Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Gempa Bumi yang Dahsyat—Apakah yang Dinubuatkan dalam Bible?

Gempa Bumi yang Dahsyat—Apakah yang Dinubuatkan dalam Bible?

 Setiap tahun, ribuan gempa bumi berlaku. Ada yang kecil, tapi ada juga yang menyebabkan kemusnahan yang besar, penderitaan, dan bahkan kematian. Kadangkala gempa bumi menyebabkan tsunami yang melanda kawasan pesisiran pantai dan meragut banyak nyawa. Adakah Bible bernubuat tentang gempa bumi yang dahsyat ini?

Dalam rencana ini

 Adakah Bible bernubuat tentang gempa bumi?

 Dalam nubuat Yesus, dia menyebut tentang gempa bumi. Kata-katanya tercatat dalam tiga buku Bible yang berikut:

 “Satu bangsa akan menyerang bangsa yang lain, dan satu kerajaan akan menyerang kerajaan yang lain. Kebuluran dan gempa bumi akan terjadi secara berturut-turut di merata tempat.”Matius 24:7.

 “Satu bangsa akan menyerang bangsa yang lain, dan satu kerajaan akan menyerang kerajaan yang lain. Gempa bumi akan terjadi secara berturut-turut di merata tempat, dan kebuluran juga akan berlaku.”—Markus 13:8.

 “Gempa bumi yang dahsyat akan berlaku. Selain itu, kebuluran dan wabak akan terjadi secara berturut-turut di merata tempat.”—Lukas 21:11.

 Yesus menubuatkan bahawa “gempa bumi yang dahsyat” akan berlaku “secara berturut-turut di merata tempat.” Pada masa yang sama, peperangan, kebuluran, dan wabak juga akan berlaku. Peristiwa-peristiwa ini menunjukkan bahawa manusia hidup pada zaman yang dipanggil “penghujung sistem,” atau “hari-hari terakhir.” (Matius 24:3; 2 Timotius 3:1) Menurut turutan peristiwa dalam Bible, “hari-hari terakhir” bermula pada tahun 1914 dan belum lagi berakhir.

 Adakah gempa bumi yang berlaku dewasa ini selaras dengan nubuat Bible?

 Ya. Nubuat Yesus, termasuk kata-katanya mengenai gempa bumi, memang selaras dengan peristiwa yang berlaku pada zaman kita. Sejak tahun 1914, terdapat lebih daripada 1,950 gempa bumi besar yang meragut nyawa lebih daripada dua juta orang. a Mari kita lihat beberapa contoh yang berlaku pada zaman kita.

 2004—Lautan Hindi. Gempa bumi berskala 9.1 telah menyebabkan tsunami yang melanda lebih daripada 10 negara dan mengakibatkan kematian sekitar 225,000 orang.

 2008—China. Gempa bumi berskala 7.9 telah memusnahkan banyak kampung dan pekan, meragut nyawa kira-kira 90,000 orang, mencederakan sekitar 375,000 orang, dan menyebabkan jutaan orang hilang tempat tinggal.

 2010—Haiti. Gempa bumi berskala 7.0 menyebabkan beberapa gempa susulan yang membunuh lebih daripada 300,000 orang dan menyebabkan lebih daripada satu juta orang hilang tempat tinggal.

 2011—Jepun. Gempa bumi berskala 9.0 dan tsunami meragut nyawa kira-kira 18,500 orang dan menyebabkan ratusan ribu orang terpaksa dipindahkan. Stesen jana kuasa Fukushima telah mengalami kerosakan teruk dan menyebabkan tragedi nuklear yang besar. Sepuluh tahun kemudian, sekitar 40,000 orang masih tidak dapat kembali ke rumah mereka yang terletak dekat loji jana kuasa itu kerana tahap pencemaran radioaktif masih terlalu tinggi.

 Apakah maksud nubuat Bible tentang gempa bumi bagi kita?

 Nubuat Bible tentang gempa bumi menunjukkan kepada kita apa yang akan berlaku tidak lama lagi. Yesus berkata, “Apabila kamu melihat perkara-perkara ini berlaku, ketahuilah bahawa Kerajaan Tuhan sudah dekat.”—Lukas 21:31.

 Bible menjelaskan bahawa Kerajaan Tuhan ialah kerajaan yang sebenar di syurga dan rajanya ialah Yesus Kristus. Yesus mengajar muridnya untuk berdoa tentang kerajaan ini.—Matius 6:10.

 Apabila Kerajaan Tuhan memerintah bumi, Tuhan akan memastikan bencana alam, termasuk gempa bumi, tidak lagi mencederakan manusia. (Yesaya 32:18) Selain itu, Dia akan menyembuhkan luka fizikal dan emosi yang diakibatkan oleh gempa bumi. (Yesaya 65:17; Wahyu 21:3, 4) Untuk maklumat lanjut, sila baca rencana “Apakah yang Akan Dilakukan Kerajaan Tuhan?

a Statistik diambil daripada Pangkalan Data Gempa Bumi Besar Sedunia yang dijaga oleh Pusat Data Geofizik Kebangsaan Amerika Syarikat.