Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Anemia​—Penyebab, Simptom, dan Rawatan

Anemia​—Penyebab, Simptom, dan Rawatan

 Beth mengimbas kembali sewaktu dia menghidapi anemia semasa umur belasan tahun. Dia berkata, “Saya selalu rasa lesu, sakit tulang, dan susah untuk menumpukan perhatian. Saya rasa lebih baik setelah mengambil suplemen zat besi yang diberikan oleh doktor. Saya juga memperbaiki tabiat pemakanan saya.”

 Masalah kesihatan yang dihidapi oleh Beth bukan sesuatu yang jarang berlaku. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dua bilion orang, iaitu kira-kira 30 peratus daripada jumlah penduduk sedunia, menghidapi penyakit anemia. Dalam negara membangun, dianggarkan bahawa 50 peratus wanita yang hamil dan 40 peratus kanak-kanak prasekolah menghidapi penyakit anemia.

 Anemia boleh membawa akibat yang serius. Keadaan anemia yang teruk boleh membawa masalah penyakit jantung, termasuk kegagalan jantung. WHO berkata bahawa di sesetengah negara, anemia “ialah punca kepada 20% daripada semua kes kematian ibu.” Ibu yang menghidapi anemia akibat kekurangan zat besi, iaitu penyebab anemia yang paling umum, mungkin akan menghadapi kelahiran bayi pramatang dan berat badan bayi tersebut mungkin terlalu ringan. Kanak-kanak yang menghidapi penyakit anemia mungkin mengalami kadar tumbesaran yang lambat dan risiko jangkitan yang lebih tinggi. Namun, anemia yang disebabkan oleh kekurangan zat besi biasanya dapat dicegah atau diubati. a

Apakah Itu Anemia?

 Anemia merupakan masalah kesihatan akibat kekurangan sel darah merah yang sihat. Ada pelbagai sebab mengapa hal ini terjadi. Sebenarnya, ahli sains telah mengenal pasti lebih daripada 400 jenis anemia! Anemia boleh bersifat sementara atau kronik. Ada juga anemia yang ringan atau teruk.

Apakah Penyebab Anemia?

 Ada tiga penyebab utama anemia:

  •   Kehilangan darah menyebabkan bilangan sel darah merah dalam tubuh berkurangan.

  •   Tubuh tidak dapat menghasilkan sel darah merah yang sihat dengan secukupnya.

  •   Tubuh memusnahkan sel darah merah.

 Anemia akibat kekurangan zat besi merupakan jenis anemia yang paling umum di dunia. Apabila tubuh kekurangan zat besi, hemoglobin tidak dapat dihasilkan dengan secukupnya. Hemoglobin merupakan komponen dalam sel darah merah yang membantu pengangkutan oksigen.

Apakah Simptom Anemia Akibat Kekurangan Zat Besi?

 Mula-mula, anemia mungkin menunjukkan simptom yang agak ringan sehingga tidak disedari. Walaupun terdapat simptom yang berbeza-beza, berikut merupakan beberapa simptom kepada anemia akibat kekurangan zat besi:

  •   Keletihan yang melampau

  •   Tangan atau kaki yang sejuk

  •   Kelemahan tubuh

  •   Kulit yang pucat

  •   Pening dan sakit kepala

  •   Sakit dada, degupan jantung yang laju, sesak nafas

  •   Kuku rapuh

  •   Kurang selera makan, terutamanya bagi bayi dan kanak-kanak

  •   Keinginan yang kuat untuk makan ais, kanji, atau tanah

Siapakah yang Menghadapi Risiko yang Lebih Tinggi?

 Kaum wanita lebih cenderung kepada anemia akibat kekurangan zat besi kerana mereka kehilangan darah semasa kitaran haid. Wanita yang hamil juga berisiko jika makanan mereka tidak mengandungi folat, atau asid folik (sejenis vitamin B) yang mencukupi.

 Bayi yang dilahirkan secara pramatang atau dengan berat badan yang ringan, dan tidak menerima zat besi yang mencukupi daripada susu ibu atau susu formula.

 Kanak-kanak yang tidak mengambil beraneka jenis makanan yang sihat.

 Vegetarian yang kurang makan makanan yang mengandungi zat besi.

 Orang yang sakit kronik, contohnya mereka yang menghidapi penyakit darah, kanser, kerosakan buah pinggang, ulser yang berdarah, atau jangkitan penyakit yang tertentu.

Cara Mengubati Anemia

 Sesetengah anemia tidak dapat dicegah atau diubati. Namun, anemia akibat kekurangan zat besi atau vitamin biasanya dapat diperbaiki dengan makanan yang mengandungi nutrien berikut:

 Besi. Zat ini didapati dalam daging, kacang, lentil, dan sayuran berdaun hijau gelap. b Menurut kajian, penggunaan alat masak yang diperbuat daripada besi juga dapat meningkatkan kandungan zat besi dalam makanan.

 Folat. Zat ini boleh didapati dalam buah-buahan, sayuran berdaun hijau gelap, kacang pea, kacang buah pinggang, keju, telur, ikan, badam, dan kacang tanah. Zat ini juga didapati dalam bahan biji-bijian yang diperkaya dengan vitamin, seperti roti, bijirin, pasta, dan beras. Folat yang diperbuat oleh manusia dipanggil asid folik.

 Vitamin B-12. Zat ini didapati dalam daging, produk tenusu, bijirin yang diperkaya, dan produk soya.

 Vitamin C. Zat ini didapati dalam buah-buahan dan jus sitrus, lada benggala, brokoli, tomato, tembikai, dan strawberi. Makanan yang mengandungi vitamin C membantu tubuh anda untuk menyerap zat besi.

 Setiap kawasan mempunyai makanan yang berbeza-beza, jadi ketahuilah apakah makanan tempatan yang mengandungi nutrien yang anda perlukan. Hal ini penting bagi para wanita, terutamanya jika anda sedang hamil atau merancang untuk hamil. Dengan menjaga kesihatan anda, risiko bayi anda untuk menghidapi penyakit anemia dapat dikurangkan. c

a Maklumat mengenai makanan dan hal-hal yang berkaitan dalam rencana ini berasal daripada Mayo Clinic dan The Gale Encyclopedia of Nursing and Allied Health. Dapatkan nasihat doktor atau pakar perubatan jika anda fikir bahawa anda mungkin menghidapi anemia.

b Jangan makan suplemen zat besi atau memberikannya kepada anak anda tanpa nasihat doktor. Pengambilan zat besi yang keterlaluan boleh mengakibatkan kerosakan hati dan masalah lain.

c Ada kalanya doktor mungkin mencadangkan transfusi darah untuk merawat anemia. Saksi-Saksi Yehuwa tidak menerima jenis rawatan ini.—Kisah 15:28, 29.