang untuk mengongsi harapan tentang Kerajaan Tuhan kepada banduan-banduan wanita di penjara.
Beberapa bulan selepas saya dibebaskan, askar-askar datang untuk menangkap semua remaja dalam keluarga kami! Mereka berjaya menangkap dua adik perempuan saya dan salah seorang adik lelaki saya semasa saya tiada di rumah. Pada masa itu, saya memutuskan untuk meninggalkan negara itu. Meskipun saya berasa sangat sedih untuk berpisah dengan keluarga saya lagi, ibu saya menggalakkan saya untuk tetap kuat dan percaya kepada Yehuwa. Tidak lama kemudian, saya naik kapal terbang ke Amerika Syarikat. Pada hari yang sama, askar-askar datang ke rumah saya untuk menangkap saya buat kali kedua. Apabila mereka tidak menjumpai saya di rumah, mereka segera pergi ke lapangan terbang. Tapi semasa mereka tiba, kapal terbang saya sudah berlepas.
Semasa tiba di Maryland, saya disambut oleh Haywood dan Joan Ward, pasangan mubaligh yang mengajar ibu bapa saya. Lima bulan kemudian, saya mencapai matlamat saya untuk menjadi seorang perintis. Anak perempuan mereka, Cyndi, menjadi rakan perintis saya, dan kami telah menikmati banyak masa gembira bersama dalam kerja penyebaran.
Menggunakan Hidup Saya untuk Berkhidmat kepada Tuhan di Bethel
Pada musim panas 1979, saya melawat Bethel di New York dan terjumpa dengan Wesley Parker. Saya suka sifat-sifatnya yang baik dan bahawa dia mahu melakukan lebih banyak untuk Yehuwa. Pada 1981, kami berkahwin, dan saya berpindah ke Wallkill, New York, untuk berkhidmat bersama Wesley di Bethel. Saya bekerja di Bahagian Pembersihan dan Dobi dan kemudian di Bahagian Komputer dalam kumpulan MEPS. Khidmat di Bethel memberi saya peluang untuk menggunakan hidup saya dengan sepenuhnya demi Yehuwa. Saya juga dapat mengenali saudara saudari yang menjadi kawan kami sehingga hari ini.
Tapi di Etiopia, keluarga saya mengalami penganiayaan yang teruk, dan hal ini buat saya sangat sedih. Tiga adik-beradik saya yang ditangkap masih dipenjarakan. b Setiap hari, ibu saya perlu menyediakan dan menghantar makanan untuk mereka kerana penjara tidak menyediakan makanan.
Pada masa yang susah itu, Yehuwalah tempat perlindungan saya dan keluarga Bethel melegakan dan menyokong saya. (Markus 10:29, 30) Suatu hari, Saudara John Booth beritahu saya, “Kami sangat gembira kamu berkhidmat di Bethel. Tanpa berkat Yehuwa, kamu mungkin tidak berada di sini.” c Kata-katanya yang baik hati itu meyakinkan saya bahawa Yehuwa telah memberkati keputusan saya untuk meninggalkan Etiopia dan bahawa Dia akan menjaga keluarga saya.
Menyembah Yehuwa sebagai Sebuah Keluarga
Pada Januari 1989, kami mendapati bahawa saya hamil. Pada mulanya, kami terkejut! Tetapi selepas beberapa hari, kerisauan kami berubah menjadi sukacita. Namun, kami masih tertanya-tanya kami akan menjadi ibu bapa yang seperti apa, di mana kami akan tinggal, dan bagaimana kami dapat menyara hidup kami selepas meninggalkan Bethel.
Pada 15 April 1989, kami masukkan segala barang kami ke dalam kereta dan pergi ke Oregon. Di situ, kami rancang untuk terus berkhidmat sepenuh masa sebagai perintis. Namun tidak lama selepas kami tiba, sesetengah kawan yang berniat baik beritahu kami bahawa adalah tidak munasabah untuk kami merintis. Memang benar, kami tidak ada banyak wang dan kami bakal ada cahaya mata. Jadi bagaimana? Selepas itu, kami ada lawatan penyelia litar oleh Guy Pierce, dan isterinya Penny. d Mereka menggalakkan kami untuk terus mencapai matlamat kami. Jadi, kami mula merintis dan percaya bahawa Yehuwa akan membantu kami. (Maleakhi 3:10) Kami terus merintis selepas kelahiran anak pertama kami, Lemuel, dan anak kedua kami, Jadon.
Merintis bersama anak-anak kami semasa mereka masih kecil merupakan pengalaman yang paling kami hargai. Khidmat ini memberi kami banyak peluang untuk menjelaskan kebenaran Bible bukan sahaja kepada orang, tetapi juga kepada anak-anak kami. (Ulangan 11:19) Namun selepas kelahiran anak kami yang ketiga, Japheth, kami perlu berhenti merintis untuk seketika.—Mikha 6:8.
Mengajar Anak-Anak Kami untuk Menyembah Yehuwa
Kami sedar bahawa tanggungjawab yang paling penting sebagai ibu bapa adalah membuat Yehuwa lebih nyata bagi anak-anak kami dan membantu mereka menjalin hubungan yang baik dengan Yehuwa. Jadi, kami cuba membuat penyembahan keluarga sesuatu yang mereka nantikan. Semasa mereka masih kecil, kami akan baca bersama buku Dengarlah Cakap Guru Agung dan Buku Cerita Bible Saya. Kami bahkan melakonkan sesetengah cerita Bible. Memandangkan saya sahaja wanita di dalam rumah, saya akan berlakon sebagai Izebel semasa kami bincang tentang kisahnya. Anak-anak kami suka berpura-pura menolak saya dari kerusi dan kemudiannya berlakon sebagai anjing! Selain penyembahan keluarga, Wesley akan mengadakan pembelajaran Bible dengan setiap seorang daripada anak kami.
Kami mengasihi dan menjaga anak-anak kami. Kami juga berdoa supaya hubungan keluarga kami rapat. Semasa mereka semakin membesar, kami mengajar mereka kemahiran. Mereka belajar untuk mencuci pinggan mangkuk, membersihkan bilik mereka, dan mencuci pakaian. Mereka juga belajar untuk memasak.
Namun bukan anak-anak kami saja yang belajar. Sebagai ibu bapa, kami juga dapat belajar. Ada kalanya, kami tunjuk reaksi dan ucap kata-kata yang tidak baik kepada anak-anak kami atau kepada satu sama lain. Dalam situasi sebegitu, kami menunjukkan kerendahan hati dan minta maaf.
Kami memperlihatkan kemurahan hati dengan selalu menjemput saudara saudari dari sidang ke rumah kami, termasuk mereka yang datang melawat dari Bethel, mubaligh, penyelia lawatan, dan mereka yang berkhidmat di kawasan yang ada keperluan. (Roma 12:13) Semasa kami melayan tetamu, kami tidak akan suruh anak kami pergi bermain di dalam bilik. Mereka ada bersama kami dan menikmati pergaulan dan mendengar pengalaman. Sering kali, anak-anak kami lebih ingat tentang apa yang diceritakan berbanding saya dan Wesley.
Saya dan Wesley bekerja keras untuk membuat khidmat kami kepada Yehuwa lebih menarik. Misalnya, kami membuat perancangan dan menyimpan wang dan masa cuti supaya kami dapat pergi ke negara lain. Dalam setiap perjalanan, kami akan melawat pejabat cawangan, menghadiri perjumpaan, dan menginjil. Hal ini buat kami sangat mengasihi persaudaraan sedunia, dan hubungan kami sebagai sebuah keluarga bertambah erat.
Terus Berkhidmat dengan Sepenuh Hati
Kami mendapati ada banyak orang yang berbahasa Sepanyol di kawasan kami, tapi tiada yang menginjil kepada mereka. Jadi semasa anak kami masih kecil, kami tanya Saudara Pierce pendapatnya tentang rancangan kami untuk berpindah ke sidang bahasa Sepanyol. Dia menjawab dengan senyuman yang lebar, “Jika kamu seorang nelayan, kamu akan pergi ke tempat yang ada ikan.” Selepas mendengar galakan itu, kami berpindah ke sidang Sepanyol di Woodburn, Oregon. Kami merasai sukacita kerana dapat memulakan beberapa pembelajaran Bible dengan orang yang membuat kemajuan, membantu sesetengah orang untuk dibaptis, dan melihat kumpulan bahasa Sepanyol yang kecil menjadi sebuah sidang.
Pada satu masa, Wesley kehilangan kerjanya dan kami perlu berpindah ke California untuk kerja baharunya. Dua tahun kemudian, saya, Lemuel, dan Jadon mula merintis. Pada 2007, saya sangat gembira kerana dapat menghadiri Sekolah Latihan Perintis bersama mereka. Tidak lama selepas sekolah itu, kami sedar ada banyak orang yang berbahasa Arab di kawasan penyebaran kami. Jadi, kami sekeluarga memutuskan untuk menyertai sidang bahasa Arab setelah 13 tahun dalam kawasan penyebaran Sepanyol. Kami sangat gembira menginjil kepada orang yang berbahasa Arab di kawasan kami dan juga semasa kempen-kempen istimewa di negara lain. Kami terus merintis dalam kawasan penyebaran bahasa Arab di San Diego, California.
Wesley ialah suami dan kepala keluarga yang sangat baik. Dia mempunyai hormat yang mendalam terhadap organisasi Yehuwa. Dia tidak pernah mengatakan hal-hal yang negatif tentang Bethel atau aturan sidang. Sebaliknya, dia selalu mengatakan apa yang positif. Dia berdoa bersama saya dan untuk saya, dan semasa kami menghadapi situasi yang mencabar. Doanya melegakan saya dan membantu saya untuk tetap tenang.
Semasa saya fikir balik tentang kehidupan kami, kami sudah menikmati khidmat sepenuh masa, membesarkan anak-anak, dan berkhidmat di sidang-sidang yang memerlukan lebih banyak penyiar. Kami telah melihat bahawa Yehuwa memberkati orang yang mengutamakan-Nya, dan kami tidak pernah kekurangan apa-apa pun. (Mazmur 37:25) Saya yakin bahawa pilihan saya untuk berkhidmat kepada Yehuwa dengan sepenuh hati ialah keputusan yang terbaik.—Mazmur 84:10.
a Saudara Linck berkhidmat di pejabat cawangan Kenya, yang menyelia kerja di Etiopia.
b Adik-beradik saya dibebaskan dari penjara selepas empat tahun.
c Saudara Booth berkhidmat sebagai ahli Badan Pimpinan sehingga akhir hayatnya di bumi pada 1996.
d Saudara Pierce kemudiannya berkhidmat sebagai ahli Badan Pimpinan sehingga akhir hayatnya di bumi pada 2014.