Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

PHYLLIS LIANG | KISAH HIDUP

Yehuwa Memberkati Kesudian Saya

Yehuwa Memberkati Kesudian Saya

“Ya, aku sudi.” Itulah yang dikatakan Ribka dalam Bible semasa dia disuruh untuk membuat perubahan besar dalam hidupnya demi kehendak Yehuwa. (Kejadian 24:50, 58) Saya bukan orang yang istimewa, tetapi saya cuba untuk menunjukkan kesudian yang sama dalam khidmat Yehuwa. Memang, saya menghadapi cabaran, tetapi saya telah melihat bagaimana Yehuwa memberkati kerelaan saya, kadangkala dalam cara yang tidak saya jangkakan.

Seorang Lelaki Lanjut Usia Membawa Harta yang Bernilai

 Ayah saya meninggal selepas beberapa tahun keluarga kami berpindah ke pekan Roodepoort, Afrika Selatan. Pada tahun 1947, semasa berumur 16 tahun, saya bekerja sepenuh masa untuk kerajaan dalam bahagian perkhidmatan telefon supaya dapat membantu menjaga keluarga kami. Suatu hari semasa saya di rumah, seorang lelaki yang lanjut usia datang dan menawarkan kami untuk melanggan majalah Menara Pengawal. Kami hanya mahu bersikap baik terhadapnya, jadi kami pun terima tawarannya.

 Namun tidak lama kemudian, kami berminat untuk mengetahui apa yang Bible benar-benar ajarkan. Semasa ibu saya masih muda, dia menyertai Gereja Reformasi Belanda. Dia dapat melihat perbezaan antara ajaran Bible dengan apa yang diajarkan di gereja. Kami menerima pembelajaran Bible dan tidak lama kemudian mula menghadiri perjumpaan Kristian. Pada tahun 1949, saya ialah orang pertama yang dibaptis dalam keluarga kami. Kemudian saya masih meneruskan kerja saya selama beberapa tahun, tetapi saya ingin buat lebih dalam khidmat kepada Yehuwa.

Sudi untuk Pergi ke Kawasan yang Memerlukan

FomaA/stock.adobe.com

Koeksisters

 Pada tahun 1954, saya mula merintis biasa. Saya tanya pejabat cawangan Afrika Selatan jika ada kawasan yang memerlukan lebih banyak bantuan. Pejabat cawangan mencadangkan bandar Pretoria dan mengaturkan seorang saudari perintis untuk menyertai saya. Kami mengongsi sebuah tempat tinggal yang agak selesa, dan saya masih ingat berdekatan sana ada jual kuih koeksisters yang sedap, iaitu donat yang digoreng dan disaluti air gula.

 Selepas rakan merintis saya berkahwin, Saudara George Phillips yang merupakan pembantu cawangan menanya jika saya ingin berkhidmat sebagai perintis khas. Saya gembira menerima jemputan itu.

 Pada tahun 1955, saya mula tugasan saya sebagai perintis khas di pekan Harrismith. Saya dan rakan perintis saya yang baharu susah mencari tempat tinggal yang sesuai. Misalnya, gereja tempatan mendapat tahu tentang kami dan memberikan tekanan kepada tuan rumah kami untuk menyuruh kami pergi.

 Kemudian, saya ditugaskan ke Parkhurst, di Johannesburg. Di sana, dua saudari mubaligh menyertai saya. Belakangan, seorang telah berkahwin dan seorang lagi ditugaskan ke tempat lain. Seorang saudari bernama Eileen Porter ajak saya untuk tinggal bersamanya, biarpun dia dan keluarganya tiada bilik untuk saya. Saya tidur di satu sudut yang kecil yang ditutup dengan langsir. Eileen seorang yang baik hati dan menggalakkan saya, dan saya berasa selesa bersamanya. Saya kagum dengan semangatnya untuk kebenaran biarpun dia ada banyak tanggungjawab dalam keluarga.

 Tidak lama kemudian saya ditugaskan ke Selatan Aliwal, sebuah pekan di wilayah Cape Timur. Di sana saya berkhidmat dengan seorang saudari yang bernama Merlene (Merle) Laurens. Pada masa itu, kami berdua berumur 20-an. Kami sangat digalakkan dengan teladan seorang saudari yang lanjut usia bernama Dorothy. Kami selalu memanggilnya Mak Cik Dot. Semasa dia masih muda, dia pernah diserang oleh anjing dengan teruk sekali ketika menginjil. Namun hal itu tidak melemahkan semangatnya.

 Pada tahun 1956, Merle pergi menghadiri kelas Gilead yang ke-28. Saya berharap sekali dapat menghadiri Sekolah Gilead bersamanya! Namun Mak Cik Dot menjaga saya dengan baik dan kami menjadi sahabat yang sangat rapat, biarpun perbezaan umur kami adalah sekitar 50 tahun.

 Bayangkan betapa gembiranya saya semasa saya dijemput untuk menghadiri Sekolah Gilead seperti Merle! Sebelum saya pergi, saya telah meluangkan kira-kira lapan bulan di pekan Nigel. Di sana, saya bekerjasama dengan Kathy Cooke, seorang lulusan Gilead. Kathy membuat saya tidak sabar-sabar untuk menantikan apa yang bakal saya nikmati di Sekolah Gilead. Pada Januari 1958, saya pun pergi ke New York.

Sudi untuk Dilatih

 Di Gilead, rakan sebilik saya ialah Saudari Tia Aluni dari Samoa, dan Saudari Ivy Kawhe yang merupakan orang Maori. Semasa saya di Afrika Selatan, kerajaan memerintah mengikut sistem aparteid dengan memisahkan orang berkulit putih daripada bangsa lain. Jadi, ini pengalaman istimewa bagi saya kerana dapat jadi rakan sebilik dengan saudari-saudari ini. Saya cepat menjadi rapat dengan mereka, dan saya gembira dapat menyertai kelas yang terdiri daripada rakan-rakan dari serata dunia.

 Salah seorang pengajar Gilead ialah Saudara Maxwell Friend. Ada kalanya dia guna cara yang dramatik untuk mengajar kami. Semasa kelasnya, dia ada tiga lampu yang bertanda “Nada,” “Kelajuan,” dan “Kekuatan.” Apabila seorang pelajar memberikan ceramah atau demonstrasi, Saudara Friend akan hidupkan salah satu lampu itu kalau dia berasa bahawa penyampaian mereka kurang baik. Oleh sebab saya seorang pemalu, lampu-lampu itu selalu dinyalakan semasa bahagian saya dan itu kadangkala buat saya menangis! Biarpun begitu, saya masih hargai Saudara Friend. Ada kalanya, semasa saya sibuk membuat tugasan pembersihan, dia dengan baik hati akan bawa segelas kopi untuk saya.

 Selepas beberapa bulan berlalu, saya tertanya-tanya ke mana saya akan ditugaskan. Rakan perintis saya sebelum ini, Merle, telah lulus Sekolah Gilead dan ditugaskan ke Peru. Dia cadangkan supaya saya tanya Saudara Nathan Knorr, yang mengambil pimpinan pada masa itu, sama ada saya boleh menggantikan rakan mubalighnya yang bakal berkahwin. Saudara Knorr lawat bangunan Gilead sekali dalam beberapa minggu, jadi senang untuk bercakap dengannya. Selepas saya lulus Sekolah Gilead, saya pun ditugaskan ke Peru!

Berkhidmat di Kawasan Pergunungan

Bersama Merle (kanan) di Peru, 1959

 Saya sangat gembira dapat bersama semula dengan Merle di Lima, Peru! Tidak lama selepas saya sampai di Peru, saya ada pelajar-pelajar Bible yang buat kemajuan biarpun saya masih belajar cakap bahasa Sepanyol. Belakangan, saya dan Merle ditugaskan ke Ayacucho, yang terletak di kawasan pergunungan. Tugasan ini memang mencabar bagi saya. Saya sudah belajar untuk cakap sedikit bahasa Sepanyol, tetapi kebanyakan orang di sana hanya cakap bahasa Quechua. Selain itu, kami juga perlu membiasakan diri tinggal di kawasan tinggi yang kurang oksigen.

Menginjil di Peru, 1964

 Saya rasa saya tidak buat banyak di Ayacucho, dan saya tertanya-tanya sama ada kebenaran akan tersebar di kawasan itu atau tidak. Tetapi hari ini, Ayacucho ada lebih daripada 700 penyiar dan juga pejabat penterjemahan bagi bahasa Quechua (Ayacucho).

 Belakangan Merle berkahwin dengan seorang penyelia litar yang bernama Ramón Castillo. Pada tahun 1964, Ramón menghadiri kursus selama 10 bulan di Gilead. Salah seorang bekas rakan kelas saya semasa Sekolah Gilead dulu juga sertai kelas Ramón. Dia seorang saudara muda yang bernama Fu-lone Liang. Dia berkhidmat di Hong Kong tetapi dijemput lagi ke Gilead untuk terima latihan lanjut yang berkaitan dengan tanggungjawab di pejabat cawangan. a Fu-lone tanya Ramón tentang keadaan saya di Peru, dan tidak lama kemudian kami pun saling mengirim surat.

 Sejak awal lagi, Fu-lone sudah jelaskan bahawa dengan mengirim surat maksudnya kami sudah mula berdating. Di Hong Kong, Saudara Harold King, yang merupakan seorang mubaligh, selalu pergi ke pejabat pos. Jadi dia setuju untuk tolong kirimkan surat-surat Fu-lone. Harold akan lukis gambar-gambar kecil di sampul surat Fu-lone dan tulis mesej ringkas seperti: “Saya akan pastikan dia selalu tulis surat kepada kamu!”

Bersama Fu-lone

 Selepas 18 bulan kami saling menulis surat, saya dan Fu-lone memutuskan untuk berkahwin. Saya meninggalkan Peru selepas berkhidmat di sana sekitar tujuh tahun.

Hidup Baharu di Hong Kong

 Pada 17 November 1965, saya dan Fu-lone berkahwin. Saya menikmati hidup baharu saya di Hong Kong. Kami tinggal bersama dengan dua lagi pasangan suami isteri di pejabat cawangan. Semasa Fu-lone buat kerja penterjemahan di pejabat cawangan pada siang hari, saya akan keluar menginjil. Tidak senang untuk belajar bahasa Kantonis, tetapi saudari-saudari mubaligh yang lain dan suami yang saya kasihi membantu saya dengan sabar. Semasa saya mengajar Bible kepada anak-anak muda, saya juga dapat belajar bahasa itu. Ini bantu saya berasa lebih relaks.

Enam ahli keluarga Bethel di Hong Kong pada pertengahan 1960-an. Saya dan Fu-lone di tengah

 Beberapa tahun kemudian, saya dan Fu-lone berpindah ke sebuah rumah mubaligh di Kwun Tong, Hong Kong. Tujuan kami pindah adalah supaya Fu-lone dapat mengajarkan Kantonis kepada pasangan mubaligh yang baru sampai. b Saya sangat suka menginjil di kawasan itu sehingga saya selalu tidak mahu balik rumah!

 Pada tahun 1968, saya gembira menerima buku pembelajaran baharu yang bertajuk “Kebenaran” (The Truth That Leads to Eternal Life). Buku ini lebih senang faham berbanding buku yang sebelumnya, iaitu “Firman Tuhan Sentiasa Benar” (“Let God Be True”), khasnya bagi pelajar-pelajar yang tidak kenal Bible dan ajaran Kristian.

 Tetapi, saya buat satu kesilapan kerana menganggap bahawa para pelajar akan menerima kebenaran hanya kerana mereka dapat jawab soalan dalam buku itu. Pernah sekali, seorang pelajar saya sudah habis belajar buku “Kebenaran.” Saya tidak sedar rupanya dia masih lagi tidak percaya Tuhan! Saya sedar saya perlu adakan lebih banyak perbincangan dengan pelajar saya untuk tahu pandangan mereka tentang apa yang mereka belajar.

 Selepas beberapa tahun di Kwun Tong, kami pindah balik ke pejabat cawangan dan Fu-lone mula berkhidmat sebagai ahli Jawatankuasa Cawangan Hong Kong. Selama bertahun-tahun, saya berkhidmat dalam bahagian pembersihan dan penyambut tetamu. Kadangkala Fu-lone akan pergi ke suatu tempat untuk tugas teokratik yang sulit, jadi saya tidak boleh ikut dia. Tetapi saya sangat gembira kerana dapat menyokong dia semasa dia menjalankan tanggungjawabnya.

Fu-lone mengumumkan pengeluaran jilid kedua bagi buku “Nubuat Yesaya” dalam bahasa Cina tradisional dan bahasa Cina yang dipermudahkan

Perubahan yang Tidak Terduga

 Sedihnya pada tahun 2008, seluruh hidup saya berubah dalam satu malam. Semasa Fu-lone yang saya kasihi pergi ke tempat lain, dia tiba-tiba mati. Hari itu berlaku tidak lama sebelum Peringatan Kematian Yesus. Hati saya sangat hancur. Saudara dan saudari berkumpul untuk menyokong saya, dan semasa ceramah Peringatan, saya dapat menahan air mata daripada mengalir dengan membantu seorang wanita yang berminat untuk cari ayat Bible. Saya mendapat kekuatan melalui ayat kegemaran Fu-lone, yang menyatakan, “Aku, Yehuwa, Tuhanmu, memegang tangan kananmu . . . ‘Aku akan menolongmu.’”—Yesaya 41:13.

 Selepas tujuh tahun Fu-lone meninggal, saudara-saudara di Hong Kong mencadangkan agar saya berpindah ke pejabat cawangan yang lebih besar. Di sana saya dapat menerima rawatan kesihatan yang saya perlukan. Jadi pada tahun 2015, saya berpindah ke pejabat cawangan Afrika Selatan. Cawangan itu dekat dengan tempat saya pertama kali mendapat kebenaran pada tahun 1947.

 Saya menikmati tahun-tahun yang menggembirakan dalam khidmat kepada Yehuwa. Saya berasa bahawa Yehuwa memberkati kesudian saya. Saya masih berhubung dengan bekas pelajar Bible saya yang menyembah Yehuwa dengan setia, dan saya dapat lihat bagaimana Yehuwa memberkati usaha kita yang nampaknya kecil dalam kerja penyebaran. Misalnya, penyiar di Peru ada sekitar 760 orang pada tahun 1958, tetapi bertambah menjadi sekitar 133,000 orang pada tahun 2021. Penyiar di Hong Kong pula ada sekitar 230 orang pada tahun 1965 dan kemudian bertambah menjadi 5,565 pada tahun 2021.

 Oleh sebab usia saya, saya tidak dapat buat banyak seperti dahulu. Tetapi kesudian saya untuk berkhidmat belum pudar. Saya menantikan saatnya saya dapat tunjukkan semangat yang sama di dunia baharu Yehuwa. Di sana, ada banyak kerja yang perlu dilakukan dan saya dengan bersemangat akan berkata, “Ya, aku sudi.”

a Untuk membaca kisah tentang bagaimana Fu-lone Liang belajar kebenaran, lihat “Buku Tahunan” (1974 Yearbook of Jehovah’s Witnesses), muka surat 51.

b Untuk membaca tentang salah satu pengalaman Fu-lone di Kwun Tong, lihat “Buku Tahunan” (1974 Yearbook of Jehovah’s Witnesses), muka surat 63.