DORINA CAPARELLI | KISAH HIDUP
Walaupun Malu, Saya Tetap Akan Buat Pilihan yang Sama!
Saya seorang yang sangat pemalu. Itulah sebabnya saya tertawa apabila saya fikir tentang sesetengah pengalaman menarik yang saya nikmati dalam khidmat kepada Yehuwa.
Saya lahir pada tahun 1934 di Pescara, sebuah bandar di bahagian pantai timur Itali, di Laut Adriatik. Saya ialah anak bongsu daripada empat adik-beradik. Bapa memilih nama kami mengikut urutan abjad, bermula dari huruf “A.” Itulah sebabnya nama saya bermula dengan huruf “D.”
Bapa selalu minat tentang hal-hal rohani. Kali pertama dia mengetahui tentang Saksi-Saksi Yehuwa adalah pada Julai 1943. Seorang lelaki yang bernama Liberato Ricci, yang belajar dengan para Saksi, bercakap dengan bapa tentang Bible dan meminjamkannya salinan majalah The Watchtower. Tidak lama kemudian, bapa dengan bersemangat mula mengongsi apa yang dia pelajari dengan orang lain. Ibu juga menerima kebenaran. Walaupun ibu buta huruf, dia memberitahu orang lain tentang harapan yang dia pelajari dengan menyebut ayat-ayat Bible yang dia hafal.
Rumah kecil kami menjadi pusat aktiviti rohani. Kami mengadakan perjumpaan Kristian di sana. Walaupun kami hanya mempunyai dua bilik, kami menyediakan penginapan untuk penyelia lawatan dan para perintis.
Dua kakak saya tidak berminat tentang Bible dan mereka akhirnya meninggalkan rumah untuk berkahwin. Tetapi saya dan seorang lagi kakak saya, Cesira, suka mendengar bapa membaca Bible. Kami juga menikmati ceramah yang disampaikan oleh para saudara yang melawat kumpulan kecil kami.
Saya selalu menemani bapa dan penyiar lain dalam kerja penyebaran. Tetapi sebab saya sangat pemalu, saya ambil masa berbulan-bulan untuk memberanikan diri dan bercakap kepada penghuni rumah. Meskipun demikian, kasih saya kepada Yehuwa terus bertambah dan saya dibaptis pada Julai 1950. Seorang saudara menyampaikan ceramah pembaptisan di rumah kami. Kemudian, kami pergi ke laut untuk dibaptis. Pada tahun berikutnya, sepasang suami isteri yang berkhidmat sebagai perintis khas ditugaskan ke kawasan kami dan saya selalu keluar menginjil dengan mereka. Semakin kerap saya keluar menginjil, saya semakin berani untuk melakukannya. Kasih saya terhadap khidmat ini juga semakin mendalam!
Keputusan yang Mengubah Hidup Saya
Penyelia litar kami yang pertama ialah Piero Gatti. a Dia menggalakkan saya bukan hanya untuk merintis, tetapi juga untuk berpindah ke kawasan yang memerlukan lebih banyak penyiar. Saya tidak pernah fikirkan hal itu. Di kawasan kami, gadis biasanya akan tinggal di rumah sehingga mereka berkahwin. Jadi pada Mac 1952, saya mula merintis dan masih tinggal di rumah. Saya tidak sedar bahawa keputusan untuk merintis akan mengubah hidup saya.
Sekitar masa itu, seorang saudari muda yang bernama Anna juga mahu mula merintis. Dia tinggal bersama kami supaya kami dapat keluar menginjil bersama-sama. Pada tahun 1954, kami berdua telah ditugaskan untuk berkhidmat sebagai perintis khas di Perugia, sebuah bandar jauhnya 250 km dan tiada Saksi di sana.
Ini pengalaman yang baharu bagi saya! Saya hanya berumur 20 tahun masa itu dan saya hanya pernah tinggalkan kampung halaman saya semasa pergi ke konvensyen bersama ibu bapa saya. Sekarang saya rasa seperti di dunia yang lain! Pada mulanya, bapa rasa risau kerana saya dan Anna akan tinggalkan rumah dan hidup sendiri. Jadi, dia datang untuk bantu kami cari tempat tinggal. Kami menyewa sebuah bilik yang dapat digunakan untuk Dewan Perjumpaan. Buat seketika, hanya kami sahaja yang menghadiri perjumpaan. Namun, kami sangat menikmati kerja menginjil di Perugia dan pekan serta kampung yang berdekatan. Usaha kami juga membawa hasil. Kira-kira setahun kemudian, seorang saudara berpindah ke Perugia, dan dia mengendalikan perjumpaan bagi kami. Apabila kami meninggalkan Perugia untuk tugasan kami yang seterusnya pada tahun 1957, sebuah sidang kecil telah dibentuk di sana.
Tugasan kami yang seterusnya adalah di sebuah bandar kecil yang dipanggil Terni, di bahagian tengah Itali. Kami sangat teruja untuk menginjil di Terni sebab sudah ada banyak orang yang berminat di sini. Namun kami ada cabaran juga. Walaupun rejim Fasis sudah berakhir pada tahun 1943, sesetengah pihak berkuasa masih berusaha untuk menghalang Saksi-Saksi Yehuwa daripada menyebarkan mesej Bible. Mereka juga menuntut agar kami mempunyai lesen untuk menginjil dari rumah ke rumah.
Pihak polis selalu mengekori para Saksi. Kadangkala kami dapat melepaskan diri dengan pergi ke kawasan yang ada ramai orang, tetapi kadang-kadang itu tidak berjaya. Saya pernah ditahan dua kali. Kali pertama, saya sedang menginjil bersama penyelia litar. Polis telah menangkap kami dan membawa kami ke balai polis. Mereka menuduh kami menginjil tanpa kebenaran di sisi undang-undang dan mendenda kami. Tetapi kami tidak mahu membayar denda sebab kami tidak melanggar apa-apa undang-undang. Pada masa itu, saya dapat rasa jantung saya berdegup sangat kencang! Tetapi saya sangat bersyukur kepada Yehuwa kerana saya tidak bersendirian. Saya teringat kata-kata di Yesaya 41:13 yang kata, “Janganlah takut. Aku akan menolongmu.” Kami dibebaskan dan apabila kes itu dibicarakan, hakim telah membubarkan dakwaan terhadap kami. Kali kedua saya ditahan ialah kira-kira enam bulan kemudian. Pada masa itu, saya bersendirian. Tetapi sekali lagi hakim menyatakan saya tidak bersalah.
Lebih Banyak Peluang untuk Berkhidmat kepada Yehuwa
Saya masih ingat perasaan teruja saya semasa konvensyen pada tahun 1954 di Naples, di bahagian selatan Itali. Selepas tiba di sana, saya merelakan diri untuk membantu membersihkan tempat konvensyen dan saya ditugaskan untuk membersihkan bahagian berdekatan pentas. Di sana, saya nampak seorang atendan yang sangat kacak, bernama Antonio Caparelli. Dia seorang perintis dari Libya. Keluarganya telah berpindah ke sana dari Itali pada akhir tahun 1930-an.
Antonio seorang yang bersemangat dan berani. Dia menjelajah jauh sampai ke Gurun Libya dengan motosikalnya untuk menginjil kepada orang Itali di sana. Kami ada kalanya akan saling menulis surat. Namun pada awal tahun 1959, dia kembali ke Itali. Dia berkhidmat di Bethel di Rom selama beberapa bulan sebelum ditugaskan sebagai perintis khas di Viterbo, sebuah bandar di bahagian tengah Itali. Hubungan kami menjadi semakin erat, dan akhirnya kami berkahwin pada 29 September 1959. Kemudian, saya berkhidmat bersama Antonio di Viterbo.
Kami perlukan tempat tinggal dan tempat untuk adakan perjumpaan. Jadi kami menyewa sebuah bilik yang nampak seperti kedai kecil dan ada bilik mandi di belakang. Kami meletakkan katil kami di bahagian tepi dan menutupnya dengan pembahagi ruang. Itulah bilik tidur kami. Kadangkala, ruang yang selebihnya akan menjadi ruang tamu kami, dan ada kalanya menjadi Dewan Perjumpaan. Bilik itu memang tidak selesa, saya tidak sanggup tinggal di situ seorang diri. Tetapi oleh sebab saya bersama dengan Antonio, saya rasa gembira.
Pada tahun 1961, Antonio dilantik sebagai penyelia litar. Namun mula-mula, dia perlu hadir sekolah untuk hamba sidang atau penyelia selama satu bulan. Maksudnya, saya perlu tinggal seorang diri selama satu bulan. Sejujurnya saya rasa kasihan terhadap diri sendiri, terutamanya pada waktu malam apabila saya bersendirian di bilik kecil kami. Namun saya gembira kerana Antonio digunakan oleh Yehuwa. Oleh sebab saya selalu sibukkan diri, saya rasa masa cepat berlalu.
Kami perlu mengadakan banyak perjalanan untuk buat kerja litar. Kami pergi dari Veneto, sebuah kawasan di utara Itali hingga ke Sicily, di bahagian selatan. Pada mulanya, kami tiada kereta. Jadi kami menggunakan pengangkutan awam. Pernah sekali, kami pergi ke kawasan terpencil di Sicily. Dalam perjalanan itu, kami terenjut-enjut semasa menaiki bas. Selepas kami tiba, kami disambut oleh para saudara di perhentian bas. Mereka datang bersama keldai untuk membawa beg kami. Antonio memakai sut dan tali leher, saya pula memakai pakaian untuk perjumpaan. Jadi, orang pasti berasa lucu melihat kami berjalan bersama petani dengan kedai yang membawa beg dan mesin taip kami.
Saudara saudari sangat murah hati dan mengongsi apa saja yang mereka miliki, walaupun apa yang mereka ada tidak banyak. Sesetengah rumah tiada bilik mandi atau air. Pernah sekali kami tinggal di sebuah bilik yang sudah tidak digunakan selama bertahun-tahun. Semasa tidur pada waktu malam, saya banyak bergerak sehingga Antonio bangunkan saya. Apabila kami angkat cadar itu, kami sangat terkejut sebab ada begitu banyak serangga yang merayap di katil! Tetapi kami tidak dapat buat apa-apa sebab hari sudah larut malam. Jadi kami bersihkan apa yang kami dapat dan cuba tidur semula.
Namun itu bukanlah cabaran terbesar bagi saya. Cabaran terbesar saya ialah perasaan malu. Apabila kami mengunjungi sebuah sidang untuk pertama kali, saya rasa susah untuk cari kawan baru. Tetapi saya sangat ingin menggalakkan dan membantu saudari lain. Jadi saya telah curahkan banyak usaha. Dengan bantuan Yehuwa, pada akhir kunjungan, saya selalunya akan rasa sangat selesa. Memang satu penghormatan untuk bekerja bersama saudara saudari dan melihat kemurahan hati, kesetiaan, dan kasih mereka kepada Yehuwa.
Pada tahun 1977, selepas beberapa tahun melakukan kerja litar dan distrik, b kami dijemput ke Bethel di Rom untuk membantu membuat persiapan bagi Konvensyen Antarabangsa 1978 “Iman Membawa Kemenangan.” Hanya selepas beberapa bulan, kami menjadi ahli Bethel. Tidak lama selepas itu, Antonio ditugaskan untuk berkhidmat sebagai ahli Jawatankuasa Cawangan.
Bethel ialah pengalaman baharu bagi saya, dan sekali lagi ada kalanya saya susah untuk rasa selesa disebabkan perasaan malu saya. Tetapi dengan berkat Yehuwa dan bantuan ahli Bethel lain, saya akhirnya anggap Bethel sebagai rumah saya.
Menghadapi Cabaran Baharu
Pada tahun-tahun berikutnya, kami menghadapi cabaran baharu, iaitu masalah kesihatan. Pada tahun 1984, Antonio menjalani pembedahan jantung, dan kira-kira 10 tahun kemudian, dia menghidap lebih banyak masalah kesihatan. Pada tahun 1999, dia mendapat tahu dia menghidap tumor yang ganas. Dia seorang yang sangat aktif. Tetapi sedihnya, dia gagal sembuh daripada penyakit ini. Betapa hancurnya hati saya melihat dia semakin hari semakin lemah. Saya berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Yehuwa untuk memohon kekuatan agar saya dapat menyokong suami saya. Saya juga selalu membaca buku Mazmur. Ini telah memberi saya kelegaan semasa saya rasa risau. Antonia meninggal pada 18 Mac 1999. Kami telah berkahwin selama hampir 40 tahun.
Kita masih dapat rasa sunyi walaupun kita dikelilingi dengan banyak orang. Saya menerima banyak kelegaan dan kasih sayang daripada ahli Bethel yang lain dan saudara saudari yang kami kenal semasa khidmat lawatan. Namun, saya masih rasa kosong dalam hati saya, terutamanya apabila saya balik ke bilik Bethel saya yang kosong pada waktu malam, perasaan pilu yang saya alami susah digambarkan. Namun, doa, pembelajaran, dan masa telah bantu saya untuk pulih. Belakangan, saya dapat merasakan sukacita apabila saya kenang kembali kehidupan yang saya telah jalani bersama Antonio. Saya masih suka mengenang semula hal-hal yang kami telah buat bersama. Saya yakin Antonio berada dalam ingatan Yehuwa dan saya dapat jumpa dia semula semasa dia dibangkitkan.
Saya ada banyak tugasan di Bethel. Buat masa sekarang, saya bertugas di bahagian menjahit. Saya rasa sangat gembira sebab dapat buat kerja yang membawa manfaat untuk keluarga Bethel saya yang besar. Saya juga berusaha untuk tetap sibuk dalam kerja penyebaran. Memang saya tidak dapat buat banyak seperti dahulu. Tetapi saya masih sangat menikmati kerja mengongsi berita baik tentang Kerajaan Tuhan. Itulah kerja yang saya sangat suka buat sejak saya muda lagi. Saya tahu kerja ini menyeronokkan. Itulah sebabnya saya mahu galakkan orang muda lain untuk merintis.
Apabila saya kenang kembali khidmat sepenuh masa saya selama hampir 70 tahun, saya dapat lihat bagaimana Yehuwa telah banyak membantu dan memberkati saya. Saya masih seorang yang pemalu, jadi saya tahu bahawa dengan kekuatan sendiri, saya tidak mungkin dapat buat hal-hal yang telah saya lakukan. Saya telah pergi ke tempat-tempat yang jauh, melihat dan mengalami banyak hal-hal yang menarik, dan berjumpa dengan orang yang menggalakkan saya. Jika saya diberi pilihan, saya dapat kata dengan yakin, saya tetap akan buat pilihan yang sama.
a Kisah hidup Piero Gatti, “Dulu Takut Mati—Kini Menantikan ‘Kehidupan yang Berlimpah’” dalam Menara Pengawal bahasa Indonesia, terbitan 15 Julai 2011.
b Penyelia distrik menjaga sebuah distrik yang terdiri daripada beberapa litar.