Adakah Kebenaran Masih Penting?
Adakah anda setuju bahawa garis yang memisahkan kebenaran dan kepalsuan kini semakin kabur? Hari ini, ramai orang lebih sudi mempercayai sesuatu berdasarkan perasaan dan pandangan sendiri, dan bukannya berasaskan fakta dan kebenaran. Konsep ini dipanggil “post-truth,” atau pascakebenaran. a Istilah ini menggambarkan budaya baharu yang kini semakin popular. Inilah pandangan yang membentuk dunia hari ini di mana ramai orang percaya bahawa kebenaran mutlak tidak wujud.
Sebenarnya, hal ini bukannya sesuatu yang baharu. Kira-kira 2,000 tahun dahulu, seorang gabenor Roma yang bernama Pontius Pilatus menanya Yesus dengan nada sinis, “Apakah itu kebenaran?” (Yohanes 18:38) Meskipun Pilatus tidak berminat mengetahui jawapannya, soalan yang diajukannya itu memang penting. Bible mengandungi jawapan kepada soalan itu, dan maklumatnya dapat membantu anda membezakan apa yang benar daripada yang palsu.
Adakah kebenaran mutlak wujud?
Ya. Bible menggunakan perkataan “kebenaran” untuk merujuk kepada hal-hal yang berdasarkan fakta dan perkara yang betul dari segi moral. Bible mengajar bahawa Tuhan Yehuwa b ialah “sumber kebenaran” yang mutlak. (Mazmur 31:5) Kebenaran dalam Bible datang daripada Tuhan, dan diumpamakan seperti cahaya yang dapat membimbing jalan hidup kita dalam dunia yang penuh kekeliruan ini.—Mazmur 43:3; Yohanes 17:17.
Bagaimanakah anda dapat mengetahui kebenaran?
Tuhan tidak mahu kita menerima apa sahaja yang dikatakan dalam Bible secara membabi buta. Sebaliknya, Dia menggalakkan kita untuk menggunakan daya pemikiran kita dan bukan hanya bergantung pada perasaan kita. (Roma 12:1) Tuhan ingin kita mengenali-Nya dan mengasihi-Nya dengan “segenap akal” kita. Maka, Dia menasihati kita untuk membuktikan kepada diri bahawa apa yang diajarkan dalam Bible adalah kebenaran.—Matius 22:37, 38; Kisah 17:11.
Bagaimanakah dusta bermula?
Bible kata bahawa musuh Tuhan, iaitu Syaitan Si Iblis, telah mengungkapkan dusta pertama. Oleh itu, Bible mengatakan bahawa Syaitanlah “bapa segala dusta.” (Yohanes 8:44) Semasa bercakap dengan pasangan manusia yang pertama, dia telah mengucapkan dusta tentang Tuhan. (Kejadian 3:1-6, 13, 17-19; 5:5) Sejak itu, Syaitan terus menyebarkan banyak dusta dan cuba menyembunyikan kebenaran tentang Tuhan.—Wahyu 12:9.
Mengapakah ramai orang suka berbohong hari ini?
Mengenai zaman kita, Bible memanggilnya sebagai “hari-hari terakhir.” Inilah masanya pengaruh Syaitan paling kuat dalam sejarah manusia. Orang sering bercakap bohong untuk memperdaya atau mengambil kesempatan terhadap orang lain. (2 Timotius 3:1, 13) Bahkan organisasi agama pun sarat dengan penipuan. Bible kata bahawa orang pada zaman ini akan “mengumpulkan guru-guru yang akan menggeletek telinga mereka” dan “tidak lagi mahu mendengar kebenaran.”—2 Timotius 4:3, 4.
Mengapakah kebenaran sangat penting?
Kita hanya dapat mempercayai satu sama lain apabila kita saling bercakap benar. Seandainya manusia tidak saling mempercayai, hubungan sesama kawan dan anggota masyarakat akan menjadi semakin renggang. Bible juga kata bahawa ibadat kepada Tuhan haruslah berasaskan kebenaran. Bible menyatakan, “Semua penyembah [Tuhan] mesti menyembah-Nya dengan bimbingan kuasa suci-Nya dan kebenaran.” (Yohanes 4:24) Kebenaran dalam Bible dapat membantu anda mengenal pasti ajaran palsu sesetengah agama serta membebaskan diri daripada kepercayaan yang salah. Untuk tahu lebih lanjut tentang topik ini, bacalah siri rencana yang bertajuk “Dusta yang Menghalang Kita Mengasihi Tuhan.”
Mengapakah Tuhan mahu saya mengetahui tentang kebenaran?
Tuhan mahu anda diselamatkan. Untuk memperoleh penyelamatan, anda perlu mengetahui kebenaran tentang-Nya. (1 Timotius 2:4) Dengan mempelajari apa yang betul dan salah di mata Tuhan serta hidup menurut standard itu, anda dapat menjadi sahabat Tuhan. (Mazmur 15:1, 2) Selain itu, Tuhan telah mengutus Yesus ke bumi untuk menyebarkan kebenaran, dan Dia mahu kita mengikut ajaran Yesus.—Matius 17:5; Yohanes 18:37.
Adakah Tuhan akan melenyapkan segala dusta?
Ya. Tuhan membenci perbuatan menipu. Dia telah berjanji untuk menghapuskan mereka yang suka memperdaya orang lain atau berbohong agar dapat mengambil kesempatan terhadap seseorang. (Mazmur 5:6) Apabila semua penipu dilenyapkan, janji Tuhan ini akan ditunaikan: “Kata-kata yang benar kekal selama-lamanya.”—Amsal 12:19.
a Kamus Oxford mengisytiharkan bahawa perkataan “post-truth” ialah istilah bagi tahun 2016.
b Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan. (Mazmur 83:18) Lihat rencana “Siapakah Yehuwa?”