TERUSLAH BERJAGA-JAGA!
Adakah Kos Sebenar Perang Sekadar Bertrilion Dolar?
Perbelanjaan ketenteraan dan peperangan adalah sangat tinggi.
“Perbelanjaan ketenteraan dunia mencapai rekod tertinggi sebanyak $2.2 trilion disebabkan oleh beberapa peperangan.”—The Washington Post, 13 Februari 2024.
Kos sebenar peperangan bukan sahaja melibatkan wang, tetapi melibatkan banyak lagi pengorbanan. Perhatikan contoh kesan-kesan lain daripada perang di Ukraine.
Tentera. Menurut anggaran, hampir 500,000 orang tentera terkorban atau cedera sejak perang ini bermula dua tahun yang lalu.
Orang Awam. Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih daripada 28,000 orang awam terkorban atau cedera. Namun, seorang pegawai PBB kata, “Mustahil untuk anggarkan berapa banyak kehidupan orang yang hancur akibat perang ini dan betapa teruk kesannya.” a
Ramai orang menderita akibat konflik dan peperangan yang berlaku di serata dunia.
114 juta. Jumlah orang yang terpaksa melarikan diri akibat keganasan dan peperangan di seluruh dunia setakat September 2023.
783 juta. Jumlah orang yang menghadapi masalah kebuluran yang teruk. “Konflik masih penyebab utama masalah kebuluran. Sebanyak 70 peratus daripada jumlah orang yang kelaparan di dunia tinggal di tempat yang mengalami peperangan dan keganasan yang berleluasa.”—Program Makanan Sedunia.
Adakah peperangan akan berakhir? Adakah kedamaian sejati dapat diperoleh? Dapatkah kita mengharapkan sumber bumi digunakan untuk membasmi kemiskinan dan kebuluran? Apakah yang Bible katakan?
Zaman yang ada banyak peperangan
Bible kata bahawa peperangan akan berlaku di seluruh dunia pada zaman ini dan dilambangkan oleh seorang penunggang kuda merah.
“Kemudian aku nampak seekor kuda yang lain datang. Kuda itu berwarna merah menyala, dan penunggang kuda itu diizinkan untuk mengambil kedamaian dari bumi sehingga manusia saling membunuh dengan kejam. Dia diberi sebilah pedang yang besar.”—Wahyu 6:4.
Selain itu, penunggang kuda merah tersebut diikuti oleh dua lagi yang melambangkan kebuluran dan kematian akibat penyakit atau punca lain. (Wahyu 6:5-8) Untuk tahu bagaimana nubuat Bible ini sedang menjadi kenyataan, bacalah rencana “Empat Penunggang Kuda—Siapakah Mereka?”
Masa depan yang damai dan makmur
Pada masa depan, sumber bumi tidak lagi akan digunakan untuk peperangan. Hal ini akan terjadi bukannya dengan hasil usaha manusia. Sebaliknya, Bible kata:
Tuhan akan “menghentikan peperangan di seluruh dunia.”—Mazmur 46:9.
Tuhan akan melenyapkan semua kesan buruk akibat perang. “Dia akan menyapu semua air mata mereka, dan kematian tidak akan ada lagi. Ratapan, tangisan, dan kesakitan pun tidak akan ada lagi. Perkara-perkara yang lama sudah lenyap.”—Wahyu 21:4.
Tuhan akan membawa kedamaian yang berkekalan ke seluruh bumi. Bible kata bahawa umat Tuhan “akan tinggal di tempat yang selamat; tempat kediaman mereka akan aman sentosa.”—Yesaya 32:18.
Menurut nubuat Bible, perang dan peristiwa lain yang berlaku hari ini menandakan bahawa bumi akan menikmati kedamaian tidak lama lagi.
Bagaimanakah Tuhan akan membawa kedamaian sejati? Dia akan melakukannya menerusi Kerajaan-Nya di syurga yang akan memerintah seluruh bumi. (Matius 6:10) Untuk tahu lebih lanjut tentang kerajaan ini dan apa yang akan dilakukannya bagi anda, sila lihat video Apa Itu Kerajaan Tuhan?
a Miroslav Jenca, penolong setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Eropah, 6 Disember 2023.