Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

TERRY REYNOLDS | KISAH HIDUP

Yehuwa Bantu Saya Memberi-Nya yang Terbaik

Yehuwa Bantu Saya Memberi-Nya yang Terbaik

 Semasa saya berumur 14 tahun, seorang saudara yang lebih tua bernama Cecil memberi saya Biblenya. Dia menggunakan Bible itu untuk pembelajaran peribadinya, dan dia tulis banyak nota di tepi. Saya fikir, “Ini hadiah yang istimewa!”

 Cecil seorang saudara yang rendah hati dan sangat ambil berat terhadap orang lain. Teladannya, serta ibu saya dan saudara saudari setia yang lain di sidang, membantu saya ada “keinginan . . . untuk bertindak,” atau memberi Yehuwa yang terbaik. (Filipi 2:13) Mari saya ceritakan kisah hidup saya.

Didorong oleh Semangat Ibu Saya

 Saya dilahirkan pada 1943. Keluarga saya tinggal di sebuah ladang berhampiran persisiran pantai kota Bundaberg di Queensland, Australia. Di situ, ada banyak tanaman tebu. Orang tempatan biasa pergi ke pekan pada Sabtu malam untuk bergaul. Pada 1939, semasa acara itu, ibu bapa saya jumpa dua perintis (penginjil sepenuh masa Saksi-Saksi Yehuwa) yang bercakap kepada mereka tentang Bible. Ibu bapa saya suka apa yang mereka belajar, dan akhirnya mereka menjadi Saksi-Saksi Yehuwa. Hasilnya, saya dan kakak saya, Jean, dibesarkan dalam keluarga Kristian. Sedihnya, ayah saya meninggal kerana terjatuh dari tangga di rumah kami. Pada masa itu, saya hanya berumur tujuh tahun dan kematiannya membuat saya sangat terkejut. Saya masih ingat dia memang seorang yang sangat rajin dan suka bergurau senda. Saya tidak sabar untuk berjumpa dengannya dan lebih mengenalinya semasa dia dibangkitkan!—Kisah 24:15.

 Ibu saya seorang yang baik hati dan munasabah. Dia membenarkan kami untuk bebas meluahkan tentang apa yang kami suka dan tidak suka. Tetapi dalam soal prinsip Bible dan ibadat kepada Yehuwa, ibu berpendirian teguh. Kami menghadiri perjumpaan Kristian secara tetap. Saya dan Jean diingatkan untuk hadkan pergaulan dengan anak bukan Saksi di luar waktu sekolah. (1 Korintus 15:33) Apabila saya ingat balik, saya benar-benar bersyukur kerana pendirian ibu saya yang tegas.

Semasa saya lebih kurang 14 tahun

 Ibu juga seorang penginjil yang bersemangat. Dia selalu berkhidmat sebagai perintis sokongan. Saya masih ingat bahawa dia secara tetap melawat lebih daripada 50 penghuni rumah untuk menghantar majalah Menara Pengawal dan Sedarlah! Bahkan semasa dia sudah tua dan lemah, dia masih ada keinginan yang kuat untuk membantu mereka yang minat terhadap kebenaran Bible. Oleh sebab ibu mengasihi orang lain, terutama anak-anaknya, kami mengasihi ibu dan berusaha untuk menirunya. Pada 1958, semasa berumur 14 tahun, saya membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis.

Digalakkan oleh Pergaulan yang Baik

 Tidak lama selepas itu, Rudolf yang berusia 20-an dan yang juga dari sidang kami, telah dibaptis. Dia telah berpindah dari Jerman. Pada Sabtu pagi, saya dan Rudolf sering menginjil kepada orang yang duduk di dalam kereta sambil menunggu ahli keluarga mereka beli-belah.

 Rudolf seorang saudara yang bersemangat, dan dia menjemput saya untuk menjadi perintis sokongan bersamanya semasa cuti sekolah. Pernah sekali, kami meluangkan masa selama enam minggu di kota Gladstone, yang terletak kira-kira 190 kilometer di utara Bundaberg. Rudolf bantu saya seperti seorang abang dan saya juga sangat bersukacita semasa berkhidmat sebagai perintis sokongan. Hal ini buat saya ingin menjadi perintis biasa. Saya mencapai matlamat itu semasa berusia 16 tahun. Saya bertekad untuk menggunakan hidup saya berkhidmat kepada Yehuwa sepenuh masa.

 Tugas pertama saya sebagai perintis ialah di Mackay, iaitu kota yang berdekatan persisiran pantai di utara Bundaberg dan tidak jauh dari Terumbu Sawar Besar (Great Barrier Reef). Kira-kira setahun kemudian, semasa saya berumur 17 tahun, saya dilantik sebagai perintis khas a di kawasan terpencil Australia yang ada sedikit penduduk. Rakan perintis saya ialah seorang saudara terurap yang bernama Bennett (Ben) Brickell. Dia 30 tahun lebih tua daripada saya. b Memang satu peluang yang istimewa untuk bekerja bersama dengan perintis yang berpengalaman ini dan yang dikenali sebagai perintis yang sangat baik!

Menginjil kepada wanita Aborigin di kawasan terpencil, 1963

 Kawasan penyebaran kami di barat laut Queensland ialah satu kawasan yang berdekatan dengan Teluk Carpentaria. Pada masa itu, saya dan Ben sahaja yang merupakan Saksi di kawasan terpencil itu. Ada kalanya, kami harus memandu selama berjam-jam dari satu rumah ke rumah yang seterusnya. Semasa perjalanan yang panjang dan berhabuk itu, Ben selalu memberitahu saya pengalamannya dalam aktiviti penyebaran pada masa dahulu. Contohnya, mereka menginjil menggunakan kereta bunyi c semasa Perang Dunia Kedua, iaitu semasa kegiatan Saksi-Saksi Yehuwa di Australia diharamkan.

Saya (tengah) dan seorang saudara sedang mengadakan pembelajaran Bible di kawasan terpencil

 Selepas sehari menginjil, kami akan bermalam di khemah di suatu kawasan yang sesuai berdekatan dengan jalan. d Kami akan kumpul kayu dan menyalakan unggun api untuk menyediakan makan malam kami. Untuk tidur, saya menggunakan selimut dan bantal dan meletakkan kain kalis air di atas tanah. Saya masih ingat betapa kagumnya saya terhadap Yehuwa semasa saya memandang langit malam yang penuh dengan bintang kerana tiada gangguan cahaya lampu.

 Di kawasan terpencil ini, adalah bahaya jika kereta anda rosak. Pernah sekali, gandar (axle) kereta kami patah. Hari itu memang panas, dan kami kekurangan air. Untuk menggantikan gandar, Ben perlu pergi ke pekan Cloncurry dengan menumpang kereta orang lain. Saya pula menunggu di kereta selama tiga hari. Setiap hari, ada beberapa kereta lalu dan para pemandunya yang baik hati memberi saya air. Ada seorang lelaki memberi saya buku yang sudah lama. Dia kata, “Kawan, bacalah buku ini. Buku ini mungkin akan bantu kamu.” Saya sangat terkejut, apabila buku yang bukan diterbitkan oleh organisasi kita itu, menceritakan pengalaman Saksi-Saksi Yehuwa di kem konsentrasi Nazi!

 Saya dan Ben merintis bersama hampir setahun. Sebelum kami berpisah, dia berkata, “Teruslah berjuang, saudara.” Teladan Ben dalam khidmatnya kepada Yehuwa dan semangatnya membuat saya lebih ingin bertekad untuk terus melakukan khidmat sepenuh masa.

Gilead, kemudian Taiwan

 Selepas merintis di kawasan terpencil untuk beberapa tahun, saya dijemput untuk menjadi penyelia litar. Saya akan meluangkan masa seminggu atau lebih dengan setiap sidang dan kumpulan terpencil di sebuah litar. Selama beberapa tahun, saya berkhidmat di empat litar, yang merangkumi sidang-sidang di Queensland dan New South Wales. Kemudian pada 1971, saya tidak sangka saya diberi peluang untuk menghadiri kelas Gilead yang ke-51, iaitu sekolah bagi para mubaligh Saksi-Saksi Yehuwa di New York. Kami meluangkan masa lima bulan untuk mengkaji Bible secara mendalam dan menikmati pergaulan yang membina dengan satu sama lain dan pengajar. Semua ini mempersiapkan saya untuk tugasan yang seterusnya, iaitu berkhidmat sebagai mubaligh di Taiwan.

Kelas Gilead saya

 Sembilan orang daripada kelas kami ditugaskan ke Taiwan, termasuk Ian Brown, dari New Zealand. Dia menjadi rakan mubaligh saya. Kami tidak tahu apa-apa tentang Taiwan. Kami bahkan tidak pasti di mana itu Taiwan sehinggalah kami lihat peta.

 Saya tidak dapat fikir lagi tempat lain seperti Queensland dan Taiwan yang jauh berbeza! Cabaran utama kami ialah bahasa Cina. Buat satu jangka masa, saya tidak dapat memahami apa yang diajarkan di perjumpaan, padahal itu merupakan sumber galakan rohani. Saya juga susah berkomunikasi dengan saudara saudari. Situasi ini membantu saya dan Ian faham mengapa kami perlu belajar begitu banyak hal semasa di Gilead. Latihan Gilead, pembelajaran Bible yang tetap, dan doa yang bersungguh-sungguh, telah membantu kami untuk terus menguatkan hubungan kami dengan Yehuwa. Meskipun kami susah berkomunikasi dengan saudara saudari tempatan, kami sangat digalakkan oleh kasih yang mereka tunjukkan kepada kami dan Yehuwa.

Belajar Bahasa Cina

 Selepas tiba di Taiwan, semua mubaligh menyertai kursus bahasa Cina yang singkat tetapi padat. Guru kami ialah seorang saudari dari Australia yang bernama Kathleen Logan, e seorang lulusan dari kelas Gilead yang ke-25. Kami beri tumpuan sepenuhnya untuk mempelajari bahasa itu. Kami menggunakan apa yang kami belajar dengan secepat mungkin. Semasa hari pertama kami dalam aktiviti penyebaran, saya dan Ian menghafal satu penyampaian yang singkat. Semasa dalam perjalanan ke kawasan penyebaran, kami berbincang tentang siapa yang akan memulakan penyampaian di rumah pertama. Memandangkan saya lebih tua daripada Ian, saya bergurau dan menyuruhnya untuk mula dahulu. Penghuni rumah itu ialah seorang lelaki Cina yang kelihatan terhormat. Dia mendengar dengan sabar semasa Ian menggunakan bahasa Cina dan Inggeris. Kemudian, kami terkejut mendengar bahasa Inggerisnya sangat lancar semasa dia tanya apa yang kami mahu! Kami berbual untuk seketika, dan pada akhir perbincangan kami, dia menggalakkan kami untuk terus belajar bahasa Cina. Kata-katanya yang baik hati memberi kami keyakinan untuk “terus berjuang,” seperti yang Ben pernah kata.

 Kawasan penyebaran kami merangkumi sebahagian besar ibu kota Taipei. Banyak orang di situ tidak pernah dengar tentang berita Kerajaan Tuhan kerana hanya sedikit Saksi yang tinggal di sana pada masa itu. Hal ini tidak membuat saya dan Ian tawar hati. Sebaliknya, kami mula menginjil dengan bersemangat. Pada masa itu, kami selalu menawarkan ratusan majalah setiap bulan. Memang benar, sesetengah orang yang mengambil majalah mungkin hanya mahu mengetahui siapa kami dan apa yang kami ingin sampaikan. Namun, kami berusaha untuk menabur benih kebenaran dan yakin bahawa ada yang akan berakar dalam hati orang yang berminat.

Dibantu oleh Teman Hidup Saya

Saya dan Wen-hwa semasa kerja penyebaran, 1974

 Semasa saya berkhidmat di situ, saya berkawan dengan seorang saudari tempatan yang bernama Wen-hwa. Dia mengasihi kebenaran dan ingin membantu orang tempatan untuk mendapat manfaat daripada mesej Bible seperti yang diraihnya sendiri. Jadi dia telah membantu banyak mubaligh, termasuk saya, untuk meningkatkan kemahiran berbahasa. Saya jatuh cinta dengan saudari yang berkebolehan ini, dan kami berkahwin pada 1974.

 Wen-hwa telah membantu para mubaligh menjadi lebih berkesan dalam aktiviti penyebaran. Contohnya, dia mengajar kami bahasa dengan membantu kami memahami budaya dan cara pemikiran orang Taiwan. Dia juga membantu kami menyesuaikan penyampaian kami mengikut keperluan orang tempatan yang kebanyakannya menganuti agama Buddha dan Tao. Penyembahan nenek moyang adalah sesuatu yang biasa, dan banyak orang tidak pernah membaca atau bahkan melihat Bible. Jadi penyampaian kami bertumpu kepada Pencipta, iaitu tentang nama Yehuwa dan sebab kita dapat yakin Dia wujud. Contohnya, jika seorang petani atau nelayan menggunakan ungkapan “Kami bergantung pada langit untuk mendapatkan makanan,” kami akan menanya, “Siapakah yang menyediakan semua makanan itu? Bukankah Dia ialah Tuhan Yang Maha Kuasa yang mencipta segala sesuatu dan yang layak menerima penyembahan kita?”

Bersama Wen-hwa, 1975

 Seraya masa berlalu, usaha kami membuahkan hasil kerana benih kebenaran telah bertumbuh dalam hati banyak orang yang berminat. Sesetengah pelajar Bible ini perlu berusaha untuk meninggalkan ajaran palsu yang dipercayai mereka selama bertahun-tahun, dan menghentikan amalan yang tidak menyenangkan hati Yehuwa. Tetapi dengan bantuan para mubaligh dan penyiar tempatan, mereka telah berjaya, dan hidup mereka menjadi lebih baik. (Yohanes 8:32) Banyak saudara kemudiannya dilantik sebagai penatua dan pembantu sidang, dan ramai saudara saudari menceburi khidmat sepenuh masa seperti berkhidmat di pejabat cawangan, atau Bethel.

 Bermula 1976, saya berpeluang untuk berkhidmat sebagai ahli Jawatankuasa Cawangan Taiwan, dan pada masa yang sama masih seorang mubaligh. Pada 1981, saya dan Wen-hwa dijemput ke Bethel, dan saya terus berkhidmat sebagai ahli jawatankuasa cawangan untuk bertahun-tahun. Sudah lebih daripada 60 tahun sejak saya mula menceburi khidmat sepenuh masa. Saya telah menghabiskan lebih daripada 50 tahun itu di Taiwan, dan sudah hampir 50 tahun bersama isteri kesayangan saya. Sahabat dan rakan mubaligh saya dahulu, iaitu Ian Brown, terus berkhidmat sepenuh masa di sini sehingga dia meninggal pada 2013.

Saya bekerja di pejabat di Taiwan, 1997

 Saya dan Wen-hwa cuba tetap sibuk dalam kerja kami di Bethel, sidang bahasa Cina, dan aktiviti penyebaran. Kami berterima kasih kepada Yehuwa atas semua peluang khidmat yang istimewa ini. Dia memberi saya keinginan dan kekuatan untuk menyembah-Nya dengan sepenuh hati semasa saya masih kecil, dan Dia terus berbuat demikian kepada saya dan Wen-hwa sekarang semasa kami sudah tua.

a Perintis khas merupakan penginjil sepenuh masa. Mereka rela ditugaskan oleh pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa ke kawasan yang memerlukan guru Bible.

b Kisah Hidup Bennett Brickell diterbitkan dalam majalah Menara Pengawal 1 September 1972 dalam bahasa Inggeris.

c Kereta bunyi mempunyai pembesar suara yang dapat menyiarkan berita Kerajaan Tuhan sehingga dapat didengar dari jarak yang jauh.

d Untuk melihat saudara saudari menginjil di kawasan itu, lihat video Menginjil di Kawasan Terpencil—Australia.

e Kisah hidup Harvey dan Kathleen Logan diterbitkan dalam majalah Menara Pengawal terbitan Januari 2021.