Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

JESÚS MARTÍN | KISAH HIDUP

“Yehuwa Menyelamatkan Saya semasa Detik yang Paling Gelap”

“Yehuwa Menyelamatkan Saya semasa Detik yang Paling Gelap”

Saya dilahirkan di Madrid pada tahun 1936. Bagi orang Sepanyol, tahun itu merupakan tahun yang tidak dapat dilupakan. Pada masa itu, perang saudara yang kejam telah berlaku di Sepanyol.

 Perang itu berlangsung selama hampir tiga tahun di Sepanyol dan meninggalkan kesan secara fizikal dan emosi terhadap banyak orang, termasuklah bapa saya. Bapa selalu percaya kepada Tuhan. Tapi apabila dia melihat paderi Katolik terlibat dalam peperangan, dia berasa sangat kecewa dan marah. Maka, dia memutuskan untuk tidak membenarkan saya dan adik lelaki saya dibaptis di Gereja Katolik.

Francisco Franco mempunyai ikatan yang kuat dengan Gereja Katolik

 Pada tahun 1950, dua orang Saksi-Saksi Yehuwa mengetuk pintu rumah kami. Bapa saya menyambut mereka dan setuju untuk belajar Bible setiap minggu. Pada masa itu, saya baru berumur 14 tahun dan saya sangat suka bermain bola sepak. Bapa cuba menggalakkan saya untuk membaca sesetengah bahan bacaan yang ditinggalkan oleh para Saksi. Tapi saya tidak mahu terlibat dengan agama. Pernah sekali, semasa saya baru pulang dari perlawanan bola sepak, saya tanya ibu, “Mak, guru Bible itu ada di sini lagi?” Dia menjawab, “Ya, mereka ada di bilik makan bersama ayah kamu.” Maka, saya segera keluar dari rumah!

 Namun, saya kagum kerana walaupun saya tidak minat belajar Bible, bapa tidak berasa tawar hati. Sebaliknya, dia sangat mencintai kebenaran yang dia pelajari sehingga dia buat keputusan untuk dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa pada tahun 1953. Peristiwa ini membangkitkan minat saya, dan saya mula tanya bapa banyak soalan. Saya bahkan minta satu salinan Bible. Bapa kemudiannya mengaturkan Máximo Murcia, seorang Saksi muda, untuk belajar Bible bersama saya. Dua tahun kemudian, semasa saya berumur 19 tahun, saya dibaptis sebagai seorang Saksi-Saksi Yehuwa di Sungai Jarama, di timur Madrid.

Menginjil pada Zaman Pemerintahan Diktator Franco

 Pada tahun 1950-an, tidak senang untuk menginjil dan berkumpul bersama. Diktator Francisco Franco sedang memerintah Sepanyol, dan dia mahu semua orang di negara itu menganut agama Katolik. Akibatnya, polis sering mengganggu Saksi-Saksi Yehuwa. Maka kami harus berkumpul di rumah sendiri dan berhati-hati agar tidak membuat jiran curiga dan melaporkan kami kepada polis. Kami juga berusaha untuk berwaspada semasa menginjil dari rumah ke rumah. Kami memilih satu atau dua buah rumah, dan kemudiannya segera beralih ke kawasan lain. Banyak orang mendengar mesej kami, tetapi bukan semua orang menyukainya.

Saudara F. W. Franz memberikan ceramah di salah satu konvensyen yang diadakan secara rahsia

 Saya ingat saya pernah menginjil kepada seorang paderi Katolik. Semasa saya menjelaskan tujuan lawatan kami, dia bertanya, “Siapa yang beri kamu kuasa untuk buat kerja ini? Kamu tahukah saya boleh laporkan kamu kepada polis?” Saya menjelaskan bahawa kami memang tahu hal itu boleh berlaku. Saya juga berkata, “Musuh Yesus Kristus pun mahu menangkapnya. Jadi, bukankah masuk akal bahawa para pengikutnya juga akan mengalami hal yang sama?” Paderi itu tidak gembira dengan jawapan saya dan dia menelefon polis. Maka, saya cepat-cepat meninggalkan bangunan itu.

 Memang kami mengalami pengalaman yang buruk. Namun, beberapa ratus penyiar di Sepanyol sedar bahawa ada banyak orang berminat di sana. Pada Februari 1956, semasa saya berumur 19 tahun, saya telah dilantik sebagai perintis khas. a Seperti saya, kebanyakan perintis ialah orang muda dan kurang berpengalaman. Namun, dengan adanya bantuan beberapa mubaligh, kami telah menerima latihan dan galakan yang diperlukan. Kemudian, saya telah ditugaskan untuk berkhidmat di bandar Alicante bersama seorang perintis muda. Di sana, kerja penyebaran belum pernah dilakukan. Dalam masa beberapa bulan sahaja, kami telah memulakan banyak pembelajaran Bible, dan mengedarkan ratusan bahan bacaan.

 Namun, orang memperhatikan apa yang kami lakukan. Maka, hanya selepas beberapa bulan di Alicante, polis menangkap kami dan merampas Bible kami. Mereka memenjarakan kami selama 33 hari. Kemudian, kami dibawa ke Madrid, dan di sana kami dibebaskan. Ini merupakan pengalaman kecil yang menunjukkan apa yang bakal menimpa kami pada kemudian hari.

Menghadapi Detik yang Paling Gelap

 Semasa berumur 21 tahun, saya diarahkan untuk menyertai tentera. Saya harus melaporkan diri di bangunan tentera di Nador, sebuah bandar di utara Morocco yang berada di bawah naungan Sepanyol. Di sana, saya menjelaskan pendirian saya dengan hormat kepada ketua leftenan jeneral. Saya berkata bahawa saya tidak akan berkhidmat dalam tentera atau memakai pakaian seragam mereka. Kemudian, polis tentera membawa saya ke penjara Rostrogordo, di Melilla, untuk menantikan perbicaraan mahkamah tentera.

Di penjara Rostrogordo, di Melilla

 Sebelum perbicaraan saya, komander tentera Sepanyol di Morocco menyuruh tentera memukul saya supaya saya mengubah fikiran. Akibatnya, saya dimalukan, disebat selama 20 minit, dan ditendang sehingga saya hampir tidak sedar. Namun mereka masih tidak puas hati. Maka, seorang kapten memijak kepala saya dengan kasut tenteranya dan hanya berhenti apabila darah mula mengalir. Kemudian, saya dibawa ke pejabatnya. Di sana, dia berteriak dengan berkata, “Jangan fikir ini sudah berakhir. Bersedialah untuk menghadapi ini setiap hari!” Dia mengarahkan pengawalnya untuk memenjarakan saya di sel bawah tanah. Dalam sel yang lembap dan gelap itu, saya rasa seperti hilang harapan.

 Saya masih ingat saatnya saya terbaring di lantai penjara itu dengan kepala yang masih berdarah. Saya hanya ada selimut yang nipis dan ada kalanya tikus akan muncul di situ. Saya hanya dapat berdoa kepada Yehuwa memohon kekuatan dan ketabahan. Ya, saya berdoa berulang kali kepada Yehuwa dalam penjara yang gelap dan sejuk itu. b

 Pada keesokan harinya, saya dipukul lagi. Kali ini, saya dipukul oleh koperal lain. Kapten itu juga melihat saya untuk pastikan saya dipukul dengan secukupnya. Pada masa itu, saya mula tertanya-tanya, “Adakah saya mampu untuk terus bertahan?” Pada malam itu, saya merayu kepada Yehuwa untuk menolong saya.

 Pada hari ketiga, saya dipanggil sekali lagi ke pejabat kapten itu. Saya rasa sangat takut. Maka, semasa berjalan menuju ke pejabat itu, saya berdoa kepada Yehuwa. Don Esteban, c setiausaha tribunal ketenteraan, sedang menunggu saya. Dia telah datang untuk membuka kes saya.

 Apabila Don Esteban nampak balutan di kepala saya, dia tanya apa yang berlaku. Saya teragak-agak untuk beritahu dia, sebab saya takut saya akan dipukul. Tapi akhirnya, saya beritahu dia apa yang berlaku. Selepas mendengar hal itu, Don Esteban berkata, “Saya tidak dapat hentikan perbicaraan mahkamah kamu. Tapi kamu boleh yakin bahawa tiada sesiapa akan pukul kamu lagi.”

 Seperti yang dijanjikannya, sepanjang saya di penjara, tiada lagi orang yang memukul saya. Saya tidak pernah tahu kenapa hakim itu memilih hari itu untuk bercakap kepada saya. Tapi yang saya tahu Yehuwa menjawab doa saya dalam cara yang mengagumkan. Saya dapat lihat bagaimana Yehuwa menyelamatkan saya semasa detik yang paling gelap dalam kehidupan saya dan tidak membiarkan saya dianiaya lebih daripada apa yang dapat saya tanggung. (1 Korintus 10:13) Saya menghadapi perbicaraan mahkamah dengan keyakinan yang teguh kepada Yehuwa.

Di penjara Ocaña

 Mahkamah tentera menjatuhkan hukuman 19 tahun penjara terhadap saya, dan tempoh itu ditambah tiga tahun kerana “keingkaran.” Selepas kira-kira 15 bulan di Morocco, saya dipindahkan ke penjara Ocaña, tidak jauh dari Madrid. Perpindahan ke Ocaña merupakan berkat daripada Yehuwa. Keadaan di sini jauh lebih baik berbanding di Rostrogordo. Sel penjara saya ada katil, tilam, dan cadar. Selepas beberapa waktu, saya ditugaskan untuk menjadi penyimpan kira-kira penjara. Namun, oleh sebab terlalu lama dipenjarakan, saya ada kalanya berasa sunyi. Jadi, cabaran terbesar bagi saya ialah saya tidak dapat bersama dengan rakan seiman saya.

 Ada kalanya, ibu bapa saya akan melawat saya. Tapi saya perlukan lebih banyak galakan. Ibu bapa saya kata bahawa ada beberapa saudara yang juga menolak untuk menyertai khidmat tentera. Jadi saya berdoa kepada Yehuwa, memohon agar sekurang-kurangnya seorang saudara dihantar ke penjara saya. Sekali lagi, Yehuwa menjawab doa saya yang sungguh-sungguh kepada-Nya, bahkan lebih daripada apa yang saya harapkan. Tidak lama kemudian, tiga orang saudara yang setia, iaitu Alberto Contijoch, Francisco Díaz, dan Antonio Sánchez, juga dihantar ke penjara Ocaña. Selepas terasing selama empat tahun, saya akhirnya mempunyai pergaulan yang membina bersama saudara saya. Kami berempat dapat belajar bersama dan menginjil kepada banduan lain.

Dibebaskan dan Kembali Berkhidmat

 Akhirnya, pada tahun 1964, saya dibebaskan secara bersyarat. Hukuman penjara saya selama 22 tahun telah dikurangkan kepada 6 1/2 tahun. Pada hari saya dibebaskan dari penjara, saya pergi ke perjumpaan Kristian saya yang pertama. Walaupun saya perlu membelanjakan sedikit wang yang saya miliki untuk naik teksi ke Madrid, saya dapat tiba ke perjumpaan tepat masanya. Sememangnya, satu berkat dapat bersama saudara saudari sekali lagi! Tapi, saya bukan hanya ingin bergaul bersama rakan seiman saya. Saya mahu merintis semula. Walaupun sesetengah pihak polis masih mengganggu para Saksi, ada orang yang menyambut berita baik dan ada banyak kerja yang perlu dilakukan.

 Pada masa itu, saya berjumpa dengan Mercedes, seorang saudari muda yang berkhidmat sebagai perintis khas. Mercedes ialah seorang saudari yang rendah hati dan sangat bersemangat untuk menginjil kepada semua orang. Sikapnya yang baik dan murah hati juga membuat saya tertarik kepadanya. Kami jatuh cinta dan setahun kemudian kami berkahwin. Memang satu berkat kerana Mercedes berada di sisi saya.

Bersama dengan Mercedes tidak lama selepas perkahwinan kami

 Beberapa bulan selepas perkahwinan kami, kami dijemput untuk melakukan kerja lawatan. Kami dapat melawat sidang-sidang yang berbeza setiap minggu, dan menyertai saudara saudari dalam kerja penyebaran dan perjumpaan mereka. Ada banyak sidang baharu ditubuhkan di serata Sepanyol, dan para saudara memerlukan bantuan dan galakan. Untuk seketika, saya juga berpeluang berkhidmat di pejabat rahsia Saksi-Saksi Yehuwa di Barcelona untuk membantu kerja di sana.

 Pada tahun 1967, situasi kami berubah dan kami tidak lagi perlu beribadat secara rahsia. Pada masa itu, kerajaan telah menggubal undang-undang yang memberikan kebebasan beragama kepada semua penduduk Sepanyol. Akhirnya, pada tahun 1970, Saksi-Saksi Yehuwa telah diiktiraf secara rasmi. Kini, kami dapat berjumpa dengan bebas, memiliki Dewan Perjumpaan sendiri, dan bahkan membuka pejabat cawangan secara rasmi.

Tugasan Teokratik yang Baharu

 Pada tahun 1971, saya dan Mercedes dijemput untuk menjadi anggota keluarga Bethel di pejabat cawangan baharu di Barcelona. Tetapi setahun kemudian, Mercedes hamil dan melahirkan anak perempuan kami yang cantik, iaitu Abigail. Maksudnya, kami harus menghentikan khidmat Bethel kami dan menerima tugasan yang baru, iaitu membesarkan anak perempuan kami.

 Semasa Abigail remaja, pejabat cawangan tanya kami jika kami dapat kembali kepada kerja litar. Seperti biasa, kami berdoa tentang hal itu dan meminta nasihat rakan seiman yang matang. Seorang penatua berkata, “Jesús, jika mereka perlukan kamu dalam kerja lawatan, kamu harus terimanya.” Maka kami memulakan satu lagi detik yang bermakna dalam kehidupan kami. Pada mulanya, kami melawat sidang-sidang yang berdekatan dengan rumah kami supaya kami dapat terus menjaga Abigail. Namun, apabila dia dewasa dan ada kehidupan sendiri, kami berpeluang untuk meluaskan tugasan dalam khidmat khas sepenuh masa.

 Saya dan Mercedes berkhidmat selama 23 tahun dalam kerja lawatan. Saya sangat menikmati khidmat ini kerana saya berpeluang menggunakan pengalaman saya dan menggalakkan orang muda. Semasa saya menjadi pengajar bagi penatua dan pekhidmat sepenuh masa, kami tinggal di Bethel Madrid. Yang menariknya, Sungai Jarama terletak kira-kira tiga kilometer dari Bethel. Di sungai itulah saya dibaptis pada tahun 1955. Saya tidak pernah bayangkan bahawa saya akan kembali ke tempat ini bertahun-tahun kemudian untuk membantu saudara saudari muda memikul tanggungjawab yang besar dalam khidmat kepada Yehuwa.

Mengendalikan kelas semasa sekolah teokratik

 Sejak tahun 2013, kami kembali dalam khidmat perintis khas. Sebenarnya, tidak senang untuk membuat perubahan daripada kerja lawatan ke khidmat perintis. Tapi kami sedar ini ialah haluan yang terbaik. Baru-baru ini, saya menghidap masalah kesihatan, termasuk pembedahan jantung yang rumit. Pada masa sebegini, saya juga telah bergantung pada sokongan Yehuwa, dan seperti biasa, Dia tidak pernah mengabaikan saya. Selama 56 tahun ini juga, isteri saya telah setia menyokong saya dalam semua tugasan teokratik saya.

 Saya sering terkenang masanya sewaktu saya menjadi pengajar. Saya dapat bayangkan muka-muka pelajar yang muda dan bersemangat. Keghairahan mereka mengingatkan saya tentang zaman muda saya dan semangat yang saya rasakan semasa memulakan khidmat suci. Memang, saya telah mengalami beberapa detik yang pahit. Tapi, saya juga menikmati banyak pengalaman yang menggembirakan. Sebenarnya, situasi yang mencabar telah beri saya banyak pengajaran, terutama sekali saya tidak harus bergantung pada kekuatan sendiri. Cabaran yang saya hadapi memberi saya peluang untuk melihat kuasa tangan Yehuwa yang sentiasa menyokong saya bahkan pada detik yang paling gelap dalam kehidupan saya.—Filipi 4:13.

Saya dan Mercedes terus berkhidmat sebagai pekhidmat sepenuh masa

a Perintis khas merupakan penginjil sepenuh masa. Mereka rela ditugaskan oleh pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa ke kawasan yang memerlukan guru Bible.

b Penjara yang menjadi rumah saya selama tujuh bulan bersaiz empat meter persegi sahaja dan tiada tandas. Saya tidur di atas lantai yang kotor dengan sehelai selimut.

c “Don” ialah gelaran hormat di negara yang menuturkan bahasa Sepanyol dan digunakan sebelum nama pertama seseorang.