Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Apakah yang Bible Katakan tentang Krisis Air Global?

Apakah yang Bible Katakan tentang Krisis Air Global?

 Kita semua perlukan air yang bersih untuk hidup. Tapi, “permintaan air di seluruh dunia semakin meningkat dan mencetus krisis air global,” kata António Guterres, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kini, berbilion-bilion orang di seluas dunia menghadapi masalah kekurangan air minum yang bersih.

Strdel/AFP via Getty Images

 Adakah semua orang akan mendapat bekalan air yang mencukupi, atau adakah kita akan terus menghadapi masalah kekurangan air? Apakah yang Bible katakan?

Apakah janji Bible tentang masalah kekurangan air?

 Bible kata bahawa masalah kekurangan air akan diselesaikan suatu hari nanti. Pada masa itu, semua orang akan menikmati bekalan air yang bersih dan segar dengan berlimpah-limpah.

 “Air akan memancar di padang belantara, dan sungai-sungai akan mengalir di padang gurun. Tanah yang panas akan menjadi kolam air, dan tanah yang gersang akan menjadi mata air.”—Yesaya 35:6, 7.

 Mengapakah kita boleh mempercayai janji Bible ini? Perhatikan apa yang Bible katakan tentang cara Tuhan menciptakan bumi kita.

Apakah yang Bible katakan tentang bumi dan kitaran air?

 “[Tuhan] menciptakan bumi bukannya tanpa tujuan, tetapi membentuknya untuk didiami.”—Yesaya 45:18.

 Oleh sebab Tuhan menciptakan bumi untuk menampung kehidupan, Dia telah menetapkan sistem semula jadi untuk menghasilkan air bersih yang mencukupi.

 “[Tuhan] menyebabkan air naik ke langit, lalu terbentuklah kabus dan titisan air yang akan mencurah dari awan, sebagai hujan yang turun ke atas semua manusia.”—Ayub 36:27, 28.

 Ayat Bible ini menjelaskan bagaimana Tuhan cipta kitaran air agar kita mempunyai bekalan air yang berterusan. Kitaran semula jadi ini sangat cekap dan efisien. Air yang tersejat dari laut dan tanah akan membentuk awan melalui proses kondensasi. Kemudian, air akan turun sebagai hujan. Hasilnya, semua hidupan di bumi akan mempunyai bekalan air yang bersih dan segar secara berterusan.—Pengkhutbah 1:7; Amos 5:8.

 “Aku akan menurunkan hujan pada waktunya supaya tanah dapat mengeluarkan hasilnya dan pokok-pokok di ladang akan berbuah.”—Imamat 26:4.

 Kebanyakan orang Israel pada zaman kuno merupakan petani. Tuhan berjanji untuk memberkati mereka dengan menurunkan hujan pada waktunya agar mereka mendapat hasil tanaman yang baik. Dia tahu bahawa tanaman memerlukan air yang mencukupi pada masa yang sesuai supaya dapat bertumbuh dengan baik dan menghasilkan makanan.

 Tidak lama lagi, Tuhan akan melakukan hal yang sama seperti yang dilakukan-Nya bagi orang Israel kuno. (Yesaya 30:23) Tetapi buat masa sekarang, masalah bekalan air bersih semakin meningkat, dan kekurangan hujan hanyalah salah satu penyebabnya. Apakah lagi yang Bible katakan tentang penyelesaian kepada krisis air global?

Bagaimanakah krisis air akan diselesaikan?

 Melalui Kerajaan Tuhan, Bible menjelaskan bahawa Tuhan akan menyelesaikan semua masalah di bumi, termasuk krisis air. (Matius 6:9, 10) Kerajaan Tuhan ialah sebuah kerajaan di syurga yang akan memerintah seluruh bumi. (Daniel 2:44; Wahyu 11:15) Kerajaan ini dapat melakukan apa yang kerajaan manusia tidak dapat buat, iaitu melenyapkan semua punca masalah bekalan air.

 Masalah: Perubahan cuaca telah mengganggu kitaran air semula jadi. Akibatnya, kejadian seperti kemarau, dan banjir yang disebabkan oleh hujan lebat atau peningkatan paras laut, semakin berleluasa.

 Penyelesaian: Kerajaan Tuhan akan memulihkan keseimbangan alam sekitar di bumi. Tuhan berjanji, “Lihatlah! Aku sedang menjadikan semuanya baharu.” (Wahyu 21:5) Tanah yang gersang akan mempunyai air yang berlimpah-limpah lalu menjadi subur untuk tanaman dan hidupan. (Yesaya 41:17-20) Di bawah pemerintahan Yesus, iaitu Raja Kerajaan Tuhan, dia akan mengawal unsur-unsur alam dan menyelesaikan semua masalah alam sekitar.

 Semasa Yesus di bumi, dia menenangkan ribut yang dahsyat. Ini membuktikan bahawa dia mempunyai kuasa daripada Tuhan untuk mengawal cuaca. (Markus 4:39, 41) Di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan, semua bencana alam akan dilenyapkan. Umat manusia akan menikmati kedamaian dan keselamatan yang sejati pada masa itu.

 Masalah: Manusia yang tamak dan mementingkan diri telah merosakkan alam sekitar. Pencemaran sungai, tasik, dan air bawah tanah telah menyebabkan masalah kekurangan bekalan air yang bersih.

 Penyelesaian: Tuhan akan memulihkan bumi dan menjadikannya sebuah firdaus yang indah dan subur. Sungai, tasik, laut, dan tanah yang dicemari akan dibersihkan dan alam sekitar akan terpelihara. Bible kata, “Padang belantara dan tanah yang gersang akan bersukacita. Padang gurun akan bergembira dan dipenuhi bunga-bunga.”—Yesaya 35:1.

 Apakah yang akan terjadi kepada mereka yang tidak peduli tentang orang lain dan alam sekitar? Tuhan telah berjanji bahawa Dia akan “membinasakan orang yang merosakkan bumi.”—Wahyu 11:18; Amsal 2:21, 22.

 Masalah: Pengurusan sumber alam yang tidak cekap dan pembaziran air telah menyumbang kepada masalah bekalan air.

 Penyelesaian: Kehendak Tuhan akan “terlaksana di bumi” melalui Kerajaan-Nya. (Matius 6:9, 10) Selain itu, Kerajaan Tuhan akan memberi manusia pendidikan yang terbaik. Yesaya 11:9 kata bahawa “pengetahuan tentang Yehuwa akan memenuhi bumi.” a Dengan memiliki kebijaksanaan Tuhan dan memupuk kasih yang mendalam terhadap Tuhan dan ciptaan-Nya, manusia dapat menjaga bumi dan alam sekitar dengan baik.

  •    Untuk belajar lebih lanjut tentang berkat Kerajaan Tuhan, bacalah rencana “Apakah yang Akan Dilakukan oleh Kerajaan Tuhan?

  •    Bacalah buku Yesaya bab 35 untuk belajar bagaimana bumi akan menjadi sebuah firdaus.

  •    Tontonlah video Mengapakah Tuhan Menciptakan Bumi? untuk belajar tentang tujuan Tuhan bagi bumi dan manusia.

a Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan. (Mazmur 83:18) Lihat rencana, “Siapakah Yehuwa?