Bersikap Toleransi—Bagaimana Bible Dapat Membantu
“Kedamaian hanya dapat wujud apabila orang bersikap toleransi.”—Pengisytiharan Prinsip-Prinsip Toleransi UNESCO, 1995.
Sikap tidak bertoleransi pula dapat melahirkan perasaan benci atau tidak hormat. Perasaan sebegini mungkin menyebabkan seseorang meluahkan kata-kata hinaan, menunjukkan diskriminasi, atau bertindak ganas.
Ramai orang mempunyai pandangan yang berbeza tentang maksud toleransi. Ada yang fikir bahawa sikap toleransi bermaksud menerima semua kelakuan dan perbuatan orang lain. Sesetengah orang pula mempunyai pandangan yang sama dengan Bible. Bagi mereka, sikap toleransi bermaksud sudi menghormati hak orang lain untuk memilih pegangan hidup dan agama masing-masing, walaupun mereka tidak setuju dengan sesetengah pilihan itu.
Dapatkah Bible bantu orang memupuk sikap toleransi pada hari ini?
Pandangan Bible tentang sikap toleransi
Bible menggalakkan kita untuk menunjukkan sikap toleransi. Firman Tuhan kata, “Hendaklah sikap munasabah kamu diketahui semua orang.” (Filipi 4:5) Bible menasihati kita untuk melayan orang lain dengan baik hati, bertimbang rasa, dan adil. Seseorang yang menerapkan nasihat ini akan menghormati pilihan orang lain biarpun mereka tidak menyetujuinya.
Pada masa yang sama, Bible juga beritahu kita standard dan cara hidup yang Tuhan inginkan bagi manusia. Bible kata, “Hai manusia, Tuhan telah memberitahu engkau apa yang baik.” (Mikha 6:8) Dengan mengikut bimbingan Tuhan, seseorang dapat menempuh cara hidup yang terbaik dan menikmati kebahagiaan.—Yesaya 48:17, 18.
Sebenarnya, Tuhan tidak memberi kita hak untuk menghakimi orang lain. Menurut Bible, ‘hanya ada satu Pemberi Hukum dan Hakim. Jadi, siapakah kamu sehingga kamu mahu menghakimi orang lain?’ (Yakobus 4:12) Tuhan memberi kita kebebasan untuk membuat pilihan sendiri, dan kita harus bertanggungjawab atas keputusan yang kita buat.—Ulangan 30:19.
Apa yang Bible katakan tentang menunjukkan hormat
Bible kata, “Hormatilah semua orang.” (1 Petrus 2:17, Alkitab Berita Baik) Seseorang yang mengikut standard Bible akan melayan semua orang dengan hormat, tanpa mengira kepercayaan atau gaya hidup mereka. (Lukas 6:31) Hal ini tidak bermaksud bahawa dia akan menyetujui atau menyokong setiap pendapat dan keputusan orang. Walaupun dia mempunyai pandangan yang berbeza, dia tidak akan memandang hina atau bertindak kasar terhadap orang lain. Sebaliknya, dia akan meniru cara Yesus melayan orang.
Contohnya pada zaman Yesus, terdapat seorang wanita yang mengamalkan agama yang salah. Wanita itu juga tinggal bersama dengan seorang lelaki yang bukan suaminya. Yesus tidak setuju dengan pilihan agama dan gaya hidup wanita itu. Namun, dia masih bercakap kepada wanita itu dengan hormat dan sopan.—Yohanes 4:9, 17-24.
Seperti Yesus, orang Kristian selalu bersedia untuk menjelaskan kepercayaan mereka kepada orang yang berminat untuk mengetahuinya. Tetapi mereka melakukannya dengan “hormat yang mendalam.” (1 Petrus 3:15) Menurut Bible, seorang Kristian juga tidak patut berkeras dengan pandangannya dan memaksa orang lain menerimanya. Bible kata bahawa pengikut Kristus “tidak perlu bertengkar. Sebaliknya dia perlu bersikap baik hati terhadap semua orang,” termasuk mereka yang mempunyai kepercayaan yang berlainan.—2 Timotius 2:24.
Apa yang Bible katakan tentang perasaan benci
Bible berkata, “Berusahalah untuk berdamai dengan semua orang.” (Ibrani 12:14) Orang yang mencintai kedamaian akan menyingkirkan kebencian. Dia akan melakukan apa yang terdaya untuk menyumbang kepada suasana yang damai, tanpa mengabaikan pegangan hidupnya. (Matius 5:9) Selain itu, Bible menasihati orang Kristian untuk mengasihi musuh mereka. Mereka harus bersikap baik hati kepada orang yang memperlakukan mereka dengan buruk.—Matius 5:44.
Dalam Bible, perkataan “benci” digunakan untuk menggambarkan perasaan Tuhan terhadap perbuatan yang jahat dan yang memudaratkan orang lain. (Amsal 6:16-19) Tetapi perasaan benci ini tertuju kepada perbuatan buruk, dan bukannya orang tersebut. Jika orang yang berbuat jahat sudi berubah dan hidup mengikut standard Tuhan, Tuhan akan mengampuninya dan membantunya dengan tangan terbuka.—Yesaya 55:7.
Ayat-ayat Bible mengenai sikap toleransi dan menunjukkan hormat
Titus 3:2: “Mereka harus munasabah dan sentiasa lemah lembut kepada semua orang.”
Seorang yang bersikap munasabah tidak bersikap kasar apabila orang lain meluahkan pendapat yang berbeza. Sebaliknya, dia akan bersikap lemah lembut dan menunjukkan hormat.
Matius 7:12: “Semua hal yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, kamu juga mesti melakukannya untuk mereka.”
Kita akan rasa gembira apabila orang lain menghormati kita dan bertimbang rasa terhadap perasaan kita. Untuk belajar lebih banyak tentang ajaran Yesus mengenai hal ini, bacalah rencana, “Apakah yang Dikatakan Yesus tentang Cara Melayan Orang?”
Yosua 24:15: “Pilihlah sekarang siapa yang akan kamu sembah.”
Dengan menghormati hak setiap orang untuk membuat pilihan masing-masing, kita menyumbang kepada kedamaian sejagat.
Kisah 10:34: “Tuhan tidak berat sebelah.”
Tuhan tidak pilih kasih. Dia tidak berprasangka terhadap sesiapa atau lebih menyukai sesetengah jantina, bangsa, budaya, atau orang daripada latar belakang tertentu. Mereka yang ingin meniru sifat Tuhan haruslah menunjukkan hormat kepada semua orang.
Habakuk 1:12, 13: “[Tuhan] tidak tahan melihat kejahatan.”
Kesabaran Tuhan ada batasnya. Dia tidak akan membiarkan kejahatan berleluasa selama-lamanya. Untuk tahu lebih lanjut, tontonlah video Mengapakah Tuhan Membenarkan Penderitaan?
Roma 12:19: “Biarlah Tuhan memperlihatkan kemurkaan-Nya terhadap kejahatan yang dilakukan, kerana ada tertulis, ‘Yehuwa berfirman, “Akulah yang akan menuntut pembalasan, dan Akulah yang akan membalas kejahatan.”’” a
Tuhan Yehuwa tidak memperkenankan orang yang bertindak untuk membalas dendam. Sebaliknya, Dialah yang akan bertindak untuk menegakkan keadilan pada masa yang ditentukan-Nya. Untuk tahu lebih lanjut, bacalah rencana, “Adakah Seruan untuk Meminta Keadilan Akan Dijawab?”
a Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan. (Mazmur 83:18) Lihat rencana, “Siapakah Yehuwa?”