Bible Dapat Membantu Anda semasa Hilang Kerja
Apabila anda hilang kerja, ini bukan hanya menjejaskan keadaan kewangan anda tetapi juga mempengaruhi anda secara emosi dan mental. Apakah nasihat Bible yang dapat membantu anda mengatasi situasi ini?
Beritahulah orang lain tentang perasaan anda.
Nasihat Bible: “Sahabat sejati sentiasa menunjukkan kasih.”—Amsal 17:17.
Anda mungkin berasa sedih, marah, tidak berguna, atau tidak tentu arah apabila anda hilang kerja. Luahkanlah perasaan anda kepada ahli keluarga dan sahabat anda. Mereka dapat legakan anda dan berikan anda nasihat yang berguna untuk mencari pekerjaan lain.
Jangan terlalu risau.
Nasihat Bible: “Janganlah khuatir tentang hari esok, kerana hari esok mempunyai kekhuatirannya sendiri.”—Matius 6:34.
Bible menggalakkan kita untuk merancang bagi masa depan. (Amsal 21:5) Namun, Bible juga menasihati kita untuk tidak terlalu khuatir tentang masa depan kerana apa yang kita risaukan mungkin tidak akan berlaku. Adalah lebih baik untuk bertumpu kepada apa yang dapat dilakukan hari ini.
Bible ada nasihat yang dapat bantu anda menghadapi stres. Untuk tahu lebih lanjut, bacalah rencana “Apa yang Dapat Dilakukan sewaktu Anda Stres.”
Ubahlah bajet anda.
Nasihat Bible: “Aku tahu bagaimana hidup serba kekurangan dan bagaimana hidup dalam kelimpahan.”—Filipi 4:12.
Buatlah perubahan dalam bajet anda. Berbelanjalah mengikut situasi kewangan anda sekarang. Jika dapat, elakkanlah daripada berhutang.—Amsal 22:7.
Untuk cadangan lain tentang hal ini, sila baca rencana “Bagaimanakah Saya Dapat Hidup dengan Pendapatan yang Kurang Berbanding Dahulu?”
Guna masa anda dengan bijak.
Nasihat Bible: “Teruslah hidup dengan bijaksana . . . , dan gunakanlah masa kamu dengan sebaik-baiknya.”—Kolose 4:5.
Walaupun jadual seharian anda sudah berubah, cubalah untuk kekalkan rutin yang baik. Gunakanlah masa anda untuk hal-hal yang bermanfaat. Dengan itu, anda akan rasa hidup anda lebih stabil dan bermakna.
Sudi buat penyesuaian.
Nasihat Bible: “Setiap kerja keras membawa kebaikan.”—Amsal 14:23.
Walaupun anda belum pernah buat kerja itu, janganlah terus menolaknya. Anda masih boleh mencubanya biarpun kerja itu bergaji rendah atau tidak berpangkat tinggi.
Jangan putus asa.
Nasihat Bible: “Taburkanlah benih pada waktu pagi dan janganlah berehat sehingga waktu petang kerana kamu tidak tahu benih mana yang akan bertumbuh.”—Pengkhutbah 11:6.
Beritahulah saudara-mara, kawan, bekas rakan sekerja, dan jiran anda bahawa anda sedang mencari kerja. Anda juga boleh cari kerja melalui agensi pekerjaan, iklan jawatan kosong, atau laman web syarikat. Hantarlah sebanyak resume yang mungkin dan bersedialah untuk menghadiri temu duga pekerjaan. Ingatlah, semua ini memerlukan usaha yang berterusan.