DAVID MAZA | KISAH HIDUP
Tragedi Merampas Kebahagiaan Keluarga, namun Mereka Bangkit Semula
Selepas belajar Bible dan menerapkan prinsipnya, saya akhirnya menikmati keluarga bahagia yang saya sangka mustahil untuk dicapai. Saya dan isteri saya, berserta tiga orang anak kami, bersatu padu menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati.
Kami tidak menjangkakan tragedi yang berlaku pada 24 April 2004.
Apabila isteri saya, Kaye, melahirkan anak kami yang pertama, Lauren, saya tidak tahu bagaimana menjadi bapa yang baik. Begitu juga semasa anak kami yang kedua, Michael, dilahirkan. Semasa saya membesar, ibu bapa saya selalu bergaduh dan akhirnya mereka bercerai. Walaupun saya ingin menjadi ketua keluarga yang baik, saya tidak tahu apa yang saya harus buat.
Yang lebih teruk lagi, semasa remaja saya mula ketagih dengan alkohol dan dadah. Apabila dewasa, kehidupan saya masih tidak terkawal. Saya juga mula berjudi. Ketagihan saya menyebabkan saya membuat banyak keputusan yang salah. Keadaan menjadi begitu teruk sehingga Kaye meninggalkan saya dan membawa dua orang anak kami bersamanya. Itu buat hati saya berkecai.
Saya tanya Kaye apa yang saya perlu buat supaya dia kembali ke sisi saya. Dia sudah mula belajar Bible dengan Gloria, seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Maka syaratnya sangat mudah: “Belajar Bible.” Saya tidak tahu maksudnya, tetapi untuk mendapatkan semula Kaye, saya bersetuju untuk berjumpa dengan Gloria dan suaminya, Bill.
Perbincangan yang Mengubah Hidup
Apabila Bill dan Gloria datang ke rumah kami, saya kagum kerana mereka sangat rapat. Saya mendapat tahu bahawa anak-anak mereka yang sebaya saya sedang menggunakan kehidupan dalam cara yang bermakna. Untuk kali pertama, saya mula berfikir bahawa Bible mungkin dapat menjadi kunci kepada kebahagiaan keluarga.
Pada masa itu, Bill dan Gloria berbincang dengan saya tentang masalah saya. Mereka menunjukkan kata-kata Bible di Galatia 6:7: “Seseorang akan menuai apa yang ditanamnya.” Saya berfikir, “Kalaulah dari dulu lagi saya menerapkan prinsip itu semasa buat keputusan, saya pasti dapat mengelakkan banyak masalah!”
Seraya masa berlalu, kehidupan saya menjadi lebih baik kerana menerapkan prinsip Bible. Saya dan Kaye berhenti merokok, dan saya dibantu untuk meninggalkan semua ketagihan saya. Pada 1985, anak kami yang ketiga, David, telah lahir. Biasanya, kami panggil dia dengan nama manjanya Davey. Akhirnya, saya rasa saya tahu cara untuk menjadi bapa yang baik.
Bersatu Padu dalam Khidmat kepada Yehuwa
Sebagai ibu bapa, saya dan Kaye mendapati bahawa mengajar anak-anak kami untuk mengasihi Yehuwa juga membantu kami menjadi rapat dengan-Nya. Kami belajar banyak daripada bahan bacaan seperti Mendengar kepada Guru yang Agung! Pada masa yang sama, keluarga-keluarga di sidang kami telah menjadi contoh yang baik kepada kami dan anak-anak kami.
Belakangan, semua anak kami mula merintis. Sejak awal 2004, Lauren berkhidmat di sidang Sepanyol. Michael pula telah meninggalkan Bethel untuk berkahwin dengan Diana. Mereka akan berpindah ke Guam untuk membantu kerja menginjil di sana. Davey, yang berumur 19 tahun, telah mula berkhidmat di Republik Dominika.
Keputusan anak-anak kami buat saya dan Kaye sangat bangga. Kami berasa seperti yang digambarkan di 3 Yohanes 4: “Tidak ada yang membuat aku lebih bersukacita daripada mendengar bahawa anak-anakku tetap berjalan mengikut kebenaran.” Namun, satu panggilan telefon telah mengubah kehidupan kami.
Tragedi yang Menyayat Hati
Pada 24 April 2004, saya, Kaye, dan dua lagi pasangan suami isteri pergi makan malam di sebuah restoran yang terletak lebih dari 100 kilometer. Kami berenam pergi ke sana dengan kereta saya. Selepas makan malam, saya menurunkan mereka di sebuah kafe sementara saya pergi untuk meletak kereta. Tiba-tiba, telefon saya berbunyi. Rupa-rupanya, seorang kawan menelefon saya dan suaranya kedengaran sangat sedih.
Dia kata, “Sesuatu yang buruk telah berlaku. Davey mengalami kemalangan.”
Dengan perasaan takut, saya tanya, “Terukkah?”
Mula-mula, dia tidak dapat cakap apa-apa. Kemudian, dengan berat hati dia beritahu saya bahawa Davey telah meninggal.
Selepas panggilan itu, saya berdoa kepada Yehuwa untuk memohon kekuatan. Kemudian, saya masuk ke dalam kafe dan beritahu mereka bahawa saya tidak sihat dan lebih baik kami pulang ke rumah. Saya mahu beritahu Kaye tentang Davey semasa kami berdua sahaja.
Perjalanan pulang selama 90 minit itu memang membuat saya terseksa. Waktu itu, Kaye dengan teruja bercerita bahawa dia sangat menantikan Davey balik melawat kami. Sementara itu, bahkan sebelum Kaye tahu bahawa anak kami sudah mati, banyak orang mula menghantar SMS takziah kepada saya.
Selepas menghantar dua pasangan itu, kami pulang ke rumah. Kaye memandang wajah saya dan tahu sesuatu yang sangat buruk telah berlaku. “Apa yang terjadi?” tanya Kaye. Saya tahu kata-kata saya yang seterusnya akan meremukkan kehidupan Kaye, sepertimana panggilan telefon hampir dua jam sebelumnya telah meremukkan hati saya.
Menghadapi Kehilangan Orang Tersayang
Saya dan Kaye pernah menghadapi cabaran sebelum ini, dan kami tahu Yehuwa melegakan umat-Nya. (Yesaya 41:10, 13) Namun, cabaran ini ialah sesuatu yang kami tidak pernah alami. Saya asyik tertanya, “Mengapakah hal ini berlaku kepada Davey sedangkan dia buat banyak untuk Yehuwa? Kenapa Yehuwa tidak lindungi dia?”
Anak kami yang lain juga sangat pilu. Lauren sangat mengasihi Davey kerana dia bagaikan ibu kepadanya. Begitu juga dengan Michael. Michael sudah berpindah kira-kira lima tahun yang lalu. Namun, dia bangga dengan adik bongsunya yang telah membuat kemajuan dan menjadi seorang lelaki yang matang.
Sejak tragedi itu menimpa, saudara saudari banyak menolong kami. Contohnya, semasa Kaye masih terkejut dengan kematian anak kami, kawan-kawan dari sidang datang ke rumah dan memberikan kelegaan dan bantuan. (Amsal 17:17) Saya tidak akan lupa kasih yang mereka tunjukkan!
Untuk menangani kepedihan, kami tidak berhenti berdoa, mengkaji Bible, dan menghadiri perjumpaan Kristian. Walaupun itu tidak menghilangkan keperitan kami, hal-hal itu dapat bantu kami untuk tetap kuat secara rohani.—Filipi 3:16.
Sementara itu, Michael dan Diana berpindah dekat dengan kami, dan Lauren menyertai semula sidang Inggeris bersama kami. Oleh sebab kami bersama-sama untuk beberapa tahun, hal itu mula mengubati hati kami. Belakang apabila Lauren berkahwin, suaminya Justin juga sangat membantu kami.
Perjalanan yang Mencabar
Tidak lama selepas kematian Davey, ada satu lagi hal yang kami buat untuk mengatasi kesedihan kami. Hal itu memang mencabar, tetapi kami mendapat berkat yang besar. Kaye akan menceritakannya.
“Semasa suami saya beritahu bahawa Davey sudah meninggal, saya seolah-olah jatuh ke dalam lubang yang dalam dan tidak dapat keluar buat masa yang lama. Saya dibelenggu dengan kesedihan sehingga susah bagi saya untuk lakukan hal-hal yang biasa. Saya selalu menangis. Sejujurnya, kadang-kadang saya berasa marah dengan Yehuwa dan dengan orang yang masih hidup. Saya rasa seperti tidak dapat fikir dengan betul.
“Saya mahu pergi ke Republik Dominika. Saya mahu lihat tempat Davey tinggal dan tempat dia berkhidmat kepada Yehuwa sebelum dia meninggal. Tapi pada masa yang sama, saya rasa lemah secara emosi dan saya rasa tidak larat untuk pergi begitu jauh.
“Seorang kawan yang rapat bantu saya dengan beritahu saya bahawa kawan-kawan Davey di Republik Dominika juga sangat sedih dan mereka ingin sekali berjumpa dengan keluarga Davey. Sokongannya beri saya kekuatan untuk pergi ke sana.
“Sebenarnya, perjalanan itulah yang kami perlukan. Di sana, kami mendapat tahu bahawa Davey sangat berfokus untuk menyembah Yehuwa. Satu-satunya penatua di sidang Davey berkata bahawa dia selalu yakin Davey akan buat tugasan yang diamanahkan kepadanya.
“Semasa kami berjalan di kawasan tempat tinggal Davey, orang datang kepada kami dan beritahu tentang hal baik yang Davey lakukan untuk mereka. Saya tahu dia seorang yang baik hati, tapi lawatan ini bantu saya untuk lihat bahawa anak saya benar-benar cuba mengikut jejak Yesus.
“Kami juga berjumpa dengan salah seorang pelajar Bible Davey. Pelajar itu seorang lelaki yang tinggal di sebuah rumah yang sangat kecil dan terlantar di atas katil kerana dia tidak sihat. Lelaki itu sangat miskin, tapi saudara saudari di sidang beritahu kami bahawa Davey melayan lelaki itu dengan penuh hormat. Hal ini buat saya sangat bangga dengannya!
“Inilah perjalanan yang paling sukar bagi saya. Tapi perjalanan ini sedikit sebanyak mengubati hati kami. Kami dapat berkabung bersama orang yang merindui Davey, dan kami dapat bercakap tentang harapan pada masa depan.”
Digalakkan melalui Teladan Davey
Majalah Sedarlah! terbitan 8 Januari 2005 mengandungi sebuah rencana tentang kematian Davey dan khidmatnya di Republik Dominika. Pada masa itu, kami tidak tahu rupa-rupanya rencana ini telah memberikan kesan kepada pembaca. Contohnya pada Mei 2019, seorang saudara bernama Nick menghubungi kami dan berkata,
“Pada akhir tahun 2004, saya di kolej dan tiada matlamat rohani. Saya tidak gembira. Saya berdoa memohon bantuan Yehuwa supaya saya dapat guna zaman muda saya dalam cara yang lebih baik. Tidak lama kemudian, saya baca pengalaman Davey di majalah Sedarlah! Itu telah menjawab doa saya!
“Saya tinggalkan kolej dan mula merintis. Saya juga menetapkan matlamat untuk belajar bahasa Sepanyol dan berpindah ke negara lain. Belakangan, saya dapat berkhidmat di Nicaragua dan juga menghadiri Sekolah Latihan Penginjil bersama isteri saya. Apabila orang tanya apa yang mendorong saya untuk merintis, saya kongsi pengalaman Davey.”
Kami juga mendapat satu lagi pengalaman baik apabila kami berjumpa seorang saudari bernama Abi. Dia ditugaskan ke hotel kami semasa kami menghadiri Konvensyen Antarabangsa 2019 di Buenos Aires, Argentina. Sikapnya yang baik hati dan pengasih buat kami sangat kagum. Apabila melihat dia, kami teringat tentang Davey.
Setelah kembali ke bilik hotel, kami menghantar pautan rencana daripada Sedarlah! tentang Davey kepada Abi. Beberapa minit kemudian, dia pun membalas. Dia benar-benar mahu bercakap dengan kami. Maka kami berjumpa dengannya di lobi. Sambil menangis, Abi memberitahu bahawa pengalaman Davey telah mendorongnya untuk mula merintis pada September 2011 dan kemudian berkhidmat di kawasan yang terpencil. Dia berkata, “Apabila saya menghadapi cabaran dalam tugasan saya, saya akan baca semula rencana ini.” Dia bahkan ada satu salinan rencana itu bersamanya!
Pengalaman seperti ini menunjukkan bahawa kita sebahagian daripada keluarga sedunia. Tiada apa-apa di dunia ini yang setanding dengan perpaduan umat Yehuwa!
Saya dan Kaye sangat gembira kerana pengalaman Davey telah membawa kesan yang positif kepada banyak orang. Begitu juga dengan pengalaman semua kaum muda yang meluaskan khidmat kepada Yehuwa. Mereka mungkin tidak sedar semangat mereka telah menggalakkan orang lain dan teladan mereka mendorong orang untuk memberikan yang terbaik kepada Yehuwa.
“Mereka Semua Masih Hidup Dalam Pandangan-Nya”
Di Lukas 20:37, Yesus memetik kata-kata Yehuwa semasa Dia memanggil diri-Nya sebagai “Tuhan Abraham, Tuhan Ishak, dan Tuhan Yakub.” Yehuwa tidak kata Dia Tuhan mereka hanya semasa mereka hidup, tetapi Dia masih Tuhan mereka. Mengapa? Yesus memberitahu kita di ayat 38: “Mereka semua masih hidup dalam pandangan-Nya.”
Ya, dalam pandangan Yehuwa, semua hamba-Nya yang setia masih hidup. Dia bertekad untuk membangkitkan mereka! (Ayub 14:15; Yohanes 5:28, 29) Saya yakin Yehuwa mempunyai perasaan yang sama terhadap Davey, begitu juga dengan semua hamba-Nya yang tidur dalam kematian.
Saya sangat ingin berjumpa dengan Davey. Tetapi ada sesuatu yang lebih penting bagi saya, iaitu melihat Kaye bersatu semula dengan Davey. Saya tidak pernah nampak orang yang begitu menderita seperti Kaye. Kata-kata di Lukas 7:15 mempunyai makna yang istimewa bagi saya: “Lelaki yang mati itu pun duduk dan mula bercakap. Kemudian, Yesus menyerahkan lelaki tersebut kepada ibunya.”
Pada September 2005, saya menyertai Kaye dalam khidmat perintis. Sememangnya ini peluang yang istimewa untuk merintis bersama isteri saya, anak-anak kami, dan pasangan mereka. Sebagai sebuah keluarga yang bersatu padu, kami menyokong satu sama lain dan berfokus pada janji di dunia baru, saat kami dapat bersatu semula dengan Davey yang kami kasihi.