Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

MILTIADIS STAVROU | KISAH HIDUP

“Kami Telah Merasakan Bimbingan dan Jagaan Yehuwa”

“Kami Telah Merasakan Bimbingan dan Jagaan Yehuwa”

Semasa saya berumur sekitar 13 tahun, seperti anak muda lain, saya suka melihat kereta yang lalu-lalang di kawasan saya di Tripoli, Lubnan. Salah satu kereta yang menarik perhatian saya ialah sebuah kereta Amerika berwarna merah yang dimiliki oleh seorang lelaki Syria. Anda boleh bayangkan betapa terkejutnya saya apabila paderi di Gereja Ortodoks menyuruh kami melempar batu ke arah kereta itu sebab pemiliknya ialah Saksi-Saksi Yehuwa!

 Kami kata kepada paderi itu, kami takut kami akan cederakan pemandunya. Dia menjawab, “Bunuh saja dia. Kamu boleh guna jubah saya untuk lap darahnya dari tangan kamu!” Walaupun saya sebenarnya sangat bangga dengan latar belakang saya sebagai penganut Gereja Ortodoks, kata-kata paderi itu membuat saya meninggalkan gereja itu. Apabila saya fikir balik peristiwa itu, saya sedar bahawa itu telah membantu saya menemui kebenaran tentang Yehuwa.

Menemui Kebenaran tentang Yehuwa

 Semasa saya membesar, kota pelabuhan Tripoli dipenuhi dengan orang daripada pelbagai budaya, bahasa, dan agama. Setiap keluarga sangat bangga dengan latar belakang mereka, termasuk keluarga saya. Saya dan abang-abang saya telah menyertai sebuah kumpulan agama yang dipanggil Askar-Askar yang Beriman, a yang menentang Saksi-Saksi Yehuwa. Kami tidak pernah berjumpa dengan Saksi. Paderi kami kata mereka ialah geng yang menentang Gereja Ortodoks Yunani dan ketua mereka ialah Yehuwa. Paderi kami berulang kali berkata bahawa kami patut menyerang Saksi-Saksi Yehuwa jika kami berjumpa dengan mereka.

 Saya tidak tahu tiga orang abang saya telah berjumpa dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Daripada menyerang mereka, abang-abang saya setuju untuk belajar Bible agar dapat membuktikan ajaran mereka salah. Semasa saya balik rumah pada suatu petang, saya nampak ruang tamu kami penuh dengan Saksi, dan mereka sedang berbincang dengan keluarga saya dan beberapa jiran kami. Saya sangat marah! Sanggup abang-abang saya mengkhianati agama Ortodoks! Apabila saya mahu beredar, seorang jiran yang merupakan doktor gigi terkenal dan juga seorang Saksi, meminta saya untuk duduk dan dengar. Seorang kawan kami sedang membaca Mazmur 83:18 daripada Bible saya sendiri. Masa itu juga, saya sedar bahawa paderi kami telah menipu kami. Yehuwa bukannya ketua geng, tetapi Dia ialah satu-satunya Tuhan yang benar!

Tidak lama selepas saya dibaptis

 Saya mahu tahu lebih banyak tentang Yehuwa. Jadi saya mula menghadiri pembelajaran Bible yang diadakan di rumah kami dan dikendalikan oleh Saudara Michel Aboud. Satu hari, seorang kawan telah menanya soalan yang sudah bermain di minda saya sejak saya kecil. Dia tanya, “Beritahulah kami siapa yang cipta Tuhan?” Saudara Aboud menunjuk ke arah seekor kucing yang sedang berbaring di sofa. Dia menjelaskan bahawa kucing tidak dapat memahami kata-kata dan pemikiran manusia. Begitu juga, kita tidak dapat memahami banyak perkara tentang Tuhan. Contoh yang ringkas itu telah membantu saya sedar bahawa ada sesetengah perkara tentang Yehuwa yang tidak dapat saya fahami dengan sepenuhnya. Tidak lama selepas itu, saya membaktikan diri kepada Tuhan Yehuwa dan dibaptis pada tahun 1946 semasa berumur 15 tahun.

Merintis Memberi Hidup Saya Hala Tuju

 Pada tahun 1948, saya mula bekerja bersama abang saya, Hanna, dalam bisnes fotografinya. Kedainya terletak di sebelah kedai cat yang dimiliki oleh seorang saudara bernama Najib Salem. b Najib ialah seorang penginjil yang berani dan dia teruskan khidmatnya sampailah dia meninggal pada umur 100 tahun. Semasa saya menemaninya untuk menginjil di kampung-kampung, saya dapat lihat betapa beraninya dia walaupun menghadapi tentangan. Bukan itu sahaja, dia juga dapat memulakan perbualan tentang Bible dengan sesiapa sahaja tidak kira apa pun agama mereka. Sikapnya yang bersemangat telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap saya.

Najib Salem (baris belakang, kanan) telah meninggalkan kesan mendalam terhadap saya

 Satu hari, semasa di tempat kerja, kami dikunjungi oleh Mary Shaayah, seorang saudari Lubnan dari Amerika Syarikat. Walaupun dia sangat sibuk sebagai seorang ibu, dia merupakan perintis yang bersemangat. Kunjungan itu telah membawa perubahan yang besar dalam hidup saya. Mary meluangkan kira-kira dua jam untuk mengongsi pengalaman menginjilnya dengan kami. Sebelum beredar, dia pandang saya dan kata, “Milto, kamu kan bujang. Kenapa kamu tidak merintis?” Saya kata bahawa saya tidak dapat merintis sebab saya perlu kerja untuk sara hidup. Kemudian dia tanya saya, “Berapa lama saya bersama dengan kamu pagi ini?” Saya jawab, “Kira-kira dua jam.” Mary kata, “Saya tidak nampak pun kamu buat banyak kerja. Sebenarnya jika kamu meluangkan lebih kurang masa yang sama untuk menginjil setiap hari, kamu boleh merintis. Cubalah untuk setahun, kemudian kamu boleh putuskan sama ada mahu teruskan atau tidak.”

 Walaupun lelaki dalam budaya saya biasanya tidak menerima nasihat daripada wanita, saya rasa cadangannya masuk akal. Jadi dua bulan kemudian, iaitu pada Januari 1952, saya mula merintis. Kira-kira 18 bulan kemudian, saya menerima jemputan untuk menghadiri Sekolah Gilead kelas yang ke-22.

Keluarga dan kawan-kawan mengucapkan selamat tinggal apabila saya akan pergi ke Sekolah Gilead pada tahun 1953

 Selepas tamat sekolah Gilead, saya ditugaskan ke Timur Tengah. Kurang daripada setahun kemudian, saya berkahwin dengan Doris Wood, seorang mubaligh yang periang dari England dan yang berkhidmat di Timur Tengah.

Mengongsi Kebenaran Bible di Syria

 Tidak lama selepas perkahwinan kami, saya dan Doris ditugaskan ke Aleppo, Syria. Oleh sebab kerja penyebaran kita dilarang di sana, kebanyakan orang yang belajar Bible dengan kami diperkenalkan oleh orang lain.

 Pada satu hari, kami mengunjungi seorang wanita yang berminat tentang Bible. Dengan takut, dia membuka pintu dan berkata, “Hati-hati! Polis baru datang. Mereka mahu tahu di mana kamu tinggal.” Nampaknya, polis rahsia tahu di mana kami mengadakan pembelajaran Bible. Jadi kami memberitahu para saudara yang menyelia kerja di Timur Tengah, dan mereka menasihati kami untuk meninggalkan negara itu secepat yang mungkin. Walaupun kami rasa sedih untuk meninggalkan pelajar Bible kami, kami dapat rasakan perlindungan Yehuwa.

Merasai Bimbingan Yehuwa di Iraq

 Pada tahun 1955, kami ditugaskan ke Baghdad, Iraq. Walaupun kami boleh menginjil dengan berhati-hati kepada semua orang di Iraq, kami berfokus untuk menginjil kepada orang yang beragama Kristian.

Bersama rakan mubaligh lain di Iraq

 Kami juga cuba mengadakan perbualan dengan orang Islam di pasar atau di tepi jalan. Doris suka mengongsi hal-hal yang menarik minat pendengarnya. Contohnya, dia akan kata, “Bapa saya selalu kata bahawa kita semua perlu bertanggungjawab di hadapan Tuhan atas perbuatan kita.” (Roma 14:12) Kemudian dia kata, “Hal itu banyak mempengaruhi hidup saya. Apa pendapat kamu?”

 Kami sangat menikmati khidmat di Baghdad selama hampir tiga tahun dan membantu saudara-saudara tempatan mengaturkan kerja penyebaran dengan berhati-hati. Kami guna rumah mubaligh kami untuk mengadakan perjumpaan dalam bahasa Arab. Betapa bersukacitanya kami dapat membantu orang yang berhati jujur daripada komuniti Assyria, kumpulan etnik yang terdiri daripada orang yang beragama Kristian. Apabila mereka nampak sendiri kasih dan perpaduan yang wujud di perjumpaan kita, mereka sedar bahawa kita memang pengikut Yesus yang sejati.—Yohanes 13:35.

Kami mengadakan perjumpaan di rumah mubaligh kami di Baghdad

 Antara orang yang paling awal menerima kebenaran ialah Nicolas Aziz, seorang lelaki yang lemah lembut dan rendah hati daripada latar belakang Armenia dan Assyria. Setelah Nicolas dan isterinya, Helen, belajar bahawa Yehuwa dan Yesus ialah dua peribadi yang berbeza, mereka segera menerima kebenaran itu. (1 Korintus 8:5, 6) Saya masih ingat saatnya Nicolas dan 20 orang dibaptis di Sungai Efrat.

Merasai Bantuan Yehuwa di Iran

1958, di Iran

 Tidak lama selepas pemberontakan di Iraq yang menyebabkan kematian Raja Faisal II pada 14 Julai 1958, kami terpaksa berpindah ke Iran. Di sana, kami menjalankan kerja menginjil dalam kalangan orang asing dengan berhati-hati selama kira-kira enam bulan.

 Sebelum meninggalkan Tehran, ibu kota Iran, saya telah dibawa ke balai polis untuk disoal siasat. Ini buat saya sedar bahawa kami sedang diperhatikan oleh polis. Selepas disoal siasat, saya menghubungi Doris dan memberitahunya bahawa polis sedang memperhatikan kami. Demi keselamatan kami, kami setuju bahawa saya tidak boleh pulang ke rumah dan kami perlu berjauhan untuk sementara waktu sehinggalah kami meninggalkan negara itu.

 Doris dapat tinggal di sebuah tempat yang selamat sehinggalah kami dapat berjumpa di lapangan terbang. Tapi bagaimana dia dapat pergi ke sana tanpa dikesan? Doris berdoa kepada Yehuwa.

 Tiba-tiba, hujan lebat turun dan menyebabkan semua orang mencari tempat perlindungan, termasuk pegawai polis. Jalan menjadi kosong, jadi Doris dapat bergerak dengan bebas. Doris kata, “Banjir itu benar-benar suatu mukjizat!”

 Selepas meninggalkan Iran, kami ditugaskan ke kawasan lain, dan dapat menginjil kepada orang daripada pelbagai latar belakang agama dan etnik. Pada tahun 1961, kami melakukan kerja litar dan mengunjungi rakan seiman di banyak tempat di Timur Tengah.

Menyaksikan Kesan Kuasa Suci Yehuwa

 Saya ada banyak peluang untuk melihat kesan kuasa suci Tuhan yang menyatukan orang dalam kerja penyebaran kami di Timur Tengah. Saya masih ingat perbualan saya dengan dua orang pelajar Bible saya yang merupakan orang Palestin, iaitu Eddy dan Nicolas. Mereka suka menghadiri perjumpaan kita, tapi mereka berhenti belajar Bible kerana mempunyai pandangan politik yang kuat. Saya berdoa agar Yehuwa membantu mereka menerima kebenaran. Apabila mereka sedar bahawa Tuhan bukan hanya akan menyelesaikan masalah orang Palestin, tapi masalah semua manusia, mereka menyambung pembelajaran Bible mereka. (Yesaya 2:4) Mereka menyingkirkan perasaan bangga terhadap negara sendiri lalu dibaptis. Nicolas kemudiannya telah menjadi penyelia litar yang bersemangat.

 Semasa saya dan Doris melawat dari satu negara ke negara lain, kami sangat kagum melihat kesetiaan saudara saudari dalam apa jua situasi. Oleh sebab mereka perlu menghadapi banyak cabaran, saya bertekad untuk melegakan mereka semasa saya mengunjungi sidang mereka. (Roma 1:11, 12) Saya selalu ingatkan diri bahawa saya bukannya lebih baik daripada saudara saudari saya. (1 Korintus 9:22) Dengan memberikan galakan kepada rakan seiman yang perlukan sokongan, saya telah mendapat kepuasan yang besar.

 Kami sangat bersukacita melihat banyak pelajar Bible kami telah menjadi hamba Yehuwa yang setia. Oleh sebab ada konflik bersenjata yang berlaku di negara mereka, ada antara mereka yang telah berpindah ke luar negara bersama keluarga mereka. Hal itu telah menjadi berkat bagi mereka yang berkhidmat di kawasan penyebaran bahasa Arab di Amerika Syarikat, Australia, Eropah, dan Kanada. Beberapa tahun kebelakangan ini, sesetengah anak mereka yang sudah dewasa telah kembali ke Timur Tengah untuk berkhidmat di kawasan yang memerlukan bantuan. Saya dan Doris sangat bersukacita kerana dikelilingi oleh saudara saudari yang bagaikan anak dan cucu kami!

Bergantung pada Yehuwa buat Selama-Lamanya

 Sepanjang hidup kami, kami telah merasakan bimbingan dan jagaan Yehuwa dalam banyak cara. Saya bersyukur kerana Dia telah membantu saya menyingkirkan prasangka dan perasaan bangga akan negara. Latihan yang saya terima daripada rakan seiman yang tidak berat sebelah dan berani telah mempersiapkan saya untuk mengongsi kebenaran kepada orang daripada pelbagai latar belakang. Semasa kami mengunjungi dari negara ke negara, saya dan Doris menghadapi banyak cabaran dan ketidakpastian. Tapi ini telah mengajar kami untuk bergantung sepenuhnya pada Yehuwa, bukannya diri sendiri.—Mazmur 16:8.

 Semasa saya mengenang khidmat saya kepada Yehuwa selama bertahun-tahun, saya sedar bahawa saya telah banyak berhutang budi kepada Bapa Yehuwa. Saya setuju dengan kata-kata Doris bahawa kami tidak patut membiarkan apa pun, termasuk ugutan maut, menghalang kami daripada menunjukkan kasih yang mendalam kepada Yehuwa sahaja! Kami akan sentiasa bersyukur kepada Yehuwa kerana memberi kami peluang untuk mengongsi mesej yang membawa kedamaian kepada orang di Timur Tengah. (Mazmur 46:8, 9) Kami memandang ke masa depan dengan penuh yakin kerana kami tahu Yehuwa akan terus membimbing dan melindungi orang yang bergantung pada-Nya.—Yesaya 26:3.