Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

JAY CAMPBELL | KISAH HIDUP

Dari Tanah, Saya Ditinggikan

Dari Tanah, Saya Ditinggikan

 Semasa membesar, saya seorang yang sangat pemalu. Saya lebih suka berada di rumah dan menyembunyikan diri daripada orang. Saya selalu berasa tidak bernilai. Saya jarang bergaul dengan orang di tempat awam dan takut bahawa orang akan melayan saya dengan tidak hormat. Mari saya ceritakan kisah hidup saya kepada anda.

 Semasa lahir, saya seorang bayi yang sihat. Tetapi pada Ogos 1967, semasa saya berumur 18 bulan, saya menghidapi demam yang sangat tinggi. Saya bangun pada keesokan pagi dengan kaki yang lemah. Saya dibawa ke hospital tempat saya tinggal, iaitu Freetown, Sierra Leone. Keputusan hospital menunjukkan bahawa saya menghidap penyakit polio, sejenis penyakit berjangkit yang menyebabkan kelumpuhan. Kebanyakan kanak-kanak di bawah umur lima tahun dijangkiti penyakit ini. Fisioterapi tidak dapat membantu untuk menguatkan kaki saya. Secara beransur-ansur, kaki saya menjadi sangat lemah sehingga saya tidak dapat berjalan atau berdiri. Disebabkan oleh kecacatan saya, ayah sering kata saya bukan benar-benar anaknya. Oleh sebab saya hanya mampu merangkak dan hilang harga diri, saya berasa tidak berguna.

Membesar dengan Merangkak

 Saya membesar di sebuah kawasan perumahan bersama dengan ibu saya dan beberapa keluarga lain yang sangat miskin. Walaupun orang di situ suka saya, saya menginginkan kasih seorang ayah. Tetapi ayah saya tidak mengasihi saya. Ada orang yang percaya bahawa keadaan saya disebabkan ilmu sihir. Yang lain pula menyuruh ibu saya untuk meninggalkan saya di depan pintu rumah penjagaan kanak-kanak kurang upaya. Mereka fikir cara ini dapat menghilangkan beban ibu saya. Namun ibu saya menolak cadangan itu dan bekerja keras untuk menjaga saya.

 Oleh sebab saya tidak dapat berdiri atau berjalan, saya harus merangkak. Tetapi hal ini menyebabkan badan saya terluka kerana saya menyeret diri di atas tanah dan permukaan lain. Untuk melindungi badan saya, saya memakai pakaian yang tebal. Saya juga menggunakan selipar sebagai sarung tangan untuk melindungi tangan. Belakangan, saya menggunakan kepingan kayu untuk melindungi tangan saya dengan lebih baik. Untuk bergerak, saya perlu meletakkan kayu itu di atas tanah, memegangnya, dan menolak badan saya ke depan. Selepas saya mengambil “langkah” itu, saya harus berusaha untuk mengambil langkah yang seterusnya. Pergerakan ini mengakibatkan beban yang besar ke atas lengan dan bahu saya serta memerlukan usaha yang besar, jadi saya jarang meninggalkan kawasan rumah. Saya tidak dapat pergi ke sekolah atau bermain bersama kanak-kanak lain. Saya sangat risau tentang bagaimana saya dapat terus hidup jika ibu saya sudah tiada.

 Saya berdoa kepada Tuhan untuk membantu saya dan tidak membiarkan saya menjadi pengemis. Saya percaya jika saya mendekati-Nya dan menyembah-Nya dengan cara yang betul, Dia pasti akan menjaga keperluan saya. Oleh itu pada 1981, saya keluar rumah untuk pergi ke gereja berdekatan biarpun perjalanan itu sangat menyakitkan. Saya berasa tidak selesa dengan cara orang melihat saya. Pastor tidak mengalu-alukan saya dan menegur ibu saya kerana saya duduk di kerusi panjang yang sudah dibayar oleh orang lain. Jadi saya membuat keputusan untuk tidak lagi pergi ke sana.

Bagaimana Saya Mengenali Bapa Saya yang di Syurga

 Pada satu pagi tahun 1984, semasa saya berumur 18 tahun, saya naik ke tingkat atas rumah. Seperti biasa, saya duduk berdekatan dengan tingkap. Dari sana, saya melihat apa yang berlaku di luar. Tetapi kemudian, saya memutuskan untuk turun ke bawah dan pergi ke kawasan luar rumah yang biasanya tiada orang. Apabila saya di sana, saya terjumpa dua lelaki yang sedang menginjil dari rumah ke rumah. Mereka memberitahu saya tentang harapan masa depan yang indah apabila keadaan saya akan berubah. Mereka baca Yesaya 33:24 dan Wahyu 21:3, 4. Kemudian, mereka memberi saya brosur berwarna-warni yang bertajuk Kehidupan Abadi di Firdaus!, dan kata akan kembali dan mengajar saya lebih banyak.

 Semasa kunjungan mereka yang kedua, mereka berjanji untuk membawa seorang mubaligh yang baru sampai yang bernama Pauline untuk meneruskan perbincangan kami. Itulah yang berlaku. Kemudiannya, hubungan saya dan Pauline menjadi erat seperti ibu dan anak. Ibu kandung saya menggalakkan saya belajar Bible dengan “ibu baharu” saya itu. Pauline menunjukkan kasih yang rela berkorban, sabar, kebaikan, dan selalu bertanya tentang keadaan saya. Dia mengajar saya untuk membaca. Dengan menggunakan Buku Cerita Bible Saya, dia dengan lemah lembut memperkenalkan Bapa yang pengasih yang saya dambakan.

Pauline, seorang mubaligh, mengajar saya tentang Bible

 Apa yang saya belajar daripada Bible membuat saya bersukacita. Pernah sekali, saya tanya Pauline jika saya boleh menghadiri perjumpaan yang diadakan oleh Saksi-Saksi Yehuwa yang dikenali sebagai Pembelajaran Buku Sidang. a Perjumpaan itu diadakan di sebuah rumah seorang Saksi-Saksi Yehuwa yang terletak berdekatan rumah saya. Pauline kata boleh. Pada hari Selasa berikutnya, dia datang ke rumah dan menunggu sehingga saya habis mandi dan pakai baju supaya kami dapat menghadiri perjumpaan itu bersama. Ada orang kata bahawa saya patut beritahu Pauline untuk membayar tambang teksi untuk saya. Tetapi saya kata, “Saya akan jalan ke sana dengan menggunakan kayu saya.”

 Semasa mahu jalan, ibu saya dan jiran-jiran melihat saya dengan perasaan risau. Bila saya lalu di halaman rumah, ada jiran yang berteriak kepada Pauline, “Kamu sedang memaksa dia!”

 “Jay, kamu mahu pergi,” Pauline tanya saya dengan lemah lembut. Inilah masanya untuk saya menunjukkan bahawa saya percaya kepada Yehuwa. (Amsal 3:5, 6) Saya kata, “Ya! Ini keputusan saya.” Jiran-jiran memerhatikan saya dan mengubah sikap mereka seraya saya menghampiri pagar. Sebaik sahaja saya keluar dari kawasan rumah, mereka semua bersorak untuk saya.

 Saya sangat menikmati perjumpaan yang sungguh menyegarkan itu! Semua orang mengalu-alukan saya dan tidak memandang rendah saya. Saya berasa sangat selesa. Jadi saya menghadiri perjumpaan secara tetap. Tidak lama kemudian, saya tanya jika saya juga boleh menghadiri perjumpaan yang lebih besar di Dewan Perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa. Saya miskin dan saya hanya ada dua helai dress dan sepasang selipar. Namun, saya yakin saya masih akan diterima oleh umat Tuhan. Memang itulah yang berlaku!

 Untuk pergi ke Dewan Perjumpaan, saya harus merangkak sampai ke hujung jalan dan selepas itu mengambil teksi untuk turun ke kaki bukit, iaitu tempat letaknya Dewan Perjumpaan. Kemudian, para saudara akan mengangkat saya naik ke dewan.

 Saya dapat merasai kebaikan Yehuwa, jadi saya mahu berlindung kepada-Nya. Saya memutuskan untuk menghadiri perjumpaan secara tetap. (Mazmur 34:8) Semasa musim hujan, saya biasanya tiba dalam keadaan basah dan berlumpur. Jadi saya harus ganti pakaian saya di dewan. Namun, semua itu berbaloi!

 Pada 1985, sebuah bahan bacaan yang diterbitkan Saksi-Saksi Yehuwa menceritakan kisah saya. b Selepas membaca kisah hidup saya, seorang Saksi di Switzerland yang bernama Josette, terdorong untuk memberi saya basikal roda tiga yang dikayuh dengan tangan. Basikal itu ada pelindung lumpur dan lampu reflektor yang berwarna-warni. Selepas itu, saya tidak lagi berasa malu untuk pergi ke mana-mana. Anak-anak kecil berasa kagum dan kata mereka sangat suka melihat saya menaiki basikal saya yang cantik. Saya tidak lagi perlu merangkak di atas tanah dan berasa dihormati dan tidak lagi dipandang hina.

Saya Ditinggikan

 Sebelum ini, saya sudah hidup sederhana dan bersih secara moral, jadi mudah bagi saya untuk buat kemajuan rohani. Basikal saya membolehkan saya untuk menyertai aktiviti penyebaran, dan pada 9 Ogos 1986, saya dibaptis. Selepas dibaptis, hidup saya berubah menjadi lebih baik. Saya merasai sukacita dan kepuasan sejati, mempunyai harga diri, dan keyakinan terhadap diri sendiri kerana sekarang saya ada Bapa yang mengasihi saya dan dikelilingi oleh orang yang benar-benar mengambil berat terhadap saya.

 Untuk membalas kebaikan Yehuwa, saya berfikir untuk menjadi perintis biasa tetapi tidak pasti jika saya dapat melakukannya. (Mazmur 116:12) Saya berdoa dan membuat keputusan untuk mencubanya. Saya mula merintis pada 1 Januari 1988, dan saya terus merintis sejak itu. Itu sememangnya berkat yang besar bagi saya! Saya ada saudara saudari yang pengasih, yang membantu saya untuk mencapai matlamat bulanan. Saya juga dapat lihat bagaimana Yehuwa menyokong saya melalui kuasa suci-Nya.—Mazmur 89:21.

 Semasa saya merintis, saya bergerak lebih banyak dan hal ini membantu kaki saya biarpun masih lemah. Tidak lama selepas itu, saya pergi ke klinik yang baru dibuka untuk mendapatkan fisioterapi dan program senaman. Namun, seorang jururawat di situ beritahu saya bahawa saya tidak perlu datang kerana dia kata saya akan mati tidak lama lagi. Apabila jururawat lain juga mengatakan hal yang sama, saya berasa tawar hati. Jadi saya pulang rumah dan berdoa kepada Yehuwa untuk membantu saya mengatasi perasaan tawar hati dan mendapatkan terapi.

 Aktiviti penyebaran merupakan terapi yang terbaik bagi saya. Saya dapat melakukan banyak senaman. Beberapa tahun kemudian, salah seorang jururawat yang pernah kata bahawa saya akan mati tidak lama lagi lalu di Dewan Perjumpaan dan terjumpa saya. Dia sangat terkejut melihat saya masih hidup!

 Meskipun keadaan saya begini, saya berusaha untuk tetap sibuk dalam khidmat kepada Yehuwa. Para saudara memuji saya kerana saya bersemangat dan datang awal ke perjumpaan. Saya selalu buat begitu kerana saya ingin menyambut saudara saudari dan menunjukkan minat terhadap mereka.

 Saya telah merasai kebaikan Yehuwa dan menerima banyak berkat dalam hidup saya. Saya juga mendapat sukacita kerana membantu tiga orang untuk dibaptis. Salah seorang daripada mereka ialah Amelia, yang kemudiannya menghadiri kelas Gilead yang ke-137. Saya juga telah menghadiri Sekolah Latihan Perintis lebih daripada sekali, persediaan yang sungguh baik daripada Yehuwa! Yehuwa telah membuat saya menjadi orang yang lebih gembira, mempunyai harga diri, dan keyakinan diri. Sekarang orang menghormati saya. Saya tidak lagi malu terhadap diri sendiri. Saya ada kawan baik dalam kebenaran, bukan sahaja di Freetown tempat saya tinggal, tetapi juga di seluruh negara dan seluas dunia.

 Hampir 40 tahun telah berlalu sejak saya belajar tentang janji masa depan bahawa masalah kurang upaya tidak akan ada lagi. Janji Tuhan itu terus menggalakkan saya dan saya menanti-nantikan untuk melihat janji itu menjadi kenyataan. Saya akan menunggu dengan sabar kerana saya tahu Yehuwa, Tuhan saya, tidak akan berlambat-lambat. (Mikha 7:7) Penantian saya menjadi satu berkat. Yehuwa telah membantu saya menghadapi banyak masalah dan situasi yang mencabar. Dia selalu memberikan bantuan tepat pada masanya. Saya benar-benar gembira dan dapat terus senyum kerana dari merangkak di tanah, kini saya ditinggikan dalam cara yang tidak pernah saya jangka.

a Kini dipanggil sebagai Pembelajaran Bible Sidang.

b Pengalaman Jay terdapat dalam 1985 Yearbook of Jehovah’s Witnesses.