IRMA BENTIVOGLI | KISAH HIDUP
Berkhidmat kepada Pemberi “Setiap Kurniaan yang Baik”
Kami dapat dengar siren amaran yang menandakan bahawa kawasan kami bakal dibom. Ibu mendukung adik saya yang masih kecil sambil membawa kami ke kebun berdekatan untuk bersembunyi di bawah pokok. Pada masa itu, saya hanya berumur enam tahun.
Apabila pengeboman berhenti, saya dan ibu pergi mencari kawan baiknya. Kami sangat sedih apabila mengetahui dia telah terkorban semasa serangan itu. Semasa serangan udara yang berlaku beberapa hari kemudian, ayah menarik saya dan meletakkan saya di atas basikalnya, kemudian dia mengayuh secepat mungkin untuk keluar dari kota.
Perang Dunia Kedua telah menyebabkan banyak kemusnahan dan penderitaan di seluruh Itali, dan peristiwa itu masih segar dalam minda saya. Namun apa yang paling mempengaruhi hidup saya adalah bahawa sejak kecil, saya selalu dikelilingi oleh orang yang sangat mengenali dan mengasihi Yehuwa.
Kurniaan Berupa Kebenaran
Pada musim sejuk tahun 1936, beberapa bulan sebelum saya dilahirkan, ayah saya bekerja di landasan kereta api bersama seorang lelaki yang bernama Vincenzo Artusi. Vincenzo belum lagi menjadi seorang Saksi yang terbaptis, tetapi dia sangat mencintai kebenaran Bible. Semasa mereka menyodok salji dari landasan kereta api, Vincenzo berkongsi dengan ayah saya tentang apa yang dia belajar.
Ayah saya segera tahu apa yang Vincenzo kongsikan ialah kebenaran. Dia dan beberapa orang di pekan kami, iaitu Faenza, ingin belajar lebih banyak. Pada masa itu, semasa di bawah penganiayaan Fasis, Saksi-Saksi Yehuwa tidak dapat mengadakan perjumpaan umum dan seseorang akan ditangkap jika dia memiliki bahan bacaan Bible. Sesetengah Saksi telah dipenjarakan. Jadi, ayah saya dan kawan-kawannya bertemu di rumah-rumah terpencil di kawasan luar bandar untuk membaca Bible dan mempelajari bahan bacaan yang mereka miliki. Selain itu, setiap minggu ayah saya akan mengumpulkan kami sekeluarga untuk mempelajari Bible pada waktu malam.
Kurniaan Berupa Teladan Baik
Pada 1943, kebanyakan Saksi yang dipenjarakan atas kegiatan agama telah dibebaskan. Antaranya ialah seorang saudari bujang yang bernama Maria Pizzato. Semasa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di utara Itali, Maria bermalam dengan kami. Dia telah memainkan peranan yang penting untuk membantu para Saksi menerima bahan bacaan dan terus berhubung dengan pejabat cawangan di Switzerland, yang menyelia kerja di Itali pada masa itu. Walaupun kelihatan lemah, Maria seorang wanita yang kuat dan berani. Selepas perang itu, dia ada kalanya datang ke Faenza, dan kami selalu gembira untuk berjumpa dengannya.
Seorang lagi saudari yang saya tidak dapat lupakan ialah Albina Cuminetti, balu yang sudah lanjut usia. Semasa saya remaja, dia tinggal di bangunan di mana kami mengadakan perjumpaan. Dia seorang peneraju (penginjil sepenuh masa) di Itali pada awal 1920-an. Albina beritahu saya banyak cerita yang menarik tentang kerja penyebaran pada masa itu!
Albina ada koleksi bahan bacaan kita dan barang-barang bersejarah lain. Pada satu hari, saya nampak satu lencana yang berbentuk salib dan mahkota yang pernah dipakai oleh Pelajar Bible (yang kini dikenali sebagai Saksi-Saksi Yehuwa). Saya tahu salib berasal daripada ajaran agama palsu. Jadi apabila melihat lencana itu, saya terkejut dan ketawa. Albina kemudiannya mengatakan sesuatu yang saya tidak akan lupa. Sambil memetik Zakharia 4:10, dia berkata, “Janganlah meremehkan permulaan yang kecil itu!”
Kata-katanya memberi saya pengajaran yang penting. Meskipun Pelajar Bible masa awal tidak mempunyai pemahaman yang sepenuhnya tentang kebenaran, saya perlu menghormati mereka. Selain itu, oleh sebab bukan semua bahan bacaan tersedia dalam bahasa Itali, sesetengah saudara saudari memerlukan masa untuk belajar tentang pemahaman yang telah dikemaskinikan. Biarpun begitu, Yehuwa menghargai usaha mereka, dan saya juga patut berbuat demikian.
Meskipun saya lebih muda daripada Albina, saya suka berbual dengannya. Dia, Maria, dan saudari-saudari lain yang bersemangat dan setia berkhidmat kepada Yehuwa biarpun menghadapi cabaran telah menjadi teladan bagi saya. Saya bersyukur kerana berpeluang untuk bergaul bersama mereka.
Kurniaan Berupa Khidmat Bethel
Pada musim panas tahun 1955, saya pergi ke Rom untuk menghadiri konvensyen di sana. Pada masa itu, saya melawat Bethel bersama dengan saudara saudari yang datang dari pelbagai negara. Saya fikir, “Bagusnya jika dapat berkhidmat di sini!”
Pada 18 Disember 1955, saya dibaptis. Pada masa itu, saya masih bersekolah, tetapi saya bertekad untuk menceburi khidmat sepenuh masa. Semasa perhimpunan di kota Genoa pada 1956, saya mendengar pengumuman bahawa para sukarelawan diperlukan di Bethel. Namun, wakil pejabat cawangan berkata bahawa saudari-saudari tidak diperlukan di Bethel.
Kemudian saya beritahu penyelia litar, iaitu Piero Gatti, a tentang matlamat saya. Penginjil yang bersemangat itu menjawab, “Saya akan cadangkan kamu untuk berkhidmat sebagai perintis khas.”
Tidak lama selepas itu, saya mendapat surat dari pejabat cawangan. Saya yakin surat itu tentang tugasan saya sebagai perintis, tapi saya silap. Surat itu sebenarnya ialah jemputan untuk memohon bagi khidmat Bethel!
Saya tiba di Bethel pada Januari 1958. Pada masa itu, ahli keluarga Bethel tidak lebih daripada 12 orang. Saya ditugaskan untuk membantu dua penterjemah di pejabat cawangan. Ada banyak kerja yang harus dilakukan, dan saya tiada pengalaman untuk buat kerja penterjemahan. Namun dengan bantuan Yehuwa, saya mula menyukai tugasan saya.
Kurang daripada dua tahun kemudian, kerja penterjemahan telah diaturkan semula dan saya ditugaskan untuk menjadi perintis. Saya terkejut kerana masa itu saya sudah rasa sangat selesa di Bethel. Namun seraya masa berlalu, saya mula memandang tugasan baharu saya sebagai satu lagi kurniaan daripada Yehuwa.
Kurniaan Berupa Rakan Menginjil yang Bersemangat
Pada 1 September 1959, saya mula berkhidmat sebagai perintis khas di kota Cremona. Rakan perintis saya ialah Doris Meyer, yang berpindah dari Denmark. Dia hanya beberapa tahun lebih tua daripada saya, tetapi dia seorang perintis yang berpengalaman dan saya kagum terhadapnya. Dia ialah seorang yang berani, tidak mudah gentar, dan ada tekad yang teguh. Kami berdua memerlukan sifat-sifat itu untuk menginjil di kawasan penyebaran kami kerana kami saja Saksi di seluruh kota itu.
Doris tiba di Cremona lebih awal daripada saya, dan dia telah buat aturan untuk mengadakan perjumpaan di sebuah apartmen yang disewa. Paderi Katolik tempatan segera mengetahui kegiatan kami dan menjadi sangat marah. Dalam ceramah mereka, mereka memberi amaran kepada orang tentang kami.
Pada suatu hari, kami disuruh untuk pergi ke balai polis tempatan. Para pegawai tidak menahan kami, tapi mereka beritahu dengan jelas bahawa Doris, yang merupakan orang asing, harus meninggalkan Cremona. Akhirnya, dia kembali ke Denmark dan terus berkhidmat kepada Yehuwa dengan setia.
Tidak lama selepas itu, seorang lagi saudari bujang yang bernama Brunilde Marchi ditugaskan ke Cremona. Brunilde ialah seorang yang lemah lembut, ada sikap yang menyenangkan, dan dia mengasihi kerja menginjil. Kami telah memulakan banyak pembelajaran Bible, dan ada yang telah membuat kemajuan yang baik.
Saya berterima kasih kepada Yehuwa atas peluang untuk menjadi sebahagian daripada permulaan yang kecil bagi kerja menginjil di Cremona. Hari ini, ada lima sidang di kota itu!
Kejutan yang Menggembirakan
Saya sudah tinggal di Cremona kurang daripada dua tahun semasa saya menerima panggilan daripada pejabat cawangan. Ada banyak kerja terjemahan yang harus dilakukan untuk perhimpunan “Para Penyembah yang Bersatu,” yang berlangsung selama enam hari dan diadakan pada Julai 1961. Jadi, saya dijemput semula ke Bethel. Saya sangat gembira sehingga saya melompat-lompat! Saya kembali ke sana pada 1 Februari 1961.
Kami bekerja selama berjam-jam setiap hari, tetapi kami sangat gembira dapat tetap sibuk hasilkan bahan-bahan yang berdasarkan Bible. Masa berlalu dengan cepat, dan akhirnya tibalah waktu untuk menghadiri perhimpunan.
Semasa perhimpunan itu, saya mendengar pengumuman bahawa Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu akan diterjemahkan ke dalam bahasa Itali. Jadi saya fikir, “Pasti ada banyak lagi kerja yang perlu dibuat.” Itulah yang berlaku. Para saudara beritahu saya bahawa saya akan tinggal di Bethel untuk masa yang lebih lama. Sebenarnya, saya masih di Bethel sehingga hari ini. Saya sudah berkhidmat untuk lebih daripada 60 tahun!
Kurniaan Lain yang Berharga daripada Yehuwa
Satu lagi kurniaan yang saya hargai selama bertahun-tahun ialah masa bujang saya. Ini tidak bermaksud saya tidak pernah fikir tentang berkahwin. Sebenarnya buat satu jangka masa, hidup membujang membuat saya sangat risau. Jadi, saya berdoa kepada Yehuwa. Dia tahu tentang diri saya lebih baik daripada sesiapa pun. Saya minta Yehuwa membantu saya memahami apa haluan hidup yang terbaik bagi saya.
Saya mula lebih menghargai ayat Bible seperti Matius 19:11, 12 dan 1 Korintus 7:8, 38. Saya bersyukur kepada Yehuwa kerana bantu saya faham hal itu dan memberi saya hati yang tenang. Saya tidak pernah menyesal atas keputusan saya, dan saya bersyukur kerana saya dapat menggunakan masa bujang saya untuk memberi Yehuwa yang terbaik.
Selama bertahun-tahun, saya telah lihat banyak perubahan dalam kerja yang dilakukan di Bahagian Penterjemahan. Organisasi Yehuwa secara beransur-ansur menggunakan teknologi baharu. Perubahan-perubahan sebegini menguatkan perpaduan persaudaraan sedunia. Sebagai contoh, pada 1985, Menara Pengawal dalam bahasa Itali dan Inggeris mula diterbitkan pada masa yang sama. Hari ini, rencana dan video telah disediakan dalam banyak bahasa di jw.org, dan kebanyakannya dikeluarkan pada masa yang sama dengan bahasa Inggeris. Jelaslah, Yehuwa memastikan bahawa umat-Nya bersatu padu dan menerima makanan rohani tepat pada masanya.
Yehuwa selalu menunjukkan kemurahan hati kepada saya. Dia membenarkan saya untuk berkhidmat sebagai perintis khas dan membantu orang lain menghampiri-Nya. Yehuwa juga memenuhi keinginan saya untuk berkhidmat di Bethel, dan saya dapat menjalin persahabatan dengan orang daripada pelbagai umur dan latar belakang. Tambahan lagi, berkat istimewa yang saya nikmati adalah apabila saya dapat melihat ibu saya menjadi seorang hamba Yehuwa yang terbaptis semasa dia berumur 68 tahun. Saya sangat ingin berjumpa dengannya dan ahli keluarga saya yang lain apabila semua orang yang berada di dalam makam peringatan dibangkitkan.—Yohanes 5:28, 29.
Saya tidak sabar-sabar untuk melihat apa yang akan Yehuwa lakukan bagi hamba-Nya pada masa depan, apabila Dia menjadikan “semuanya baharu.” (Wahyu 21:5) Saya yakin akan hal ini bahawa Yehuwa akan terus menunjukkan kemurahan hati dengan memberi kita “setiap kurniaan yang baik dan setiap pemberian yang sempurna.”—Yakobus 1:17.
a Kisah hidup Piero Gatti diterbitkan dalam majalah Menara Pengawal bahasa Indonesia, terbitan 15 Julai 2011, muka surat 20-23.